Kawan-kawan

Ahad, 9 Jun 2013

Ayuh Harimau! bangkitlah

KENANGAN manis pasukan kebangsaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia setelah menundukkan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 di Jakarta pada 29 Disember 2010. - AFP 
 
HANTARAN jauh daripada Mahalli...mencari Safee, dia dapat menanduk dan gol! 3-0 buat Malaysia mengatasi Indonesia pada aksi final pertama.

Memori indah 26 Disember 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil masih kekal terpahat di hati 28 juta rakyat Malaysia sehingga hari ini yang disifatkan aksi terbaik dalam dekad ini buat bola sepak negara.

Walaupun tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan timbal balik akhir kedua di Jakarta, namun sudah memadai buat Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan agregat 4-2.

Bola sepak Malaysia yang berada di era kegelapan selama dua dekad bagaikan gemerlapan diterangi cahaya apabila nama-nama pemain negara seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak pernah dipedulikan mula meniti di bibir rakyat Malaysia ekoran persembahan memukau sepanjang kejohanan.

Anak-anak di bangku sekolah dan golongan remaja yang sebelum ini lebih gemar menyarung jersi kelab-kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga mula berbangga memakai jersi Harimau Malaya di sana sini sambil dijadikan idola terbaru dalam dunia bola sepak.

Itu cerita dua tahun dahulu dan selepas detik itu, tidak banyak lagi catatan menggembirakan skuad senior negara terutama seperti tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada jiran tetangga, Singapura selain gagal menyerlah dalam kebanyakan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bertambah membimbangkan, keputusan seri ke atas dua pasukan yang dianggap kerdil dalam dunia bola sepak, Hong Kong dan Bangladesh, mencetuskan kebimbangan yang bukan kepalang di kalangan pengkritik dan peminat bola sepak ekoran persembahan lesu dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal.

Jika dibicarakan mengenai kelemahan skuad kebangsaan, memang tidak dinafikan beberapa pemain yang dianggap sebagai nadi pasukan berada di bawah kemerosotan prestasi seperti Safiq, Norshahrul dan S. Kunanlan jika aksi pada perlawanan persahabatan dijadikan sandaran.

Bahagian tengah mempamerkan kepincangan yang amat ketara dengan Safiq yang dianggap sebagai jeneral di dalam padang bagaikan kehilangan arah mengawal permainan di samping pasangannya, Amar Rohidan tidak banyak membantu.

Aksi Kunanlan juga mencetuskan sedikit kebimbangan apabila seperti kehilangan bisa di posisi sayap kiri ketika rakan sepasukannya, Khyril Muhmeen kelihatan cukup bersedia beraksi di sebelah kanan.
Satu lagi perkara yang menggusarkan para peminat ialah tahap persembahan Norshahrul yang nampaknya sedikit perlahan dan seolah-olah tidak dapat memberikan fokus ekoran kemelut perpindahannya ke Johor masih belum diselesaikan.
 
Posisi penjaga gol dan pertahanan mungkin tidak memberikan banyak masalah cuma pemain muda seperti Zubir Azmi di bek kiri memerlukan masa di pentas antarabangsa.

Namun, segala kelemahan itu masih dapat diperbaiki jika semua pemain negara kembali memperkuatkan tekad dan mencari semangat yang hilang kerana pada dua tahun lalu, mereka semua telah membuktikannya ketika tiada sebarang harapan diberikan oleh sesiapa.

Jika barisan tengah negara dapat mengawal permainan dengan Singapura esok di samping mengunci pergerakan sayap lawan, tidak mustahil kemenangan akan diraih pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF.

Seperti kata orang, perkara yang lepas jangan dikenang, jadikan perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF sebagai medan menebus maruah negara dan pamerkan perwatakan selaku sang juara.

Buat peminat, selepas menghamburkan pelbagai kritikan dan pandangan membina terhadap prestasi skuad negara, menjelang sepak mula esok, inilah saatnya kita semua kembali bersatu di belakang Harimau Malaya dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Tambahan beraksi di gelanggang sendiri, Safiq Rahim dan rakan-rakan amat menagih sokongan padu daripada seluruh peminat bola sepak tanah air bagi mempamerkan aksi lebih bertenaga dan meraih kemenangan berharga ke atas dua seteru utama kita di Asia Tenggara iaitu Singapura dan Indonesia selain Laos dalam persaingan Kumpulan B.

Ayuh Harimau, bangunlah! Kepada semua peminat, datanglah memenuhi setiap inci Stadium Nasional dan berikan sokongan padu kepada pasukan negara.

--- UTUSAN MALAYSIA

Bola atau perang?

KEMUSNAHAN akibat rusuhan penonton Peru yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil membatalkan gol penyamaan pasukan mereka.
 
KEJADIAN yang berlaku pada 24 Mei 1964 ini dianggap sebagai tragedi terburuk melibatkan penyokong bolasepak fanatik.

Dalam kejadian yang berlaku di Stadium Estadio Nacional di Peru, dikatakan seramai 318 orang terbunuh dan lebih 500 orang cedera.

Perlawanan tersebut melibatkan pasukan Peru dan Argentina yang dalam cubaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo jika salah satu pasukan menang dalam perlawanan itu.

Dikatakan hampir 50,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut dan pasukan Peru hanya memerlukan seri untuk melayakkan diri.

Di peringkat awal, perlawanan masih tenang walaupun kedudukan menyebelahi Argentina yang mendahului 1-0 dan berlanjutan sehingga ke hampir wisel penamat.

Bagaimanapun pasukan Peru berjaya menjaringkan gol pada saat-saat akhir mengakibatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang menyorak kegembiraan.

Bagaimanapun kedudukan tersebut hanya untuk seketika apabila pengadil dari Uruguay, Angel Pazos membuat keputusan membatalkan jaringan tersebut.

Keadaan ini mengakibatkan penyokong berang dan salah seorang penyokong berlari ke tengah padang dan cuba membantah keputusan pengadil.

Namun kemunculan pemuda yang dikenali ‘Negro Bomba’ itu telah ditahan anggota polis yang kemudian bertindak memukulnya.

Kejadian itu telah membangkitkan kemarahan penyokong tempatan yang mula bertindak ganas dan turun ke padang.

Pihak berkuasa pula telah bertindak melulu dengan melepaskan gas pemedih mata yang mengakibatkan para penonton mula panik.

Mereka yang cuba keluar pula telah dihalang apabila kebanyakan pintu ditutup mengakibatkan ramai yang terbunuh akibat dipijak ketika dalam cubaan menyelamatkan diri.

Apabila keadaan di dalam stadium kembali tenang kelihatan ratusan mayat bergelimpangan akibat dipijak oleh mereka yang mahu menyelamatkan diri.

Namun keadaan di luar stadium masih tegang apabila pihak penyokong dan pihak berkuasa bertempur antara satu sama lain.

Keadaan semakin buruk apabila ahli keluarga mereka yang terbunuh tidak boleh menerima kenyataan itu dan bertindak ganas mengamuk di luar stadium.

Keadaan hanya kembali tenang apabila pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menguatkuasakan undang-undang tentera.

---- UTUSAN MALAYSIA

Blogger bantah peraturan baharu

Sebuah batu nisan palsu tertera perkataan 'RIP Freedom of Speech' turut ditempatkan di lokasi bantahan, simbolik kepada kebebasan bersuara Internet yang disekat kerajaan di Speakers' Corner, Singapura, semalam. - REUTERS 
 
SINGAPURA 8 Jun - Kira-kira 2,000 rakyat Singapura hari ini mengadakan bantahan terhadap peraturan baharu kerajaan yang mewajibkan beberapa portal berita memiliki lesen berkuatkuasa bulan ini.

Kesemua penunjuk perasaan berkumpul di kawasan bebas bersuara, Speakers' Corner di sebuah taman di sini untuk mendengar ucapan beberapa blogger dan individu lain yang mengutuk dasar baharu kerajaan tersebut.

"Kerajaan perlu mempercayai kami dan berhenti melayan kami seperti bayi.

"Kita perlu berasa malu terhadap masyarakat dunia kerana ketika kerajaan lain sedang berusaha untuk membatalkan kawal selia Internet, Singapura, satu daripada negara terkaya dari segi perkapita sedang cuba bertindak sebaliknya,'' kata Choo Zheng Xi, seorang jurucakap dan pengasas bersama laman web berita popular The Online Citizen.

Bantahan hari ini dianjurkan pakatan penulis blog yang menggelar diri mereka sebagai 'Free My Internet'.

Mengikut peraturan baharu itu, mana-mana laman web yang melaporkan berita dari negara ini dan menarik sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung unik dalam tempoh sebulan, diwajibkan untuk mengambil lesen.

Selain itu, pemilik blog dan portal berita perlu memadamkan sebarang artikel yang dianggap menentang kerajaan atas arahan pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam.

Blog dan media sosial mula meraih populariti sebagai sumber berita alternatif dan pendapat di Singapura, ketika akhbar utama dianggap sebagai bersikap prokerajaan.

"Kerajaan perlu berhenti berfikir bahawa mereka boleh meluluskan undang-undang yang mereka suka,'' kata seorang peserta, Raymond Kwok, 29.

Demonstrasi hari ini merupakan perhimpunan besar-besaran ketiga yang berlangsung di Speakers' Corner tahun ini.

Kumpulan sama turut menganjurkan 'Internet blackout' kelmarin, dengan menyaksikan lebih 130 penulis blog di negara ini menggantikan laman utama web mereka dengan skrin hitam yang tertera perkataan, '# FreeMyInternet'. - AFP/AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Seniwati Latifah Omar Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Seniwati Latifah Omar, 74, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Ahad kerana sakit usus.

Menurut anak sulungnya, Afendi Rahmat, 55, Allahyarham sebelum ini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Kampung Baru sebelum dibawa ke PPUKM untuk menjalani pembedahan kerana sakit ususnya itu.

"Doktor maklumkan bahawa usus arwah membengkak dan tersumbat dan perlu dibedah untuk menjadikan keadaannya stabil.

"Pembedahan yang dilakukan semalam cuba menstabilkan ibu tetapi tidak berjaya, dan Allahyarham meninggal dunia pada 6.19 petang," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Al-Khairiah AU3 malam ini.

Menurutnya, antara pesanan terakhir arwah ialah supaya jenazahnya dibawa ke masjid itu untuk disempurnakan. Jenazah dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam AU4 pada 11 pagi Isnin.

Allahyarham Latifah, yang meninggalkan empat anak dan lapan cucu, ketika sakit sering dikunjungi rakan seperjuangan yang tidak putus-putus memberi doa dan sokongan, kata Afendi.

Latifah, legenda filem Melayu yang sepanjang kariernya sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad, meninggal dunia tidak sampai seminggu selepas rakan seangkatannya Allahyarham S.Shamsuddin meninggal dunia di Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Arwah membintangi filem klasik yang diminati ramai seperti Panggilan Pulau, Bawang Putih Bawang Merah, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Hang Jebat dan Hati Batu.

Selain Nordin, Latifah diberi peluang berlakon di sisi pelakon hebat pada masa itu antaranya Tan Sri P.Ramlee, Normadiah, Yusof Latif, Saleh Kamil, S. Shamsudin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S.Kadarisman dan Ibrahim Pendek.

-- BERNAMA

Isnin, 3 Jun 2013

Emma Maembong beranikan diri


Wartawan Sinar Harian
3 Jun 2013
Emma Maembong
Emma Maembong 
 
SIFAT lemah lembut dan sopan sudah sinonim dengan penampilan kaum hawa, namun itu tidak menggambarkan seseorang wanita itu tidak berupaya melakukan aktiviti lasak.

Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, pelakon sedang meningkat naik, Emma Maembong masih sempat mengikuti sebuah program lasak, Remaja Ekstrim.

"Semasa mengikuti program itu, saya dikehendaki menyelam di dasar laut. Secara jujurnya saya memang jarang buat aktiviti seperti ini tapi saya anggap ianya sebagai satu cabaran baru.

"Memang mula-mula perasaan gugup ada, tapi selepas diberi tunjuk ajar dengan teknik-teknik yang betul, saya beranikan diri untuk lakukannya. Syukur semuanya dapat berjalan dengan baik," katanya.

--- SINAR HARIAN

Isnin, 20 Mei 2013

Tangisan Beckham

David Beckham dijulang rakan-rakan sepasukan selepas membuat penampilan terakhir bersama Paris St Germain di Stadium Parc des Princes, Paris, semalam. - AFP 
 
PARIS - David Beckham memeluk rakan-rakan sepasukan dengan air mata bergenang ketika meninggalkan padang dalam perlawanan terakhirnya bersama Paris Saint Germain (PSG) di tempat sendiri, semalam. 

Ikon bola sepak England itu kelihatan cukup beremosi apabila dikerumuni rakan-rakan sepasukan sebaik sahaja jurulatih, Carlo Ancelotti mengarahkannya keluar padang pada minit ke-81 sewaktu PSG menumpaskan Brest 3-1. Ini adalah perlawanan terakhir Beckham sebelum bersara daripada bola sepak. 

Penjaga gol, Salvatore Sirigu berlari keluar untuk mengucapkan tahniah kepada bekas kapten England itu, sementara pemain sayap Brazil, Lucas melakukan tunduk hormat.

Penyokong, termasuk bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berdiri sebagai tanda penghormatan buat Beckham, yang melambai tangan sebelum digantikan dengan Ezequiel Lavezzi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Paris. 

"Kepada rakan-rakan sepasukan saya, kakitangan dan juga para penyokong. 

"Sesuatu yang amat istimewa dapat mengakhiri karier saya di sini. Tiada yang lebih istimewa melainkan di sini," kata Beckham kepada penyokong selepas perlawanan tamat.

Dengan PSG yang telah pun merangkul gelaran Liga Perancis, Beckham Khamis lalu mengumumkan bahawa dia akan bersara sebaik musim ini berakhir.

Pemain itu masih belum menyatakan sama ada dia berhasrat untuk bermain dalam perlawanan terakhir PSG yang akan berlangsung di tempat lawan, menentang Lorient pada 26 Mei ini.

"Saya cuma berasakan sekarang adalah masa yang tepat. Saya sudah mencapai segala-galanya dalam karier. Saya mahu meninggalkan sukan bola sepak sebagai juara.

"Saya menamatkan karier saya bersama sebuah pasukan yang melayan saya seolah-olah saya telah berada di sini selama 10 tahun," kata pemain berusia 38 tahun itu lagi. 

Sementara itu Ancelotti mengakui, Beckham mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir PSG menentang Lorient nanti. 

"Dia akan menyertai rakan-rakan sepasukan ke sana tetapi dia mungkin tidak bermain," katanya. - AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Selasa, 2 April 2013

Filem G.I. Joe laris di Amerika Utara


SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem G.I. Joe: Retaliation.- ap


LOS ANGELES - Filem aksi G.I. Joe: Retaliation mengungguli carta filem pecah panggung di Amerika Utara hujung minggu lalu sekali gus mengenepikan filem animasi The Croods.

Menurut industri perfileman, filem itu yang dibintangi Channing Tatum, Dwayne Johnson dan Bruce Willis memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$41.2 juta (RM127.6 juta).

Filem The Croods yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga pada zaman prasejarah pula jatuh di tempat kedua dengan kutipan berjumlah AS$26.5 juta (RM82.1 juta).

Berada di tempat ketiga adalah filem Temptation yang memperoleh AS$22.3 juta (RM69.1 juta).

Filem G.I. Joe dan The Croods masing-masing diterbitkan oleh syarikat penerbitan filem, Paramount Pictures dan Dreamworks Animation.

Syarikat Lion Gate Entertainment menerbitkan filem Temptation. - Reuters

--- KOSMO

Ahad, 3 Mac 2013

Saleha bukan sekadar kontrol cantik

SALEHA menyimpan harapan dan berusaha untuk berada dalam hati khalayak berdasarkan kerja lakonan bukan cerita sensasi.


KUASA yang dijana wanita berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini belum cukup panas untuk membuatkan penonton teruja menontonnya di pawagam. Pertaruhan pertamanya menerusi Kerat 14 bersama Aaron Aziz, regu yang sama-sama digilai menerusi Nora Elena juga sekadar mencatat penonton ala kadar.

Siti Saleha sedar situasi berkenaan. Sebagai percubaan pertamanya ke layar perak, catatan yang diterima oleh Kerat 14 memberi satu dimensi baharu buatnya.

"Filem tetap sebuah filem. Orang mahu tengok filem bukan sekadar nak tengok pelakonnya sahaja tapi penonton mahukan kepuasan menyeluruh termasuk elemen-elemen di bahagian produksi, skrip dan jalan cerita.

"Macam saya dan Aaron, walaupun drama lakonan kami berdua dapat sambutan hangat, tapi tidak pula hasilnya dengan filem. Saya kena akur bahawa saya belum cukup pengaruh itu.

"Mujurnya, tak banyak komen negatif yang saya dengar berhubung dengan lakonan. Saya juga masih baharu dalam bidang filem. Ini satu pengalaman yang banyak beri pendedahan kepada saya," katanya tanpa perlu menjadi terlalu sensitif atau bersedih kerana filem pertamanya sekadar meraih kutipan RM1 juta.

Sengaja mengalirkan cerita Saleha kali ini menyimpang dari cabang sensasi, kisah putus cinta atau dibayangi episod hendak berumah tangga, bicara bersama pelakon yang mula menjual bakat sebagai pelakon iklan bersambung pula tentang pengiktirafan.

Malam penutup Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) yang berlangsung malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah menyaksikan anak wayang terbaik turun dan naik pentas menerima sebuah penghormatan. Meneka apa yang tersemat dalam naluri adik vokalis Sam Bunkface itu, dia juga menyimpan angan untuk menjadi salah seorang daripada pelakon terbaik di Malaysia.

"Bukan hanya terbaik kerana sudah menjulang trofi, maksudnya meletakkan piawaian terbaik setiap kali terlibat dengan mana-mana produksi. FFM itu kemuncak kepada pengiktirafan terhadap anak seni. Sesiapa sahaja yang menerima trofi FFM haruslah berbangga dan meraikan penghormatan yang diterima. Itu tandanya kerja seni kita diiktiraf," getus Saleha yang turut menanti peluang untuk setidak-tidaknya tercalon ke dalam senarai terbaik pada masa depan.

Tahun ini langkahnya bergelar pelakon filem tidak akan terhenti hanya disebabkan Kerat 14 kurang mendapat sambutan. Dalam stor syarikat produksi yang pernah disertainya, senarai judul-judul seperti Pencinta, Bravo 5, KL Zombie, Mamat Cup Cake dan Pak Pong sedang menanti untuk tampil ke mata penonton.

"Tahun ini saya ada lima buah filem lagi. Pencinta arahan Khir Rahman mungkin tayang pada September. Filem Bravo 5, KL Zombie juga dijadualkan tayang pada tahun ini. Tak tahulah. Saya harap tahun 2013 akan beri tuah. Jika dengan judul-judul itu orang akan mula buka mata mereka bahawa saya juga layak digelar aktres filem, alangkah manisnya," katanya yang akan ke udara juga dengan sebuah drama bersiri terbaharu Asmara Luna di TV3 menjelang April nanti.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga menaruh impian agar kerja seni yang dilakukannya akan membawanya ke satu fasa baharu.
Pertama kali tersenarai dalam pencalonan akhir untuk kategori anugerah berdasarkan populariti dalam satu majlis anugerah yang akan berlangsung April nanti, hal itu juga satu pencapaian menyenangkan buat Saleha. Jika tahun ini tercalon untuk kategori popular, lantas berdasarkan hasil kerja tahun ini, tidak mustahil pula untuk masuk senarai calon kategori terbaik dalam anugerah kualiti pula pada tahun hadapan.

"Tercalon pun sudah cukup bagus. Kalau menang lagi bagus sebab itu bukti penerimaan peminat terhadap seseorang pelakon. Untuk bercakap tentang anugerah berdasarkan kualiti pula pada masa hadapan, alangkah bagus kalau perkara itu jadi kenyataan tapi saya tidak berani berharap. Siapa yang tidak mahu kerjanya diiktiraf. Jika ada pihak yang fikir saya layak, saya patut terima dengan besar hati," katanya yang bakal mencecah usia 23 tahun pada 14 Mac ini.

Gila dalam hutan 

Menanti tarikh penggambaran untuk sebuah filem berjudul Bikin Filem terbitan Playground Production dalam masa terdekat, Saleha merasakan jalan kariernya sedang di trek yang sempurna.

"April nanti saya sudah beri kata putus untuk terlibat dengan drama Memberku Hawa manakala Mei nanti ada juga sebuah tawaran filem daripada sebuah syarikat penerbitan yang sedang saya pertimbangkan.

"Saya akan cuba ikut laluan ini sebaik-baiknya. Dalam usia 23 tahun, ketika ada kawan-kawan baik saya sudah mula berkeluarga dan merancang masa depan bersama pasangan masing-masing, saya rasa peluang sebegini tidak harus dipersia-siakan. Bukan saya tidak mahu bercakap tentang komitmen tetapi adakalanya hidup secara solo seperti sekarang ada baiknya juga. Tidak perlu pening-pening kepala atau asyik berdating jika tiada penggambaran," katanya mengingatkan penulis terhadap kisah putus cinta yang baru-baru ini hangat diperkatakan.

Satu lagi pengalaman baharu yang sedang dinikmati Saleha ketika ini adalah mengacara sebuah program berjudul Projek Gila. Untuk empat episod, Projek Gila akan mendedahkan segala aksi dan perilaku Saleha yang selama ini mungkin tidak pernah diketahui oleh khalayak.

Dalam program seumpama Fear Factor namun tidak melibatkan artis lain itu, Saleha diberikan satu cabaran pelik seperti masuk dan hidup dalam hutan atau meneroka cara hidup di sebuah pulau.

"Sepintas lalu, banyak aksi saya memalukan akan ditonjolkan dalam program itu. Semuanya secara spontan kerana saya tidak diberikan skrip. Untuk episod pertama yang menjalani penggambaran di Taman Negara, saya kena memanjat pokok dan tidur atas pokok. Memang kena jadi lasak dan saya memang suka aktiviti begitu. Kena hadap pacat dan serangga dalam hutan tak payah cakaplah, saya seronok walaupun agak sengsara.

"Jika selama ini orang tengok saya macam lemah-lembut atau kontrol cantik sahaja dalam drama, Projek Gila memang gila. Saya jadi lasak, ketawa, menjerit macam tak ingat dunia dan buat aksi gila-gila yang saya sendiri tak pernah terfikir pun akan buat perkara sebegitu," katanya ceria.

Gembira, tenang dan punya banyak masa untuk diri sendiri serta paling penting memiliki keluarga yang kekal menyayanginya apa jua keadaan, itulah erti kehidupan sempurna selebriti muda Saleha ketika ini

--- KOSMO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap