Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Seksanya hidup jadi kembar siam (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Keutuhan kasih ibu bapa menguatkan mesej 2 Hati 1 Jiwa.

Filem: 2 Hati 1 Jiwa

Pengarah: Prof Madya Razak Mohaideen

Pelakon: Fouziah Gous, Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Ziela Jalil, Mustapha Kamal, Iqram Dinzly dan Irma Hasmie

Genre: Drama/Komedi

Tarikh Tayangan: 28 Januari 2010

DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar pasangan kembar Siam dari Iran, Laden dan Laleh yang pernah mencuri perhatian dunia sedikit masa lalu, Profesor Madya Razak Mohaideen menyerap semangat dua hati satu jiwa pasangan berkenaan dalam sentuhan terbarunya.

Menerusi 2 Hati 1 Jiwa, Razak mengajak penonton untuk merasai segala kepayahan dan kesulitan yang dialami pasangan kembar di samping memupuk sikap prihatin terhadap golongan kurang upaya. Realitinya Laden dan Laleh menemui ajal selepas menjalani pembedahan penuh risiko di Singapura tetapi tidak kepada Lana dan Lina yang memperoleh kebebasan diimpikan selepas dipisahkan.

Filem 2 Hati 1 Jiwa juga memaparkan ketulusan kasih seorang ibu yang tidak sanggup melihat penderitaan yang ditempuhi anak kesayangannya. Turut dipaparkan kehadiran cinta yang tidak mengenal sifat serta kekurangan seseorang, mungkin kedengaran klise namun realitinya setiap insan berhak untuk dicintai dan mencintai.

Filem bercorak kekeluargaan ini, bagaimanapun, tidak memberatkan pemikiran atau terlalu menekan perasaan penonton untuk tenggelam dalam kekalutan serta dilema yang dihadapi pasangan kembar itu.

Sebaliknya Razak mengambil pendekatan ringan dan ringkas dengan menyelitkan unsur komedi untuk mengimbangi perjalanan filem itu.

Kebiasaan formula yang menjadi identiti Razak dalam setiap garapannya lantaran menyedari sebilangan besar penonton selesa memilih genre menghiburkan.

“Dalam setiap filem yang dihasilkan saya cuba membawa rencah berbeza. Sama seperti 2 Hati 1 Jiwa, kisah unik ini belum pernah dicuba dalam mana-mana industri perfileman. Ia memberi keyakinan kepada saya, filem ini mempunyai kekuatannya tersendiri. Perancangan besar saya adalah untuk membawa 2 Hati 1 Jiwa ini ke luar negara sekali gus mengenengahkan isu semasa bercorak kejiwaan,” katanya.

Filem ke-28 arahan Razak itu juga menelan kos penerbitan yang tinggi terutama untuk solekan kesan khas bagi mencantumkan dua watak utamanya, Lana lakonan Fouziah Gous dan Lina oleh Yasmin Hani.

Membelanjakan hampir RM200,000 untuk kesan khas yang menggunakan khidmat pakar dari Q-FX, Bangkok, 2 Hati 1 Jiwa menjadi taruhan besar Lineclear Motion Pictures untuk permulaan 2010.

Pertaruhan berani Lineclear apabila menampilkan Fouziah dan Yasmin Hani sebagai teraju utama meskipun watak kembar itu turut diintai beberapa pelakon besar lain. 2 Hati 1 Jiwa menguji kekuatan fizikal dan mental dua pelakon muda itu untuk berdepan pelbagai kesukaran sepanjang 25 hari penggambaran.

Untuk menyiapkan kesan solekan saja, mereka terpaksa berada di lokasi tiga jam awal sebelum penggambaran dilakukan.

Pelbagai kesukaran terpaksa ditempuhi, malah memberi kesulitan kepada mereka untuk bergerak dan makan sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kesakitan pada bahagian pinggang.

“Nampak mudah, pergerakan kami juga kelihatan seiring tetapi kesakitan yang ditanggung cuma Tuhan saja yang tahu. Untuk meredakan kesakitan itu, kami terpaksa tidur. Satu cabaran ketika penggambaran dilakukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila tiada katil disediakan untuk kami berehat.

“Disebabkan tiada pilihan lain, saya dan Yasmin terpaksa menyusun sofa dan berbaring di atas lantai kerana kesakitan yang ditanggung berlanjutan sehingga akhir penggambaran,” kata Fouziah.

Lana diterjemahkan Fouziah sebagai seorang yang ceria dan keanak-anakan tetapi malangnya apa yang cuba ditonjolkannya itu tidak kesampaian. Lana terlalu keanak-anakan, tidak sepadan usianya yang sudah mencecah 21 tahun. Bahkan ada ketika persembahan lakonan Fouziah seperti menggambarkan Lana berdepan kecacatan mental.

Fouziah harus belajar mengawal lakonannya supaya tidak nampak keterlaluan dan dibuat-buat. Dia masih lemah dalam memahami tuntutan skrip membuatkan kemunculan Lana membangkitkan rasa rimas kepada penonton.

Pujian wajar diberikan kepada Yasmin yang memainkan peranan Lina. Dia menterjemahkan watak Lina dengan baik, malah menyerlahkan kematangannya sebagai kakak yang menjadi pelindung kepada adik kembarnya. Yasmin tidak terlalu mencuba tetapi Lina di tangannya dibawakan dengan ringan dan kemas namun menyerlahkan kematangan dan pemahamannya terhadap lakonan.

2 Hati 1 Jiwa mungkin memenuhi selera sesetengah khalayak yang mencari filem sebagai wadah hiburan untuk membebaskan minda daripada tekanan. Seperti kebiasaan, Razak mengadunkan semua ramuan yang menjadi formula kejayaan filem garapannya dan 2 Hati 1 Jiwa juga memenuhi kriteria produksi yang berjaya di matanya.

Tetapi setiap manusia mempunyai penilaian berbeza dan tidak mustahil 2 Hati 1 Jiwa juga mampu mencatat kutipan memberangsangkan seperti yang diterima Sifu & Tongga ketika ditayangkan pada Januari tahun lalu.

Sinopsis:

LANA dan Lina, dua adik beradik yang bercantum di kepala sentiasa mempunyai perbezaan dalam diri mereka. Pun begitu, mereka masih mampu hidup bersama sebagai kawan baik serta dilindungi daripada elemen luaran sosial kerana dikawal kedua ibu bapa mereka. Sejak kecil, mereka tidak pernah dihantar ke sekolah awam. Sehingga suatu hari, ibu bapa mereka menyedari keperluan untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar supaya tidak terlalu bergantung kepada keluarga. Peluang untuk mereka belajar berdikari bermula apabila dipilih memasuki pusat pengajian tinggi. Buat pertama kali dalam kehidupan mereka, perasaan benci sesama sendiri muncul. Hanya pembedahan yang mampu menjadi penyelesaian terhadap konflik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap