Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Memang seram tonton Niyang Rapik (Berita Harian : B*Pop)

OIeh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



NIYANG Rapik mungkin agak asing pada pendengaran. Ia bukanlah hantu, jembalang atau jin tanah sebaliknya Niyang Rapik digambarkan sebuah perkampungan terpencil yang jauh daripada kepesatan bandar. Lokasinya agak menyeramkan, tersorok dan tiada jalan darat.

Pengarah terkenal, Ahmad Idham tidak pernah kecundang dalam menghasilkan filem seram. Disebabkan itulah Ahmad Idham meneruskan perjuangan seninya dengan menerbitkan filem Niyang Rapik yang asalnya dihasilkan dalam bentuk drama bersiri, Puaka Niyang Rapik.

Drama Puaka Niyang Rapik yang disiarkan menerusi kaca TV3 berjaya mencapai rating tertinggi hampir 400,000 penonton. Bagaimanapun, untuk disesuaikan dengan penonton di layar perak, kisah yang diketengahkan lebih seram dan `terangkat' apabila menontonnya.

Mungkin ramai yang menganggap Ahmad Idham sudah banyak menghasilkan filem atau drama bergenre seram, namun hakikatnya pengarah berjiwa besar itu hanya menghasilkan tiga filem seram iaitu Jangan Pandang Belakang, Congkak dan terbaru, Niyang Rapik. Beberapa filem seram sebelumnya seperti Jangan Tegur bukanlah hasil sentuhan Ahmad Idham sepenuhnya, sebaliknya beliau hanyalah penasihat pengarah.

Niyang Rapik terbitan syarikat Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama MIG Production Sdn Bhd sebagai pengedar dan ejen promosi filem itu. Ia dijangka bakal menggegar pawagam seluruh Malaysia pada Khamis, 25 Februari ini. Ia menampilkan lima pelakon muda berbakat besar iaitu Awal Ashaari selaku Amir, Kamal Adli (Helmi), Shaheizy Sam (Zizan), Zed Zaidi (Saiful) dan Fizz Fairuz (Zack), selain satu-satunya bunga iaitu Liyana Jasmay (Laila) dengan dibantu oleh Nasir Bilal Khan (Tok Neram), Shahronizam Noor (Pak Salleh), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Bomoh) dan Dian P Ramlee (Ibu Zack).

Hampir 10 hari berkampung di Tasik Kenyir, Terengganu, nyata sentuhan Ahmad Idham tidak kecundang. Suasana dan latar Tasik Kenyir sendiri sudah pasti membuatkan penonton berdiri bulu roma dan tidak sabar menanti kesudahan filem berkenaan.

Menariknya, permainan babak demi babak cukup menarik. Walaupun pada awalnya, filem ini melahirkan tanggapan pada kerambit lama, namun kesudahan ceritanya cukup berbeza. Biarpun sentiasa membuatkan penonton berteka-teki dengan jalan cerita, tetapi tidak sukar untuk memahaminya kerana Ahmad Idham memudahkannya dengan jalinan plot yang lancar dan tidak tergantung.

Itulah kelebihan Ahmad Idham yang berpengalaman luas, walaupun membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya, diselit pula adegan menyeramkan dan mencemaskan tetapi tiada kekurangan yang boleh mengganggu keseluruhan jalan cerita Niyang Rapik. Dan tentunya pujian diberikan kepada Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin yang mampu menyerlahkan keseraman filem ini dengan sinematografi yang cantik dan redup mata memandang di tengah-tengah Tasik Kenyir.

Menggabungkan pelakon muda yang berbakat besar seperti Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz dan Liyana Jasmay dilihat sebagai kekuatan filem ini. Mereka menzahirkan lakonan yang hebat, biarpun ada ketikanya mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Enam watak utamanya ini nyata tidak tenggelam dan setiap mereka membangunkan karakter masing-masing dengan baik.

Kisah bermula dengan kematian Zack secara misteri. Zack mati disebabkan busung pada perutnya. Kematian Zack memeranjatkan empat sahabat baiknya, Helmi, Saiful, Zizan dan Amir. Mereka cuba membongkar misteri di sebalik kematian Zack selepas mereka pulang daripada melakukan kajian sejarah di sebuah perkampungan, Niyang Rapik kira-kira setahun lalu.

Selepas diselidik, mereka mendapati Zack mengambil kerambit lama ketika melakukan projek kajian arkeologi di Niyang Rapik. Atas nasihat seorang bomoh, mereka kembali ke Niyang Rapik untuk memulangkan semula kerambit lama yang dikhuatiri penyebab penyakit busung Zack. Dalam perjalanan ke kampung Niyang Rapik, mereka melalui pelbagai kejadian aneh. Bermula dengan Zizan secara tiba-tiba rasa kepanasan seperti disantau, diikuti pula dengan gangguan puaka rimba menyebabkan mereka dalam ketakutan.

Ketibaan mereka di kampung Niyang Rapik disambut oleh seorang gadis yang banyak membantu mereka ketika melakukan kajian dulu. Laila, anak Tok Neram tidak seriang dulu, wajahnya menggambarkan seribu misteri. Niyang Rapik tidak seperti perkampungan yang mereka lalui dulu, wajah-wajah penduduk menggambarkan seribu misteri. Selepas kerabit dipulangkan pada Tok Neram, gangguan ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Helmi pula terkena apabila matanya terkena santau bisa buluh, Helmi seperti orang buta.

Keadaan menjadi huru hara, anggapan mereka kerabit menjadi punca nyata meleset sama sekali.

  • JUDUL: Niyang Rapik
  • GENRE: Seram
  • PRODUKSI: Excellent Pictures Sdn Bhd
  • PENERBIT: Azlan Shah Jaffril & Ahmad Idham
  • PENGARAH: Ahmad Idham
  • PELAKON: Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Liyana Jasmay, Nasir Bilal Khan, Shahronizam Noor, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Dian P Ramlee
  • PENGARAH FOTOGRAFI: Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin
  • MULA TAYANG: 25 Februari 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap