Kawan-kawan

Selasa, 1 Oktober 2019

Jangan buat maksiat ketika tonton wayang



KUALA TERENGGANU, 26 Sept -- Jangan cuba buat maksiat di panggung Lotus Five Star (LFS) di Paya Bunga (PB) Sentral di sini.

Ia amaran kepada penonton oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi mencegah kegiatatan tidak bermoral ketika sesi tayangan berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata sebagai tanda peringatan awal sebuah video pendek berdurasi 51 saat akan dipaparkan di semua skrin pawagam sebelum tayangan filem.

Video berkenaan memaparkan bentuk-bentuk kesalahan jenayah syariah membabitkan Seksyen 34 iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35, mendedahkan tubuh di tempat awam.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM1,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita berharap tujuan mereka (penonton) datang adalah kerana untuk tengok wayang dan bukan hendak 'berwayang',” katanya selepas melancarkan tayangan perdana Video Pendek Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah itu di sini hari ini.

Menurut Mohd Nor pihak penguatkuasa JHEAT akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa, orang ramai turut dialu-alukan untuk membuat aduan sekiranya mereka mengesan sebarang kesalahan jenayah syariah yang berlaku di panggung wayang.

Selain itu, melalui Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah ini juga turut mengedarkan risalah secara dakwah jalanan kepada masyarakat dengan bantuan beberapa agensi berkaitan.

Panggung wayang di PB Sentral yang memiliki 11 dewan itu telah beroperasi sejak Mac 2017 dan diberikan kebenaran beroperasi dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dengan mengambil kira sensitiviti agama dan budaya tempatan.

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap