Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Niyang Rapik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Niyang Rapik. Papar semua catatan

Selasa, 2 Mac 2010

Ujian Niyang Rapik (KOsmo)




APABILA sutradara yang popular dengan filem-filem hantu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri hadir dengan karya terbaru, Niyang Rapik, seluruh peminat tempatan tertumpu terhadap naskhah jalur seram tersebut.

Diadaptasi daripada drama bersiri, Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di televisyen beberapa bulan lalu, pengarah berusia 39 tahun itu pantas mengalirkan energi segar terhadap Niyang Rapik dengan keringat ditumpahkan di Tasik Kenyir, Terengganu.

Selepas persekitaran hijau di situ dihuni selama 10 hari sekali gus menjadi lokasi set filem berbajet RM1.6 juta, tiga daripada enam pelakon utama pilihan Idham berbicara tentang karya berkenaan.

Mereka menggalas tanggungjawab berat kerana diberi kepercayaan sebagai sebahagian teraju utama pemain Niyang Rapik.

Kecuali Shaheizy Sam, 28, yang berpengalaman berlakon sebuah naskhah seram komedi bersama Idham dalam Jangan Pandang Belakang Congkak, Niyang Rapik yang mempertaruhkan elemen seram thrill menjadi platform buat Liyana Jasmay, 21, dan Zed Zaidi, 29, melampiaskan bakat mereka kepada sang pengarah.

Selain Liyana, Sam dan Zed, antara pelakon yang membintangi Niyang Rapik ialah Fizz Fairuz, Kamal Adli, Awal Ashaari, Nasir Bilal Khan, Shahrol Nizam, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P. Ramlee.


FILEM Niyang Rapik mempertemukan Sam dan Zed sebagai antara teraju utama filem genre seram ini.


Filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. itu bakal menghantui audiens di pawagam seluruh negara bermula 25 Februari lalu.

HABHIB: Boleh ceritakan watak masing-masing dalam filem Niyang Rapik?

LIYANA JASMAY (LJ): Saya memegang peranan sebagai anak ketua kampung Niyang Rapik bernama Laila. Bagai menjadi kebiasaan, dalam sebuah kampung pasti ada anak dara jadi kegilaan ramai. Sama halnya dengan Laila. Kedatangan anak-anak muda ke kampung ini membuatkan saya jadi rebutan mereka. Begitupun, saya paling rapat dengan Fizz. Ada perkara buruk berlaku kepada saya pada suatu hari. Fizz berjanji mahu datang semula ke Niyang Rapik menyelamatkan saya. Tapi malangnya Fizz meninggal dunia selepas kembali dari tempat ini.

ZED ZAIDI (ZZ): Menerajui watak Saiful, saya dianggap individu paling matang antara kawan-kawannya dan gemar menolong orang lain. Dia menerima tangkal daripada ketua kampung Niyang Rapik lakonan Nasir Bilal Khan. Tangkal ini sebenarnya jadi alat pengesan untuk melakukan perkara tidak elok kepada rakan-rakan saya. Cuma pada pertengahan cerita barulah menyedari ada cerita tersimpan pada tangkal yang dipakai di leher ini.

SHAHEIZY SAM (SS): Saya membawakan karakter Zizan yang bersikap kebudak-budakan, panas baran dan tidak suka dengan suasana Niyang Rapik. Jiwa dia lebih kepada persekitaran bandar. Justeru, dia menjadi insan pertama membantah keputusan datang semula ke Niyang Rapik yang disifatkan jauh pedalaman tanpa ada jalan darat. Dia sering menyalahkan sikap kawan-kawannya dalam soal ini. Saya boleh cakap Zizan umpama tukang baling batu dalam air tenang.


DARI kiri: Sam, Liyana dan Zed Zaidi memberitahu pengalaman berlakon dalam Niyang Rapik adalah pengalaman yang berbeza dengan pembabitan dalam filem-filem lain.


Apakah watak yang diberikan mencabar kredibiliti kalian?

LJ: Alhamdulillah, watak Laila tidaklah sesukar mana. Saya berjaya menzahirkan karakter ini dengan baik tanpa berdepan masalah. Lagipun sudah lama saya baca skrip dan berbincang dengan pelakon lain. Oleh itu, sampai set penggambaran, kami tahu apa yang ingin dibuat selain dapat input daripada Idham. Saya sebenarnya banyak bermain emosi. Dialog juga sekadar disampaikan dalam bentuk satu ton. Saya tidak mengamalkan sikap memaksa diri. Kalau paksa diri maka takut saya tertekan dan kecenderungan melakukan kesilapan semasa berada di depan kamera.

ZZ: Saya bersyukur kerana tidak berdepan banyak halangan menjayakan watak ini. Niyang Rapik merupakan filem seram kedua selepas menjayakan karya seram komedi, Pontianak Menjerit arahan Yusof Kelana. Selepas menyaksikan pratonton Niyang Rapik baru-baru ini, saya rasa puas hati dengan kualiti kerja diri. Cuma tidak dinafikan, ada kekurangan itu dan ini perlu diperbaiki demi meningkatkan kerjaya seni pada masa depan.

SS: Saya kena kekalkan energi berfikir seperti budak-budak sepanjang masa walaupun usia sudah matang. Tiada kesukaran memegang watak ini. Selain itu, saya buat sepenuh perubahan diri demi menjayakan seorang Zizan. Saya gemar menukar stail dan personaliti contohnya rambut dan pakaian jika terlibat dalam projek lakonan. Bahkan, saya lebih gemar mekap sendiri daripada minta khidmat jurusolek kerana hanya saya tahu apa diperlukan dengan kehendak watak.




Apa pengalaman manis ataupun pahit yang dikutip semasa menjalani penggambaran Niyang Rapik di Tasik Kenyir?

LJ: Pada mulanya saya tidak boleh terima hakikat menjalani kehidupan selama 10 hari di rumah bot yang disediakan. Dengan keadaan serba kekurangan maka saya terdiam seketika. Hampir satu jam saya duduk memerap dalam bilik memikirkan nasib bakal berlaku.

Tapi selepas itu saya mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Sebagai satu-satunya pelakon wanita, saya dijaga dengan baik oleh pelakon lain dan seluruh tenaga produksi Niyang Rapik. Lama-kelamaan, saya seronok berada di kawasan jauh daripada hiruk pikuk kota ini.

ZZ: Sewaktu diberitahu Idham kami kena tinggal di kawasan Tasik Kenyir, saya awal-awal lagi dapat membayangkan keadaan di situ. Sebelum ini saya selalu keluar masuk hutan dan banyak menghabiskan percutian di pulau. Bagi individu tidak terbiasa hidup di tempat pedalaman, saya percaya mereka hanya mampu bertahan sehari atau dua. Selepas itu mulalah hati meronta-ronta mahu pulang semula ke ibu negara. Kami menjalankan kegiatan seharian di rumah bot.

Cuma masalah dihadapi apabila hendak mandi, makan dan beli barang keperluan di kedai yang ambil masa beberapa jam daripada rumah penginapan. Saya juga seronok dapat lihat gajah dan makan durian di sekitar tasik ini.

SS: Kali pertama ditawarkan berlakon Niyang Rapik, saya terus berfikir tentang kemudahan elektrik dan penggunaan telefon bimbit. Terus-terang, saya susah hendak keluar dari Kuala Lumpur apatah lagi kena tinggal di kawasan hutan belantara.

Beberapa hari di sana, barulah saya seronok dapat memancing dan melakukan aktiviti menarik dengan pelakon lain. Cuma kecewa sikit kerana saya tidak dapat mandi-manda di tasik kerana tidak pandai berenang (tergelak besar).

Memang seram tonton Niyang Rapik (Berita Harian : B*Pop)

OIeh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



NIYANG Rapik mungkin agak asing pada pendengaran. Ia bukanlah hantu, jembalang atau jin tanah sebaliknya Niyang Rapik digambarkan sebuah perkampungan terpencil yang jauh daripada kepesatan bandar. Lokasinya agak menyeramkan, tersorok dan tiada jalan darat.

Pengarah terkenal, Ahmad Idham tidak pernah kecundang dalam menghasilkan filem seram. Disebabkan itulah Ahmad Idham meneruskan perjuangan seninya dengan menerbitkan filem Niyang Rapik yang asalnya dihasilkan dalam bentuk drama bersiri, Puaka Niyang Rapik.

Drama Puaka Niyang Rapik yang disiarkan menerusi kaca TV3 berjaya mencapai rating tertinggi hampir 400,000 penonton. Bagaimanapun, untuk disesuaikan dengan penonton di layar perak, kisah yang diketengahkan lebih seram dan `terangkat' apabila menontonnya.

Mungkin ramai yang menganggap Ahmad Idham sudah banyak menghasilkan filem atau drama bergenre seram, namun hakikatnya pengarah berjiwa besar itu hanya menghasilkan tiga filem seram iaitu Jangan Pandang Belakang, Congkak dan terbaru, Niyang Rapik. Beberapa filem seram sebelumnya seperti Jangan Tegur bukanlah hasil sentuhan Ahmad Idham sepenuhnya, sebaliknya beliau hanyalah penasihat pengarah.

Niyang Rapik terbitan syarikat Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama MIG Production Sdn Bhd sebagai pengedar dan ejen promosi filem itu. Ia dijangka bakal menggegar pawagam seluruh Malaysia pada Khamis, 25 Februari ini. Ia menampilkan lima pelakon muda berbakat besar iaitu Awal Ashaari selaku Amir, Kamal Adli (Helmi), Shaheizy Sam (Zizan), Zed Zaidi (Saiful) dan Fizz Fairuz (Zack), selain satu-satunya bunga iaitu Liyana Jasmay (Laila) dengan dibantu oleh Nasir Bilal Khan (Tok Neram), Shahronizam Noor (Pak Salleh), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Bomoh) dan Dian P Ramlee (Ibu Zack).

Hampir 10 hari berkampung di Tasik Kenyir, Terengganu, nyata sentuhan Ahmad Idham tidak kecundang. Suasana dan latar Tasik Kenyir sendiri sudah pasti membuatkan penonton berdiri bulu roma dan tidak sabar menanti kesudahan filem berkenaan.

Menariknya, permainan babak demi babak cukup menarik. Walaupun pada awalnya, filem ini melahirkan tanggapan pada kerambit lama, namun kesudahan ceritanya cukup berbeza. Biarpun sentiasa membuatkan penonton berteka-teki dengan jalan cerita, tetapi tidak sukar untuk memahaminya kerana Ahmad Idham memudahkannya dengan jalinan plot yang lancar dan tidak tergantung.

Itulah kelebihan Ahmad Idham yang berpengalaman luas, walaupun membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya, diselit pula adegan menyeramkan dan mencemaskan tetapi tiada kekurangan yang boleh mengganggu keseluruhan jalan cerita Niyang Rapik. Dan tentunya pujian diberikan kepada Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang mampu menyerlahkan keseraman filem ini dengan sinematografi yang cantik dan redup mata memandang di tengah-tengah Tasik Kenyir.

Menggabungkan pelakon muda yang berbakat besar seperti Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz dan Liyana Jasmay dilihat sebagai kekuatan filem ini. Mereka menzahirkan lakonan yang hebat, biarpun ada ketikanya mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Enam watak utamanya ini nyata tidak tenggelam dan setiap mereka membangunkan karakter masing-masing dengan baik.

Kisah bermula dengan kematian Zack secara misteri. Zack mati disebabkan busung pada perutnya. Kematian Zack memeranjatkan empat sahabat baiknya, Helmi, Saiful, Zizan dan Amir. Mereka cuba membongkar misteri di sebalik kematian Zack selepas mereka pulang daripada melakukan kajian sejarah di sebuah perkampungan, Niyang Rapik kira-kira setahun lalu.

Selepas diselidik, mereka mendapati Zack mengambil kerambit lama ketika melakukan projek kajian arkeologi di Niyang Rapik. Atas nasihat seorang bomoh, mereka kembali ke Niyang Rapik untuk memulangkan semula kerambit lama yang dikhuatiri penyebab penyakit busung Zack. Dalam perjalanan ke kampung Niyang Rapik, mereka melalui pelbagai kejadian aneh. Bermula dengan Zizan secara tiba-tiba rasa kepanasan seperti disantau, diikuti pula dengan gangguan puaka rimba menyebabkan mereka dalam ketakutan.

Ketibaan mereka di kampung Niyang Rapik disambut oleh seorang gadis yang banyak membantu mereka ketika melakukan kajian dulu. Laila, anak Tok Neram tidak seriang dulu, wajahnya menggambarkan seribu misteri. Niyang Rapik tidak seperti perkampungan yang mereka lalui dulu, wajah-wajah penduduk menggambarkan seribu misteri. Selepas kerabit dipulangkan pada Tok Neram, gangguan ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Helmi pula terkena apabila matanya terkena santau bisa buluh, Helmi seperti orang buta.

Keadaan menjadi huru hara, anggapan mereka kerabit menjadi punca nyata meleset sama sekali.

  • JUDUL: Niyang Rapik
  • GENRE: Seram
  • PRODUKSI: Excellent Pictures Sdn Bhd
  • PENERBIT: Azlan Shah Jaffril & Ahmad Idham
  • PENGARAH: Ahmad Idham
  • PELAKON: Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Nasir Bilal Khan, Shahronizam Noor, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P Ramlee
  • PENGARAH FOTOGRAFI: Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin
  • MULA TAYANG: 25 Februari 2010

Niyang Rapik cabar LJ (Berita Harian)

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


LIYANA Jasmay akui penakut tapi Niyang Rapik mencabar dirinya.

Tempoh 10 hari di Tasik Kenyir bagaikan kejutan budaya

LIYANA JASMAY atau nama akronimnya, LJ, 21, bukanlah dalam kategori manusia yang berani. Dalam erti kata lain, artis genit manja berusia 21 tahun ini memang penakut orangnya. Tapi demi tuntutan watak, Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Festival Malaysia Ke-22 dan Anugerah Skrin 2009 ini sanggup mencabar dirinya.

Selepas filem Syaitan dan Histeria, buah tangan terbarunya menerusi filem Niyang Rapik ternyata memberi sisi seram berbeza buat dirinya menerusi watak Laila. Filem arahan Ahmad Idham yang diedarkan Metrowealth Movies Production itu sudah pun menemui penggemar wayang mulai 25 Februari lalu.

Bayangkan hari pertama saja ketika penggambaran filem ini diadakan tahun lalu di Tasik Kenyir, Terengganu, LJ yang mesra membahasakan diri sebagai Nana terpaksa berkurung dalam bilik selama satu jam kerana pertama dia tidak biasa tinggal di atas rumah bot dan bayangan pengarahnya terhadap kehebatan rumah bot itu tersasar.

“Ia seperti kejutan budaya buat Nana apatah lagi itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir. Sepuluh hari berada di sana, ia satu pengalaman menarik dan menyeramkan untuk dikenang kembali. Air terjunnya pun sungguh cantik dan banyak ikan toman di dalam air. Mandi sungai pun sangat menyeronokkan.

“Selepas membiasakan diri, Nana tidak takut untuk menjalani penggambaran. Cuma yang rasa seram sejuk dan gementar ketika nak tidur saja. Mujur ibu Nana setia menemani dan kami di kalangan pelakon sentiasa diawasi Uncle Tok Bah yang diberi mandat sebagai penasihat bahagian mistik.

“Filem ini juga yang pertama kali memerlukan Nana berada di hutan sepenuh masa. Berada di tempat orang, dalam hutan pula itu, Nana kena menjaga percakapan dan tingkah laku kerana takut melanggar sesuatu yang boleh memudaratkan,” katanya yang tidak mengalami pengalaman pelik sepanjang berada di sana.

Menurut Liyana, Niyang Rapik menjadi percaturan pertamanya memegang watak sebagai roh orang yang sudah mati. Watak Laila yang dipegangnya terlalu mencabar. Filem ini juga menjadi kerjasamanya buat kali kedua dengan Ahmad Idham selepas berlakon dalam drama Puaka Niyang Rapik di TV3 tahun lalu.

“Sukar juga untuk berada dalam karakter roh Laila. Dengan bantuan Uncle Tok Bah yang pakar dalam hal mistik, Nana diajarnya untuk memberi reaksi muka selamba dan banyak bermain dengan mata. Lontar dialog pun secara perlahan. Ia bukan peranan yang senang, malahan Nana menjadi satu-satunya pelakon tunggal perempuan.

“Ahmad Idham boleh Nana gambarkan seperti Afdlin Shauki daripada seorang pelakon yang bergelar pengarah. Jadi Nana boleh simpulkan mereka ini tahu situasi pelakon kerana sudah pernah berada di tempat itu. Kalau diam itu bermakna dia berpuas hati dengan prestasi pelakonnya,” katanya yang ketika artikel ini ditulis masih sibuk di lokasi penggambaran filem Khurafat bergandingan dengan Syamsul Haslam yang turut bertindak sebagai pengarah.

Dalam filem Khurafat, dia memegang watak sebagai isteri solehah bernama Aisyah yang bertudung. Filem itu juga buat pertama kali menggandingkan Liyana dengan Syamsul di layar perak. Filem itu turut menyaksikan Liyana bertudung buat julung kalinya.

“Kali pertama juga Nana bekerja dengan orang muda. Filem ini mengetengahkan kisah santau apabila dendam mula melingkari hidup. Dalam filem ini, Aisyah sangat menyayangi suaminya Johan lakonan Syamsul Yusof. Lalu, untuk menimbulkan emosi cinta, kami harus mencipta keserasian antara satu sama lain dan menolak sikap pemalu,” kata Liyana yang ditemui Hip ketika pratonton filem Niyang Rapik terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd pada 2 Februari lalu di Cineleisure, Damansara.

Kembali menjadi pelajar

DALAM pada masa yang sama, Liyana kini kembali bergelar pelajar dalam Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor. Untuk semester ini, dia hanya mengambil semula dua subjek iaitu Penyuntingan Filem dan Sejarah Teater yang pernah diambil semester sebelumnya tapi gagal.

“Insya-Allah, Nana akan tamat pengajian ini pada tahun depan. Tumpuan saya kini semestinya pada pengajian dan tawaran berlakon akan dipertimbangkan sekiranya pihak produksi boleh mengikut jadual pengajian. Pada masa yang sama, saya juga merancang pada masa mendatang untuk mengambil kursus pendek dalam lakonan dan penulisan.

“Nana mungkin akan mengambil kursus itu di luar negara selepas tamat pengajian diploma. Ikutkan hati nak ke Los Angeles atau New York. Tapi paling dekat mungkin di Australia. Bagaimanapun, ramai yang mengesyorkan saya ke New York Film Academy (NYFA). Tengoklah macam mana,” katanya yang bakal muncul dengan single ketiga, Penyelamat Cinta bersama Aizat tak lama lagi.

Bersyukur tercalon

DALAM perkembangan lain, tahun ini Liyana bolos buat kali kedua dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009. Tahun lalu, Maya Karin memenangi kategori itu. Tahun ini, sekali lagi Liyana bersaing dengan Maya di samping Diana Danielle, Lisa Surihani dan Sharifah Amani.

Dengan pencapaian mantapnya tahun lalu memenangi Anugerah Skrin 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22, sudah ada yang meramalkan potensinya untuk menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2009. Bagaimanapun, dia tidak menaruh harapan terlalu tinggi.

“Syukur Alhamdulillah ada peminat yang masih menghargai bakat Nana. ABPBH semuanya lebih kepada penghargaan peminat kepada artis kesayangan mereka. Peminat yang sanggup menghabiskan duit membeli surat khabar dan menanda artis pilihan mereka. Malah pada tahun ini juga diperkenalkan undian melalui SMS.

“Menang atau kalah bukan isu di sini. Apa yang lebih penting, sebagai anak seni, Nana boleh membalas jasa peminat dengan meningkatkan prestasi lakonan. Ia adalah persaingan sihat dan tercalon itu sudah memadai. Saya pun jenis yang suka pakai baju cantik dan menghadiri acara membabitkan permaidani merah,” katanya yang bakal melaram busana rekaan Rizman Ruzaini.

Mahu Niyang Rapik jadi jenama

SEMENTARA itu, Ahmad Idham yang ditemui berharap Niyang Rapik akan terus menjadi jenama genre seram yang terhasil daripada cetusan ideanya. Di Indonesia sebagai contohnya pernah mewujudkan hantu yang dipanggil Mak Lampir. Filem ini adalah karya ketiga bergenre seram yang dihasilkan selepas Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Menurutnya, filem Niyang Rapik terhasil daripada Skim Pinjaman Filem Cereka yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Syarikat miliknya (Excellent Pictures) menerima RM1 juta dan kos keseluruhan menerbitkan Niyang Rapik ialah RM1.6 juta.

“Harapnya filem ini akan memberi nafas baru dalam genre filem seram secara amnya. Dengan kekuatan pelakon yang ada, ia mungkin menjadi nilai tambah untuk penonton ke panggung wayang. Saya bersyukur selepas pratonton, ramai pihak media yang memberitahu setiap kehadiran pelakon seimbang.

“Tiada yang cuba membayangi di antara satu sama lain. Penghasilan skrip filem ini mengambil masa enam bulan. Pemilihan lokasi Tasik Kenyir dilakukan kerana saya pernah pergi memancing di sana. Sebelum memulakan penggambaran di situ, kami ada berjumpa dengan penghulu kampung.

“Bagi mendapat kelancaran dan mengelak perkara yang tak diingini, kami ada bersedekah Al-Fatihah di Makam Tok Pulau Manis, Kuala Berang. Ia dibuat atas dasar memohon izin. Alhamdulillah sepanjang kami di sana, tiada masalah besar yang mengganggu. Setakat gangguan kecil itu adalah,” katanya.

INFO: Niyang Rapik

  • Penggambaran dilakukan di Bukit Cahaya Sri Alam (Bukit Cerakah) selama seminggu dan selebihnya sekitar Kuala Lumpur.

  • Turut dilakonkan Awal Ashaari, Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Nasir Bilal Khan, Shahrolnizam dan Dian P Ramlee.

  • Ditayangkan mulai 25 Februari lalu.
  • Selasa, 23 Februari 2010

    Pengalaman tiga pelakon Niyang Rapik (Utusan Malaysia)


    ZED, Liyana dan Shaheizy merupakan antara pelakon yang menjayakan filem Niyang Rapik.


    BAKAL ditayangkan 25 Februari ini, filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul Niyang Rapik bakal menambahkan lagi koleksi cerita seram yang dilahirkan penggiat filem tanah air itu.

    Mengambil latar Tasik Kenyir, Terengganu sebagai antara lokasi penggambaran, Niyang Rapik merupakan filem yang diadaptasi daripada siri televisyen, Puaka Niyang Rapik.

    Mengetengahkan cerita lima sahabat yang datang ke Kampung Niyang Rapik untuk menjalankan kajian sejarah, pelbagai kejadian ngeri menghantui mereka sejurus meninggalkan kampung tersebut.

    Cerita bermula apabila mereka dikejutkan dengan kematian Zack, lakonan Fizz Fairuz, secara misteri. Kematian Zack benar-benar memeranjatkan empat rakan karibnya iaitu Helmi (Kamal Adli), Saiful (Zed Zaidi), Zizan (Shaheizy Sam) dan Amir (Awal Ashaari).

    Setelah diselidik, mereka berempat mendapati Zack telah mengambil sebilah kerambit lama dari kampung berkenaan. Namun, ia bukanlah punca sebenar mengapa mereka terus 'diganggu' walaupun barang tersebut telah dikembalikan.

    Selain Fizz, Kamal, Zed, Shaheizy dan Awal, Niyang Rapik turut dibintangi satu-satunya pelakon wanita utama iaitu Liyana Jasmay.

    Membawakan watak sebagai Laila, Liyana berkata, ia merupakan watak yang tidak memerlukannya memberikan banyak ekspresi dan emosi.

    Ini kerana, Laila dalam Niyang Rapik muncul sebagai roh.

    "Tidak sukar membawakan watak Laila kerana mood untuk berlakon banyak dibantu oleh persekitaran.

    "Tetapi saya rasa cukup mencabar ketika berada di atas rumah bot di Tasik Kenyir dalam jangka masa yang panjang. Bayangkan dalam bot yang serba kekurangan,tiada bekalan elektrik dan keperluan asas yang lain," cerita Liyana mengenai pengalamannya berlakon dalam Niyang Rapik ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.

    Artis kecil molek itu memberitahu, menerusi Niyang Rapik, dia merasa bertuah kerana buat pertama kali dapat bekerja bersama wajah-wajah yang baru dalam kariernya.

    Mereka terdiri daripada Ahmad Idham, Awal, Zed dan Shaheizy.

    Biarpun baru, dia dapat menyesuaikan diri dengan mudah.

    "Dengan Fizz Fairuz dan Kamal, sebelum ini kami pernah berlakon bersama. Saya anggap mereka seperti adik beradik saya sendiri.

    "Bersama Awal, Zed dan Shaheizy pula, masing-masing sudah tahu apa yang hendak dilakukan ketika bekerja.

    "Ahmad Idham pula seorang yang amat serius di tempat kerja,'' ujar Liyana.

    Pengalaman membawa bot - Zed Zaidi

    Berlainan pula dengan Zed Zaidi. Sepanjang 10 hari penggambaran di Tasik Kenyir, satu perkara yang sukar dilupakan adalah apabila dia perlu mengemudi bot.

    "Memang dalam cerita Niyang Rapik, saya perlu kemudi bot. Ia cukup mencabar kerana di dalam tasik masih terdapat kayu-kayu.

    "Ada sebuah bot yang dibawa oleh orang lain telah bocor akibat terlanggar kayu. Ia membuatkan saya bimbang.

    "Lagipun, ini kali pertama saya berada di Tasik Kenyir,'' katanya membuka bicara mengenai filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd., syarikat milik Ahmad Idham itu.

    Melahirkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang perkara buruk sepanjang tempoh penggambaran, Zed berkata, hari pertama penggambaran iaitu 27 Jun tahun lalu merupakan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-29.

    "Meskipun pertama kali berada di Tasik Kenyir, saya memang sudah ada pengalaman mengikuti aktiviti lasak termasuk berkhemah di hutan.

    "Sebab itu, apabila diminta tinggal di atas rumah bot, saya tidak menghadapi masalah,'' jelasnya sambil berkata dia pernah terlihat gajah ketika berada di dalam hutan di sekitar Tasik Kenyir.

    Shaheizy makin laku

    Bagi Shaheizy pula, kalau bercakap tentang karier lakonan, dia merupakan antara pelakon yang semakin mendapat perhatian ramai ketika ini.

    Filem Adnan Semp-It terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) yang dikatakan sudah mencapai kutipan lebih RM7 juta seakan menjadi pemacu kepada popularitinya.

    Begitu juga dengan kekuatan wataknya saat berlakon dalam beberapa filem lain terutama Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam yang turut menaikkan namanya.

    "Selepas ini saya akan muncul dengan beberapa filem seperti Evolusi KL Drift 2 dan Ngangkung. Saya juga akan terlibat dengan Adnan Semp-It yang dihasilkan untuk drama bersiri pula,'' katanya.

    Tentang pengalaman berlakon dalam Niyang Rapik, Shaheizy menjelaskan pada mulanya, dia mengalami kesukaran ketika berada di Tasik Kenyir.

    "Saya memang tidak biasa dengan adventure. Tetapi, lama-kelamaan, segalanya cukup menyeronokkan.

    "Biarpun pertama kali jumpa di lokasi penggambaran dengan Kamal, Zed dan Liyana saya tidak punyai masalah untuk rapat dengan mereka,'' ujar Shaheizy yang tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap filem tersebut.

    Selasa, 16 Februari 2010

    Filem: Seram tanpa hantu (Harian Metro)

    APA yang boleh diperkatakan lagi mengenai karya Ahmad Idham? Malah, kredibilitinya sebagai pengarah sudah lama teruji dengan lambakan filem yang menarik dan menghiburkan lebih-lebih lagi filem bergenre aksi, komedi dan seram.

    Kali ini, Idham tampil dengan sebuah filem yang bermain dengan elemen santau, hasad dengki dan amarah. Masih dalam kategori seram, nampaknya sentuhan terbaru pengarah ini membuatkan ramai penonton memuji hasilnya.

    Menariknya, permainan babak demi babak cukup bagus. Walaupun pada permulaannya filem ini melahirkan satu tanggapan, namun kesudahannya tampil berbeza. Sekalipun jalan ceritanya agak sukar untuk difahami penonton, namun sutradara ini memudahkannya dengan jalinan plot yang lancar.

    Mengungkap jalan ceritanya, penulis merasakan penonton berhak menilainya sendiri. Bagi penulis, tiada kekurangan yang boleh mengganggu jalan ceritanya.

    Dari segi lakonan pula, usaha menampilkan pelapis-pelapis hero masa kini seperti Shaheizy Sam, Awal Ashaari, Zed Zaidi dan Kamal Adli satu tindakan bijak. Dengan muka baru dalam produksi ini, penonton sukar mahu menelaah ke mana hala tuju yang ingin dibawa oleh Idham.

    Selain itu, menampilkan Liyana Jasmay sebagai heroin tunggal dalam filem ini turut mencipta satu perbezaan yang menarik untuk ditonton. Kisah sekumpulan pelajar yang mengembara ke sebuah kampung iaitu Niyang Rapik dan masing-masing menyukai gadis yang sama tetapi akhirnya padah yang menimpa menjadi satu olahan cerita yang mengujakan.

    Bagaimanapun, jika anda mengharapkan jelmaan lembaga makhluk halus seperti hantu dalam filem ini, rasanya anda akan kecewa. Cuma ada sedikit babak yang menampilkan makhluk berkenaan tetapi fokus utama filem ini adalah demi menyatakan perasaan marah seorang ayah yang atas kejadian yang menimpa anaknya.

    Rasa kasih dan pengkhianatan yang terjadi di antara lima sahabat menjadi inti pati penting dalam jalinan cerita ini dan ia antara keseronokan yang bakal anda nikmati.


    >Data
    FILEM: Niyang Rapik
    ARAHAN: Ahmad Idham
    PELAKON: Fizz Fairuz, Liyana Jasmay dan Zed Zaidi
    GENRE: Seram
    TAYANGAN: 25 Februari 2010

    Isnin, 15 Februari 2010

    Niyang Rapik bukan cerita hantu (Utusan Malaysia)

    ARKIB : 08/02/2010

    SALAH satu adegan seram yang dipaparkan menerusi filem Niyang Rapik.


    AHMAD Idham Ahmad Nadzri merupakan antara sutradara yang terkenal dengan filem-filem hantu seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Jangan Pandang Belakang Congkak sejak beberapa tahun lalu.

    Selepas dua tahun tidak mengarah, pengarah berusia 39 tahun ini tampil dengan sebuah lagi filem dalam genre itu berjudul Niyang Rapik terbitan syarikatnya, Excellent Pictures Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 25 Februari ini.

    Menurut Ahmad Idham, kejayaan filem Jangan Pandang Belakang yang mengaut kutipan tiket box-office berjumlah RM6 juta dan Congkak (RM5.5 juta) sewaktu ia ditayangkan di pawagam menyebabkan namanya dikenali ramai sebagai pembikin filem dalam genre tersebut.

    Bagaimanapun, dia enggan dikenali sebagai pembikin filem-filem hantu, sebaliknya memberitahu filem-filem yang ditulis dan diarahkannya merupakan kisah seram yang mempunyai pendekatan tersendiri.

    "Selama ini orang ingat saya banyak buat filem-filem hantu. Saya tidak mahu buat filem-filem hantu tetapi saya mahu buat filem seram. Ini dua perkara yang berbeza. Kalau filem-filem hantu kita memang sudah ada banyak hantu.

    "Cerita yang saya ingin tampilkan bukan fasal hantu. Saya pun sudah hampir dua tahun tidak buat filem seram iaitu selepas filem Congkak. Saya lama tidak buat filem seram sebab tidak ada cerita yang boleh diketengahkan melalui filem," katanya.

    Ahmad Idham yang ditemui selepas pratonton Niyang Rapik di pawagam Cathay, Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor berkata, dia mengambil masa hampir enam bulan bagi menyiapkan jalan cerita dan skrip filem seram keempat arahannya itu.

    Meskipun tidak menafikan filem genre seram atau hantu merupakan trend yang digemari di kalangan penerbit, pengarah dan penonton tetapi Idham cukup berhati-hati dalam menggarap jalan cerita dan skrip agar ia tidak bersifat klise selain mampu memuaskan hati peminatnya.

    Untuk itu, Ahmad Idham mengambil masa enam bulan menulis skrip Niyang Rapik dan memerapnya hampir setahun sebelum diangkat ke layar perak.

    Katanya, dia memerah idea untuk filem ini yang diadaptasi daripada siri TV Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

    "Puaka Niyang Rapik yang juga saya arahkan merupakan produk TV3 tetapi untuk filem saya gunakan Niyang Rapik sahaja. Saya banyak kali merombak skrip filem ini supaya jalan ceritanya menjadi lebih kemas lagi.

    "Saya meminta bantuan banyak pihak termasuklah daripada seorang karyawan filem dari Perancis yang saya temui semasa mengikuti kursus penulisan skrip Master Class anjuran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) baru-baru ini demi memantapkan lagi skrip filem ini," ujarnya.

    Selain merupakan skrip terlama yang pernah dihasilkan oleh Idham, pengarah dan pemilik Excellent Pictures Sdn. Bhd. ini turut menampilkan jalan cerita dan para pelakon yang berbeza dalam kebanyakan filem seram arahannya.

    Menerusi Niyang Rapik yang menelan kos berjumlah RM1.6 juta termasuklah pinjaman dana Skim Pinjaman Filem Cereka sebanyak RM1 juta itu, beliau juga banyak melakukan penyelidikan termasuklah di Tasik Kenyir, Terengganu yang merupakan lokasi utama penggambaran filem itu.

    "Sebelum menjalani penggambaran Niyang Rapik, saya telah melakukan penyelidikan dan berada di lokasi itu beberapa tahun lalu dan mengenali masyarakat setempat yang berada di sana.

    "Saya juga telah bertemu penghulu kampung di sana dan meminta pendapat mereka tentang penggambaran yang akan saya jalankan," jelas Ahmad Idham mengenai kajian yang diambil sebelum merealisasikan filem itu.

    Tidak ketinggalan, pengarah ini turut menziarah sebuah makam seorang tokoh agama terkenal di Kuala Berang yang dikenali sebagai Makam Tok Pulau Manis.

    Tidak cukup itu, sepanjang 10 hari penggambaran di Tasik Kenyir dia juga meminta bantuan khidmat nasihat daripada kenalannya, Tok Bak .

    "Tok Bak banyak memberi pertolongan dan nasihat semasa penggambaran filem ini dijalankan pada waktu malam ataupun di tempat-tempat tertentu yang kononnya berhantu termasuklah di Bukit Cherakah, Shah Alam," cerita Ahmad Idham lagi.

    Tok Bak sebelum ini pernah menjadi pembantu dan penasihat dalam rancangan seram Seekers terbitan ntv7 tidak lama dulu.

    Bagi mencapai objektif itu juga, Ahmad Idham membelanjakan sehingga RM100,000 bagi menggunakan kemudahan kamera canggih yang digunakan oleh Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dalam filem itu.

    Niyang Rapik yang dibintangi oleh pelakon seperti Liyana Jasmay, Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan dan Shahrol Nizam itu menambahkan lagi elemen seram di dalamnya apabila menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround.

    Liyana Jasmay merupakan satu-satunya pelakon wanita utama filem edaran MIG Production Sdn. Bhd. berasa puas hati terbabit dalam filem yang tayangannya 90 minit itu selepas hampir 10 hari berada di Tasik Kenyir bagi menjayakan filem tersebut.

    Menurut Liyana, lakonannya sebagai Laila dalam filem itu memberikan pengalaman baru buatnya.

    Apatah lagi pengalaman berlakon di atas rumah bot di Tasik Kenyir mencabarnya kerana itulah kali pertama dia tinggal di atas rumah bot untuk jangka masa yang agak panjang.

    "Saya ingatkan dalam rumah bot ada katil, bilik air dan sebagainya tetapi rupa-rupanya ia hanyalah sebuah rumah kayu sahaja.

    "Pada mulanya saya sangkakan Ahmad Idham tipu saya. Sampai sahaja di rumah bot saya cuba tenangkan diri dan duduk dalam bilik selama hampir sejam," katanya menceritakan pengalaman baru itu.

    Biarpun pertama kali berlakon di tengah Tasik Kenyir selama 10 hari, namun Liyana bersyukur kerana sepanjang tempoh itu dia tidak mengalami sebarang pengalaman menakutkan.

    "Alhamdulillah sepanjang penggambaran ini tidak ada pengalaman yang menyeramkan kerana saya banyak dibantu oleh Tok Bak.

    "Meskipun penggambaran banyak dijalankan pada waktu malam tetapi saya dapat melaluinya dengan baik. Saya banyak tidur dan berehat pada waktu siang. Adegan paling seram yang saya lakonkan ialah sewaktu watak Laila mendukung bayi yang merupakan anak roh watak saya itu," jelasnya lagi.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Berita Harian: Hip

    Harian Metro: Rap