Kawan-kawan

Selasa, 16 Mac 2010

Merong Mahawangsa bertaraf antarabangsa (Utusan Malaysia)


SENTUHAN CGI dalam Hikayat Merong Mahawangsa diterajui oleh Yusry bersama 10 lagi tenaga kerjanya.


PERANAN tiga beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim dalam menghasilkan filem terbaru terbitan mereka berjudul Hikayat Merong Mahawangsa telah menggagumkan banyak pihak termasuklah para pengedar filem di luar negara.

Ini kerana, ramai yang terpegun serta tidak percaya dengan kos pembikinannya yang hanya RM8 juta tetapi filem genre epik dan aksi itu persis sebuah produk bertaraf Hollywood yang sepatutnya mencecah ratusan juta ringgit!

Walaupun filem terbitan KRU Studios Sdn. Bhd., itu masih dalam proses pos -produksi tetapi ia telah mengangkat kredibiliti tiga beradik itu dalam menghasilkan sebuah filem yang bermutu dalam kos yang begitu minimum sekali.

Menurut Pengarah Urusannya, Norman Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa berjaya menarik perhatian ramai pengedar filem sewaktu ia menyertai Pasaran Filem Eropah (EFM) di Berlin, Jerman pada 11 hingga 21 Februari lalu.

"Ramai pengedar filem di sana yang tidak percaya apabila filem ini diterbitkan dengan kos sekitar RM8 juta. Mereka menjangkakan dengan mutu penerbitan yang ditunjukkan filem ini mencecah kos sehingga AS$30 juta (RM105 juta).

"Malah, mereka hanya menonton lapan minit daripada sedutan atau thriller filem ini sewaktu ia dipromosikan di pasaran filem tersebut," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Wisma KRU, Jalan Jelatek, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KRU Studios Sdn. Bhd. jelasnya, amat berterima kasih dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang banyak memberikan sokongan termasuklah membiayai geran lebih RM4 juta bagi pembikinan filem tersebut.

Pada masa sama, Norman melahirkan rasa bangga dengan pencapaian filem itu dan menganggapnya sebagai kejayaan awal sebelum ia ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan pada tahun 2011.

Katanya, keyakinan para pengedar filem di luar negara itu sedikit sebanyak membuktikan bahawa idea, bakat dan kemampuan karyawan tempatan dalam menghasilkan sebuah filem bertaraf dunia bukan omongan kosong semata-mata.

"Meskipun Hikayat Merong Mahawangsa belum pun habis pos- produksinya, tetapi sebanyak 25 pengedar dari 25 buah negara sudah pun menempah untuk mengedarkannya di negara mereka.

"Antara pengedar filem yang berminat itu termasuklah dari United Kingdom, Jerman, Rusia, Perancis dan negara-negara Timur Tengah. Mungkin lebih ramai lagi pengedar selepas ini. Mereka berminat selepas melihat sendiri promo atau thriller filem itu baru-baru ini," ujarnya.

Jelas Norman, para pengedar terbabit tertarik untuk mengedarkan Hikayat Merong Mahawangsa selepas melihat sendiri kecanggihan teknologi dalam filem itu.

Ia berjaya menarik minat para pengedar sekali gus mencatat jualan mencecah jutaan ringgit semasa EFM selain elemen sejarah dan mitos tentang Kerajaan Melayu Langkasuka di Kedah pada kurun ke-11 yang dipaparkan turut memikat hati mereka.

"Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai banyak tarikan terutama temanya yang bersifat global di mana filem aksi seperti ini mudah dihayati oleh sesiapa juga atau di mana saja.

"Selain itu set, kostum dan jalan cerita alam Melayu zaman dulu yang dipaparkan juga unik dan ia tidak pernah diangkat melalui filem terutamanya di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Filem yang membariskan ramai pelakon terkenal termasuklah Stephen Rahman-Hughes, selaku pelakon utamanya itu banyak mencampurkan elemen mitos dan sejarah di dalamnya.

Kata Norman, ekoran terdapatnya banyak elemen mitos selain tidak banyak naskhah diterbitkan berkaitan Hikayat Merong Mahawangsa ia suatu kelebihan buatnya.

"Maksud kelebihan di sini ialah kami lebih bebas untuk mengolah jalan cerita filem ini bagi disesuaikan dengan mitos dan sejarahnya kerana ia hanya lebih banyak diceritakan 'dari mulut ke mulut' sejak zaman berzaman.

"Ia 'lesen kreatif' kami untuk menjadikan filem ini bukan setakat mempunyai unsur sejarah tetapi juga penuh dengan fantasi. Teknik CGI (imej janaan komputer) banyak 'menghidupkan' filem ini," ujarnya.

Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah filem yang menggabungkan cerita-cerita sejarah dan mitos tiga tamadun terkenal dunia iaitu Melayu, China dan Rom.

Pengarah filem itu, Yusry Abdul Halim yang juga bertanggungjawab menggerakkan adegan-adegan CGI di dalamnya menganggap ia suatu cabaran yang bukan kepalang.

Ini kerana katanya, filem yang menampilkan pelakon handalan dari China iaitu Jing Lu boleh dikatakan banyak bergantung dengan kehebatan imej-imej CGI di sebalik adegan-adegannya.

"Imej CGI yang digunakan dalam filem ini tidak terkira banyaknya kerana hampir 90 peratus penggambaran filem ini dilakukan di luar studio. Imej CGI banyak membantu filem ini.

"Kami juga banyak mereka kostum yang digunakan dalam filem ini mengikut daya imaginasi dan kesesuaian watak serta latar masa kurun ke-11 sewaktu era kegemilangan Kerajaan Langkasuka.

"Antaranya kami telah membina empat buah kapal yang ada di antaranya berukuran 60 kaki kali 20 kaki saiznya bagi menggambarkan jalan cerita filem ini di samping bantuan unsur-unsur CGI," jelasnya.

Disebabkan elemen-elemen CGI canggih yang dipaparkan seperti benar-benar hidup dalam Hikayat Merong Mahawangsa, ramai yang beranggapan ia didatangkan 100 peratus dari Hollywood.

Bagaimanapun, Yusry menafikan tanggapan tersebut, sebaliknya kesemua kerja berkaitan elemen-elemen CGI yang dipaparkan dalam filem itu merupakan hasil kerja kreatif anak-anak tempatan.

"100 peratus hasil kerja CGI dalam filem ini adalah hasil kerja para animator KRU Studios Sdn. Bhd., dan 10 peratus lagi dibantu oleh sebuah syarikat produksi tempatan yang lain.

"Kami menggunakan 10 orang tenaga kerja dan saya juga terbabit secara langsung bagi menghasilkan adegan-adegan CGI yang kebanyakkannya rumit untuk dihasilkan.

"Sebagai contohnya, ada adegan membabitkan CGI yang hanya mengambil masa beberapa saat tayangannya tetapi masa untuk menghasilkannya sehingga seminggu lamanya," jelasnya.

Di samping adegan-adegan CGI yang seperti benar-benar hidup, Hikayat Merong Mahawangsa juga menggunakan 15 pelakon aksi lagak ngeri yang didatangkan dari Hong Kong.

Sementara itu, selaku Penerbit Teknikal, Edry Abdul Halim juga yakin filem yang bertaraf antarabangsa itu mampu menarik perhatian para penonton kerana lagu-lagu skor di dalamnya.

Jelasnya, Hikayat Merong Mahawangsa merupakan filem Melayu pertama yang menampilkan muzik skor penuh untuk keseluruhan jalan cerita filem ini sewaktu tayangannya.

"Untuk rakaman skor muzik filem ini ia akan dijayakan dengan kerjasama MPO (Malaysia Philharmonic Orchestra) dengan menggunakan hampir 100 pemuzik.

"Setakat ini proses menghasilkan muzik skor filem ini sudah tiga bulan dijalankan tetapi ia masih belum siap. Sebuah album yang menampilkan skor muzik filem ini juga akan diterbitkan nanti.

"Sebuah lagu tema berjudul Seminit Lebih yang saya cipta akan digunakan bagi mempromosikan filem ini. Cuma penyanyi yang akan menyanyikan lagu itu sahaja kami belum jumpa," katanya lagi.

Dengan 50 peratus dialog dalam bahasa Melayu dan selebihnya bahasa Inggeris, tiga beradik itu yakin Hikayat Merong Mahawangsa mampu menerjah ke pasaran filem antarabangsa.

Filem dengan membabitkan lebih 300 pelakon itu juga kata Edry, akan menggunakan judul The Malay Chronicles-Bloodlines untuk tujuan pasaran dan tayangannya di peringkat antarabangsa kelak.

Sebarang maklumat lanjut tentang filem yang bakal mencipta sejarah teresndiri dalam bidang perfileman tanah air itu, sila layari laman sesawang www.krustudios.com

Sabtu, 13 Mac 2010

Saya suka seks! Zoe Saldana (Utusan Malaysia)




SAYA suka, saya suka, saya suka,” begitu reaksi aktres Zoe Saldana saat ditanya mengenai seks dalam kehidupannya.

Pelakon Avatar ini secara jujur mengakui bahawa dia tidak boleh hidup tanpa seks ketika diwawancara oleh sebuah majalah baru-baru ini.

Bahkan dia juga mengaku tidak keberatan seandainya diminta melakukan adegan intim dalam filem.

Selain itu, Zoe berpendapat masyarakat Amerika membuat kesilapan dengan melarang hal berkaitan seksualiti dalam bentuk iklan dan sebagainya untuk dipaparkan di tempat-tempat umum.

“Saya rasa masyarakat Amerika telah merosakkan pemikiran anak-anak kita dengan menghapuskan pendidikan dan kesedaran mengenai seksualiti dan sebaliknya menggantikan dengan kekerasan, senjata api serta permainan video.

“Ini bererti kita sedang membina generasi muda ke arah keganasan,” jelas Zoe lagi.

Persahabatan manusia, makhluk asing dalam Jidin (Utusan Malaysia)


ANTARA BARISAN PELAKON YANG MENJAYAKAN DRAMA BERSIRI JIDIN UNTUK SLOT AKASIA YANG BERSIARAN SETIAP ISNIN DI TV3.


BERMULA 1 Mac ini, slot Aksi yang bersiaran setiap Isnin, pukul 9 malam, akan menayangkan sebuah lagi drama bersiri terbaru berjudul Jidin.

Mengambil genre fiksyen sains, Jidin dibintangi barisan artis lama dan baru antaranya Didie Alias, Fauzi Nawawi, Kazar, Bell Ngasri, Tam, Noorkhiriah, Zahiril, Amanda Misbun dan Shafie Naswip.

Memaparkan persahabatan antara makhluk asing bernama Jidin yang dilakonkan oleh Tam, dengan rakan barunya iaitu Fendi (Shafie). Jidin akan menggantikan Kapten Kit untuk slot berkenaan.

Jidin memulakan penceritaan seorang makhluk asing iaitu Jidin yang berselisih pendapat dengan Antar (Fauzi Nawawi) di Planet Cyrius B.

Akibat pertengkaran bersama Antar, Jidin mengambil keputusan meninggalkan planet berkenaan.

Namun, kapal angkasa yang dinaiki Jidin menghadapi masalah kerosakan lalu terdampar di bumi.

Berada di bumi, Jidin mula mengekori Fendi, seorang pelajar kolej yang sering kali menjadi mangsa buli rakan-rakan sekuliahnya.

Berkawan dengan Jidin, Fendi mula menampakkan perubahan. Mak Intan yang dilakonkan oleh Didie juga melihat akan perubahan yang berlaku terhadap anaknya itu apabila sering bercakap sendiri.

Kegembiraan persahabatan Jidin dan Fendi mula terganggu apabila Antar dan Dazur (Bell Ngasri) turun ke bumi untuk membawa pulang Jidin ke Planet Cyrius B.

Menurut Emi Suffian selaku pengarah Jidin, drama untuk slot Aksi itu menggunakan teknik 3D bagi menghidupkan jalan cerita Jidin.

"Sebelum ini saya pernah mengarah drama untuk slot Aksi di TV3. Drama tersebut adalah Papaya dan Kaber Hero Kaber Zero.

"Untuk penggunaan teknik 3D, selain dua drama berkenaan, saya turut mengaplikasikannya untuk drama Ceplos di TV9.

"Bukan tidak mahu gunakan teknik imej penjanaan komputer (CGI), tetapi, ia memakan masa,'' katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Jidin di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Drama sebanyak 13 episod ini diterbitkan oleh Grand Brilliance, Primeworks Studios.

Jelas Emi, pembentukan watak Jidin sebagai makhluk asing adalah hasil daripada imaginasi produksi sendiri.

"Slot Aksi yang pernah disiarkan adalah lebih kepada cerita superhero. Tetapi, untuk Jidin, kami buat pembaharuan apabila kuasa makhluk asing bergabung dalam jiwa manusia.

"Jidin mengambil tempoh 45 hari penggambaran yang bermula 4 Februari lalu. Sehingga kini, kami sudah selesai 40 peratus penggambaran untuk lima episod,'' ujarnya sambil mengharapkan Jidin akan dapat memungut jumlah penonton yang ramai.

Pemilihan pelakon

Mengenai soal pemilihan pelakon pula, Emi berkata, kombinasi pelakon lama dan baru mencantikkan lagi penceritaan Jidin.

Kata Emi, kebanyakan pelakon sudah memahami kehendaknya dan Kazar merupakan pelakon senior yang banyak membantu dalam memberikan idea.

Bagi Shafie pula, Jidin merupakan penampilan pertama pelakon muda itu untuk drama bersiri.

"Saya berpuas hati dengan lakonannya,'' tegas Emi.

Menurutnya, selain fiksyen sains, Jidin turut menggabungkan elemen komedi dan serius.

"Para pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada pelakon komedi dan serius.

"Jika maklum balas penonton baik, mungkin Jidin akan diterbitkan untuk musim seterusnya,'' katanya yang tidak menghadapi masalah sepanjang mengarahkan Jidin.

Mahu arah cerita seram

Sementara itu, Emi menjelaskan selain Jidin, dia menyimpan impian untuk mengarahkan cerita daripada genre seram pula selepas ini.

"Saya sudah ada cerita dan judulnya ialah Salong. Saya baru sahaja menghantar sinopsis kepada TV3.

"Mengarahkan cerita seram adalah sasaran saya untuk tahun ini.

"Salong adalah dewa penjaga kubur bagi salah satu etnik di Sarawak,'' tambahnya.

Kemenangan buat wanita (Utusan Malaysia)


MASIH berbisa..Sandra Bullock berbangga dengan Oscar yang dimenangi.


SEMUANYA sudah terjawab. Ada ramalan yang tepat dibuat sebelum Anugerah Academy benar-benar terjadi dan tak kurang juga yang masih lagi terkejut dengan kemenangan filem berbajet rendah, The Hurt Locker.

Apa yang pastinya, acara yang ditonton oleh 41.3 juta penonton Amerika Syarikat ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila keputusan-keputusan yang tidak diramalkan dan ia juga membuktikan filem berbajet besar bukan lagi menjadi kayu ukur kepada sesebuah kemenangan.

Walaupun ramai yang terkejut apabila filem Avatar gagal memenangi Filem Terbaik, di sebalik itu juga ramai yang kagum apabila Kathryn Bigelow mencatatkan sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai pengarah wanita pertama yang memenangi kategori Pengarah Terbaik sejak kali pertama dianjurkan.

Anugerah Academy yang ke-82 itu juga memperlihatkan The Hurt Locker menyapu bersih lima lagi anugerah sehingga diangkat sebagai Filem Terbaik menewaskan filem-filem besar yang lain.

Selain The Hurt Locker dan Avatar, filem-filem lain yang bertanding termasuklah The Blind Side, District 9, An Education, Inglourious Basterds, Precious: Based on the Novel “Push” by Sapphire, A Serious Man, Up dan Up in the Air.

Di sebalik keputusan itu, mungkinkah ego sang lelaki runtuh apabila muncul pengarah wanita yang sama-sama hebat sehingga menewaskan nama-nama besar yang lain seperti James Cameron?

Lebih menarik lagi, James Cameron yang juga bekas suami kepada Kathryn Bigelow tewas ditangan bekas isterinya walaupun filem masing-masing menerima pencalonan sama banyak.

Ramalan-ramalan awal yang dibuat mengatakan Avatar bakal menerima banyak kemenangan nampaknya tidak menjadi kenyataan dan sedikit sebanyak menghampakan sebilangan besar peminat-peminat Avatar.

Kehebatan kutipan filem Avatar memang tidak dapat disangkal lagi. Avatar juga berjaya menjadi filem paling laris dan mencapai kutipan tertinggi mengalahkan filem Titanic tetapi terpaksa akur dengan keputusan 6,000 juri khas Academy yang turut sama mengadili 25 kategori yang lain.

The Hurt Locker turut menggondol anugerah Lakon Layar Asli terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.

Dengan kos sebanyak RM1.75 bilion, James hanya berpuas hati apabila memenangi Pengarahan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Visual Efek Terbaik.

Anugerah yang dimenanginya itu memperlihatkan kehebatan James dari segi teknikal terutamanya apabila Avatar begitu dinanti-nantikan oleh penonton di seluruh dunia sehingga mencapai kutipan sebanyak RM8.75 bilion, jumlah yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana filem sebelum ini.

Kehebatan James dalam merencanakan setiap filem-filemnya begitu dikagumi. Maka tidak hairanlah Titanic yang dihasilkan 12 tahun yang lalu masih lagi diminati dan diingati sebahagian besar pemuja hasil magis James ini.

Sandra Bullock terbaik, terburuk

UMUM telah mengakui kehebatan Sandra Bullock apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Blind Side. Namun begitu sebelum berlangsungnya Anugerah Academy, dia terlebih dahulu diangkat sebagai aktres paling buruk menerusi filem All About Steve dalam anugerah tahunan Razzie.

Saban tahun pengundi-pengundi akan mengadili anugerah yang dilihat ‘mempersendakan’ karyawan-karyawan filem terburuk sepanjang tahun sebelum acara Oscar dilangsungkan.

Sandra Bullock seperti tidak kisah apabila dengan rela hati menerima pengiktirafan tersebut. Tidak kurang juga yang mengatakan dirinya seperti sudah tahu dia bakal diangkat sebagai aktres terbaik dalam Oscar dan sebab itu dia menerima anugerah tersebut dengan rela hati.

Malah tidak sampai 24 jam selepas itu, Sandra Bullock akhirnya menepati ramalan awal seterusnya membawa pelakon yang berusia 45 tahun itu kembali ke puncak karier dengan anugerah yang diberi itu.

Membawakan watak penyanyi yang ketagihan alkohol, aktor Jeff Bridges tidak menghadapi masalah apabila memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam acara yang berlangsung di Kodax Theater, Hollywood, Los Angeles, hujung minggu lalu.

Walaupun dikategorikan sebagai antara pelakon senior, Jeff Bridges masih lagi menunjukkan lakonan mantap dalam Crazy Heart sehingga membolehkan dia merangkul gelaran yang diidam-idamkan oleh semua pelakon.

Sebelum ini dia pernah menerima empat pencalonan Oscar termasuklah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan sekali untuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Kehebatan aktor ini semakin memuncak sebelum ini apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang diterimanya pada Golden Globe dan Screen Actors Guild awal Januari lalu.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor Austria Christoph Waltz menerusi penampilannya dalam Inglourious Basterds, manakala aktres Mo‘Nique dinamakan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Precious.

Memasuki penganjuran ke-82, Anugerah Academy bukan sahaja dilihat sebagai sebuah anugerah yang gah, tetapi dalam masa yang sama juga turut menjadi kayu ukur kepada kehebatan karyawan-karyawan hebat.

Di sebalik Oscar yang diterima itu masih ramai lagi yang merangkak mahu turut sama dijulang sebagai antara yang terhebat.

Berbekalkan kepada kehebatan yang ditunjukkan oleh orang-orang lama, ramai juga sebenarnya yang mengharapkan muka-muka baru tampil membuat kejutan dalam 25 anugerah yang dipertandingkan.

Mungkin juga orang-orang baru masih belum layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi dan tidak hairanlah jika muka-muka lama yang memang hebat masih lagi mendominasi senarai pemenang.

Diharapkan agar Anugerah Academy ke-83 mencipta sejarah tersendiri dan dalam masa yang sama turut mengangkat muka-muka baru ke puncak.

Selasa, 9 Mac 2010

Kenapa Avatar kalah? (Kosmo)



CAMERON


NEW YORK - Bagi pakar-pakar Hollywood, industri hiburan dan peminat Oscar, mereka masih menumpukan perhatian kelmarin berhubung persoalan: Kenapakah sebuah filem kecil dengan tidak mempunyai bintang berjaya menewaskan satu gergasi komersial?

Filem The Hurt Locker yang diarahkan Kathryn Bigelow menewaskan Avatar arahan bekas suaminya, James Cameron untuk muncul sebagai filem terbaik Anugerah Academy Ke-82 yang diadakan pada Ahad lalu di Kodak Theater, Hollywood.

Bigelow turut menggondol anugerah pengarah terbaik sekali gus menewaskan Cameron.

Filem The Hurt Locker mendapat kutipan sebanyak AS$14.7 juta (RM49.1 juta) di Amerika Syarikat berbanding Avatar yang mengisahkan kehidupan makhluk asing mendapat kutipan AS$710.6 juta (RM2.4 bilion).

Jumlah kutipan itu menyebabkan The Hurt Locker menjadi filem kutipan terendah menang di Anugerah Academy.

Filem itu tidak mempunyai bintang-bintang besar yang merupakan antara formula penting untuk berjaya mendapat Oscar.

Kenapakah The Hurt Locker menang? Banyak teori muncul berikutan kejayaan filem itu.

Filem The Hurt Locker bukan filem politik mengenai Iraq tetapi merupakan sebuah cerita mengenai tiga juruteknik sebuah pasukan pemusnah bom di Baghdad.

Ia merupakan sebuah filem aksi yang menggunakan gaya dokumentari close-up mengenai lelaki-lelaki tersebut, hubungan, kesilapan serta ketegangan yang dihadapi oleh mereka semasa bekerja.

"Itu bukannya filem yang bertujuan untuk menunjukkan penderaan dan pelanggaran peraturan perang," kata pakar filem, Profesor Robert Sklar di Universiti New York.

"Ia merupakan filem mengenai lelaki-lelaki yang cuba menyelamatkan nyawa. Filem itu mempunyai tema klasik peperangan," tambahnya.

Satu lagi teori yang dikemukakan bagi mewajarkan kemenangan The Hurt Locker ialah ia merupakan filem kecil yang mengetengahkan subjek yang amat penting.

"Kerap kali terdapat banyak filem besar tetapi ia (The Hurt Locker) ialah sebuah filem kecil yang mengetengahkan subjek penting," kata seorang pakar sejarah filem, Leonard Maltin.

Kebanyakan pengundi-pengundi Oscar tidak mementingkan kutipan box-office sesebuah filem yang dicalonkan untuk kategori filem terbaik.

"Oscar (Anugerah Academy) tidak menumpukan perhatian terhadap kutipan box-office," kata Maltin.

"Secara faktanya, pengundi-pengundi Oscar kerap dituduh menjadi terlalu elit, mengutamakan filem-filem bebas berbanding filem besar yang diminati ramai orang," katanya.

Satu lagi faktor ialah kerana pengarah filem The Hurt Locker ialah seorang wanita.

Bigelow ialah seorang yang pakar dalam membikin filem-filem yang tidak bercirikan kewanitaan.

Sistem baru memilih pemenang turut menyumbangkan kemenangan The Hurt Locker.

Pada tahun ini, terdapat 10 pencalonan untuk kategori filem terbaik berbanding lima sebelum ini.

Sebelum ini, seorang pengundi membuat satu pilihan bagi filem terbaik.

Pada tahun ini, pengundi-pengundi filem terbaik perlu menulis ranking pilihan mereka.

Satu lagi faktor ialah The Hurt Locker ialah sebuah filem yang amat bagus.

"Tengoklah semua anugerah yang dimenanginya seperti lakon layar dan suntingan bunyi," kata Sklar.

"Kualiti itu telah mempengaruhi sejumlah profesional di dalam industri yang membuat undian," tambahnya. - AP

Sabtu, 6 Mac 2010

Katrina Kaif tertekan banyak tawaran berlakon (Berita Harian)


Katrina Kaif

MUMBAI: Pelakon terkenal Bollywood Katrina Kaif, sewajarnya berbangga apabila berjaya menempatkan dirinya dalam senarai teratas bintang filem di Mumbai, namun sebaliknya selebriti itu dilaporkan semakin tertekan.

Sumber dipetik Times of India menyatakan selepas sembilan filemnya mencapai kejayaan membanggakan, penerbit filem kini berebut-rebut mengemukakan tawaran lumayan kepada Katrina bagi tempoh sepanjang 2010.

"Katrina sepatutnya berbangga, namun dia kini amat tertekan berikutan jadual penggambaran filem yang terlalu padat," lapor Times of India.

Akhbar itu melaporkan penerbit Tarun Mansukhani menawarkan Katrina berlakon dalam filem Dostana-2 bersama Abhishek Bachchan dan John Abraham.

Imtiaz Ali menimbang menawarkan Katrina untuk filem Rockstar bersama Ranbir Kappor, manakala Ritesh Sidhwani pula menawarkan beliau berlakon dalam filem terbitan Zoya Akhtar di samping Hritik Roshan.

"Katrina menyatakan persetujuan berlakon filem arahan Farah Khan, Tees Maar Khan bergandingan dengan Akshay Kumar. Semua penerbit berkenaan mahu Katrina menjalani penggambaran tanpa henti bermula April hingga Jun.

"Katrina pasti keletihan. Dia tiada masa untuk berehat, malah tiada masa untuk dirinya sekiranya dia menerima tawaran itu. Dia perlu mencari jalan menyelaraskan jadual penggambarannya agar tidak tertekan," kata akhbar itu. Sementara itu Tarun berkata, Katrina sudah pasti akan berlakon dalam Dostana-2, tidak kira apa masalah yang akan dihadapi manakala Ritesh menegaskan: "Kami pasti akan mendapatkan Katrina untuk berlakon bersama Hritik." � Agensi

Kajol marah suami tak tonton 'MNIK' (Berita Harian)


Ajay Devgan (kiri) dan Kajol

Aktres taja tayangan khas My Name is Khan

MUMBAI: Bintang Bollywood, Kajol mengejutkan peminatnya apabila beliau dilaporkan kecewa dan amat marah dengan suaminya, aktor Ajay Devgn kerana tidak menonton filem terbarunya bersama Shahrukh Khan, My Name is Khan (MNIK).

Ajay yang mendedahkan perkara itu berkata, beliau terlalu sibuk dengan penggambaran di Tamil Nadu ketika tayangan filem My Name is Khan berlangsung.

Pelakon berkenaan memberitahu, beliau penat dan belum sempat menonton MNIK kerana baru menghabiskan tiga filem iaitu Atithi Tum Kab Jaaoge?, Once Upon a Time in Mumbai dan Garam Hawa.

Bagaimanapun, Kajol cuba membantu suaminya itu dengan menganjurkan satu tayangan khas My Name is Khan. Pengarah filem terbabit, Karan Johar dilaporkan akan turut menyertai mereka.

Sementara itu, Karan Johar menafikan bahawa beliau banyak melakukan usaha untuk mempromosikan MNIK sebaliknya mendakwa, pembabitan Shah Rukh Khan dan Kajol sendiri sudah mencukupi untuk menarik penonton.

"Apabila anda mempunyai pelakon seperti Shah Rukh Khan dan Kajol dalam filem anda, secara automatik anda mendapat banyak tarikan kerana penonton tahu mutu pelakon terbabit.

"Juga berdasarkan rekod lalu dan populariti mereka sejak beberapa tahun lalu, anda tidak perlu tunjukkan sifat bersungguh-sungguh sebagai pengeluar filem untuk mendapat sebarang tarikan tambahan.

"Selepas semua penonton tahu mengenai orang yang dikaitkan dengan filem dan bagaimana pasukan sebelum ini. Ini adalah faktor tarikan yang memudahkan saya mengenai penerimaan box office kepada MNIK," kata Karan.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Shah Rukh Khan-Kajol iaitu Dilwale Dulhaniya Le Jayenge mencipta sejarah apabila ia bertahan selama 750 minggu di pawagam Central Maratha Mandir di Mumbai.

Filem yang disiarkan pada 1995 itu masih mendapat sambutan hangat dan tidak pernah menyaksikan kurangnya permintaan sejak 15 tahun lalu. Ia adalah filem paling lama disiarkan di panggung wayang India. � Agensi

Nabil mahu saman balas SDAF Pictures (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad, 27, mahu menyaman balas syarikat penerbitan filem, SDAF Pictures Sdn Bhd berikutan pengarah dan penerbit bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Rhapor mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah sekali gus menjejaskan nama baik dan maruahnya.

Juara Raja Lawak musim kedua itu diwakili JS Pillay & Mohd Haaziq Advocates & Solicitors sudah meneliti kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, ada antaranya didakwa berunsur fitnah dan mengundang persepsi negatif peminat terhadapnya.

Sebelum ini, Nabil dikatakan bakal berdepan dengan saman RM2 juta apabila SDAF Pictures Sdn Bhd menghantar notis tuntutan melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors pada 24 Februari lalu ke alamat rumahnya di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Nabil didakwa melanggar kontrak, mengeluarkan komen negatif dan gagal menjayakan promosi filem itu seperti dijanjikan.

Nabil berkata, dia sudah menerima notis saman berkenaan pada Jumaat lalu. Syarikat guamannya sudah membalas notis saman itu melalui faksimili dan surat yang dihantar ke pejabat SDAF Pictures pada hari yang sama.

“Selepas meniti semula kenyataan saya di akhbar, pihak peguam mendapati saya tidak melanggar kontrak. Saya tidak mengeluarkan kenyataan menyekat peminat untuk menonton filem itu, sekali gus menjatuhkan filem itu sebaliknya kenyataan saya hanyalah pandangan peribadi.

“Saya dan peguam masih lagi berbincang berhubung saman yang akan dikenakan, bagaimanapun ia bukanlah keputusan muktamad. Saya akan mengumumkannya pada satu majlis sidang akhbar dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Berita Minggu.

Nabil berkata, dia juga kesal dengan dakwaan Aminah yang dirinya disaman RM2 juta, sebaliknya dalam notis saman dihantar menuntutnya memulangkan semula wang lakonan sebanyak RM30,000 dalam tempoh 14 hari. Jika gagal, saman RM2 juta dikenakan.

Selasa, 2 Mac 2010

Ujian Niyang Rapik (KOsmo)




APABILA sutradara yang popular dengan filem-filem hantu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri hadir dengan karya terbaru, Niyang Rapik, seluruh peminat tempatan tertumpu terhadap naskhah jalur seram tersebut.

Diadaptasi daripada drama bersiri, Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di televisyen beberapa bulan lalu, pengarah berusia 39 tahun itu pantas mengalirkan energi segar terhadap Niyang Rapik dengan keringat ditumpahkan di Tasik Kenyir, Terengganu.

Selepas persekitaran hijau di situ dihuni selama 10 hari sekali gus menjadi lokasi set filem berbajet RM1.6 juta, tiga daripada enam pelakon utama pilihan Idham berbicara tentang karya berkenaan.

Mereka menggalas tanggungjawab berat kerana diberi kepercayaan sebagai sebahagian teraju utama pemain Niyang Rapik.

Kecuali Shaheizy Sam, 28, yang berpengalaman berlakon sebuah naskhah seram komedi bersama Idham dalam Jangan Pandang Belakang Congkak, Niyang Rapik yang mempertaruhkan elemen seram thrill menjadi platform buat Liyana Jasmay, 21, dan Zed Zaidi, 29, melampiaskan bakat mereka kepada sang pengarah.

Selain Liyana, Sam dan Zed, antara pelakon yang membintangi Niyang Rapik ialah Fizz Fairuz, Kamal Adli, Awal Ashaari, Nasir Bilal Khan, Shahrol Nizam, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P. Ramlee.


FILEM Niyang Rapik mempertemukan Sam dan Zed sebagai antara teraju utama filem genre seram ini.


Filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. itu bakal menghantui audiens di pawagam seluruh negara bermula 25 Februari lalu.

HABHIB: Boleh ceritakan watak masing-masing dalam filem Niyang Rapik?

LIYANA JASMAY (LJ): Saya memegang peranan sebagai anak ketua kampung Niyang Rapik bernama Laila. Bagai menjadi kebiasaan, dalam sebuah kampung pasti ada anak dara jadi kegilaan ramai. Sama halnya dengan Laila. Kedatangan anak-anak muda ke kampung ini membuatkan saya jadi rebutan mereka. Begitupun, saya paling rapat dengan Fizz. Ada perkara buruk berlaku kepada saya pada suatu hari. Fizz berjanji mahu datang semula ke Niyang Rapik menyelamatkan saya. Tapi malangnya Fizz meninggal dunia selepas kembali dari tempat ini.

ZED ZAIDI (ZZ): Menerajui watak Saiful, saya dianggap individu paling matang antara kawan-kawannya dan gemar menolong orang lain. Dia menerima tangkal daripada ketua kampung Niyang Rapik lakonan Nasir Bilal Khan. Tangkal ini sebenarnya jadi alat pengesan untuk melakukan perkara tidak elok kepada rakan-rakan saya. Cuma pada pertengahan cerita barulah menyedari ada cerita tersimpan pada tangkal yang dipakai di leher ini.

SHAHEIZY SAM (SS): Saya membawakan karakter Zizan yang bersikap kebudak-budakan, panas baran dan tidak suka dengan suasana Niyang Rapik. Jiwa dia lebih kepada persekitaran bandar. Justeru, dia menjadi insan pertama membantah keputusan datang semula ke Niyang Rapik yang disifatkan jauh pedalaman tanpa ada jalan darat. Dia sering menyalahkan sikap kawan-kawannya dalam soal ini. Saya boleh cakap Zizan umpama tukang baling batu dalam air tenang.


DARI kiri: Sam, Liyana dan Zed Zaidi memberitahu pengalaman berlakon dalam Niyang Rapik adalah pengalaman yang berbeza dengan pembabitan dalam filem-filem lain.


Apakah watak yang diberikan mencabar kredibiliti kalian?

LJ: Alhamdulillah, watak Laila tidaklah sesukar mana. Saya berjaya menzahirkan karakter ini dengan baik tanpa berdepan masalah. Lagipun sudah lama saya baca skrip dan berbincang dengan pelakon lain. Oleh itu, sampai set penggambaran, kami tahu apa yang ingin dibuat selain dapat input daripada Idham. Saya sebenarnya banyak bermain emosi. Dialog juga sekadar disampaikan dalam bentuk satu ton. Saya tidak mengamalkan sikap memaksa diri. Kalau paksa diri maka takut saya tertekan dan kecenderungan melakukan kesilapan semasa berada di depan kamera.

ZZ: Saya bersyukur kerana tidak berdepan banyak halangan menjayakan watak ini. Niyang Rapik merupakan filem seram kedua selepas menjayakan karya seram komedi, Pontianak Menjerit arahan Yusof Kelana. Selepas menyaksikan pratonton Niyang Rapik baru-baru ini, saya rasa puas hati dengan kualiti kerja diri. Cuma tidak dinafikan, ada kekurangan itu dan ini perlu diperbaiki demi meningkatkan kerjaya seni pada masa depan.

SS: Saya kena kekalkan energi berfikir seperti budak-budak sepanjang masa walaupun usia sudah matang. Tiada kesukaran memegang watak ini. Selain itu, saya buat sepenuh perubahan diri demi menjayakan seorang Zizan. Saya gemar menukar stail dan personaliti contohnya rambut dan pakaian jika terlibat dalam projek lakonan. Bahkan, saya lebih gemar mekap sendiri daripada minta khidmat jurusolek kerana hanya saya tahu apa diperlukan dengan kehendak watak.




Apa pengalaman manis ataupun pahit yang dikutip semasa menjalani penggambaran Niyang Rapik di Tasik Kenyir?

LJ: Pada mulanya saya tidak boleh terima hakikat menjalani kehidupan selama 10 hari di rumah bot yang disediakan. Dengan keadaan serba kekurangan maka saya terdiam seketika. Hampir satu jam saya duduk memerap dalam bilik memikirkan nasib bakal berlaku.

Tapi selepas itu saya mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Sebagai satu-satunya pelakon wanita, saya dijaga dengan baik oleh pelakon lain dan seluruh tenaga produksi Niyang Rapik. Lama-kelamaan, saya seronok berada di kawasan jauh daripada hiruk pikuk kota ini.

ZZ: Sewaktu diberitahu Idham kami kena tinggal di kawasan Tasik Kenyir, saya awal-awal lagi dapat membayangkan keadaan di situ. Sebelum ini saya selalu keluar masuk hutan dan banyak menghabiskan percutian di pulau. Bagi individu tidak terbiasa hidup di tempat pedalaman, saya percaya mereka hanya mampu bertahan sehari atau dua. Selepas itu mulalah hati meronta-ronta mahu pulang semula ke ibu negara. Kami menjalankan kegiatan seharian di rumah bot.

Cuma masalah dihadapi apabila hendak mandi, makan dan beli barang keperluan di kedai yang ambil masa beberapa jam daripada rumah penginapan. Saya juga seronok dapat lihat gajah dan makan durian di sekitar tasik ini.

SS: Kali pertama ditawarkan berlakon Niyang Rapik, saya terus berfikir tentang kemudahan elektrik dan penggunaan telefon bimbit. Terus-terang, saya susah hendak keluar dari Kuala Lumpur apatah lagi kena tinggal di kawasan hutan belantara.

Beberapa hari di sana, barulah saya seronok dapat memancing dan melakukan aktiviti menarik dengan pelakon lain. Cuma kecewa sikit kerana saya tidak dapat mandi-manda di tasik kerana tidak pandai berenang (tergelak besar).

Filem Formosa Betrayed papar kisah hitam Taiwan (Utusan Malaysia)

HONG KONG 2 Mac - Apabila China dan Taiwan berpecah pada 1949, pemimpin komunis di tanah besar itu telah dihasut oleh Barat, manakala pesaing politik mereka yang dikalahkan di pulau itu pula berlagak sebagai penegak kebebasan sehingga gerakan Nasionalis dianggap adalah segala-galanya.

Chiang Kai-shek memimpin wilayah jajahan berbentuk daun itu dengan penindasan.

Semasa pemerintahan komunisme, beliau telah memenjarakan dan mendera golongan aktivis, menapis penerbitan akhbar dan buku-buku serta mengehadkan penggunaan dialek tempatan penduduk Taiwan.

Kini, seorang penerbit filem kelahiran Taiwan-Amerika menggunakan skrip Hollywood bagi membawa zaman kegelapan sejarah pulau itu untuk ditonton oleh masyarakat antarabangsa.

Formosa Betrayed yang ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) sejak hujung minggu lalu sebahagiannya mengisahkan sejarah tersebut.

Ia bermula dengan seorang agen FBI yang menjelajah ke pulau itu untuk membantu menyiasat pembunuhan seorang pakar ekonomi Taiwan di Chicago.

Watak utama dibintangi oleh James Van Der Beek, seorang pelakon Amerika yang terkenal dengan watak drama TV remaja Dawson Creek.

Penerbit dan penulis filem itu ialah Will Tiao, bekas pembantu Kongres AS dan pegawai perdagangan yang kini beralih arah ke dalam dunia lakonan. - AP

The Hurt Locker berpotensi jadi filem terbaik Oscar (Utusan Malaysia)

HOLLYWOOD 2 Mac - Tujuh tahun selepas Michael Moore dimalukan di atas pentas semasa penyampaian Oscar kerana membantah serangan ke atas Iraq, sebuah filem yang memaparkan konflik mengenainya bersedia untuk meraih anugerah Akademi, yang bermula di sini kelmarin.

Hanya kurang seminggu lagi untuk Anugerah Oscar disampaikan di Kodak Theater, filem arahan Kathryn Bigelow, The Hurt Locker dikatakan berpotensi untuk dianugerahkan sebagai filem terbaik.

Sekiranya berjaya, ia akan mewakili kejayaan terbesar untuk filem aksi mengenai konflik di Iraq dan Afghanistan, yang menyaksikan The Hurt Locker sebagai sebuah filem komersial dan kritikan perang.

Paparan drama peperangan itu telah ditayangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada filem arahan Robert Redford pada tahun 2007 Lions for Lambs sehingga kepada filem Redacted arahan Brian De Palma, dengan hampir kesemuanya mendapat kejayaan yang besar dalam box-office.

Selain itu, kejayaan filem bajet rendah The Hurt Locker yang mendapat kritikan dan anugerah itu juga turut memaksa para penganalisis untuk meneliti semula pendapat konvensional mengenai sebarang filem yang cuba memaparkan konflik yang tidak popular dan ditakdirkan untuk menemui kegagalan.

"Filem itu cuba memfokuskan terhadap situasi yang sangat sangat sukar," kata Bigelow kepada pemberita di Beverly Hills baru-baru ini.

"Dengan konflik yang dipaparkan di Afghanistan dan Iraq, filem itu terus dilihat sebagai filem yang dihasilkan tepat pada waktunya.

"Filem itu memberikan paparan sepintas lalu mengenai konflik yang sangat abstrak. Saya rasa ia menyentuh perasaan penonton," katanya.

Tom O'Neil, seorang pengkritik daripada akhbar Los Angeles Times percaya The Hurt Locker meraih kejayaan ketika filem-filem yang lain menemui kegagalan memandangkan Bigelow mengelak daripada membuat sebarang kenyataan politik mengenai perang di Iraq. - AFP

Tam, Syafie kejar cita-cita (Utusan Malaysia)


SYAFIE dan Tam bergandingan dalam drama siri terbaru untuk slot Aksi di TV3 iaitu Jidin.


SETIAP daripada kita, tentunya mahukan kehidupan masa depan yang lebih baik dan tidak statik dengan apa yang dimiliki ketika ini. Begitu juga bagi insan seni bernama Nor Azemi Suhaimi atau Tam dan Syafie Naswip yang digandingkan menerusi drama bersiri Jidin.

Mengharapkan perjalanan di masa mendatang lebih baik, Tam dan Syafie punyai impian tersendiri untuk maju dalam bidang hiburan tanah air.

Bagi Tam yang bakal mencapai usia 31 tahun menjelang 20 Mac ini, dirinya tidak terlepas daripada inginkan kejayaan dalam hidup dan juga kerjaya.

Biarpun insan yang 'memasuki' bidang seni silih berganti dan mendapat perhatian lebih daripada produser, ia bukanlah satu masalah besar buat Tam.

Bagi Tam, setiap daripada manusia itu berhak untuk mencapai kejayaan dan ia tidak perlu dihalang dengan rasa iri hati.

Tam melihat kehadiran pelakon baru adalah sebagai mewarnakan lagi bidang seni.

Begitu juga dengan kehadiran pengarah-pengarah baru, katanya, ia memberikan kesan baik dan mencambahkan lagi idea-idea baru.

Namun, di sebalik kemunculan wajah-wajah baru itu, Tam yang mula berlakon sejak 1986, kini turut mencari hala tuju baru bagi mengembangkan bakat.

"Alhamdulillah, sudah 24 tahun saya berlakon. Daripada berlakon, saya kembangkan bakat kepada penulisan skrip dan kerja-kerja di belakang tabir.

"Kini, saya dan Farish Aziz serta seorang lagi teman dari Singapura, Nizam Rahman di bawah syarikat milik kami, Chantek Pictures akan menerbitkan telemovie Cheritera,'' jelas Tam ketika ditemui di lokasi penggambaran Jidin di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya mengenai bidang pengarahan, Tam berkata, impian itu ada tersimpan dalam hatinya tetapi buat masa ini dia masih belum bersedia.

"Ada banyak lagi yang saya perlu pelajari sebelum bersedia untuk menjadi seorang pengarah. Bukan mudah menjadi pengarah kalau ilmu tidak cukup di dada,'' kata Tam yang bertindak sebagai penulis skrip drama komedi Dunia Anita, Puteri, Gaia, Adam, Bujang Antik serta Cheritera.

Bermula Isnin lalu (1 Mac), melalui slot Aksi di TV3 yang bersiaran pada pukul 9 malam, Tam dan Shafie muncul dalam drama bersiri Jidin.

Muncul untuk 13 episod, Jidin terbitan Grand Brilliance, Primeworks Studios arahan Emi Suffian menggandingkan dua watak utama iaitu Tam selaku Jidin, seorang makhluk asing dari Planet Cyrius B dan Syafie Naswip memegang watak Fendi.

Jidin memaparkan kisah Fendi, pelajar di sebuah kolej yang suka menyendiri sambil membaca buku tentang angkasa lepas. Keadaan Fendi yang tidak gemar bercampur gaul membuatkannya sering menjadi bahan ejekan pelajar lain.

Merindui Allahyarham Yasmin Ahmad

Bagi Syafie, biarpun baru menamatkan persekolahan di tingkatan lima, 'anak emas' kepada pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad ini, enggan meninggalkan bidang seni andai diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi nanti.

Bagaimanapun, Syafie sempat berkongsi cerita tentang dirinya yang pernah berhasrat berhenti berlakon tatkala pemergian Allahyarham.

"Selepas Allahyarham meninggal dunia, saya memerap dalam bilik sahaja selama tiga bulan. Saat itu, saya terfikir untuk berhenti berlakon.

"Saya sudah tidak ada tempat untuk mengadu kerana Allahyarham banyak membantu saya. Filem Talentime adalah filem terakhir saya bersamanya,'' kata Syafie yang cukup merindui pengarah tersohor itu.

Jelasnya, sepanjang tempoh 'memerap' dalam bilik, dia banyak menerima semangat daripada insan bernama Fatimah Abu Bakar, rakan karib Allahyarham Yasmin.

Daripada nasihat dan semangat yang diberikan, dia mengakui mula membuang rasa sedih demi masa depannya.

"Bukan sahaja lakonan, pelajaran saya juga merosot. Cikgu pun ramai yang marah. Peperiksaan percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya tidak berapa bagus kerana terkenang arwah yang baru meninggal ketika itu.

"Alhamdulillah kerana sewaktu SPM, saya dapat memberikan fokus dan menjawab dengan baik. Sekarang sedang berdebar menunggu keputusan.

"Saya merancang untuk menyambung pengajian. Kalau boleh hendak cari kursus yang lari daripada bidang seni. Saya mahu cari kursus lain supaya hidup saya ada kepelbagaian,'' menurutnya yang bakal menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar Mac atau April ini.

Cerita tentang Jidin

Sementara itu, berbalik kepada Tam, tatkala diminta mencelah bercerita tentang Jidin, berkata, Jidin memberikannya sedikit cabaran untuk tidak terlalu 'meniru' atau menyamai dengan mana-mana karakter makhluk asing yang lain.

Mengenai lakonannya bersama Syafie, kata Tam, biarpun Syafie boleh dikatakan masih baru, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia itu mudah membiasakan diri dengan sesiapa sahaja.

"Saya pernah berlakon dengan Syafie sebelum ini melalui telemovie Takbir Kasih 2.

"Biarpun Jidin adalah drama bersiri pertama lakonannya, Syafie memiliki bakat lakonan yang bagus,'' katanya.

Selain Tam dan Syafie, Jidin turut dibintangi Amanda Misbun selaku Fuza, Zahiril (Radi), Noorkhiriah (Pensyarah Rusila), Bell Ngasri (Dazur), Kazar (Man Black), Fauzi Nawawi (Antar) dan Didie Alias (Mak Intan).

V3 Samseng Jalanan Trailer




Adnan Sempit Trailer



Tajuk : Adnan Sempit

Sinopsis : Mengisahkan Adnan, seorang mat rempit anak yatim piatu yang dibela serta dijaga oleh makciknya sejak kecil selepas kematian ayahnya. Nadia dilahirkan dalam keluarga mewah dan stabil dalam kerjayanya. Nadia sering ditemani pembantu peribadinya,Wawa.Wawa adalah teman wanita kepada Bobby dan juga menjadi sahabat pada Adnan. Nadia pernah kecewa akibat putus cinta, menyebabkan Nadia susah dan takut untuk bercinta lagi. Sehinggalah pada suatu hari, rakan-rakannya merancang untuk membuat reunion party. Pada mulanya Nadia kurang bersetuju, tetapi Nadia disindir enggan pergi ke reunion tersebut kerana malu tiada teman lelaki. Nadia tercabar dan kebetulan Adnan lalu di hadapan mereka dengan tidak sengaja. Nadia terus menarik Adnan dan terus memperkenalkan Adnan adalah teman lelakinya.

Nadia berjinak-jinak dengan dunia Adnan sebagai seorang mat rempit dengan niat untuk mengenali Adnan dengan lebih mendalam. Nadia sangat teruja. sehinggalah satu kejadian berlaku di mana Zack telah cuba mengambil kesempatan pada Nadia dan Adnan menyerang sehingga menyebabkan pergaduhan besar. Nadia mula merasa tidak selesa serta memarahi Adnan dan semenjak kejadian itu Nadia mula rasa benci pada Adnan walaupun Adnan cuba memujuk.

'Anur Aminah, Tiz Zaqyah tak sama' (Berita Harian : B*Pop)


Oleh Zubir Mohd Yunus

Foto Tiz bersosial bersama teman-teman kini tersebar di internet.

POPULARITI drama bersiri terbaru arahan Khabir Baktiar, Nur Kasih sebanyak 26 episod mulai 29 Mei lalu di TV3, mencapai rating membanggakan. Lakonan aktres jelita yang juga bakat baru, Tiz Zaqyah, 21, di sisi aktor, Remy Ishak berjaya meronta jiwa penonton. Lakonannya berbekas di jiwa penonton.

Tiz memegang watak sebagai Nur Amina - gadis solehah, bertudung litup, isteri kepada Adam (lakonan Remy). Menerusi Nur Kasih, Nur Amina digambarkan sebagai seorang isteri yang banyak membuat pengorbanan untuk menggembirakan hati orang lain sekalipun hati dan perasaannya terluka. Pun begitu, dalam kerancakan populariti Nur Kasih, industri hiburan dikejutkan dengan penyebaran beberapa gambar foto Tiz menerusi internet yang memperlihatkan dia sedang bersosial di pusat hiburan bersama beberapa teman sambil mengenakan pakaian seksi, sementara meja mereka pula kelihatan beberapa botol arak. Ini mengundang tanda tanya sekali gus ada dakwaan mengaitkan Tiz turut mengambil minuman keras!

Keadaan Tiz yang dilabel gadis remaja gemar bersosial bertentangan dengan keperibadian Nur Amina dalam Nur Kasih, sekali gus mendatangkan perasaan tidak senang peminat drama itu. Tiz dituduh hipokrit! Rabu lalu, B*Pop menemui Tiz untuk mengulas isu ini dan dia mengakui kesilapannya, lalu meminta maaf. Baginya, Tiz tetap Tiz dan Nur Amina adalah Nur Amina.

"Memang Nur Kasih meninggalkan impak kuat di jiwa penonton kerana karya terbaru Khabir Baktiar ini sangat unik. Nur Kasih membawa unsur universal, keagamaan, cinta dan kasih sayang. Saya sendiri membawa watak sebagai Nur Amina, seorang wanita solehah dan bertudung. Alhamdulillah saya berjaya membawa watak Nur Amina seperti diminta Khabir.

Tiz dan lakonannya sebagai Nur Amina.

Namun, agak mengecewakan saya, dalam kerancakan Nur Kasih masih bersiaran di TV3, tiba-tiba badai melanda apabila beberapa foto saya bersosial di pusat hiburan bersama beberapa teman tersebar dalam internet. Saya akui, imej yang boleh disaksikan di internet itu adalah milik saya bersama teman-teman. Namun, ia adalah foto lama sebelum saya memulakan penggambaran Nur Kasih lagi.

Ada juga dakwaan mengatakan seorang daripada beberapa lelaki yang bergambar dengan saya itu adalah teman lelaki saya, namun saya menafikannya. Semuanya adalah teman baik saya, tiada satu pun istimewa di hati saya. Sebagai remaja, apabila saya bersosial, saya sekadar berseronok dan berhibur bersama teman pada waktu lapang.

Bagi saya, bersosial itu membawa maksud sangat umum. Ia bukannya sesuatu perkara yang tak elok. Lagipun bukannya saya selalu bersosial, hanya apabila ada kelapangan, baru saya bergembira bersama teman-teman. Pun begitu, apa yang saya lakukan dalam hidup, ada batasannya.

Orang menuduh saya turut mengambil minuman keras berdasarkan foto berkenaan, macam mana dia orang tahu saya pun ambil minuman berkenaan? Mereka ada bersama saya di situ ke? Berdasarkan foto, minuman keras itu sekadar terhidang di depan meja kami. Namun, sejauh mana kita boleh menilai foto berkenaan? Lainlah kalau orang yang menuduh itu berada di situ bersama kami.

Perspektif orang macam-macam berdasarkan foto berkenaan, saya dihentam hebat dalam blog. Mereka hentam saya teruk sangat sehingga tidak sedar mereka mencarut! Bahasa digunakan juga sangat kesat sehingga membabitkan nama keluarga. Cara mereka menulis itu seolah-olah mereka sangat mengenali diri kita berbanding diri kita sendiri.

Pedih dihentam dalam blog

Bagi saya, Tuhan Maha Adil. Apabila tersebarnya foto berkenaan di internet, saya percaya ini mungkin pembalasan Tuhan pada diri saya di atas kesilapan dan kelalaian masa silam. Saya reda dan saya cuba memperbaiki diri saya sebaik mungkin. Namun, apabila saya membaca kembali apa yang ditulis dalam blog, memang pedih dan kadang kala saya rasa macam tak masuk akal. Perasaan marah pun ada.

Saya marah sebab cara mereka menulis, mengutuk itu, sangat kurang ajar! Mereka nampak botol arak depan saya, tapi masalahnya mereka nampak ke saya minum? Jangan menuduh sekiranya mereka tidak berada di situ. Saya masih waras, masih tahu menilai halal dan haram.

Bagi saya, apabila tersebarnya foto dalam internet ketika Nur Kasih sedang mendapat sambutan, saya dapat mengagak, wujudnya musuh dalam selimut yang ingin melihat kejatuhan saya. Kenapa baru sekarang foto berkenaan disebarkan ketika populariti Nur Kasih sedang memuncak, kenapa tidak dulu lagi kerana foto itu sudah lama dirakamkan?

Ketika nama saya baru nak bertapak dalam industri hiburan ini, terus saja foto itu tersebar. Tapi, kita tak boleh tutup mulut orang. Janganlah menilai seseorang itu berdasarkan foto semata-mata. Setiap daripada kita pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya tahu ada pihak ingin menjatuhkan saya. Namun, bagi saya, ini adalah cabaran di permulaan karier seni saya.

'Agama, kerja dua perkara berbeza'

Mulai sekarang, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap langkah di luar sana. Saya juga akan lebih berhati-hati dalam melayari kehidupan peribadi. Namun, apabila tersebarnya foto seumpama ini, saya susah lagi nak percaya kawan. Mungkin ada kawan-kawan baik saya yang tidak berpuas hati, lalu menyebarkan foto kami bersosial di internet. Saya berjanji akan cuba memperbaiki kesilapan diri.

Sebagai pelakon, saya hanya menjayakan watak diberikan. Jangan campur-adukkan kehidupan peribadi saya dengan watak yang saya jayakan dalam Nur Kasih. Orang bertanya, tak malu ke hipokrit dengan agama? Kita berlakon, baik, tapi kehidupan sebenar adalah sebaliknya. Bagi saya, agama dan kerja adalah dua perkara berbeza.

Apabila bekerja saya menjayakan watak Nur Amina seorang wanita solehah, tapi kehidupan peribadi saya, saya tidak bertudung dan ada kalanya bersosial bersama teman-teman. Saya akui, itu adalah diri saya. Sebenarnya orang tersalah anggap maksud sosial, bila sebut sosial, orang terbayang benda tak elok. Saya sendiri sebenarnya mengimpikan untuk menjadi seorang Nur Amina, namun Tiz Zaqyah belum bersedia menjadi Nur Amina.

Bagaimanapun dengan tersebarnya gambar-gambar saya bersosial, sekali gus melukakan hati peminat Nur Kasih, saya mohon kemaafan daripada semua. Ia memang kesilapan saya. Saya harap selepas ini peminat menilai saya berdasarkan bakat lakonan. Tiz Zaqyah akan tetap menjadi Tiz Zaqyah dan Nur Amina adalah watak yang menyemarakkan Nur Kasih."

INFO: Tiz
NAMA PENUH: Siti Zaqyah Abdul Razak
NAMA KOMERSIAL: Tiz Zaqyah
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik
KOMERSIAL: Vanilla Coke dan Silky Girl
DRAMA BERSIRI: Impian Illyana 2, Impian Illyana 3, Impian Sunsilk dan Nur Kasih (kini bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3)
TELEMOVIE: Taxi Driver, Bernafas Dalam Lumpur, Seandainya Aku Siti dan Puaka Topeng Putih.

Memang seram tonton Niyang Rapik (Berita Harian : B*Pop)

OIeh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



NIYANG Rapik mungkin agak asing pada pendengaran. Ia bukanlah hantu, jembalang atau jin tanah sebaliknya Niyang Rapik digambarkan sebuah perkampungan terpencil yang jauh daripada kepesatan bandar. Lokasinya agak menyeramkan, tersorok dan tiada jalan darat.

Pengarah terkenal, Ahmad Idham tidak pernah kecundang dalam menghasilkan filem seram. Disebabkan itulah Ahmad Idham meneruskan perjuangan seninya dengan menerbitkan filem Niyang Rapik yang asalnya dihasilkan dalam bentuk drama bersiri, Puaka Niyang Rapik.

Drama Puaka Niyang Rapik yang disiarkan menerusi kaca TV3 berjaya mencapai rating tertinggi hampir 400,000 penonton. Bagaimanapun, untuk disesuaikan dengan penonton di layar perak, kisah yang diketengahkan lebih seram dan `terangkat' apabila menontonnya.

Mungkin ramai yang menganggap Ahmad Idham sudah banyak menghasilkan filem atau drama bergenre seram, namun hakikatnya pengarah berjiwa besar itu hanya menghasilkan tiga filem seram iaitu Jangan Pandang Belakang, Congkak dan terbaru, Niyang Rapik. Beberapa filem seram sebelumnya seperti Jangan Tegur bukanlah hasil sentuhan Ahmad Idham sepenuhnya, sebaliknya beliau hanyalah penasihat pengarah.

Niyang Rapik terbitan syarikat Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama MIG Production Sdn Bhd sebagai pengedar dan ejen promosi filem itu. Ia dijangka bakal menggegar pawagam seluruh Malaysia pada Khamis, 25 Februari ini. Ia menampilkan lima pelakon muda berbakat besar iaitu Awal Ashaari selaku Amir, Kamal Adli (Helmi), Shaheizy Sam (Zizan), Zed Zaidi (Saiful) dan Fizz Fairuz (Zack), selain satu-satunya bunga iaitu Liyana Jasmay (Laila) dengan dibantu oleh Nasir Bilal Khan (Tok Neram), Shahronizam Noor (Pak Salleh), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Bomoh) dan Dian P Ramlee (Ibu Zack).

Hampir 10 hari berkampung di Tasik Kenyir, Terengganu, nyata sentuhan Ahmad Idham tidak kecundang. Suasana dan latar Tasik Kenyir sendiri sudah pasti membuatkan penonton berdiri bulu roma dan tidak sabar menanti kesudahan filem berkenaan.

Menariknya, permainan babak demi babak cukup menarik. Walaupun pada awalnya, filem ini melahirkan tanggapan pada kerambit lama, namun kesudahan ceritanya cukup berbeza. Biarpun sentiasa membuatkan penonton berteka-teki dengan jalan cerita, tetapi tidak sukar untuk memahaminya kerana Ahmad Idham memudahkannya dengan jalinan plot yang lancar dan tidak tergantung.

Itulah kelebihan Ahmad Idham yang berpengalaman luas, walaupun membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya, diselit pula adegan menyeramkan dan mencemaskan tetapi tiada kekurangan yang boleh mengganggu keseluruhan jalan cerita Niyang Rapik. Dan tentunya pujian diberikan kepada Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang mampu menyerlahkan keseraman filem ini dengan sinematografi yang cantik dan redup mata memandang di tengah-tengah Tasik Kenyir.

Menggabungkan pelakon muda yang berbakat besar seperti Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz dan Liyana Jasmay dilihat sebagai kekuatan filem ini. Mereka menzahirkan lakonan yang hebat, biarpun ada ketikanya mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Enam watak utamanya ini nyata tidak tenggelam dan setiap mereka membangunkan karakter masing-masing dengan baik.

Kisah bermula dengan kematian Zack secara misteri. Zack mati disebabkan busung pada perutnya. Kematian Zack memeranjatkan empat sahabat baiknya, Helmi, Saiful, Zizan dan Amir. Mereka cuba membongkar misteri di sebalik kematian Zack selepas mereka pulang daripada melakukan kajian sejarah di sebuah perkampungan, Niyang Rapik kira-kira setahun lalu.

Selepas diselidik, mereka mendapati Zack mengambil kerambit lama ketika melakukan projek kajian arkeologi di Niyang Rapik. Atas nasihat seorang bomoh, mereka kembali ke Niyang Rapik untuk memulangkan semula kerambit lama yang dikhuatiri penyebab penyakit busung Zack. Dalam perjalanan ke kampung Niyang Rapik, mereka melalui pelbagai kejadian aneh. Bermula dengan Zizan secara tiba-tiba rasa kepanasan seperti disantau, diikuti pula dengan gangguan puaka rimba menyebabkan mereka dalam ketakutan.

Ketibaan mereka di kampung Niyang Rapik disambut oleh seorang gadis yang banyak membantu mereka ketika melakukan kajian dulu. Laila, anak Tok Neram tidak seriang dulu, wajahnya menggambarkan seribu misteri. Niyang Rapik tidak seperti perkampungan yang mereka lalui dulu, wajah-wajah penduduk menggambarkan seribu misteri. Selepas kerabit dipulangkan pada Tok Neram, gangguan ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Helmi pula terkena apabila matanya terkena santau bisa buluh, Helmi seperti orang buta.

Keadaan menjadi huru hara, anggapan mereka kerabit menjadi punca nyata meleset sama sekali.

  • JUDUL: Niyang Rapik
  • GENRE: Seram
  • PRODUKSI: Excellent Pictures Sdn Bhd
  • PENERBIT: Azlan Shah Jaffril & Ahmad Idham
  • PENGARAH: Ahmad Idham
  • PELAKON: Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Nasir Bilal Khan, Shahronizam Noor, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P Ramlee
  • PENGARAH FOTOGRAFI: Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin
  • MULA TAYANG: 25 Februari 2010

V3: Samseng Jalanan papar aksi berani (Berita Harian : B*Pop)

  • Filem: V3: Samseng Jalanan
  • Pengarah: Farid Kamil
  • Produksi: MIG Productions
  • Produser: David Teo
  • Pelakon: Farid Kamil, Bront Palarae, Aqasha, Radhi (OAG), Intan Ladyana, Shaharuddin Thamby, Lisa Surihani, Adam Corrie dan Wan Norazlin
  • Genre: Aksi/Drama
  • Mula tayang: 11 Mac 2010
MEMBAWA latar dan aksi yang tidak jauh daripada filem Remp-It yang ditayangkan pada 2006, sentuhan pertama pelakon berbakat besar, Farid Kamil menerusi V3: Samseng Jalanan menyerlahkan kredibilitinya sebagai pengarah muda yang berpotensi. Berbeza Remp-It yang lebih memfokus kepada naratif kehidupan mat rempit, V3: Samseng Jalanan mengetengahkan mood lebih mendebarkan dibaluti babak yang sarat aksi.

V3: Samseng Jalanan juga membentangkan plot cerita lebih berat dan serius, barangkali menjadi pencetus kepada pihak berkuasa supaya membuka mata dan bertindak secara lebih efektif bagi mencari penyelesaian bagi membanteras aktiviti kurang sosial yang merosakkan golongan muda itu. Menelan belanja sekitar RM1.8 juta, V3: Samseng Jalanan bagi sesetengah penonton akan dilihat sebagai sebuah filem yang mengangkat mat rempit sebagai seorang wira.

Sebaliknya, pengarah muda yang meraih kepercayaan produser prolifik, David Teo dalam senarai Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan MIG Production itu mewakili suara pelumba jalanan supaya didengar dan diambil tindakan. Cuba menyelami dunia remaja yang terbuka kepada pelbagai gejala sosial, jiwa muda Farid sebagai pengarah dapat ditelah apabila fokus diberikan lebih kepada aksi hingga melonggarkan sedikit naratif filem ini.

Luahan gejolak jiwa remaja turut diterjemahkan menerusi dialog barisan pelakonnya yang jelas menggambarkan kehidupan anak muda yang terbabit dalam aktiviti lumba haram.

Farid yang juga penggemar filem aksi arahan Michael Bay itu turut mengambil inspirasi daripada sentuhan Osman Ali dalam Anak Halal untuk membentuk V3: Samseng Jalanan menjadi sebuah produksi yang dekat dengan penonton muda. Barangkali kerana semangat mudanya yang membara, Farid membentuk V3: Samseng Jalanan menjadi sebuah filem aksi yang agak berani dan mendebarkan.

Keberanian itu menjebak Farid terpaksa berdepan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan filem ini menemui khalayak.

Namun suntingan yang dilakukan sehingga 20 peratus daripada salinan asal tidak menjejaskan keseluruhan perjalanan V3: Samseng Jalanan.

Bagaimanapun, sedikit kekuarangan dari segi pembinaan karakter serta struktur naratif filem itu dapat dikesan tetapi kekurangan itu tidak ketara mengganggu persembahan filem ini.

Seperkara yang jelas, Farid tidak membiarkan V3: Samseng Jalanan berjalan tanpa arah dan cenderung negatif kerana filem itu turut dikembangkan kepada unsur positif yang diterapkan menerusi pengucapan dialog pelakonnya. Barangkali kerana terlalu memfokus kepada babak aksi, Farid terlepas pandang kepada momentum naratif filem itu yang sedikit mendatar tanpa momen untuk menangkap tumpuan khalayak.

Berdepan dua tugas serentak iaitu sebagai pengarah dan pelakon, Farid menjayakan amanah yang diberikan kepadanya dengan baik.

Watak Rudy yang mewarisi darah pelumba daripada ayahnya yang memiliki bengkel motosikal namun cuba berubah apabila berhijrah ke Kuala Lumpur dibawanya dengan baik.

V3: Samseng Jalanan turut disokong barisan pelakon yang diakui kehebatan mereka seperti Bront Palarae sebagai Brett, Aqasha (Garing) dan Adam Corrie (Sam Seng). Lisa Surihani juga mempamerkan kekuatan lakonan di luar jangkaan menerusi watak antagonis, Kamsah iaitu pengikut setia Garing yang menguasai lumba haram di Kuala Lumpur.

Mungkin kerana selama ini kerap diajukan watak ringan menyebabkan karisma Lisa di layar perak kurang menyerlah sedangkan dia mempunyai kekuatan untuk diteroka sepenuhnya. Sama seperti Radhi yang bersahaja dan selamba memainkan peranan Lan Ribut yang gemar menipu untuk kepentingan diri.

Sinopsis:

BERKISAR Rudy dan sahabatnya, Brett yang terjerumus dalam satu masalah besar apabila kawan baik mereka, Shah dan Liza meninggal dunia dalam satu kemalangan. Memburukkan keadaan apabila Shah turut menyimpan dadah menyebabkan Rudy dan Brett menjadi buruan polis. Mereka mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur dan berazam mengubah kehidupan. Brett menemukan Rudy dengan Lan Ribut lalu dibawa ke kedai Sam Seng yang dikawal along, Wan Blost.

Dalam satu pertaruhan, Rudy tewas kerana Garing main kotor - membuatnya berhutang RM10,000 dengan Sam Seng. Kecederaan yang dialaminya menemukan Rudy dengan Lisa lalu menjadikan rumah gadis itu sebagai tempat persinggahan. Garing masih mencari Rudy untuk menagih hutang lalu menyusun satu perlumbaan. Bagaimanapun, Rudy enggan terbabit menyebabkan Garing mencari jalan menculik Lisa. Garing bagaimanapun tewas dalam perlumbaan itu.

Nabil akui tak puas hati (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my

Antara adegan menarik dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie.

Lu Fikirlah Sendiri De Movie lebih mantap jika jalan cerita diperkemas

JUDUL: Lu Fikirlah Sendiri De Movie
GENRE: Komedi Romantik.
PRODUKSI: SDAF Pictures Sdn Bhd.
PENERBIT: Aminah Rhapor.
PENGARAH: Aminah Rhapor.
PELAKON: Nabil, Puteri Sarah Liyana, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.
SINEMATOGRAFER: Raja Mukhriz.
MULA TAYANG: 11 Februari 2010.

SESUAI untuk penonton yang inginkan hiburan ringan dan santai, filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor akan membuai seribu satu perasaan - ketawa, menangis dan sakit hati.

Filem pertama terbitan SDAF Pictures Sdn Bhd itu akan menemui penonton di pawagam bermula 11 Februari ini. Ia menggandingkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad bersama Puteri Sarah Liyana. Turut membintangi filem ini, juara Akademi Fantasia 5, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.

Lu Fikirlah Sendiri De Movie diambil dari slogan `trademark' yang sering dilaung-laungkan Nabil hingga menjadi ikutan ramai - Lu Fikirlah Sendiri. Sudah tentu jalan ceritanya bersangkut paut dengan Nabil. Ya, memang kisah hidup Nabil sebelum bergelar juara Raja Lawak musim kedua difilemkan. Pengarah dan penerbit memilih Nabil kerana tertarik bakat luar biasanya. Ketika itu, Nabil baru saja keluar dari gelanggang Raja Lawak kira-kira dua tahun lalu.

Dari seorang penjual ayam, mat despatch, mekanik di sebuah bengkel motosikal dan peniaga kuetiau goreng di pasar malam, semuanya dipaparkan dalam Lu Fikirlah Sendiri De Movie. Namun, jalan ceritanya diperindahkan lagi dengan kisah cinta yang menggeletek hati.

Seakan bernada tidak puas hati dengan hasil garapan filem itu, Nabil menganggap apa yang dihasilkan tidak sampai, malah jalan ceritanya longgar dan dilakukan tanpa penelitian. Banyak babak melompat dan tidak difahami apa tujuannya, selain kelibat kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussein (MUH) yang sentiasa memegang `gitar tong' menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan ramai pihak.

Sehingga Nabil ke tandas pun, MUH sentiasa mengekorinya dengan membawa gitar tong. Apa relevannya? Tidak dinafikan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie mahu diolah dalam bentuk muzikal apabila lagu-lagu baru nyanyian MUH sering mengiringi latar belakang cerita, tetapi adakah perlu MUH dijadikan seperti `pari-pari' yang sentiasa mengekori Nabil? Cukuplah sekadar lagu-lagu MUH diperdengarkan, mereka tak perlu muncul sana-sini.

Bagaimanapun, sedikit kekurangan tidak mengusutkan keseluruhan jalan cerita. Lu Fikirlah Sendiri De Movie tetap filem yang bagus dan seronok ditonton, selain banyak babak yang ditampilkan mencuit perasaan cuma garapannya perlu diperkemaskan lagi. Cuma, ia memang sesuai dengan judulnya untuk menyuruh penonton fikirlah sendiri apa maksud yang ingin disampaikan menerusi ceritanya.

Lakonan Nabil biarpun ketika itu baru beberapa bulan keluar gelanggang Raja Lawak tidak menghampakan. Nabil mampu menghayati watak sedih dengan baik, menitis air mata menyaksikan babak pergaduhan dengan abangnya yang juga penagih dadah. Nabil ketika itu tertekan apabila dibuang kerja, motosikal pula dicuri oleh abangnya sendiri, selain melihat bapa yang terlantar sakit dan keluarga bergantung hidup dengannya. Mungkin lain daripada filem-filem Nabil sebelum ini, Lu Fikirlah Sendiri De Movie menyaksikan Nabil mengalirkan airmata mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya.

Mila memegang watak Aishah, adik kepada Nabil. Biarpun hanya berlakon enam babak, lakonan pertama Mila di layar perak tidak mengecewakan. Mila mampu mempamerkan kesedihan apabila mengenangkan kesusahan pada keluarga. Hingga mahu menukar kasut sekolah yang koyak rabak pun tidak mampu dan bergantung harapan pada Nabil yang kerap bertukar kerja.

Puteri Sarah memegang watak Natasha, seorang anak hartawan yang cantik, menyombong, berlagak dan masih belajar di universiti. Natasha dan Nabil tidak boleh bersua muka, mereka pasti bergaduh besar. Nabil tidak suka gadis yang berlagak dan menggunakan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri.

Dan kejadian mereka bergaduh hingga ada adegan Natasha membaling kasut pada Nabil pastinya akan membuatkan penonton tergelak besar.

Nabil dan Natasha dipertemukan rakan lama Nabil, Zizan Raja Lawak yang belajar universiti yang sama dengan Natasha. Sikap poyo Nabil yang selamba mengutuk Natasha membuatkan gadis itu sakit hati dan berdendam dengannya. Bagaimanapun, perasaan benci akhirnya bertukar menjadi sayang. Cuma penulis tidak faham kenapa mesti ada babak Nabil memegang gitar tong ketika duduk dibuaian di rumah Natasha? Gitar tong seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan filem ini. Secara keseluruhan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie buat penonton terfikir-fikir!

Sinopsis: Lu Fikirlah Sendiri

Mengisahkan impian, cita-cita dan cinta. Nabil (Nabil) dan Natasha (Puteri Sarah) adalah dua garisan yang tidak mungkin bertemu dan melayakkan mereka bercinta. Seorang anak hartawan, seorang lagi pekerja biasa yang menanggung keluarga. Mereka mempunyai pandangan hidup berbeza, seorang pelajar universiti, seorang lagi jejaka yang suka bertukar-tukar kerja.

Pada pertemuan pertama, Nabil dan Natasha sudah tidak sefahaman, bertengkar dan bergaduh disebabkan prinsip hidup masing-masing. Pergaduhan berterusan apabila Natasha sering memburu Nabil kerana merasakan dirinya dihina. Nabil pula sedaya upaya mengelak pertemuan. Walaupun sebenarnya cinta berputik di hati, tetapi mereka cuba menafikan. Akhirnya benci menjadi rindu. Mereka takut menzahirkan perasaan, tetapi sebenarnya mereka saling terpikat.

Seksanya hidup jadi kembar siam (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Keutuhan kasih ibu bapa menguatkan mesej 2 Hati 1 Jiwa.

Filem: 2 Hati 1 Jiwa

Pengarah: Prof Madya Razak Mohaideen

Pelakon: Fouziah Gous, Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Ziela Jalil, Mustapha Kamal, Iqram Dinzly dan Irma Hasmie

Genre: Drama/Komedi

Tarikh Tayangan: 28 Januari 2010

DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar pasangan kembar Siam dari Iran, Laden dan Laleh yang pernah mencuri perhatian dunia sedikit masa lalu, Profesor Madya Razak Mohaideen menyerap semangat dua hati satu jiwa pasangan berkenaan dalam sentuhan terbarunya.

Menerusi 2 Hati 1 Jiwa, Razak mengajak penonton untuk merasai segala kepayahan dan kesulitan yang dialami pasangan kembar di samping memupuk sikap prihatin terhadap golongan kurang upaya. Realitinya Laden dan Laleh menemui ajal selepas menjalani pembedahan penuh risiko di Singapura tetapi tidak kepada Lana dan Lina yang memperoleh kebebasan diimpikan selepas dipisahkan.

Filem 2 Hati 1 Jiwa juga memaparkan ketulusan kasih seorang ibu yang tidak sanggup melihat penderitaan yang ditempuhi anak kesayangannya. Turut dipaparkan kehadiran cinta yang tidak mengenal sifat serta kekurangan seseorang, mungkin kedengaran klise namun realitinya setiap insan berhak untuk dicintai dan mencintai.

Filem bercorak kekeluargaan ini, bagaimanapun, tidak memberatkan pemikiran atau terlalu menekan perasaan penonton untuk tenggelam dalam kekalutan serta dilema yang dihadapi pasangan kembar itu.

Sebaliknya Razak mengambil pendekatan ringan dan ringkas dengan menyelitkan unsur komedi untuk mengimbangi perjalanan filem itu.

Kebiasaan formula yang menjadi identiti Razak dalam setiap garapannya lantaran menyedari sebilangan besar penonton selesa memilih genre menghiburkan.

“Dalam setiap filem yang dihasilkan saya cuba membawa rencah berbeza. Sama seperti 2 Hati 1 Jiwa, kisah unik ini belum pernah dicuba dalam mana-mana industri perfileman. Ia memberi keyakinan kepada saya, filem ini mempunyai kekuatannya tersendiri. Perancangan besar saya adalah untuk membawa 2 Hati 1 Jiwa ini ke luar negara sekali gus mengenengahkan isu semasa bercorak kejiwaan,” katanya.

Filem ke-28 arahan Razak itu juga menelan kos penerbitan yang tinggi terutama untuk solekan kesan khas bagi mencantumkan dua watak utamanya, Lana lakonan Fouziah Gous dan Lina oleh Yasmin Hani.

Membelanjakan hampir RM200,000 untuk kesan khas yang menggunakan khidmat pakar dari Q-FX, Bangkok, 2 Hati 1 Jiwa menjadi taruhan besar Lineclear Motion Pictures untuk permulaan 2010.

Pertaruhan berani Lineclear apabila menampilkan Fouziah dan Yasmin Hani sebagai teraju utama meskipun watak kembar itu turut diintai beberapa pelakon besar lain. 2 Hati 1 Jiwa menguji kekuatan fizikal dan mental dua pelakon muda itu untuk berdepan pelbagai kesukaran sepanjang 25 hari penggambaran.

Untuk menyiapkan kesan solekan saja, mereka terpaksa berada di lokasi tiga jam awal sebelum penggambaran dilakukan.

Pelbagai kesukaran terpaksa ditempuhi, malah memberi kesulitan kepada mereka untuk bergerak dan makan sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kesakitan pada bahagian pinggang.

“Nampak mudah, pergerakan kami juga kelihatan seiring tetapi kesakitan yang ditanggung cuma Tuhan saja yang tahu. Untuk meredakan kesakitan itu, kami terpaksa tidur. Satu cabaran ketika penggambaran dilakukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila tiada katil disediakan untuk kami berehat.

“Disebabkan tiada pilihan lain, saya dan Yasmin terpaksa menyusun sofa dan berbaring di atas lantai kerana kesakitan yang ditanggung berlanjutan sehingga akhir penggambaran,” kata Fouziah.

Lana diterjemahkan Fouziah sebagai seorang yang ceria dan keanak-anakan tetapi malangnya apa yang cuba ditonjolkannya itu tidak kesampaian. Lana terlalu keanak-anakan, tidak sepadan usianya yang sudah mencecah 21 tahun. Bahkan ada ketika persembahan lakonan Fouziah seperti menggambarkan Lana berdepan kecacatan mental.

Fouziah harus belajar mengawal lakonannya supaya tidak nampak keterlaluan dan dibuat-buat. Dia masih lemah dalam memahami tuntutan skrip membuatkan kemunculan Lana membangkitkan rasa rimas kepada penonton.

Pujian wajar diberikan kepada Yasmin yang memainkan peranan Lina. Dia menterjemahkan watak Lina dengan baik, malah menyerlahkan kematangannya sebagai kakak yang menjadi pelindung kepada adik kembarnya. Yasmin tidak terlalu mencuba tetapi Lina di tangannya dibawakan dengan ringan dan kemas namun menyerlahkan kematangan dan pemahamannya terhadap lakonan.

2 Hati 1 Jiwa mungkin memenuhi selera sesetengah khalayak yang mencari filem sebagai wadah hiburan untuk membebaskan minda daripada tekanan. Seperti kebiasaan, Razak mengadunkan semua ramuan yang menjadi formula kejayaan filem garapannya dan 2 Hati 1 Jiwa juga memenuhi kriteria produksi yang berjaya di matanya.

Tetapi setiap manusia mempunyai penilaian berbeza dan tidak mustahil 2 Hati 1 Jiwa juga mampu mencatat kutipan memberangsangkan seperti yang diterima Sifu & Tongga ketika ditayangkan pada Januari tahun lalu.

Sinopsis:

LANA dan Lina, dua adik beradik yang bercantum di kepala sentiasa mempunyai perbezaan dalam diri mereka. Pun begitu, mereka masih mampu hidup bersama sebagai kawan baik serta dilindungi daripada elemen luaran sosial kerana dikawal kedua ibu bapa mereka. Sejak kecil, mereka tidak pernah dihantar ke sekolah awam. Sehingga suatu hari, ibu bapa mereka menyedari keperluan untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar supaya tidak terlalu bergantung kepada keluarga. Peluang untuk mereka belajar berdikari bermula apabila dipilih memasuki pusat pengajian tinggi. Buat pertama kali dalam kehidupan mereka, perasaan benci sesama sendiri muncul. Hanya pembedahan yang mampu menjadi penyelesaian terhadap konflik ini.

Pulau Asmara kurang menghairahkan (Berita Harian : B*Pop)




Amy, lakonan Nadia Kesumawati kurang senang apabila Jeffri (Abby Azis) cuba mendekati anaknya.

Cerita menarik tapi aksi pelakonnya kurang meyakinkan

Filem: Pulau Asmara
Pengarah: Uttam Kumar Thangiah
Pelakon: Faizal AF4, Sheikh Bolkhiah, Abby Azis, Leez Rosli, Nadia Kesumawati, Sahsha Asheela, Datuk Aziz Singah dan Latif Ibrahim
Genre: Komedi Romantik
Tarikh tayangan: 17 Disember 2009.

HARUS diakui Pulau Asmara yang diterbitkan Alakazam Productions ini adalah sebuah percubaan berani kerana produksi ini tidak disokong oleh nama komersial yang mampu menarik penonton ke panggung.

Pulau Asmara juga bertandang ke pawagam tanpa terlalu digembar-gemburkan. Cuma kebelakangan ini ia mula dibicarakan, membangkitkan pelbagai persoalan ke pada khalayak yang tertanya-tanya mengenai kehadiran filem ini.

Alakazam Productions bukan nama baru kerana ia dijelmakan menerusi penjenamaan semula Snap Productions Sdn Bhd yang berpengalaman dalam penerbitan drama, dokumentari, iklan serta filem pendek.

Bagaimanapun, untuk menyahut seruan serta mengembangkan lagi penerbitan filem tempatan Alakazam Productions mengorak langkah berani dengan menerbitkan Pulau Asmara.

Mengambil latar keindahan pulau legenda, Langkawi, penggambaran filem ini dimulakan pada 29 Mac lalu dan berakhir pada 18 April lalu selama tiga minggu.

Pulau Asmara berkisarkan tiga pemuda yang bercuti ke Langkawi dan menginap di sebuah resort lima bintang. Tanpa diduga, percutian itu menemukan mereka dengan pasangan masing-masing yang mempunyai latar berbeza serta unik.

Sukar untuk meramalkan sejauh mana Pulau Asmara mampu memikat hati penonton. Tanpa disokong oleh barisan pelakon yang mempunyai nama besar, apakah filem yang menjengah pawagam sejak 17 Disember lalu akan mendapat dokongan pencinta filem tempatan?

Uttam Kumar barangkali berpengalaman dalam pengarahan dokumentari dan drama, namun garapannya tidak diperincikan dengan baik membuatkan perjalanan cerita Pulau Asmara agak lemah dan kurang meyakinkan.

Industri seni tidak dinafikan memerlukan muka baru sebagai pelapis tetapi sesuatu yang wajar dititikberatkan oleh produksi ini adalah terlebih dulu mengenal pasti kekuatan mereka untuk diketengahkan di layar lebar.

Pulau Asmara tidak dibantu oleh lakonan yang kuat daripada barisan pelakon baru itu, malah cukup meresahkan kerana kelemahan penghayatan pada sebahagian besar watak yang ditampilkan.

Paling ketara persembahan Shasha Arsheela sebagai Lina yang menderita kanser serta berputus asa untuk meneruskan hidupnya.

Watak itu ditangani Shasha tanpa mendalami jiwa dan pergolakan berat yang sedang dialami gadis itu membuatkan Lina kurang bermaya dan gagal menyentuh perasaan penonton.

Simpati terhadap Lina hilang sebaliknya yang kedengaran cuma hilai tawa penonton apabila Shasha melontarkan dialognya. Tiada rasa, tidak ubah seperti cuma membaca semula skrip yang diberikan kepadanya.

Lakonan Sheikh Bolkhiah sebagai Jeffri juga memerlukan desakan untuk tampil lebih berkesan. Persembahan pelakon baru itu juga hambar.

Cuma Pulau Asmara bernasib baik kerana dibantu Leez yang membawakan watak Sofea, gadis kampung yang cacat dan mendambakan cinta daripada Sam, lakonan Faizal.

Leez antara bakat baru yang seharusnya diberi kepercayaan untuk diuji dengan peranan lebih berat dan mencabar kerana dia memahami tuntutan yang diperlukan untuk watak Sofea.

Terserah kepada khalayak untuk menilai kekuatan filem ini kerana setiap individu mempunyai mata serta pandangannya yang tersendiri.

Pulau Asmara bagaimanapun, bukan sebuah persembahan kosong kerana filem ini juga mempunyai falsafah serta mesej yang ingin disampaikan. Sesuatu yang akan terus bermain di fikiran penonton apabila selesai menonton filem ini adalah memikirkan kebenaran falsafah yang cuba dibawakan.

Sesuatu yang tidak dirancang ada kalanya terjadi memberi kesan positif kepada hidup ini. Itu falsafah yang menggerakkan Pulau Asmara.

Sinopsis:

TIGA pemuda berbeza karektor, Taufik; Jeffri dan Sam mengambil keputusan untuk bercuti di Langkawi. Taufik seorang yang konservatif; Jeffri pula seorang playboy manakala Sam gemar berlawak.

Percutian yang dirancang berjalan sempurna sehinggalah takdir menemukan mereka dengan tiga gadis, Lina; Amy dan Sofea.

Pertemuan itu bukan saja mengubah percutian mereka, malah turut memberi dimensi baru dalam takdir kehidupan tiga pemuda itu.

Satu persatu konflik timbul yang merungkai pelbagai persoalan serta rahsia, malah menguji keutuhan persahabatan mereka. Mampukah mereka menghadapi takdir dan mencari jalan keluar?

Antara cinta sejati, nafsu serakah (Berita Harian : B*Pop)





  • Filem: Jalang
  • Pengarah Nazir Jamaluddin
  • Pelakon: Yasmin Khanif; Hairee Othman; Yank Kasim; Helmi Husaini dan Ridzuan Hashim
  • Tarikh Tayangan: 26 November 2009
JUDULNYA saja barangkali sudah cukup kuat membawa penonton ke pawagam untuk mengupas apa sebenarnya yang diterjemahkan oleh sutradaranya, De Baron Sdn Bhd menerusi produksi pertamanya ini. Persepsi awal Jalang pasti sarat elemen panas dan sensasi malah bakal membentangkan sebuah lagi palitan kontroversi menerusi aksi berani pelakon utamanya, Yasmin Khanif sebagai Maria.

Pemahaman itu barangkali didorong oleh pandangan kasar penonton yang cuma memusatkan tumpuan mereka kepada watak Maria tanpa cuba mendasari lebih jauh apa yang dipersembahkan Jalang. Jelas konotasi jalang itu sendiri membawa persepsi negatif, malah judulnya saja sudah membayangkan sisi gelap perjalanan keseluruhan filem itu.

Bagaimanapun, bukan itu yang cuba disandarkan De Baron untuk menjual Jalang. Masih ada mesej besar cuba disampaikan lewat filem yang menjalani penggambaran di Langkawi, Kedah itu pada penghujung filem itu. Jalang cuba mengupas pengertian cinta sejati, nafsu, kerakusan, tamak haloba, bongkak dan kecurangan apabila manusia sanggup tunduk kepada dorongan syaitan untuk mencapai segala cita-cita mereka.

“Jalang pada perspektif kami disampaikan dalam bentuk berbeza. Filem ini tidak sesekali mengeksploitasi tubuh menarik wanita sebaliknya cuba mengupas definisi jalang menerusi paparan watak yang digarap dan pada akhirnya penonton akan memahami siapa ‘jalang’ yang sebenarnya,” kata penerbitnya, Imran Ismail.

Persoalannya, mampukah impian besar penerbit untuk mengajak penonton mendasari apa sebenarnya yang disampaikan lewat Jalang tercapai? Atau barangkali impian itu sekadar retorik dan Jalang akan terus diingati sebagai sebuah lagi filem yang menggunakan kuasa wanita seksi untuk menarik perhatian penonton?

Persoalan itu masih menjadi tanda tanya. terserah pada penonton untuk menilainya apabila filem ini bakal ditayangkan bermula Khamis ini (26 November) di seluruh negara.

Berkisar naratif yang mengutarakan isu klise iaitu kisah wanita yang menggunakan kecantikan dan susuk tubuh untuk mendapatkan segala yang dihajati bukan sesuatu yang baru, apakah filem ini mampu menyamai kisah wanita dan nafsu seperti dalam filem perempuan, Isgteri Dan... arahan U-Wei Saari suatu ketika dulu pada awal 1990-an?

Begitu juga lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan wanita sudah lama dijadikan latar sama ada dalam filem atau pun drama tempatan. Apakah kelainan yang digarap dalam filem ini. Memang elemen seks mampu menjadi elemen pelaris kepada sesebuah filem tetapi seharusnya ia boleh menjadi lebih dramatik dan beremosi dengan kekuatan plot yang menyokong perjalanannya.

Nazir bagaimanapun, membentangkan Jalang begitu saja membuatkan penonton beranggapan Maria terlalu murah kerana begitu mudah membiarkan dirinya menjadi santapan lelaki hidung belang. Watak Maria, perempuan yang menggunakan kuasa seks untuk meraih kesenangan dan kejayaan yang dilakonkan Yasmin cukup panas.

Yasmin mungkin mampu mencipta nama dengan pantas kerana keberaniannya beraksi dalam Jalang. Biarpun tidak keterlaluan namun itu sudah cukup untuk membuat namanya menjadi bualan dalam industri hiburan tanah air. Dari satu sudut, Jalang berjaya memperkenalkan nama Yasmin tetapi cukupkah hanya setakat itu? Yasmin menerusi filem ini kelihatan kurang konsisten dan ada kekurangan dalam memahami tuntutan terhadap watak yang menjadi nadi kepada filem ini. Yasmin menterjemahkan watak Maria dengan pemahaman yang sederhana, mungkin ilmu lakonannya masih cetek.

Namun, ada ketikanya aksinya berlebihan yang memungkinkan penonton pasti berasa mual yang memperlihatkan Maria begitu murah dan tiada harga diri. Melihat mutu lakonannya mungkin penonton boleh menilai sejauh mana keistimewaan Yasmin hingga membolosi senarai Top 5 dalam pencalonan Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia Ke-22, Ogos lalu.

Pertaruhan berani De Baron kerana Jalang hadir tanpa bersandar kepada nama sedang popular namun ceritanya akan menentukan segala-galanya.

Sinopsis:

MARIA ialah seorang Perunding Kanan di syarikat antarabangsa milik Tan Sri Jamaudi yang memperdagangkan tubuhnya untuk mendapatkan projek besar dalam dan luar negara. Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga anak kepada Datuk Nahu, orang perantaraan yang menjadi ‘jambatan’ kepada kehidupan tidak bermoral. Selepas dibuang kekasihnya, Maria membawa diri ke kampung ibu angkatnya, Mak Esah untuk muhasabah diri. Dia diburu teman baiknya, Ben Adam yang dalam diam menyintainya tetapi cinta itu tidak terucap kerana Maria terlalu dibuai cinta mendalam terhadap Ikram. Pada masa sama, Ali Topan yang diupah Puan Sri Serina menjadi terlalu obses terhadap Maria. Dia menjejaki Maria ke setiap pelusuk tanpa diketahui wanita itu. Malang menimpa Maria apabila dia ingin kembali ke pangkal jalan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap