Kawan-kawan

Khamis, 30 Jun 2011

Waspada didekati lelaki


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

serima@bharian.com.my
2011/06/30

SUSUK tubuhnya yang kecil molek dan wajahnya yang awet muda menyembunyikan usia sebenar pelakon bernama Wan Sharmila Wan Muhamad ini.

Mungkin mereka yang tidak mengenali aktres yang mula dikenali sejak membintangi drama Kisah Kaisara ini tidak tahu bahawa dia pernah bergelar isteri dan kini memegang status janda.
Hampir dua tahun memegang status yang amat digeruni ramai wanita, pelakon yang petah berbicara ini bagaikan seorang yang tidak punya masalah.
Perwatakannya sentiasa ceria, seceria persalinan yang digayakan ketika menghadiri sidang akhbar drama lakonannya untuk slot Lagenda, Si Jundai.

Dedah anak jati Johor Baharu, Johor ini, dia tidak pernah memikirkan tanggapan orang mengenai status yang dibawa. Kadang kadang dia hampir terlupa pernah berkongsi hidup dengan lelaki bernama Fazli Baharom.

Dalam pada dia lupa seketika dengan status yang dipegang, jauh di sudut wanita berusia 30 tahun ini masih terbit keinginan untuk kembali berumah tangga. Bagaimanapun sehingga ke saat ini katanya, dia masih belum bertemu calon yang sesuai untuk dijadikan lelaki yang layak untuk bergelar suami.

“Status yang saya pegang ketika ini tidak pernah menyukarkan hidup saya. Malah ada kalanya saya terlupa pernah berkahwin sebelum ini. Bagi saya, status yang saya pegang sekarang tidak pernah membezakan saya dengan wanita lain.
“Kegagalan rumah tangga yang dibina selama empat tahun tidak pernah membuatkan saya serik untuk berkahwin lagi. Memang terlintas di fikiran mahu berkahwin dan ingin lekas menimang cahaya mata tetapi sehingga ke hari ini saya masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan calon suami.

“Memang saya mengaku berkawan dengan ramai lelaki tetapi kebanyakannya lebih kepada teman tapi mesra. Saya tidak kisah lelaki itu muda atau tua, jika itu jodoh saya, saya terima,” kata Wan yang menyerahkan semuanya kepada takdir.

Memegang watak Sarah dalam drama bersiri Si Jundai, Wan berkata biarpun dia membuka ruang untuk lelaki mengenali dirinya namun jauh di sudut hatinya tetap timbul keraguan sama ada jejaka yang mendekati dirinya betul-betul menginginkan atau sekadar untuk suka-suka.

“Saya suka berkawan tetapi pada waktu yang sama saya bimbang dipermainkan. Memang saya ingin berkahwin tetapi bila waktunya, saya sendiri tiada jawapannya. Buat sementara waktu, biarlah dulu.

“Alhamdulillah keluarga tidak mendesak terutama ibu. Ibu bukan jenis yang suka memaksa, dia juga tidak suka bercakap banyak. Mungkin ibu tahu isu itu sensitif, jadi dia hanya menyerahkan segala keputusan di tangan saya.

“Kalau boleh biarlah bakal suami saya nanti orang biasa saja. Saya tidak mahu berkahwin dengan artis dan paling penting lelaki itu perlulah pandai membimbing saya menjadi seorang isteri dan wanita yang betul,” katanya yang mengakui masih lagi baik dengan bekas suami.

Masih bersahabat biarpun berpisah

MUNGKIN dia serta bekas suaminya Fazli lebih sesuai bergelar sahabat berbanding suami isteri. Biarpun tidak lagi tinggal sebumbung dan tidur sebantal, dia dan Fazli ada ketikanya masih berhubung dengan bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Malah dia juga masih lagi berlakon di bawah syarikat produksi yang turut dinaungi suaminya, Radius One.

Berbicara pula mengenai kerjaya seninya, wanita yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu berkata, wataknya sebagai Sarah di dalam drama arahan Fairuz Loy menuntutnya menguasai tarian tradisional.

Bagaimanapun ini bukanlah drama pertama Wan yang memerlukan dia menari, sebelum ini juga dia pernah terbabit di dalam drama bersiri Tari Tirana. Selain dirinya, Si Jundai turut dibintangi oleh Nabila Huda, Azam Pitt, Faralyna, Tasha Shilla, Rahim Omar dan Rozita Che Wan.

“Saya tidak pernah berlakon dalam drama sebegini, yang mana saya dikehendaki menari dan dirasuk dalam masa yang sama. Memang agak sukar juga untuk membawakan watak ini kerana saya tidak mempunyai pengalaman dirasuk tetapi saya berusaha membawanya dengan baik.

“Oleh kerana terlalu menghayati watak menari sambil dirasuk, saya tidak sedar yang diri saya tercedera apabila dikehendaki berjalan di atas kaca. Kononnya saya berjalan atas kaca tetapi sebenarnya ia membabitkan gula batu. Mungkin ada gula yang berketul sehingga saya tidak perasaan kaki saya luka,” katanya yang kini turut melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan pula.

Dia yang pernah mengacarakan program Klik-Klik Asia di saluran RTM bakal muncul sekali lagi di saluran yang sama bagi mengacarakan program Pentas Dikir. Mungkin ada yang beranggapan bergelar pengacara di RTM tidak glamor, tetapi bagi wanita ini, dia menerima tawaran berkenaan disebabkan minat. Malah dia sendiri yang bersusah payah menghadiri sesi uji bakat dianjurkan.

----- Berita Harian Online

Rabu, 29 Jun 2011

Syamsul 'gangster'


LAKONAN Syamsul Yusof menunjukkan kematangan dalam filem terbaru arahannya ini.


SECARA kasar, Gangster dilihat sebagai sebuah lagi filem aksi dari Syamsul Yusof selepasEvolusi KL Drift (2008),Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Evolusi KL Drift 2 (2010).

Begitupun, untuk seorang karyawan muda yang baru tiga tahun mengarah, kemampuan Syamsul semakin memberangsangkan.

KL Gangster bukanlah sebuah filem luar biasa, tetapi tidak juga sangat biasa. Syamsul mengukuhkan 'trademark'nya menerusi filem aksi, meneruskan legasi bapanya, Datuk Yusof Haslam yang sinonim dengan filem-filem serta rangkaian drama jenayah dan kepolisan.

Filem ini mengisahkan Malek, bekas banduan yang inginkan kehidupan 'bersih' selepas lima tahun meringkuk dalam penjara.

Kembalinya lelaki itu membuatkan Shark, samseng muda yang gilakan kuasa tidak senang duduk kerana berasa tergugat, apatah lagi dia yang menyebabkan Malek ditangkap.

Isi cerita inilah yang dikembangkan dengan penampilan watak konco-konco Shark, kumpulan pesaing Shark yang diketuai Dragon serta 'guru' Shark iaitu bapa tirinya, King yang bersahabat dengan Malek.

Penonton juga diperkenalkan kepada karakter-karakter 'putih' yang selalunya tertindas seperti adik perempuan Malek dan ibunya serta watak komedi, Fadil (yang dibentuk baik serta terkawal oleh Zizan).

Konflik ala Hindustan yang membabitkan sibling rivalry turut dipaparkan menerusi watak adik Malek, Jai yang menjadi tali barut Shark.

Berdasarkan sinopsis, plot KL Gangster bukanlah sebuah idea di luar kotak, malah penonton sudah boleh mengagak penamatnya.

Namun, Syamsul mempamerkan kebolehan dan kebijaksanaannya mengolah naskhah lazim ini menjadi sebuah filem hiburan yang cukup sifat dan berlabel box-office.

Syamsul menyampaikan cerita dengan jelas, meskipun tempo filem ini bergerak pantas. Penonton masih diberi ruang untuk menghadam babak demi babak tanpa perasaan tergesa-gesa hasil suntingan yang kemas. Tidak perlu twist atau kejutan, dia menyandarkan aksi lasak sebagai umpan utama.

Aksi-aksi itu dikoreograf kemas dan ditangkap oleh kerja kamera yang efektif. Meskipun ada yang beranggapan filem ini menceduk semangat filem-filem samseng Hong Kong, tetapi 'peniruan' gaya itu dilakukan cemerlang oleh Syamsul. Adegan gasaknya tidak janggal dan tidak nampak dibuat-buat.

Selain aspek teknikal yang menjadi kekuatannya, Syamsul disokong barisan pelakon yang tepat, masing-masing berjaya menyerapi roh watak yang dipegang.

Aaron Aziz sebagai Malek menonjolkan sifat hero tipikal yang hanya mengganas bila 'disentuh' dan mampu mengundang simpati penonton tanpa perlu menangis.

Ady Putra sebagai Jai cukup menjengkelkan (tetapi masih mempunyai sifat kemanusiaan apabila dipaparkan dia memberi wang dan menyelimutkan kanak-kanak yang tidur di tepi jalan), begitu juga dengan Sofi Jikan sebagai Ajib.

Sofi memang sering diberikan watak jahat, tetapi kali ini dia lebih diingati kerana tidak 'over-acting' dan memberi makna, bukan sekadar tempelan.

Malah, Syamsul yang sebelum ini sering dikritik kerana kaku, mewarnakan peranan Shark dengan baik.

Raut wajah, bahasa tubuh dan pertuturannya sepadan, memberikan justifikasi bahawa sebenarnya dia sangat beruntung kerana selaku penulis skrip, dia sewajarnya tahu latar belakang dan selok-belok watak yang diciptanya sendiri.

Penamat filem ini sedikit anti-klimaks apabila Syamsul memilih untuk sekadar memberitahu apa yang berlaku selepas kemuncak pertarungan menerusi voice-over.

Apatah lagi, ia seperti pelajaran moral, memberitahu penonton , sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Saya memahami tanggungjawab pembikin filem untuk menyampaikan mesej positif, biarpun tema filem berkisar kepada gangsterisme.

Saya juga memahami betapa fiksyennya adegan-adegan samseng Kuala Lumpur yang secara terbuka menembak dan berbunuh-bunuhan di khalayak ramai.

Saya akui, adegan pembukaan yang memaparkan KLCC membuatkan mood saya terganggu, begitu juga dengan narration Malek tentang betapa bernodanya Kuala Lumpur yang agak lapuk.

Bagaimanapun, Syamsul 'menebus' pengulangan klise itu dengan sebuah hidangan yang menghiburkan.

Perlahan-lahan, Syamsul membuktikan gelaran kontroversi Pengarah Terbaik yang dimenanginya tahun lalu bukan satu anugerah kosong. Dia 'gangster' industri perfileman Malaysia yang berani, harus 'digeruni' dan terus diperhatikan selepas ini.

----- Utusan Malaysia Online

Takhta Filsuf dalam KL Gangster


Filsuf yakin anak didiknya, Erna bakal menyinar.


KEBERANIAN pengarah muda Syamsul Yusuf membawa elemen baru dalam industri perfileman merupakan satu petanda awal tentang perubahan ombak industri perfileman tanah air.

Namun di sebalik kejayaan filem KL Gangster yang berjaya mengumpul kutipan tiket sehingga mencecah RM10.3 juta, kekuatan setiap filem arahannya disokong oleh album runut bunyi yang mampu membangkitkan andrenalin penonton ketika menghayati sesuatu filem itu.

Tidak kira filem antarabangsa mahupun tempatan, pemilihan lagu yang sesuai ataupun kena dengan rentak perjalanan sesuatu filem mampu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penonton.

Bagi filem pecah panggung, KL Gangster, lagu tema filem berkenaan, Takhta disulam kemas oleh Dali Ahli Fikir atau juga dikenali sebagai Filsuf, yang bertanggung jawab menghasilkan lagu tersebut.

Takhta sedikit sebanyak membantu menggamit penonton untuk menghayati KL Gangster.

Kata Filsuf, dia sendiri tidak menduga lagu yang diciptanya dalam tempoh lima hari berjaya mendapat tempat di hati peminat filem tersebut.

"Apabila diberi peluang untuk menghasilkan runut bunyi, saya tidak mempersia-siakannya sebaliknya melaksanakan tugasan itu dengan rasa penuh tanggung jawab.

"Saya tahu ini bukan satu kerja yang mudah kerana mengenali Syamsul, dia sangat mementingkan kualiti dan ketepatan karya agar selari dengan jalan cerita filem arahannya.

"Alhamdulillah tugasan menerbitkan lagu Takhta berjalan lancar dan Syamsul sendiri turut memberi beberapa pandangan dari sudut teknikal untuk mencantikkan lagi lagu tersebut," katanya.

Pada pandangan peribadinya, Filsuf berkata, lagu tema mempunyai peranan untuk membantu mempromosikan filem yang ditayangkan di panggung.

"Sesetengah penonton, pada firasat saya, selain terhibur dengan hasil kerja pengarah, mereka juga suka mendengar lagu tema filem yang ditonton.

"Perasaan itu saya pernah alami ketika menonton filem Azura, lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud pada tahun 1984.

"Saya menonton filem itu berulang-ulang kali kerana tersentuh dengan lagu temanya yang syahdu," katanya yang ketawa apabila diusik berjiwa romantis.

Sebagai komposer, Filsuf menyuntik rentak hip hop untuk digabungkan dengan elemen kemelayuan bagi menghasilkan melodi yang indah untuk lagu Takhta.

Lagu itu katanya, diterbitkan bersama anak didiknya, Erna yang dirasakannya mempunyai vokal berkualiti.

"Erna ada potensi untuk meletakkan dirinya sebaris dengan artis-artis sedia ada sekarang.

"Mereka yang pernah terhibur dengan keunikan suara Mawar Ahli Fiqir, pasti boleh menerima Erna kerana dia setanding dengan Mawar," kata Filsuf.

----- Utusan Malaysia Online

KL Gangster - Sinopsis

Tarikh Tayangan: 9 Jun 2011

Genre: Aksi

Durasi: 1 jam 21 minit

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Zizan (Raja Lawak), Ridzuan Hashim

Sinopsis: Mengisahkan tentang dua beradik yang telah terjebak dalam dunia gangster. Seorang bernama Malek dan seorang lagi bernama Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama lima tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Malek kemudian mahu kembali ke pangkal jalan selpeas dibebaskan. Adakah dia mampu berbuat demikian atau memilih untuk membalas dendam?

----- Kosmo Online

Toyol Nakal (Sinopsis)

Tarikh Tayangan: 2 Jun 2011

Genre: Komedi

Durasi: 1 jam 33 minit

Pengarah: Z. Lokman

Pelakon: Joey Exist, Aaron Frando Alfred, Julia Ziegler, Abon dan Mr. Os

Sinopsis: Mengisahkan tentang seorang budak yang digelar Toyol. Usianya baru 13 tahun tetapi nakalnya sangatlah pelik. Dia sanggup meninggalkan bangku sekolah walaupun berasal daripada golongan berada.

Kawannya bukan seusia dengannya tetapi orang dewasa. Walaupun nakal hatinya mulia. Toyol yang lama meninggalkan kemewahan hidup pulang semula ke banglo tempat dia dibesarkan. Dia dapati suasana sudah berbeza. Ayahnya sudah kahwin baru selepas kematian ibunya beberapa tahun duhulu. Toyol tidak berpuas hati dan melakukan pelbagai perbuatan nakal bagi menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap perkahwinan ayahnya itu.

Jejak sebenar X-Men


X-MEN: First Class akan membongkar sejarah asal usul mengenai pertelingkahan Magneto dan Profesor X.


BAGI peminat siri filem X-Men sejak ia mula ditayangkan di layar perak, kemudiannya diikuti X-Men 2 pada tahun 2003, X-Men: The Last Stand pada tahun 2006 dan X-Men Origins: Wolverine pada tahun 2009, sudah tentu tidak sabar menantikan kemunculan siri baru filem tersebut.

Bermula pada 2 Jun ini X-Men: First Class bakal ditayangkan serentak di seluruh pawagam Malaysia dengan aksi yang lebih menarik dan mencabar. Filem X-Men: First Class akan menceritakan asal-usul perbalahan antara Magneto dan musuh ketatnya Professor X.

Bagaimana mereka bermula sebagai sahabat dan kemudiannya menjadi musuh ketat dengan masing-masing mempunyai ahli-ahli yang memiliki pelbagai kuasa luar biasa.


X-men: First Class

Tarikh Tayangan: 2 Jun 2011

Genre: Aksi

Durasi: 2 jam 13 minit

Pengarah: Matthew Vaughn

Pelakon: James McAvoy, Michael Fassbender, Rose Byrne, January Jones, Oliver Platt dan Kevin Bacon

Sinopsis: Sebelum kedua-duanya bermusuhan, Profesor X dan Magneto pernah menjadi kawan rapat ketika di usia muda. Nama sebenar Profesor X adalah Charles Xavier, manakala nama sebenar Magneto adalah Erik Lehnsherr.

Perbalahan mula tercetus apabila kedua-dua mereka bertelagah ketika sedang berusaha menyelamatkan bumi daripada serangan bom nuklear.

Bom nuklear meletup angkara perbuatan jahat Hellfire Club, iaitu musuh kepada Charles Xavier, Erik Lehnsherr serta rakan-rakan mutan mereka.

Pada usia muda, kedua-dua mereka sudah menjalin persahabatan dengan beberapa orang mutan lain yang turut mempunyai kuasa luar biasa.

Setelah berbalah, Charles Xavier menubuhkan X-Men, manakala Erik Lehnsherr menubuhkan Broterhood Of Mutants lalu menukar namanya kepada Magneto. Bermula dari situlah, X-Men dan Brotherhood Of Mutants saling berbalah antara satu-sama lain.

----- Kosmo Online

Persediaan Adi Putra




KATA aktor dengan nama Adi Putra, elemen gila penting dalam pembawaan seorang pelakon. Gila yang dimaksudkan itu adalah terhadap karakter yang dijiwai dan dibawakan.

“Sejak mula berlakon dengan produksi Erma Fatima saya sudah meletakkan elemen ‘gila’ dalam lakonan saya. Elemen itu menyebabkan lakonan saya lebih efektif,” ujarnya serius agar khalayak mengerti maksud gila yang dikatakan.

Persedian lakonan Adi juga gila. Sekelip mata dia mampu mengecilkan dan membesarkan susuk tubuh untuk sebuah karakter dan kesesuaian watak lakonannya.

“Sewaktu berlakon filem Haq saya sudah membina badan saya, menjadi agak besar. Selepas itu saya berlakon filem Hanyut saya kecilkan pula untuk menepati karakter. Untuk filem terbaru saya yang berada di pawagam pada 9 Jun ini, KL Gangster, saya tukar bentuk badan dan imej, semua untuk karakter juga,” ujarnya yang mengagumi kesanggupan pelakon Bollywood menukar bentuk badan.

Dia melakukan kerja ‘gila’ menukar bentuk badan untuk meyakinkan penonton akan karakternya. Malah katanya dengan badan yang meyakinkan, dia lebih selesa dan berlenggang tanpa baju dalam filem. Tuntutan watak Jai dalam filem KL Gangster juga tidak membuahkan canggung dengan susuk tubuh Adi yang pejal.

“Tidak dinafikan itu salah satu strategi pemasaran juga apabila aktor menanggalkan baju. Tetapi ia perlu mengikut kesesuaian watak saya sebagai gangster. Malah dengan tidak berbaju, ia tidak menganggu saya untuk melakonkan aksi-aksi dalam filem tersebut,” akuinya yang memilih ikan untuk mengecilkan badan manakala ayam pula untuk membina balik tubuhnya.

“Jai itu jiwanya jahat. Saya tidak pernah bawa watak antagonis yang sebegitu. Jai menuntut stamina yang banyak kepada saya kerana melibatkan 70- 80% aksi,” ujar Adi yang senang bekerjasama dengan sutradara muda, Syamsul Yusuf yang dianggap memberi ruang besar untuk dia tampil kreatif dengan wataknya.

Berdebar menunggu respons khalayak terhadap filem terbaru lakonan bersama Zizan Raja Lawak, Aaron Aziz dan Sofii Jikan, Adi juga berkongsi pengalaman berlakon di negara orang.

Berpeluang ke Sepanyol untuk produk drama Suria Di Cordoba, Adi menyatakan keseronokannya melangkah ke negara luar atas tugasan sebagai seorang aktor. Manakan tidak, 60 peratus daripada adegan drama itu menjalani penggambaran di bandar raya Cordoba dan Madrid, Sepanyol, sementara selebihnya di tanah air.

“Saya membawakan watak Indra Putra dan berpeluang berlakon bersama Fahrin yang membawakan watak Tengku Huzir dan Sari Yanti sebagai Suria Khadijah Parker. Di sana selain berlakon, saya juga dapat menyaksikan keindahan alam dan reka bentuk bangunan yang mengagumkan,” ujar Adi tentang drama bersiri 26 episod tersebut yang telah pun menemui penonton Astro Prima (saluran 105) setiap hari Selasa pukul 9 malam mulai 7 Jun lalu.

Drama bersiri Suria Di Cordoba berkisar kisah seorang gadis moden campuran Melayu-Sepanyol lakonan Sari Yanti yang memilih menjadi aktivis untuk membebaskan dirinya dari dunia kebendaan. Dalam usaha untuk menjejaki sejarah cinta kedua ibu-bapanya yang bermula di Cordoba, dia diuji Allah dengan cinta yang luar biasa.

----- Kosmo Online

KL Gangster 'luar biasa'

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/06/29

ADI Putra (duduk kanan), Aaron Aziz dan Syamsul antara teraju utama filem KL Gangster.
ADI Putra (duduk kanan), Aaron Aziz dan Syamsul antara teraju utama filem KL Gangster.

Catat kutipan kasar RM11.4 juta selepas 14 hari tayangan

FILEM KL Gangster memecahkan rekod dan mencatatkan sejarah industri filem tempatan kerana sehingga Ahad lalu, membuat pungutan kasar ‘luar biasa’ iaitu RM11.4 juta.
Ini menunjukkan selepas 18 hari ditayangkan iaitu sejak 9 Jun lalu, purata kutipan kasar filem ialah kira-kira RM630,000 sehari. Angka itu menunjukkan filem tempatan sudah mendapat tempatnya sendiri, tidak kiralah sama ada penonton berulang kali menonton atau dari kalangan penonton baru.
Malahan penayangan satu filem seminggu tidak perlu menjadi isu diperbesarkan. Kalau cerita bagus, sambutan penonton cukup membanggakan. Malahan kutipan tinggi daripada beberapa filem tempatan sebelum ini juga membuktikan kehadiran filem blockbuster daripada Hollywood tidak menggentarkan produser lagi.

Kebanyakan penonton, walaupun mereka menonton filem luar negara, tetapi pada masa tidak melepaskan peluang melihat filem keluaran tempatan. Apa yang penting ceritanya menarik.

Filem KL Gangster adalah yang kelima arahan Syamsul Yusof yang menampilkan pelakon, Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Zizan, Sheera, Shoffi Jikan, Adam Corrie dan Syamsul sendiri, mampu melepasi angka kutipan kasar yang luar biasa meskipun terpaksa bersaing dengan filem hebat Hollywood, X-Men dan Kung Fu Panda.

Namun, angka terbabit dijangka mampu melonjak ke RM12 juta jika dicampurkan dengan kutipan di pawagam bebas yang kini semakin rancak ditayangkan dan mencecah kira-kira RM300,000.
Walaupun kekerapan waktu tayangan sudah dikurangkan kerana kemasukan filem baru serta kekurangan dewan tayangan, KL Gangster masih lagi mendapat sambutan sehingga ke hari ini.

Penerbit Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan dikecapi anaknya itu satu pencapaian yang tidak diduga selain menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap keupayaan pengarah muda itu.

“Syukur alhamdulilah apa yang kita capai ini di luar dugaan dan satu kejutan. Saya bangga kerana menjadi filem Melayu pertama yang dapat mencapai jumlah kutipan kasar yang tinggi menyaingi filem Hollywood.

“Saya rasa akan ada filem Melayu lain yang mencapai kutipan lebih baik daripada ini, tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana filem saya dulu pernah capai RM6 juta dan saya jangka akan ada filem lain yang akan melepasi angka itu,” katanya ketika dihubungi HIP.

Melihat kepada perkembangan positif terbabit dan sambutan masyarakat terhadap filem Melayu kini yang semakin memberangsangkan, Yusof membayangkan akan menghasilkan lebih banyak filem yang dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Meskipun filem hebat Hollywood, Transformers akan menjengah ke panggung, namun masih terdapat permintaan daripada pihak panggung untuk meneruskan tayangan KL Gangster untuk beberapa hari lagi.

“Kita masih ada beberapa hari lagi tayangan dan Insya-Allah kita mampu capai RM12 juta walaupun waktu dan dewan tayangan sudah dikurangkan.

“Memang ada ada antara panggung yang sudah tarik balik tayangan kerana banyak filem yang akan masuk, namun kita cukup berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sekarang,” jelasnya.
Melihat kepada peningkatan bagi setiap filem arahan anaknya, KL Drift, Bohsia, Evolusi KL Drift dan Khurafat, Yusof menjangkakan akan ada peningkatan serta sambutan yang serupa terhadap filem keenam Syamsul nanti.

KL Gangster 2 bermula Oktober

SAMBUNGAN KL Gangster ini yang masih mengekalkan Syamsul sebagai pengarahnya akan menjalani penggambaran Oktober depan dengan kos penerbitannya sekitar RM3 juta.

Kos yang tinggi kerana membabitkan ramai pelakon terkenal tanah air termasuk Rosyam Nor.

“Filem ini akan menyingkap kembali kisah Aaron Aziz macam mana dia boleh terjebak dengan kumpulan gangster selain beberapa pelakon hebat lain. Jalan ceritanya lebih mencabar dengan pelbagai aksi dramatik. Penggambaran masih di sekitar KL tetapi akan ada beberapa lokasi di luar KL,” katanya.

Walaupun filem terbabit akan menjalani penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, namun Syamsul kini sedang sibuk membuat persiapan awal sebelum menjalani penggambaran sepenuhnya nanti.

Melihat kepada kejayaan itu, Syamsul dikatakan mahu melihat karya keenamnya itu digarap dengan lebih baik lagi berbanding filem kelimanya agar terus mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Saya nak melihat dia berjaya dalam kariernya dan saya sering menasihatinya supaya jangan cepat berasa selesa dan bangga diri sehingga lupa tanggungjawab dalam berkarya.

“Saya nak dia kekalkan pencapaian yang dia kecapi kini dan terus hasilkan karya yang lebih bermutu lagi kerana nak naik memang susah tetapi nak jatuh senang,” katanya.

Keupayaan jejaka berusia 27 tahun ini dilihat kian menyerlah dalam setiap filem arahannya, malah mampu membawa industri perfileman negara ke tahap yang membanggakan dengan karya yang bermutu dan berkualiti.


INFO

Lima filem tempatan yang mencapai kutipan tertinggi dari Januari 2011 hingga Jun 2011

1. KL Gangster - 11.40 juta
2. Kongsi - 8.09 juta
3. Khurafat - 8.08 juta
4. Hikayat Merong Mahawangsa - 6.50 juta
5. Nur Kasih The Movie - 4.92 juta

----- Berita Harian Online

Selasa, 28 Jun 2011

Juvana uji Bront, Izreen & Zahiril





NAMA Bront Palarae tiba-tiba menjadi bahan bualan di media dan peminat seni tempatan, sejurus diumumkan sebagai pelakon lelaki terbaik filem menerusi Festival Filem Malaysia (FFM23) dan Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) baru-baru ini.

Dengan niat untuk terus berada di hati peminat, Bront mengakui bahawa dia masih seperti dahulu biarpun menggondol dua anugerah yang mengiakan kehebatannya sebagai seorang pelakon filem.

Bagi Bront, anugerah tersebut hanyalah penghargaan terhadap bakatnya sahaja dan bukan menjadi tiket untuknya berlagak dan meninggi diri.

Katanya: "Selepas atau sebelum menang anugerah, saya tetap sama sahaja. Tiada istilah badi seperti yang didakwa sesetengah orang kepada penerima anugerah seperti saya.

"Juga tiada istilah meminta bayaran lebih atau demanding, cuma saya kini lebih banyak ditawarkan dengan watak-watak berat sahaja."

Bront yang mengakui merindui untuk membawakan watak-watak komedi seperti dahulu kini akur untuk bekerja dengan watak-watak serius.

Buktinya, melalui drama bersiri terbaru berjudul Juvana yang akan bersiaran di TV3 tidak lama lagi, Bront diberikan watak sebagai seorang warden asrama sekolah juvana yang bengis.

Biarpun watak itu tiada kaitan dalam hidupnya, Bront sedaya-upaya memberikan persembahan yang terbaik agar dilihat semula jadi di kaca televisyen.

"Membawakan watak seorang warden di sekolah budak-budak nakal yang bengis dan tegas amat mencabar kerana ia memerlukan ekspresi yang masuk dengan karakter.

"Walaupun lebih mudah membawa watak komedi yang dekat dengan jiwa saya, karakter seperti ini sebenarnya akan mewarnai lagi kerjaya lakonan saya." ujar Bront yang akan tampil dalam drama Lagenda Budak Setan 2 tidak lama lagi.


SELEPAS meraih dua anugerah yang mengiktiraf kredibiliti mutu lakonannya, Bront kini meraih peluang melakonkan watak mencabar sebagai warden asrama sekolah juvana yang bengis menerusi Juvana.


Bagi satu-satunya teraju utama wanita dalam drama Juvana, Izreen Azminda, tempoh empat tahun dia menjadi penyeri dunia hiburan tanah air belum cukup kuat untuk mengangkat namanya sebaris aktres popular lain.

Dia bebas daripada dihimpit kontroversi murahan. Mungkin itu menjadi penyebab mengapa nama Izreen kurang menonjol meskipun pernah membintangi drama dan filem popular seperti drama Nenek Kebaya, Isabella, Samson Delaila, Sutera Maya serta filem Nana Tanjung 2 dan Otai.

Pemilik nama Izreen Azminda Mohd. Aznam, 26, itu bagaimanapun tidak kisah walaupun sering diberikan watak-watak antagonis asalkan survivalnya dalam dunia lakonan tidak tergugat.

Terbaru, buat kali pertamanya dia ditawarkan watak wanita yang bertanggungjawab. Diberikan karakter lembut, bertudung dan baik sebagai Cikgu Zakiah dalam drama Juvana nyata membuatkan Izreen tidak senang duduk.

Namun, atas bakat yang disandarkan, Izreen telah berusaha gigih menjiwai watak seorang guru kaunseling yang penuh dengan kesopanan biarpun dia mengakui bahawa agak sukar dibawakannya.

"Walaupun sudah empat tahun saya berlakon, inilah kali pertama saya ditawarkan dengan watak wanita lemah-lembut.

"Ia memang sangat sukar kerana berbeza dengan perwatakan saya yang sebenar dan sangat berat untuk dijayakan," katanya.

Ingin tampil dengan penuh penghayatan, Izreen membuat kajian terperinci mengenai watak wanita baik agar dilihat kena dengan karakter Cikgu Zakiah.

"Saya belajar menghayati watak wanita baik melalui drama-drama tempatan. Lagipun, ia kontra dengan sifat saya yang sedikit kasar.

"Saya suka lakonan Noorkhiriah. Saya juga banyak belajar daripada lakonannya dan drama-drama lain," katanya yang ditemui ketika pelancaran drama Juvana di Melaka baru-baru ini.

Membawa karakter kontra berbanding diri sebenar turut memberi cabaran besar kepada pembawa watak utama dalam drama tersebut, Zahiril Adzim.

Bagi Zahiril, menghidupkan watak Daim yang tidak banyak bercakap dan memerlukan pelbagai ekspresi, dia banyak dibantu oleh pelakon-pelakon lain termasuklah Izreen dan Bront agar Daim dilihat lebih semulajadi di kaca TV.


SALAH satu babak lakonan dalam Juvana.


"Walaupun sukar kerana watak Daim jauh dengan karakter sebenar diri saya, tetapi atas komunikasi dua hala diberikan pelakon-pelakon lain, saya tetap dapat menghayati watak pemuda berusia 17 tahun itu.

"Bront yang banyak pengalaman mudah diajak berbincang dan ia membuatkan saya lebih senang untuk mengangkat watak Daim," kata Zahiril yang turut menganggap Daim sebagai satu watak yang unik.

Jika dilihat pada sosoknya yang kecil molek, pasti ramai yang tidak percaya bahawa jejaka kelahiran Taiping, Perak itu sudah mencecah usia 27 tahun.

Biarpun membawa karakter yang berumur sepuluh tahun lebih muda, ia tetap tidak memberi cabaran besar kepadanya untuk menghayati watak itu kerana di luar kaca TV Zahiril masih lagi menebal dengan sifat keanak-anakan.

"Walaupun saya sudah 27 tahun, tetapi jiwa 17 tahun dan nakal masih ada.

"Tiada masalah untuk berada dalam karakter pelajar sekolah kerena perangai saya juga masih keanak-anakan," kata Zahiril yang pernah memegang trofi Pelakon Harapan Lelaki terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Cetak tiket wayang di rumah


KEMUDAHAN menonton wayang pada hari ini lebih moden, efisien dan ringkas yang disediakan khusus untuk memudahkan penonton berkunjung ke pawagam.


BERMATLAMAT memuaskan hati pengunjung pawagam untuk menikmati suasana selesa, BIG Cinemas Lotus Five Star telah memperkenalkan dua aplikasi terkini iaitu BigCinemasMobile dan Print@Home.

Kedua-dua aplikasi tersebut adalah untuk memudahkan pengunjung pawagam mendapatkan tiket di mana mereka berada pada bila-bila masa sahaja.

Perkhidmatan BigCinemasMobile membolehkan penonton untuk mencapai perkhidmatan tempahan tiket di kesemua pawagam BIG Cinemas Lotus five Star melalui telefon bimbit, selain untuk memeriksa jadual tayangan, tempahan tempat duduk dan tiket, sebelum mengambil tiket di kaunter, sejam sebelum tayangan.

Pengguna juga boleh merujuk Booking History untuk transaksi yang lalu. Aplikasi ini boleh dimuat turun dari http://m.bigcinemas.com untuk semua telefon bimbit yang beroperasi berlandaskan aplikasi Java dengan GPRS, EDGE atau perkhidmatan 3G.

Sementara, Print@Home membolehkan pengunjung pawagam boleh menonton filem dengan penuh bergaya di BIG Cinemas Lotus Five Star seluruh negara, tanpa beratur panjang di kaunter tiket.

Boleh didapati menerusi laman web BIG Cinemas Lotus Five Star sekarang, sesiapa sahaja mampu untuk membeli dan mencetak tiket sendiri di rumah dengan mengikuti beberapa langkah mudah.

Menurut Ketua Pegawai Operasi BIG Cinemas Lotus Five Star, Preethan Rebello: "Kami percaya bagi penonton, pengalaman menonton wayang, tidak bermula apabila filem itu ditayangkan, tetapi bermula apabila mereka memasuki premis pawagam untuk membeli tiket.

"Pengalaman inilah yang kami ingin permudahkan, selesa dan dikenang selamanya. Kemudahan Print@Home adalah satu langkah ke arah itu dan kami percaya ianya akan diterima secara positif."

BIG Cinemas yang merupakan rangkaian pawagam terbesar di India dengan 530 layar tayangan di seluruh India, Amerika Syarikat, Nepal dan Belanda itu mengambil langkah yang perlu dalam memastikan keselamatan seluruh proses tempahan.

Setiap tiket Print@Home mempunyai kod bar unik, serta data pelanggan yang penting termasuk nama dan nombor kad kredit, dalam situasi yang selamat. Kod bar yang akan diimbas menggunakan PDA dan mengesahkan kemasukan bagi pelanggan yang sah.

Tambah Preetam: "Dengan pelancaran dua aplikasi digital ini, ianya mampu memenuhi kehendak gaya hidup terkini buat penonton, yang pada dasarnya dalam keadaan mobiliti tetapi pada masa yang sama memerlukan kemudahan di hujung jari.

"Dalam dunia di mana masyarakatnya semakin bergerak ke arah kehidupan digital, yang mana telefon bimbit dan Internet menjadi sebahagian keperluan dalam kehidupan seharian, ia menjadi pengerak kepada kami dalam memperkenalkan perkhidmatan seiring dengan permintaan itu.

"Kami juga ingin mengubah paradigma dalam pengalaman menonton filem, dari suasana hiruk pikuk ke sebuah pengalaman peribadi," jelas Preetham lagi.

Sementara, bagi pengguna pertama perkhidmatan Print@Home, Tan Tey Chuan yang menonton filem The Last Airbender bersama tiga rakannya di pawagam BIG Cinemas Lotus Five Star di Taiping, dia berasa cukup berpuas hati dengan kemudahan tersebut.

"Aplikasi ini cukup mudah, menjimatkan masa dan amat selesa buat kami. Kami menyukai 'Print@Home' ini," ujarnya.

Bagi maklumat lanjut mengenai BIG Cinemas Lotus Five Start juga aplikasi digital terbaru, sila layari www.bigcinemas.com atau sertai kami di Facebook di http://facebook.com/BigCinemasMalaysia untuk maklumat terkini.

----- Kosmo Online

Isnin, 27 Jun 2011

Nabil, akui tercabar

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
2011/06/19

24 Jun bakal tentukan juara Maharaja Lawak

PROGRAM Maharaja Lawak boleh diumpamakan sebagai terapi apabila menontonnya. Kebanyakan penonton pasti ketawa terbahak-bahak, selain ada yang melompat dari kerusi, menghentak kaki dan menitiskan airmata ketika menyaksikan gelagat peserta.

Maharaja Lawak, program yang paling hangat diperkatakan. Rata-rata penonton tidak melepaskan peluang untuk menantikan malam Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna. Minggu separuh akhir berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Larkin, Johor Bahru pada Jumaat lalu sudah menentukan antara lima finalis popular – Jozan, Nabil, Sepah, Jambu dan R2 ke peringkat akhir.

Seperti yang dilihat, Jozan (Johan dan Zizan) sering menduduki tangga teratas, diikuti Nabil, Sepah, Jambu dan R2. Bagaimanapun, final Maharaja Lawak yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada Jumaat, 24 Jun ini bakal menentukan siapakah layak digelar juara Maharaja Lawak.

Nabil, satu-satunya peserta solo berkata, dia sering mengambil risiko dengan menampilkan pelbagai eksperimen dalam bahan lawaknya. Ada kala menjadi, ada ketika pula sebaliknya.

“Saya mahukan kelainan, saya suka melakukan eksperimen dan mencari pengisian baru tetapi bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadi insan yang mudah berputus asa, saya akan cuba menerokai sesuatu yang baru, selain memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Bagi saya, kegagalan membuatkan saya perlu berusaha lebih gigih lagi.

“Tidak dinafikan, persembahan saya ada turun naik kerana saya adalah peserta solo. Kadang kala saya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan itu. Saya kecewa apabila gagal membuat penonton ketawa. Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi ini adalah penentuan sama ada saya mampu atau tidak.

“Jozan, Sepah, Jambu dan R2, mereka bekerja berkumpulan, jadi mereka tahu kekurangan pengisian mahupun sebaliknya. Saya akui mereka sering memberi pandangan, tetapi mereka juga perlu menyiapkan diri untuk pertandingan ini.

“Saya boleh bercerita dengan mereka, tetapi adakah mereka jujur? Saya tidak menyalahkan mereka, ini adalah pertandingan yang merebut wang tunai RM300,000. Mereka boleh memberi cadangan, tetapi adakah pengisian itu menjadi dan boleh membuatkan penonton tergelak? Saya fikir takkan mereka nak berkongsi bahan yang bagus dengan saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dalam ada yang membenci, ada juga yang masih menyukai saya. Sekurang-kurangnya, saya sudah mencuba dan menjadi satu-satunya peserta solo yang bertahan. Mungkin, pada masa akan datang saya menjadi `reference’ kepada finalis solo lain.

“Memang kalau ikutkan saya boleh menolak menyertai Maharaja Lawak, tetapi saya tidak mahu jadi pengecut! Saya tahu risikonya apabila berdiri di pentas seorang diri, lainlah kalau saya berdua atau bertiga. Idea mungkin keluar mencurah-curah,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, You Saka, Pergi Jauh-Jauh yang disiarkan di TV3.

Anak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, cabaran yang dipikulnya terlalu besar, lebih lagi berdepan dengan gandingan Johan dan Zizan, Sepah, Jambu dan R2.

“Saya akui tercabar apabila sering menduduki antara tangga terendah. Saya pernah dinobatkan juara Raja Lawak dan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, jadi tanggungjawab itu cukup berat buat saya. Maharaja Lawak ini mengajar saya, hidup bagaikan pusingan roda, ada masa di atas, ada ketika di bawah. Saya berterima kasih kerana masih ada yang mengundi saya,” katanya dengan nada perlahan.

Sepah tak harap menang

SEMENTARA itu, Jep dari kumpulan Sepah berkata, dia bersyukur persembahan Sepah sentiasa konsisten setiap minggu walaupun tidak mampu menembusi Jozan yang sering kali menduduki tangga teratas.

“Kami bersyukur ilham datang dari Allah SWT. Bukan mudah untuk mengekalkannya, tetapi tanpa usaha dan berdoa, tidak mungkin mengekalkannya. Hari ini, kami tidak memikirkan kalah atau menang lagi, apa yang penting, persembahan kami dinilai dengan baik setiap minggu.

“Sepah semakin seronok dengan `permainan’ ini, sekurang-kurangnya peminat boleh menilai kemampuan Sepah. Walaupun sudah dua musim meninggalkan program Raja Lawak, kami sedaya upaya mempersembahkan idea segar dan pengisian yang baik. Itu yang kami harapkan, tetapi berbalik pada nasib. Kita tidak sentiasa berada di tahap yang selamat.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu menampilkan Sepah yang dulu. Diakui dulu, kami banyak bermain dengan kata-kata lucah, tetapi tidak lagi dalam persembahan Maharaja Lawak. Bagi kami, kalau tidak mencarut dan bercakap lucah pun boleh membuatkan penonton ketawa, itu yang kami belajar selepas keluar program Raja Lawak.

“Secara peribadi, saya puji perjuangan Jozan. Bagi saya, Johan adalah `killer’. Saya juga menyukai Jambu (Taukeh dan Yus), mereka tampil dengan pengisian yang berbeza setiap minggu,” katanya.

Shuib pula menjelaskan, mereka tidak mengharapkan gelaran juara Maharaja Lawak, tetapi pembabitan Sepah tidak menenggelamkan nama mereka.

“Dua tahun kami hilang arah dan dilihat seperti tenggelam timbul. Menyertai Maharaja Lawak selama tujuh minit memberi impak yang besar. Kami masih bernafas untuk meneruskan kehidupan apabila ditawarkan berlakon drama dan filem. Kami bersyukur kemampuan kami dalam Maharaja Lawak membuka mata pengarah dan penerbit,” katanya.

----- Berita Harian

Penjara cinta Nora Elena


Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR

LAMBAKAN drama dan filem yang diangkat daripada naskhah novel kian bertali arus di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Kejayaan formula sedemikian menarik penonton telah membuka mata ramai
penggiat drama dan filem bagi menghasilkan lebih banyak karya yang
diolah daripada novel.

Nora Elena, adaptasi sebuah novel berjudul Kasih Yang Suci hasil
nukilan Meen Zulaikha mengisi slot Akasia di TV3 menggantikan drama
Cinta Antara Kita.

Mempertaruhkan genre cinta bagi menambat hati penonton setia slot
tersebut, drama 24 episod itu membariskan bintang-bintang ternama
seperti Aaron Aziz, Siti Saleha dan Wan Sharmila.

Pendukung watak utama, Siti Saleha mengakui memainkan peranan sebagai
Nora Elena bukan tugas mudah kerana jalan cerita drama itu menuntutnya
bermain dengan pelbagai emosi.

“Nora Elena satu karakter penuh kejujuran dan kelembutan, hatinya juga rapuh kerana sejarah silam yang dialami.

“Saya teruja melakonkan watak tersebut memandangkan ini pertama kali
saya terlibat dengan drama yang diterjemahkan daripada novel,” jelas
aktres yang semakin meningkat naik itu.
Berbeza pula dengan Aaron Aziz yang tidak mengalami masalah
melakonkan watak Seth Tan dalam drama bersiri terbitan Asian Media
Content (AMC) itu.
“Watak Seth Tan tidak sukar untuk dimainkan namun masih ada sedikit kesulitan bagi menunjukkan keberkesanan watak tersebut.
“Saya mengalami sedikit kesukaran bagi menunjukkan emosi sebagai
seorang lelaki yang dianggap sebagai perampas walaupun pada hakikat dia
bukan seorang perampas,” kata Aaron.
Drama arahan Jet Li itu berkisar tentang kehidupan seorang perempuan
bernama Nora Elena (Siti Saleha) yang sentiasa dibayangi detik hitam dia
dinodai seorang lelaki yang bernafsukan binatang.
Selepas 10 tahun berlalu, Nora akhirnya berjaya menyingkirkan memori
pahit itu setelah bertemu cinta hatinya, Idham (Zul Ariffin).
Rancangan membina rumah tangga bersama Idham dilanda badai apabila Nora mula rapat dengan majikan Idham, Seth Tan (Aaron Aziz).

Cemburu mula menguasai Idham lantaran salah faham yang timbul dan
sekali gus membuat keputusan membatalkan perkahwinannya bersama Nora.
Tindakan drastik Idham membuatkan Nora benar-benar terpukul dengan
keadaan yang dialami dan secara tidak langsung mengundang kembali kisah
silam yang telah lama dibuang jauh.

Dugaan demi dugaan menimpa Nora serta pelbagai cemuhan terpaksa
ditelan walaupun cintanya terhadap Idham sememangnya tulus dan ikhlas.
Di kala itu, Seth menghulurkan tangan dan menawarkan diri sebagai
pengganti Idham dalam hidup Nora. Seth bersedia menghilangkan
penderitaan Nora dengan mengahwini Nora.

Sejauh mana kejujuran Seth dan terleraikah persoalan siapakah yang
menodai Nora satu ketika dulu? Semuanya bakal terjawab dalam drama
meruntun jiwa yang turut dibintangi Erry Putra dan Puteri Fateen itu.
Jangan lupa menyaksikan drama Nora Elena yang kini setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam.

----- Kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap