Kawan-kawan

Sabtu, 6 Mac 2010

Nabil mahu saman balas SDAF Pictures (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad, 27, mahu menyaman balas syarikat penerbitan filem, SDAF Pictures Sdn Bhd berikutan pengarah dan penerbit bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Rhapor mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah sekali gus menjejaskan nama baik dan maruahnya.

Juara Raja Lawak musim kedua itu diwakili JS Pillay & Mohd Haaziq Advocates & Solicitors sudah meneliti kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, ada antaranya didakwa berunsur fitnah dan mengundang persepsi negatif peminat terhadapnya.

Sebelum ini, Nabil dikatakan bakal berdepan dengan saman RM2 juta apabila SDAF Pictures Sdn Bhd menghantar notis tuntutan melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors pada 24 Februari lalu ke alamat rumahnya di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Nabil didakwa melanggar kontrak, mengeluarkan komen negatif dan gagal menjayakan promosi filem itu seperti dijanjikan.

Nabil berkata, dia sudah menerima notis saman berkenaan pada Jumaat lalu. Syarikat guamannya sudah membalas notis saman itu melalui faksimili dan surat yang dihantar ke pejabat SDAF Pictures pada hari yang sama.

“Selepas meniti semula kenyataan saya di akhbar, pihak peguam mendapati saya tidak melanggar kontrak. Saya tidak mengeluarkan kenyataan menyekat peminat untuk menonton filem itu, sekali gus menjatuhkan filem itu sebaliknya kenyataan saya hanyalah pandangan peribadi.

“Saya dan peguam masih lagi berbincang berhubung saman yang akan dikenakan, bagaimanapun ia bukanlah keputusan muktamad. Saya akan mengumumkannya pada satu majlis sidang akhbar dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Berita Minggu.

Nabil berkata, dia juga kesal dengan dakwaan Aminah yang dirinya disaman RM2 juta, sebaliknya dalam notis saman dihantar menuntutnya memulangkan semula wang lakonan sebanyak RM30,000 dalam tempoh 14 hari. Jika gagal, saman RM2 juta dikenakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap