Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Wan Sharmila. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Wan Sharmila. Papar semua catatan

Khamis, 30 Jun 2011

Waspada didekati lelaki


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

serima@bharian.com.my
2011/06/30

SUSUK tubuhnya yang kecil molek dan wajahnya yang awet muda menyembunyikan usia sebenar pelakon bernama Wan Sharmila Wan Muhamad ini.

Mungkin mereka yang tidak mengenali aktres yang mula dikenali sejak membintangi drama Kisah Kaisara ini tidak tahu bahawa dia pernah bergelar isteri dan kini memegang status janda.
Hampir dua tahun memegang status yang amat digeruni ramai wanita, pelakon yang petah berbicara ini bagaikan seorang yang tidak punya masalah.
Perwatakannya sentiasa ceria, seceria persalinan yang digayakan ketika menghadiri sidang akhbar drama lakonannya untuk slot Lagenda, Si Jundai.

Dedah anak jati Johor Baharu, Johor ini, dia tidak pernah memikirkan tanggapan orang mengenai status yang dibawa. Kadang kadang dia hampir terlupa pernah berkongsi hidup dengan lelaki bernama Fazli Baharom.

Dalam pada dia lupa seketika dengan status yang dipegang, jauh di sudut wanita berusia 30 tahun ini masih terbit keinginan untuk kembali berumah tangga. Bagaimanapun sehingga ke saat ini katanya, dia masih belum bertemu calon yang sesuai untuk dijadikan lelaki yang layak untuk bergelar suami.

“Status yang saya pegang ketika ini tidak pernah menyukarkan hidup saya. Malah ada kalanya saya terlupa pernah berkahwin sebelum ini. Bagi saya, status yang saya pegang sekarang tidak pernah membezakan saya dengan wanita lain.
“Kegagalan rumah tangga yang dibina selama empat tahun tidak pernah membuatkan saya serik untuk berkahwin lagi. Memang terlintas di fikiran mahu berkahwin dan ingin lekas menimang cahaya mata tetapi sehingga ke hari ini saya masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai untuk dijadikan calon suami.

“Memang saya mengaku berkawan dengan ramai lelaki tetapi kebanyakannya lebih kepada teman tapi mesra. Saya tidak kisah lelaki itu muda atau tua, jika itu jodoh saya, saya terima,” kata Wan yang menyerahkan semuanya kepada takdir.

Memegang watak Sarah dalam drama bersiri Si Jundai, Wan berkata biarpun dia membuka ruang untuk lelaki mengenali dirinya namun jauh di sudut hatinya tetap timbul keraguan sama ada jejaka yang mendekati dirinya betul-betul menginginkan atau sekadar untuk suka-suka.

“Saya suka berkawan tetapi pada waktu yang sama saya bimbang dipermainkan. Memang saya ingin berkahwin tetapi bila waktunya, saya sendiri tiada jawapannya. Buat sementara waktu, biarlah dulu.

“Alhamdulillah keluarga tidak mendesak terutama ibu. Ibu bukan jenis yang suka memaksa, dia juga tidak suka bercakap banyak. Mungkin ibu tahu isu itu sensitif, jadi dia hanya menyerahkan segala keputusan di tangan saya.

“Kalau boleh biarlah bakal suami saya nanti orang biasa saja. Saya tidak mahu berkahwin dengan artis dan paling penting lelaki itu perlulah pandai membimbing saya menjadi seorang isteri dan wanita yang betul,” katanya yang mengakui masih lagi baik dengan bekas suami.

Masih bersahabat biarpun berpisah

MUNGKIN dia serta bekas suaminya Fazli lebih sesuai bergelar sahabat berbanding suami isteri. Biarpun tidak lagi tinggal sebumbung dan tidur sebantal, dia dan Fazli ada ketikanya masih berhubung dengan bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Malah dia juga masih lagi berlakon di bawah syarikat produksi yang turut dinaungi suaminya, Radius One.

Berbicara pula mengenai kerjaya seninya, wanita yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu berkata, wataknya sebagai Sarah di dalam drama arahan Fairuz Loy menuntutnya menguasai tarian tradisional.

Bagaimanapun ini bukanlah drama pertama Wan yang memerlukan dia menari, sebelum ini juga dia pernah terbabit di dalam drama bersiri Tari Tirana. Selain dirinya, Si Jundai turut dibintangi oleh Nabila Huda, Azam Pitt, Faralyna, Tasha Shilla, Rahim Omar dan Rozita Che Wan.

“Saya tidak pernah berlakon dalam drama sebegini, yang mana saya dikehendaki menari dan dirasuk dalam masa yang sama. Memang agak sukar juga untuk membawakan watak ini kerana saya tidak mempunyai pengalaman dirasuk tetapi saya berusaha membawanya dengan baik.

“Oleh kerana terlalu menghayati watak menari sambil dirasuk, saya tidak sedar yang diri saya tercedera apabila dikehendaki berjalan di atas kaca. Kononnya saya berjalan atas kaca tetapi sebenarnya ia membabitkan gula batu. Mungkin ada gula yang berketul sehingga saya tidak perasaan kaki saya luka,” katanya yang kini turut melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan pula.

Dia yang pernah mengacarakan program Klik-Klik Asia di saluran RTM bakal muncul sekali lagi di saluran yang sama bagi mengacarakan program Pentas Dikir. Mungkin ada yang beranggapan bergelar pengacara di RTM tidak glamor, tetapi bagi wanita ini, dia menerima tawaran berkenaan disebabkan minat. Malah dia sendiri yang bersusah payah menghadiri sesi uji bakat dianjurkan.

----- Berita Harian Online

Isnin, 27 Jun 2011

Penjara cinta Nora Elena


Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR

LAMBAKAN drama dan filem yang diangkat daripada naskhah novel kian bertali arus di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Kejayaan formula sedemikian menarik penonton telah membuka mata ramai
penggiat drama dan filem bagi menghasilkan lebih banyak karya yang
diolah daripada novel.

Nora Elena, adaptasi sebuah novel berjudul Kasih Yang Suci hasil
nukilan Meen Zulaikha mengisi slot Akasia di TV3 menggantikan drama
Cinta Antara Kita.

Mempertaruhkan genre cinta bagi menambat hati penonton setia slot
tersebut, drama 24 episod itu membariskan bintang-bintang ternama
seperti Aaron Aziz, Siti Saleha dan Wan Sharmila.

Pendukung watak utama, Siti Saleha mengakui memainkan peranan sebagai
Nora Elena bukan tugas mudah kerana jalan cerita drama itu menuntutnya
bermain dengan pelbagai emosi.

“Nora Elena satu karakter penuh kejujuran dan kelembutan, hatinya juga rapuh kerana sejarah silam yang dialami.

“Saya teruja melakonkan watak tersebut memandangkan ini pertama kali
saya terlibat dengan drama yang diterjemahkan daripada novel,” jelas
aktres yang semakin meningkat naik itu.
Berbeza pula dengan Aaron Aziz yang tidak mengalami masalah
melakonkan watak Seth Tan dalam drama bersiri terbitan Asian Media
Content (AMC) itu.
“Watak Seth Tan tidak sukar untuk dimainkan namun masih ada sedikit kesulitan bagi menunjukkan keberkesanan watak tersebut.
“Saya mengalami sedikit kesukaran bagi menunjukkan emosi sebagai
seorang lelaki yang dianggap sebagai perampas walaupun pada hakikat dia
bukan seorang perampas,” kata Aaron.
Drama arahan Jet Li itu berkisar tentang kehidupan seorang perempuan
bernama Nora Elena (Siti Saleha) yang sentiasa dibayangi detik hitam dia
dinodai seorang lelaki yang bernafsukan binatang.
Selepas 10 tahun berlalu, Nora akhirnya berjaya menyingkirkan memori
pahit itu setelah bertemu cinta hatinya, Idham (Zul Ariffin).
Rancangan membina rumah tangga bersama Idham dilanda badai apabila Nora mula rapat dengan majikan Idham, Seth Tan (Aaron Aziz).

Cemburu mula menguasai Idham lantaran salah faham yang timbul dan
sekali gus membuat keputusan membatalkan perkahwinannya bersama Nora.
Tindakan drastik Idham membuatkan Nora benar-benar terpukul dengan
keadaan yang dialami dan secara tidak langsung mengundang kembali kisah
silam yang telah lama dibuang jauh.

Dugaan demi dugaan menimpa Nora serta pelbagai cemuhan terpaksa
ditelan walaupun cintanya terhadap Idham sememangnya tulus dan ikhlas.
Di kala itu, Seth menghulurkan tangan dan menawarkan diri sebagai
pengganti Idham dalam hidup Nora. Seth bersedia menghilangkan
penderitaan Nora dengan mengahwini Nora.

Sejauh mana kejujuran Seth dan terleraikah persoalan siapakah yang
menodai Nora satu ketika dulu? Semuanya bakal terjawab dalam drama
meruntun jiwa yang turut dibintangi Erry Putra dan Puteri Fateen itu.
Jangan lupa menyaksikan drama Nora Elena yang kini setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam.

----- Kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap