Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Pulau Asmara kurang menghairahkan (Berita Harian : B*Pop)




Amy, lakonan Nadia Kesumawati kurang senang apabila Jeffri (Abby Azis) cuba mendekati anaknya.

Cerita menarik tapi aksi pelakonnya kurang meyakinkan

Filem: Pulau Asmara
Pengarah: Uttam Kumar Thangiah
Pelakon: Faizal AF4, Sheikh Bolkhiah, Abby Azis, Leez Rosli, Nadia Kesumawati, Sahsha Asheela, Datuk Aziz Singah dan Latif Ibrahim
Genre: Komedi Romantik
Tarikh tayangan: 17 Disember 2009.

HARUS diakui Pulau Asmara yang diterbitkan Alakazam Productions ini adalah sebuah percubaan berani kerana produksi ini tidak disokong oleh nama komersial yang mampu menarik penonton ke panggung.

Pulau Asmara juga bertandang ke pawagam tanpa terlalu digembar-gemburkan. Cuma kebelakangan ini ia mula dibicarakan, membangkitkan pelbagai persoalan ke pada khalayak yang tertanya-tanya mengenai kehadiran filem ini.

Alakazam Productions bukan nama baru kerana ia dijelmakan menerusi penjenamaan semula Snap Productions Sdn Bhd yang berpengalaman dalam penerbitan drama, dokumentari, iklan serta filem pendek.

Bagaimanapun, untuk menyahut seruan serta mengembangkan lagi penerbitan filem tempatan Alakazam Productions mengorak langkah berani dengan menerbitkan Pulau Asmara.

Mengambil latar keindahan pulau legenda, Langkawi, penggambaran filem ini dimulakan pada 29 Mac lalu dan berakhir pada 18 April lalu selama tiga minggu.

Pulau Asmara berkisarkan tiga pemuda yang bercuti ke Langkawi dan menginap di sebuah resort lima bintang. Tanpa diduga, percutian itu menemukan mereka dengan pasangan masing-masing yang mempunyai latar berbeza serta unik.

Sukar untuk meramalkan sejauh mana Pulau Asmara mampu memikat hati penonton. Tanpa disokong oleh barisan pelakon yang mempunyai nama besar, apakah filem yang menjengah pawagam sejak 17 Disember lalu akan mendapat dokongan pencinta filem tempatan?

Uttam Kumar barangkali berpengalaman dalam pengarahan dokumentari dan drama, namun garapannya tidak diperincikan dengan baik membuatkan perjalanan cerita Pulau Asmara agak lemah dan kurang meyakinkan.

Industri seni tidak dinafikan memerlukan muka baru sebagai pelapis tetapi sesuatu yang wajar dititikberatkan oleh produksi ini adalah terlebih dulu mengenal pasti kekuatan mereka untuk diketengahkan di layar lebar.

Pulau Asmara tidak dibantu oleh lakonan yang kuat daripada barisan pelakon baru itu, malah cukup meresahkan kerana kelemahan penghayatan pada sebahagian besar watak yang ditampilkan.

Paling ketara persembahan Shasha Arsheela sebagai Lina yang menderita kanser serta berputus asa untuk meneruskan hidupnya.

Watak itu ditangani Shasha tanpa mendalami jiwa dan pergolakan berat yang sedang dialami gadis itu membuatkan Lina kurang bermaya dan gagal menyentuh perasaan penonton.

Simpati terhadap Lina hilang sebaliknya yang kedengaran cuma hilai tawa penonton apabila Shasha melontarkan dialognya. Tiada rasa, tidak ubah seperti cuma membaca semula skrip yang diberikan kepadanya.

Lakonan Sheikh Bolkhiah sebagai Jeffri juga memerlukan desakan untuk tampil lebih berkesan. Persembahan pelakon baru itu juga hambar.

Cuma Pulau Asmara bernasib baik kerana dibantu Leez yang membawakan watak Sofea, gadis kampung yang cacat dan mendambakan cinta daripada Sam, lakonan Faizal.

Leez antara bakat baru yang seharusnya diberi kepercayaan untuk diuji dengan peranan lebih berat dan mencabar kerana dia memahami tuntutan yang diperlukan untuk watak Sofea.

Terserah kepada khalayak untuk menilai kekuatan filem ini kerana setiap individu mempunyai mata serta pandangannya yang tersendiri.

Pulau Asmara bagaimanapun, bukan sebuah persembahan kosong kerana filem ini juga mempunyai falsafah serta mesej yang ingin disampaikan. Sesuatu yang akan terus bermain di fikiran penonton apabila selesai menonton filem ini adalah memikirkan kebenaran falsafah yang cuba dibawakan.

Sesuatu yang tidak dirancang ada kalanya terjadi memberi kesan positif kepada hidup ini. Itu falsafah yang menggerakkan Pulau Asmara.

Sinopsis:

TIGA pemuda berbeza karektor, Taufik; Jeffri dan Sam mengambil keputusan untuk bercuti di Langkawi. Taufik seorang yang konservatif; Jeffri pula seorang playboy manakala Sam gemar berlawak.

Percutian yang dirancang berjalan sempurna sehinggalah takdir menemukan mereka dengan tiga gadis, Lina; Amy dan Sofea.

Pertemuan itu bukan saja mengubah percutian mereka, malah turut memberi dimensi baru dalam takdir kehidupan tiga pemuda itu.

Satu persatu konflik timbul yang merungkai pelbagai persoalan serta rahsia, malah menguji keutuhan persahabatan mereka. Mampukah mereka menghadapi takdir dan mencari jalan keluar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap