Kawan-kawan

Ahad, 27 Mei 2012

Aishwarya tak kisah disindir gemuk

Aishwarya tak kisah disindir gemuk  
Aishwarya Rai
 
Aktres Bollywood tolak soal jaga badan

CANNES: Pelakon terkenal Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan, tetap gembira dengan keadaan diri dan berat badannya serta tidak akan ‘jaga badan’ meskipun diejek dan disindir kerana menunjukkan perbezaan besar selepas menimang cahaya mata pertama.
Aktres berusia 38 tahun itu berada di pesta filem Cannes malam Jumaat lalu dan berjalan di permaidani merah untuk menghadiri majlis lelong untuk mangsa Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).


Peminat filem mahu melihat sama ada bekas ‘Miss World’ itu sudah kembali kepada penampilan asal selepas melahirkan anak pertamanya, Aaradhya, tahun lalu. Tidak kira reaksi mereka, Aishwarya berkata, dia tidak bimbang dalam perkara itu.

Ada beberapa ulasan yang menyakitkan hati dibuat online mengenai berat badannya tetapi Aishwarya berkata dia mengelak melayari internet dalam topik berkenaan.

“Sebagai pelakon yang diikuti orang ramai, pasti ada banyak pandangan,” katanya kepada agensi berita ketika ditemui di hotel Riviera.

“Saya gembira kepada semua orang di luar sana yang menunjukkan perasaan kasih sayang dan positif hingga aspek negatif tidak difikirkan langsung, saya tidak rasa marahpun,” katanya.
Beliau juga ketawa apabila ditanya mengenai ‘diet’ sebaliknya menekankan dia sendiri akan memutuskannya, bukan orang lain.

“Saya rasa lebih penting supaya diri anda sihat. Saya tiada masalah makan dan tidak pernah mengikuti program pemakanan, jadi saya tidak akan terima sebarang cadangan sekarang,” katanya lagi.

Tahun ini adalah kali ke-10 Aishwarya muncul di Cannes sebagai salah seorang jurucakap L’Oreal. Beliau sudah selesa beraksi di permaidani merah.

“Semua ini saya alami hampir setiap hari selama bertahun-tahun lalu, jadi saya tidak pernah benarkan keadaan diri saya menjadi syarat, ia satu saat yang perlu dinikmati,” tegasnya.

Malah, Aishwarya juga sedia menimang cahaya mata kedua dengan suami, Abhishek Bachchan.

“Jika saya mengandung sekali lagi, itu sudah takdir dan saya menerimanya dengan senang hati,” katanya. Pesta filem Cannes tamat hari ini. - AP 
 
--- BERITA HARIAN

Amah beri ‘kopi haid’ didakwa

 
SINGAPURA: Seorang amah Indonesia didakwa melakukan kesalahan di mahkamah di Singapura kerana memasukkan darah haidnya dalam kopi majikannya.

Akhbar Straits Times melaporkan, wanita berusia 24 tahun mengaku salah melalui penterjemah selepas mendengar dakwaan.
Wanita bertubuh kecil yang dikenali sebagai Jumiah itu didakwa menghidangkan kopi tercemar berkenaan di rumah majikannya pada Ogos 2011.


Pada masa kejadian, pembantu rumah itu sudah bekerja dengan majikannya kira-kira setahun. Tiada maklumat diperoleh dan kesnya dihantar ke mahkamah lain untuk sebutan semula pada Selasa depan.

Dia dibenarkan ikat jamin sebanyak S$5,000 (RM12,278) tetapi wanita itu direman kerana gagal mendapatkan penjamin warga tempatan. - Agensi 
 
--- Berita Harian

Ahad, 20 Mei 2012

Wartawan Kesal Sikap Penyokong Kelantan Ketika Final Piala FA

Photo of a member of the press in orange vest

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Wartawan yang membuat liputan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu kesal dengan sikap biadap segelintir penyokong 'The Red Warriors'.

Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Dayne Azmin berkata beliau sangat kecewa melihat sikap penyokong Kelantan itu yang tidak profesional dengan membaling botol minuman dan bekas makanan ke arah tempat media di aras dua stadium berkenaan.

"Pada separuh masa pertama, penyokong Kelantan membaling botol air sehingga terkena skrin laptop saya. Mereka kemudian bertindak lebih agresif dengan membaling bekas penyembur rambut ketika meraikan gol (oleh Mohammed Ghaddar) sehingga hampir terkena kepala namun saya sempat tepis.

Muhammad Dayne berkata beliau pernah mengadukan mengenai isu keselamatan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, namun badan induk bola sepak negara itu menyatakan perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia.

Wartawan Berita Harian Mohd Fitrie Muhamad pula berkata beliau hampir terkena bekas makanan yang dibaling dari aras tiga stadium itu.

"Mereka sebagai penonton harus bersikap profesional ketika memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dan bukannya mencampakkan sebarang objek kepada kami walhal mereka tahu kami sedang membuat liputan perlawanan," katanya.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa ketika dihubungi Bernama berkata beliau kesal dengan kejadian itu kerana pegawai FAM sendiri memberi jaminan kepadanya mengenai soal keselamatan terhadap media, semasa beliau mengikuti lawatan ke stadium tersebut pada Selasa lepas.

Beliau meminta FAM menilai kembali prosedur keselamatan bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

-- BERNAMA

KAFA Beri Imbuhan RM500,000 Kepada Pemain

KOTA BAHARU, 20 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memberi imbuhan keseluruhan sebanyak RM500,000 kepada semua pemain sempena kemenangan Kelantan menjulang Piala FA.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak RM300,000 akan diberi secara tunai manakala bakinya dalam bentuk percutian.

"Kita akan beri bonus tersebut dalam masa terdekat ini kepada pemain," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini.

Ketibaan beliau disambut kira-kira 2,000 penyokong The Red Warriors yang memakai baju merah sebagai tanda sokongan selepas Kelantan bergelar juara pada saingan Piala FA menewaskan Sime Darby FC 1-0 melalui sepakan penalti di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu malam.

-- BERNAMA

Sabtu, 19 Mei 2012

Stadium Nasional jadi lautan merah-putih

http://kakibangku.net/wp-content/uploads/2012/05/Penyokong.jpg

2012/05/19

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lautan merah dan putih apabila puluhan ribu peminat pasukan bola sepak Kelantan mula mengisi setiap sudut stadium seawal 4 petang, bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2012.

Sekalipun perlawanan yang menyaksikan pertemuan Kelantan dan pasukan kelab, Sime Darby FC bermula 8.45 malam, peminat setia Kelantan atau "The Red Warriors" dilihat berada di pekarangan stadium sejak 3 petang lagi.
Masing-masing membawa sepanduk dan kain rentang yang terpampang kata-kata semangat bagi pasukan kesayangan mereka, yang dianggap gergasi bola sepak tanah air.
Bagi seorang penyokong tegar pasukan Red Warriors yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, beliau tiba ke ibu negara bersama-sama rakan dari Kota Baharu sejak semalam.

"Saya mahu menyaksikan dan melihat dengan lebih dekat kemenangan Red Warriors malam ini. Tahun lalu kami kempunan julang Piala FA, saya yakin tahun ini Red Warriors akan menang besar," katanya.

Jika dilihat daripada segi kehadiran penonton, penyokong Kelantan jelas menguasai stadium itu, namun tidak bermakna kelab kerdil dari Liga Perdana, Sime Darby FC, tiada peminatnya.

"Saya tahu penyokong Kelantan ramai tetapi pasukan kerdil seperti kami juga mampu memberikan saingan yang terbaik. Mereka mampu melakukan kejutan sama seperti di peringkat separuh akhir," kata Mohd Zaini Rasid dari Cheras.
Kebanjiran 85,000 penonton ke stadium ini juga turut membawa limpahan rezeki kepada peniaga-peniaga kecil di sekitar kawasan stadium.

Baik gerai jualan jersi dan mafela mahupun peniaga makanan dan minuman, masing-masing tidak menang tangan melayan pelanggan pelbagai peringkat usia. - BERNAMA

--- BERITA HARIAN

Khamis, 17 Mei 2012

Aidil Zafuan batal ceraikan Rita



PETALING JAYA – Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak membuat kejutan dengan menarik balik kes permohonan cerai yang difailkan terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Perkembangan itu sama sekali tidak diduga oleh Rita, 36, dan peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain kerana mereka hanya dimaklumkan oleh peguam Aidil iaitu Ahmad Nazib Johari tentang permohonan itu lima minit sebelum kes disebut semula petang semalam.

“Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita (Johari Jonid) yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kami mohon kos perosiding itu harus dibayar pihak plaintif,” kata Mohd. Zaidi.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian membenarkan permohonan plaintif untuk menarik balik kes itu, namun plaintif perlu membayar RM250 kepada defendan sebagai kos kerugian kerana menarik balik kes itu pada saat akhir.

Terdahulu, Ahmad Nazib memberitahu, terdapat tiga alasan utama mengapa plaintif terpaksa menarik balik tuntutan cerai yang dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 12 April lalu.

--- KOSMO

Ahad, 13 Mei 2012

Cuti umum 20 Mei di Kelantan

Oleh Siti Rohana Idris

2012/05/14

http://kelate.net/wp-content/uploads/2010/08/yb-abdul-fattah.gif

KERAJAAN Kelantan mengumumkan 20 Mei ini sebagai cuti peristiwa, sempena final Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby FC di Stadium Bukit Jalil, sehari sebelum itu.

Cuti itu juga sebagai hadiah kepada rakyat Kelantan atas sokongan padu kepada skuad Bojan Hodak dalam misi The Red Warriors merebut Piala FA buat julung kali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, cuti itu diberi sebagai rangsangan kepada penyokong untuk beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Selain itu, kami memikirkan keselamatan penyokong sendiri. Kita tidak mahu selepas tamat perlawanan, mereka terus pulang dalam keletihan untuk bekerja keesokan harinya (Ahad),” katanya pada sidang media, semalam.

Abdul Fattah juga mengingatkan penyokong supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej, sebaliknya menjaga nama baik Kelantan.

BERITA HARIAN

Sabtu, 12 Mei 2012

Gone penuh debaran

Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
antara babak dalam Gone
antara babak dalam Gone

Diculik dari tempat tidur dan kemudian dihumban ke dalam sebuah lubang di hutan serta hampir mati di bunuh. Namun setelah berjaya melepaskan diri, tidak ada sesiapa mempercayai kata-katanya sehingga dia di hantar ke hospital sakit jiwa.

Kemudian, apabila peristiwa sama berulang pada adiknya, polis dan orang sekeliling tetap tidak mempercayainya dan dia pula hanya mempunyai masa selama 24 jam untuk menyelamatkan adiknya.

Begitulah situasi yang dilalui oleh Jill (Amanda Seyfried), apabila dia membawa penonton bersama-sama merasai debaran untuk menyelamatkan adiknya dari dibunuh oleh pembunuh bersiri.

http://media.monstersandcritics.com/galleries/3467277_13093/TYG-02722240085.jpg
Jennifer Carpenter

Apatah lagi, imejnya seperti seorang wanita sakit mental begitu terserlah kerana dia bijak bermain dengan emosi, sikap keras kepala dan berjiwa kental selaku watak utama.

Malah, tanpa kesan khas seperti imej janaan komputer (CGI) dan bajet yang besar, pengarah filem ini, Heitor Dhalia berjaya membuatkan penonton merasai debaran yang sama dirasai Jill.

Pengarah juga dengan bijak menimbulkan rasa suspens dan tanda tanya tanpa menonjolkan siapa penculik itu hinggakan setiap watak boleh dianggap suspek utama.

Biarpun plot ini bergerak agak perlahan, namun bukti demi bukti yang diperoleh Jill serta setiap individu yang boleh dianggap sebagai suspek akan membuatkan penonton tidak sabar untuk mengetahui pelakunya.

Namun, berjayakah Jill menyelamatkan adiknya dan siapakah pembunuh bersiri yang terlibat? Bagi yang ingin mengetahui jawapannya, anda harus menonton filem ini di pawagam yang muda ditayangkan semenjak semalam.


Gone

PENGARAH : Heitor Dhalia
PELAKON : Amanda Seyfried, Jennifer Carpenter, Sebastian Stan, dan Wes Bentley.
GENRE : Drama/Thriller
DURASI : 1jam 34minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 10 Mei 2012
KESELURUHAN : * * * *


--- SINAR HARIAN

Dendam cinta dalam Dark Shadow

Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
antara babak dalam Dark Shadows
antara babak dalam Dark Shadows

Jika anda gemarkan karya Tim Burton, seperti Charlie And The Chocolate Factory dan Alice In Wonderland, anda harus menonton filem terbaru arahannya, Dark Shadows.

Seperti dua filem sebelum ini, Johnny Depp masih menjadi pilihan Burton sebagai pelakon utamanya. Malah filem ini juga digarap menerusi sebuah filem komedi fantasi berdasarkan drama lipur lara pada tahun 1966-1971 dengan judul yang sama

Ia mengisahkan Barnabas Collins (lakonan Johnny Depp) telah mengecewakan hati seorang wanita sihir, Angelique Bouchard (Eva Green), sehingga menyebabkan dirinya bertukar menjadi puntianak dan ditanam hidup-hidup. Dua dekad selepas itu, Barnabas secara tidak sengaja dibebaskan dan kembali ke rumah agam mewah yang kini diduduki oleh keturunannya.

http://images.hollywood.com/site/eva_green.jpg
Eva Green


Bagi penulis, jika Burton tidak meletakkan Depp sebagai pelakon utama, filem ini mungkin boleh dikategorikan sebagai filem yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Namun, Depp berjaya mengunci perhatian penonton untuk melayari kisah hidupnya dari kecil sehinggalah dia berdepan dengan kisah hidup yang pahit setelah didendami seorang wanita dan akhirnya menemui cinta sejati.

Biarpun plot kadangkala bergerak sedikit perlahan, namun naratif jalan cerita yang menarik membuatkan penonton tidak jemu untuk terus menyaksikan filem ini.

Apatah lagi dengan komedi bersahaja Depp yang telah hidup sebagai puntianak dan terperangkap di dalam kubur serta hanya bebas semula 200 tahun kemudian. Pendek kata, tidak rugi untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

Dark Shadows

PENGARAH : Tim Burton
PELAKON : Johnny Depp, Eva Green, Michelle Pfeiffer, Helena Bonham Carter, Jonny Lee Miller, Chloe Moretz, dan Gulliver McGrath.
GENRE : Seram/Thriller
DURASI : 1jam 53minit
KLASIFIKASI : 18
TAYANGAN : 10 Mei 2012
KESELURUHAN : * * * *


--- SINAR HARIAN

Kisah cinta dunia glamor

Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2012
Antara babak Cinta Luar Biasa
Antara babak Cinta Luar Biasa

Antara babak Cinta Luar Biasa
Antara babak Cinta Luar Biasa

Jika sebelum ini, peminat hanya melihat cerita mengenai artis melalui media cetak atau media elektronik, namun menerusi drama bersiri terbaru 13 episod bertajuk, Cinta Luar Biasa, anda akan menyaksikan kisah mengenai dunia selebriti tanah air.

Di barisi pelakon hebat seperti Natasha Hudson dan Eizlan Yusof sebagai watak utama, di samping Zachery F, Zain Saidin, Rozita Che Wan dan Tia Fatihah, drama ini telah menemui penonton mulai 1 Mei lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi di TV1.

Cinta Luar Biasa menyingkap kisah Lina Rahman, penyanyi terkenal dan mempunyai ramai peminat dan salah seorang peminat setianya, Datuk Sharul Lamin. Mereka mula mesra ketika kereta Lina rosak dan kebetulan Datuk Sharul terserempak lalu menolongnya.

Perhubungan Lina dan Datuk Sharul dapat dihidu oleh wartawan tetapi Lina selalu menafikan kerana bimbang isteri Datuk Sharul mengetahui cerita yang sebenarnya.

Rumah tangga Datuk Sharul mula bergolak dan perkara itu berlaku bukan disebabkan kehadiran Lina sebaliknya, Datin Mona yang mula berubah sikap terhadap suaminya.

Konflik berkembang apabila Lina mula menjalinkan hubungan dengan Romzi Zahid, artis lelaki terkenal setelah mereka sama-sama membintangi sebuah filem. Lina jatuh cinta pada Romzi dan begitu juga sebaliknya.

Apakah yang akan terjadi seterusnya apabila Lina menyedari bahawa Ramzi hanya mahu mempermainkan cintanya?

--- SINAR HARIAN

Nongkrong bukan sekuel Ngangkung

Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
Nongkrong bukan sekuel Ngangkung
Nongkrong bukan sekuel Ngangkung

Pertama kali melihat poster filem ini, pasti ada yang menyangka Nongkrong adalah sekuel dari filem Ngangkung. Biarpun diarahkan oleh pengarah yang sama, Ismail Bob Hasim, namun sebenarnya filem ini banyak perbezaannya.

Menerusi Ngangkung, para pelakon utamanya terdiri daripada Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak dan Azad Jazmin. Namun menerusi Nongkrong, filem ini masih mengekalkan dua pelakon utama iaitu Sam dan Angah, serta disertai oleh Epy Raja Lawak.

Pembikinan filem ini juga bukan bertujuan untuk mengangkat kisah pemujaan nombor ekor semata-mata, tetapi juga mesej utama yang ingin disampaikan iaitu setiap manusia yang ingin memperoleh kekayaan haruslah berusaha dengan jujur dan gigih serta sentiasa meminta rezeki dari Allah SWT dan bukannya melalui jalan singkat hingga melibatkan syaitan.

Malah, bagi penulis sendiri, komedi yang diselitkan dalam filem ini lebih menyengat dan menjadi berbanding Ngangkung. Biarpun beberapa komedi yang disampaikan pernah di dengar, namun cara penyampaiannya membuatkan ia seperti komedi segar.

Lakonan Sam dan Angah tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun pernah membawakan watak komedi yang hampir serupa, namun mata bagai tidak bosan dari melihat lakonan mereka yang bersahaja.

Berbeza dengan Epy, mungkin kerana masih baru, ada terlihat kejanggalannya berlakon di samping dua nama besar. Bagaimanapun, lakonannya masih boleh di beri pujian kerana Epy kadangkala berjaya menggeletek penonton dengan wajah dan gaya percakapannya.

Plot penceritaan filem ini juga tidak sukar difahami kerana Bob semestinya sudah memahami selera penonton masa kini. Nongkrong mengisahkan tiga pemuda, Aman (Angah), Bada (Sam) dan Cumi (Epy) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan yang tidak sepatutnya iaitu meminta nombor ekor.

Cumi terdesak ingin meminang kekasihnya, Lin (Nuremy) manakala Bada dan Aman yang mahu mengubah nasib keluarga, tekad menemui bomoh bagi melaksanakan hasrat mereka.

Segala-galanya bermula apabila seorang bomoh handal menjalankan upacara memanggil puteri laut untuk membantu mereka. Puteri bersetuju dengan syarat, salah seorang daripada mereka bertiga iaitu Bada perlu berkahwin dengannya.

Usai sahaja upacara perkahwinan, Puteri bertukar rupa menjadi hantu yang menakutkan menyebabkan semua mereka lari lintang pukang. Hidup mereka berubah apabila hantu Puteri terus mengejar dan menghantui kehidupan mereka.

Bagaimanapun, bagi golongan yang sudah berkeluarga, filem ini tidak sesuai ditonton oleh anak kecil kerana diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Mungkin beberapa babak seperti Sam, Angah dan Epy berlari dalam keadaan separuh bogel di kawasan paya tidak sesuai di tonton oleh kanak-kanak dan juga beberapa unsur pemujaan. Namun tidak rugi untuk mengeluarkan sedikit belanja bagi menonton filem ini di pawagam bermula semalam.

Nongkrong
PENGARAH : Ismail Bob Hasim
PELAKON : Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Epy Raja Lawak dan Mon Ryanti.
GENRE : Komedi/Seram
DURASI : 1jam 29minit
KLASIFIKASI : 18
TAYANGAN : 10 Mei 2012
KESELURUHAN : * * * *

--- SINAR HARIAN

Emma Stone disabotaj?

Wartawan Sinar Harian
12 Mei 2012
Emma Stone
Emma Stone

Sekelip mata, harapan pelakon jelita, Emma Stone untuk tampil cantik dan bergaya pada majlis, Met Gala 2012, yang berlangsung di Los Angeles, Selasa lalu, hancur apabila gaun pendeknya berlubang di bahagian pinggang.

Bintang filem ‘Amazing Spiderman’ itu dikatakan sangat terkejut kerana pakaian itu direka khas oleh bukan calang-calang pereka, Elber Albaz,

Bagaimanapun, Elber menerusi Dailymail, berkata, punca pakaian itu koyak kerana bahagian itu terlalu sendat dan tidak sesuai dengan saiz badan Emma.

Pun begitu, Emma tetap menggayakan pakaian itu meskipun terpaksa mengenakan jaket labuh berwarna merah gelap untuk menutupi kesan koyak pada gaunnya sepanjang majlis berlangsung.

--- SINAR HARIAN

Mila Kunis diintip

Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
Mila Kunis
Mila Kunis

Jika sebelum ini, beberapa selebriti telah menjadi mangsa intipan, kini giliran aktres Mila Kunis pula menjadi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setelah tiga hari hidup dalam ketakutan, akhirnya Mila mampu menarik nafas lega apabila pengintip itu berjaya diberkas oleh anggota polis.

Individu yang dikenali sebagai Stuart Dunn, telah ditangkap di hadapan pusat gimnasium Mila apabila cuba mendekatinya.

“Saya tahu saya diperhatikan, saya terus telefon polis dan cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam kereta sehingga polis tiba.

“Insiden ini amat menakutkan. Selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali,” kata Mila.

Dunn dibawa ke balai polis dan diarahkan ke hospital kerana mempunyai masalah mental.

--- SINAR HARIAN

Selasa, 8 Mei 2012

CUEPACS Minta Senarai Anggota Suruhanjaya Diumum Bulan Ini

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- CUEPACS berharap agar Suruhanjaya Khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara, dapat ditubuhkan dalam bulan ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata sehingga kini kerajaan belum mengumumkan senarai anggota suruhanjaya itu, semasa pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada anggota gabungan mengenainya. "Harapnya dalam tempoh terdekat ini, sebelum bulan sambutan Hari Pekerja ini berlalu, mohon jasa baik kerajaan agar dapat umumkan senarai nama anggota suruhanjaya itu," katanya dalam sidang media di pejabat Kepertama, Universiti Putra Malaysia di sini.

Beliau berkata kebanyakan anggota gabungan yang membuat pertanyaan adalah dari kalangan 23 kesatuan sekerja.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan Sistem Saraan Baru perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

-- BERNAMA

Tribunal Jenayah Perang bicara Bush bermula


8 Mei 2012

KUALA LUMPUR - Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur memulakan perbicaraan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat George W.Bush serta tujuh sekutunya semalam berhubung pertuduhan melakukan jenayah perang dan
penyeksaan.

Sekutu Bush ialah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, Alberto Gonzales (penasihat Bush ketika menjadi Presiden) David Addington (penasihat umum kepada naib presiden), William Haynes (penasihat umum setiausaha pertahanan), Penolong Peguam Negara Jay Bybee dan bekas Timbalan Penolong Peguam Negara John Yoo.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus mengetuai kuorum tribunal yang turut dianggotai Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Profesor Salleh Buang dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Saari Yusuf.

Pada prosiding hari ini, Tribunal mengarahkan perbicaraan terhadap Bush dan sekutunya diteruskan selepas memutuskan jenayah perang mempunyai bidang kuasa sejagat.

Terdahulu, Jason Kay yang dilantik sebagai 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah bagi mewakili Bush dan sekutunya, mengemukakan bantahan awal iaitu tribunal tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan pertuduhan terhadap mereka.

Beliau berhujah tribunal itu, yang diwujudkan di bawah Yayasan Tribunal Peperangan Kuala Lumpur (KLFCW), telah diperbadankan mengikut undang-undang Malaysia, justeru, hanya undang-undang bertulis negara ini terpakai.

Sementara itu, Profesor Gurdial Singh Nijar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata selain undang-undang Malaysia, badan tersebut turut menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, dan dalam apa jua keadaan, jenayah perang merupakan jenayah sejagat berdasarkan 'jus cogens' serta adat undang-undang antarabangsa.

Saksi pertama, Abbas Abid, yang merupakan bekas ketua jurutera Kementerian Sains dan Teknologi di Baghdad, mendakwa beliau diseksa ketika ditahan di penjara Al-Jadiria.

Abbas, yang kini menetap di Fallujah, Iraq, berkata beliau, antara lain, diseksa dengan kejutan elektrik, ditempatkan di dinding dengan alat sulitnya digantung benda berat serta dipaksa minum banyak air yang dicampur dengan diuretik manakala kemaluannya diikat dengan gelang getah untuk menghalangnya daripada membuang air kecil.

Ketika memberi keterangan, wajah Abbas ditutup dengan skaf selepas tribunal membenarkan permohonan pendakwaan untuk berbuat demikian atas alasan keselamatan.

Dalam keterangannya, Abbas, 48, berkata pada kira-kira 10 malam, 28 Ogos 2005, lebih 15 askar warga Amerika dan Iraq menyerbu rumah saudara lelaki beliau dengan cara yang disifatkannya sebagai "amat menakut".

Katanya, beliau ke rumah itu selepas dipanggil seorang saudara dan kemudian diminta mengikut askar berkenaan untuk disoal siasat sebelum ditahan di penjara nAl-Jadiria.

Bapa lima anak itu juga mendakwa pada 5 Oktober 2006, beliau dibawa ke mahkamah namun dibebaskan selepas kekurangan bukti.

"Saya terpaksa membayar US$10,000 kepada pihak berkuasa penjara di bawah Kementerian Keadilan sebelum dibebaskan," kata Abbas yang bertutur dalam bahasa Arab.

Menjawab soalan Gurdial Singh, Abbas berkata beliau berhasrat untuk memiliki 15 anak namun tidak kesampaian ekoran pengalaman pahitnya di penjara.

Saksi kedua, bekas tahanan Guantanamo iaitu Moazzam Begg pula memberitahu tribunal beliau ke Afghanistan bersama keluarganya pada 2001 untuk membina sebuah sekolah.

Bagaimanapun, apabila Amerika Syarikat menyerang negara itu, beliau dan keluarganya terpaksa berpindah ke Islamabad di Pakistan.

Membacakan akuan berkanunnya, warga Britian itu berkata selepas ditahan tiga minggu di Pakistan, beliau diserahkan kepada tentera Amerika Syarikat dan diterbangkan ke Afghanistan sebelum disumbat ke pusat tahanan Teluk Guantanamo di Cuba selama 20 bulan.

Moazzam berkata kesihatan mentalnya merosot selepas diletakkan dalam kurungan seorang diri serta ditempatkan dalam sebuah sel kecil tanpa tingkap dan lampu, selain disisihkan daripada sebarang hubungan dengan tahanan lain.

Sehingga hari ini, Moazzam berkata beliau tidak mengetahui kesalahan yang telah dilakukannya.

Prosiding itu, yang diadakan di mahkamah terbuka KLFCW di Jalan Perdana di sini, disambung hari ini. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Abdul Manaf Mamat Direhat Sementara Setelah Jalani Pembedahan

KUALA TERENGANU, 8 Mei (Bernama) -- Penyerang Terengganu Abdul Manaf Mamat terpaksa direhatkan sementara setelah menjalani pembedahan di bahagian buku lali.

Pemain yang berusia 25 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Pantai, Ampang, Selangor Sabtu lalu akibat kecederaan yang dialami selepas mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.

Abdul Manaf memberitahu Bernama kesan pembedahan mungkin memakan masa selama dua bulan sebelum dia dapat kembali beraksi seperti biasa.

"Doktor menyarankan sekurang-kurangnya saya berehat selama dua bulan bagi memastikan kecederaan yang dialami betul-betul sembuh.

"Bagaimapun saya tetap membuat latihan yang ringan bagi mengekalkan stamina," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, 7 Mei 2012

Hotel mewah dasar laut di Dubai

Lakaran artis projek hotel di dasar laut, Water Discus Hotel yang bakal dibina di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. - AGENSI

DUBAI 5 Mei - Bandar raya Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sememangnya terkenal sebagai tempat kediaman bagi orang kaya dan bagi memenuhi cita rasa golongan ini, sebuah hotel mewah di dasar laut bakal dibina di bandar raya itu.

Syarikat pembinaan Drydocks World telah menandatangani satu kontrak dengan syarikat Switzerland, BIG InvestConsult untuk membangunkan hotel di dasar laut di rantau itu, termasuklah projek Water Discus Hotel di Dubai, lapor news.au.com.

Rancangan pembinaan projek Water Discus Hotels itu melibatkan dua bangunan seperti kapal angkasa yang dibina di atas permukaan air dan di bawah permukaan air.

Hotel itu mempunyai tiga tiang dan satu struktur bangunan menegak yang menempatkan lif dan tangga yang menghubungkan bahagian atas permukaan dan bawah permukaan air.

Ia direka untuk menempatkan 21 bilik, pusat menyelam serta sebuah bar yang kesemuanya terletak 9.8 meter di dasar laut.

Setiap bilik turut dilengkapi pencahayaan khas bagi membolehkan tetamu melihat dengan jelas kehidupan di dasar laut.

Bagi mendapat pengalaman sebenar berada di dalam laut pula, pengunjung boleh menaiki kenderaan mini untuk mengelilingi kawasan dasar laut di sekitar hotel itu.

Deep Ocean Technology merupakan syarikat yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi ini.

Dubai juga menjadi tapak bagi projek "The World" - yang merupakan projek pulau-pulau berbentuk Bumi dengan kira-kira AS$18 bilion dibelanjakan untuk projek tersebut, termasuk projek Burj Khalifa, yang merupakan bangunan tertinggi di dunia. - AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Mila Kunis paling seksi

LONDON 5 Mei - Berdasarkan undian pembaca akhbar The Sun, pelakon kelahiran Ukraine, Mila Kunis dinobatkan sebagai wanita paling seksi di dunia.

Bintang filem Black Swan berusia 28 tahun itu itu memperoleh undian sebanyak 6.1 peratus, manakala juri rancangan realiti televisyen X Factor, Chery Cole di tempat kedua dengan undian sebanyak 5.7 peratus dan tempat ketiga menjadi milik bintang Greek, Georgia Salpa.

Turut tersenarai, bintang realiti televisyen Kim Kardashian di tempat kesembilan dan bintang kelahiran Britain, Tulisa Contostavlos di tangga ketujuh.

Undian yang dilakukan majalah FHM bagi gelaran yang sama pula menjadi milik Contostavlos.

Undian tersebut turut menyaksikan Cole turut berada di tangga kedua diikuti penyanyi Amerika Syarikat, Rihanna di tempat ketiga. - AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Kelantan fokus Piala FA, kata Bojan


KOTA BHARU: Kelantan tidak akan memberi tekanan kepada pemain menjelang perlawanan terakhir kumpulan H Piala AFC menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam esok kerana menumpu perhatian kepada perlawanan akhir Piala FA.

Ketua jurulatihnya Bojan Hodak berkata ini adalah bagi memastikan pemain tidak berada dalam tekanan menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby pada 19 Mei ini.

Walaupun bagaimanapun, kami tetap berusaha memenangi perlawanan esok, katanya pada sidang media praperlawanan Piala AFC di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jurulatih Ayeyawady United, Josef Herel.


Kelantan menduduki tangga teratas dalam kumpulan H dan telah mengumpul 10 mata selepas menang tiga perlawanan, satu seri dan satu kalah.


Ayeyawady United pula berada di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas menang dua perlawanan, satu seri dan dua kekalahan.

Bojan berkata beberapa pemainnya cedera dan terlalu letih selepas mengharungi banyak perlawanan dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, Herel berkata pihaknya turut mengalami perkara yang sama apabila ramai pemainnya yang cedera dan keletihan berikutan jadual perlawanan yang padat di tempat sendiri.

"Peluang kita untuk menang bermain di sini amat tipis walaupun pernah menewaskan Kelantan 3-1 di tempat sendiri baru-baru ini.

"Kita juga mengalami masalah yang sama dengan Kelantan apabila tiga tonggak utama pasukan turut tercedera," katanya. - BERNAMA


--- HARIAN METRO

Jom tengok filem Chow Kit

RUNGUTAN tentang satu filem baru setiap minggu memang kerap kita dengar. Bila keputusan untuk menyiarkan satu filem baru setiap minggu, Syed terima banyak rungutan daripada pihak penerbit.

Nak buat macam mana. Kalau tak buat macam tu lambat pula filem baru nak keluar. Mahu tak mahu filem-filem ini kena bersaing sesama sendiri untuk catat kutipan yang memberangsangkan.

Tapi filem yang bagus tetap akan ada penonton. Macam sekarang ni pun memang banyak filem tempatan baru yang masuk panggung. Cuma Syed tertarik dengan filem Chow Kit yang dikatakan sedikit lain dan menarik perhatian ramai.

Ceritanya mudah, mengisahkan tentang sekumpulan kanak-kanak jalanan yang terbiar harus mengharungi kehidupan yang penuh dugaan di Chow Kit. Tetapi apabila Tika dirogol, mereka perlu bersatu untuk mencari keadilan dan jalan penyelesaian jikalau tidak, banyak lagi nyawa yang akan terkorban.

Sementara itu, seorang bekas ahli kongsi gelap Chow Kit yang baru dibebaskan dari penjara berazam untuk memulakan kehidupan baru. Namun dia terjebak semula ke dalam kehidupan silamnya dan bersetuju untuk menjalankan satu tugasan terakhir.

Tetapi apabila tugasan tersebut menjadi huru-hara, dia mesti berusaha untuk memperbetulkan keadaan jikalau tidak, kebebasan yang baru dikecapi akan hilang begitu sahaja.

Filem yang diarahkan oleh Dhojee itu turut menampilkan nama-nama besar dalam industri kita termasuklah Dira Abu Zahar, Yasmin Hani, Beto Kusyairy, Lana Nordin, Namron dan ramai lagi. Rugi kalau peminat filem tempatan tak pergi menonton.

Syed: Ingin menyelami jiwa kanak-kanak jalanan yang terbiar dalam Chow Kit.


--- UTUSAN MALAYSIA

Dingdong yang romantik

WAJAH kacak dan senyumannya yang menawan mampu mencairkan hati setiap wanita yang memandang. Justeru, setiap kali menonton lakonan jejaka berusia 32 tahun itu, ramai wanita yang berangan untuk memilikinya sebagai teman istimewa.

Malangnya, Dingdong Dantes yang pernah dilabel sebagai lelaki ketiga daripada 25 lelaki terseksi di dunia oleh E! Entertainment Television Hollywood pada 2009 itu sudah dimiliki.

Hati Dingdong sudah diberi kepada Marian Rivera, pasangannya dalam drama Endless Love yang sekarang sedang hangat ditayangkan di slot Telenovela TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 3 petang.

Endless Love merupakan telenovela yang diadaptasi daripada drama Korea, Autumn in My Heart.

“Pertama kali saya melihat Marian sewaktu kami uji bakat untuk drama MariMar pada tahun 2007. Saya dapat rasakan yang dia sepadan dengan Sergio Santibanez, iaitu watak saya.

“Entahlah mungkin cinta pandang pertama tapi sejak itu hingga kini hubungan kami semakin erat. Saya selesa berlakon dengan Marian kerana sejak awal sudah ada keserasian," katanya yang datang ke Malaysia untuk mempromosikan Endless Love.

Dia yang pernah datang ke negara ini untuk mempromosi drama MariMar juga memberitahu, baru menghabiskan percutian dengan Marian di Kemboja dan sempat bercerita tentang pengalaman mereka di sana.

Kata Dingdong, dia dan Marian tidak menyangka yang percutian mereka mendapat perhatian ramai apabila ada orang yang mengenali mereka di sana.

“Seperti orang lain, kami memang gemar menghabiskan masa bersama kalau ada kesempatan. Bagaimanapun percutian kami bertukar menjadi kecoh, kerana ramai yang datang untuk bergambar.

“Rupa-rupanya di sana, drama Endless Love juga sedang ditayang. Walaupun percutian sedikit terganggu tapi saya senang melihat sokongan yang diberikan yang membuatkan saya berazam untuk terus bekerja keras," katanya pada sesi ramah mesra yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Cemburu

Dingdong yang mudah mesra dan bersedia menjawab setiap pertanyaan media dan peminat berkata, walaupun dia dan Marian menceburi bidang yang sama namun sebagai lelaki dia tidak dapat menolak perasaan cemburu.

Terus terang Dingdong berkata, ada ketikanya dia cemburu melihat Marian berlakon dengan aktor lain biarpun ia hanyalah lakonan semata-mata.

“Perasaan cemburu itu perlu ada sebagai tanda sayang. Namun saya sentiasa cuba mengawal perasaan kerana tahu apa yang dilakukan oleh Marian adalah kerana tanggungjawabnya sebagai pelakon.

“Lagipun kami sama-sama terlibat dalam bidang ini, jadi perasaan cemburu itu tidak boleh berlebihan kerana takut menganggu kerjaya. Apa yang penting adalah untuk saling mempercayai antara satu sama lain," katanya tersenyum.

Biarpun bercinta dan kedua-duanya juga dilihat sebagai pasangan romantik tidak kira di kaca televisyen atau dalam kehidupan sebenar bagaimanapun masih belum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Kata Dingdong, dia menunggu waktu yang sesuai untuk melamar Marian, 22, yang disifatkannya sebagai wanita kelakar dan gemar makan.

“Saya belum menetapkan waktu untuk melamar Marian. Biarlah masa yang menentukan. Saya percaya kalau sudah jodoh, pasti tidak ke mana," katanya yang sering diberi watak lelaki romantik.

Dingdong dan Marian pernah bergandingan dalam telenovela MariMar, Dyesebel dan Stairway to Heaven serta filem You to Me Are Everything (2010).


--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap