Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KENANGAN manis pasukan kebangsaan
menjulang Piala Suzuki AFF 2010 masih segar dalam ingatan rakyat
Malaysia setelah menundukkan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 di
Jakarta pada 29 Disember 2010. - AFP
HANTARAN jauh daripada Mahalli...mencari Safee, dia dapat menanduk dan gol! 3-0 buat Malaysia mengatasi Indonesia pada aksi final pertama.
Memori indah 26 Disember 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil masih
kekal terpahat di hati 28 juta rakyat Malaysia sehingga hari ini yang
disifatkan aksi terbaik dalam dekad ini buat bola sepak negara.
Walaupun tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan
timbal balik akhir kedua di Jakarta, namun sudah memadai buat Harimau
Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF kali pertama dalam tempoh 14 tahun
dengan agregat 4-2.
Bola sepak Malaysia yang berada di era kegelapan selama dua dekad
bagaikan gemerlapan diterangi cahaya apabila nama-nama pemain negara
seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul
Idlan Talaha yang tidak pernah dipedulikan mula meniti di bibir rakyat
Malaysia ekoran persembahan memukau sepanjang kejohanan.
Anak-anak di bangku sekolah dan golongan remaja yang sebelum ini
lebih gemar menyarung jersi kelab-kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris
(EPL) dan La Liga mula berbangga memakai jersi Harimau Malaya di sana
sini sambil dijadikan idola terbaru dalam dunia bola sepak.
Itu cerita dua tahun dahulu dan selepas detik itu, tidak banyak lagi
catatan menggembirakan skuad senior negara terutama seperti tersingkir
di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada jiran tetangga,
Singapura selain gagal menyerlah dalam kebanyakan perlawanan
persahabatan antarabangsa.
Bertambah membimbangkan, keputusan seri ke atas dua pasukan yang
dianggap kerdil dalam dunia bola sepak, Hong Kong dan Bangladesh,
mencetuskan kebimbangan yang bukan kepalang di kalangan pengkritik dan
peminat bola sepak ekoran persembahan lesu dipamerkan oleh anak-anak
buah Datuk K. Rajagobal.
Jika dibicarakan mengenai kelemahan skuad kebangsaan, memang tidak
dinafikan beberapa pemain yang dianggap sebagai nadi pasukan berada di
bawah kemerosotan prestasi seperti Safiq, Norshahrul dan S. Kunanlan
jika aksi pada perlawanan persahabatan dijadikan sandaran.
Bahagian tengah mempamerkan kepincangan yang amat ketara dengan Safiq
yang dianggap sebagai jeneral di dalam padang bagaikan kehilangan arah
mengawal permainan di samping pasangannya, Amar Rohidan tidak banyak
membantu.
Aksi Kunanlan juga mencetuskan sedikit kebimbangan apabila seperti
kehilangan bisa di posisi sayap kiri ketika rakan sepasukannya, Khyril
Muhmeen kelihatan cukup bersedia beraksi di sebelah kanan.
Satu lagi perkara yang menggusarkan para peminat ialah tahap
persembahan Norshahrul yang nampaknya sedikit perlahan dan seolah-olah
tidak dapat memberikan fokus ekoran kemelut perpindahannya ke Johor
masih belum diselesaikan.
Posisi penjaga gol dan pertahanan mungkin tidak memberikan banyak
masalah cuma pemain muda seperti Zubir Azmi di bek kiri memerlukan masa
di pentas antarabangsa.
Namun, segala kelemahan itu masih dapat diperbaiki jika semua pemain
negara kembali memperkuatkan tekad dan mencari semangat yang hilang
kerana pada dua tahun lalu, mereka semua telah membuktikannya ketika
tiada sebarang harapan diberikan oleh sesiapa.
Jika barisan tengah negara dapat mengawal permainan dengan Singapura
esok di samping mengunci pergerakan sayap lawan, tidak mustahil
kemenangan akan diraih pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF.
Seperti kata orang, perkara yang lepas jangan dikenang, jadikan
perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF sebagai medan menebus maruah
negara dan pamerkan perwatakan selaku sang juara.
Buat peminat, selepas menghamburkan pelbagai kritikan dan pandangan
membina terhadap prestasi skuad negara, menjelang sepak mula esok,
inilah saatnya kita semua kembali bersatu di belakang Harimau Malaya
dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.
Tambahan beraksi di gelanggang sendiri, Safiq Rahim dan rakan-rakan
amat menagih sokongan padu daripada seluruh peminat bola sepak tanah air
bagi mempamerkan aksi lebih bertenaga dan meraih kemenangan berharga ke
atas dua seteru utama kita di Asia Tenggara iaitu Singapura dan
Indonesia selain Laos dalam persaingan Kumpulan B.
Ayuh Harimau, bangunlah! Kepada semua peminat, datanglah memenuhi
setiap inci Stadium Nasional dan berikan sokongan padu kepada pasukan
negara.
--- UTUSAN MALAYSIA