Kawan-kawan

Sabtu, 12 Mei 2012

Nongkrong bukan sekuel Ngangkung

Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
Nongkrong bukan sekuel Ngangkung
Nongkrong bukan sekuel Ngangkung

Pertama kali melihat poster filem ini, pasti ada yang menyangka Nongkrong adalah sekuel dari filem Ngangkung. Biarpun diarahkan oleh pengarah yang sama, Ismail Bob Hasim, namun sebenarnya filem ini banyak perbezaannya.

Menerusi Ngangkung, para pelakon utamanya terdiri daripada Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak dan Azad Jazmin. Namun menerusi Nongkrong, filem ini masih mengekalkan dua pelakon utama iaitu Sam dan Angah, serta disertai oleh Epy Raja Lawak.

Pembikinan filem ini juga bukan bertujuan untuk mengangkat kisah pemujaan nombor ekor semata-mata, tetapi juga mesej utama yang ingin disampaikan iaitu setiap manusia yang ingin memperoleh kekayaan haruslah berusaha dengan jujur dan gigih serta sentiasa meminta rezeki dari Allah SWT dan bukannya melalui jalan singkat hingga melibatkan syaitan.

Malah, bagi penulis sendiri, komedi yang diselitkan dalam filem ini lebih menyengat dan menjadi berbanding Ngangkung. Biarpun beberapa komedi yang disampaikan pernah di dengar, namun cara penyampaiannya membuatkan ia seperti komedi segar.

Lakonan Sam dan Angah tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun pernah membawakan watak komedi yang hampir serupa, namun mata bagai tidak bosan dari melihat lakonan mereka yang bersahaja.

Berbeza dengan Epy, mungkin kerana masih baru, ada terlihat kejanggalannya berlakon di samping dua nama besar. Bagaimanapun, lakonannya masih boleh di beri pujian kerana Epy kadangkala berjaya menggeletek penonton dengan wajah dan gaya percakapannya.

Plot penceritaan filem ini juga tidak sukar difahami kerana Bob semestinya sudah memahami selera penonton masa kini. Nongkrong mengisahkan tiga pemuda, Aman (Angah), Bada (Sam) dan Cumi (Epy) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan yang tidak sepatutnya iaitu meminta nombor ekor.

Cumi terdesak ingin meminang kekasihnya, Lin (Nuremy) manakala Bada dan Aman yang mahu mengubah nasib keluarga, tekad menemui bomoh bagi melaksanakan hasrat mereka.

Segala-galanya bermula apabila seorang bomoh handal menjalankan upacara memanggil puteri laut untuk membantu mereka. Puteri bersetuju dengan syarat, salah seorang daripada mereka bertiga iaitu Bada perlu berkahwin dengannya.

Usai sahaja upacara perkahwinan, Puteri bertukar rupa menjadi hantu yang menakutkan menyebabkan semua mereka lari lintang pukang. Hidup mereka berubah apabila hantu Puteri terus mengejar dan menghantui kehidupan mereka.

Bagaimanapun, bagi golongan yang sudah berkeluarga, filem ini tidak sesuai ditonton oleh anak kecil kerana diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Mungkin beberapa babak seperti Sam, Angah dan Epy berlari dalam keadaan separuh bogel di kawasan paya tidak sesuai di tonton oleh kanak-kanak dan juga beberapa unsur pemujaan. Namun tidak rugi untuk mengeluarkan sedikit belanja bagi menonton filem ini di pawagam bermula semalam.

Nongkrong
PENGARAH : Ismail Bob Hasim
PELAKON : Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Epy Raja Lawak dan Mon Ryanti.
GENRE : Komedi/Seram
DURASI : 1jam 29minit
KLASIFIKASI : 18
TAYANGAN : 10 Mei 2012
KESELURUHAN : * * * *

--- SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap