Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

'Anur Aminah, Tiz Zaqyah tak sama' (Berita Harian : B*Pop)


Oleh Zubir Mohd Yunus

Foto Tiz bersosial bersama teman-teman kini tersebar di internet.

POPULARITI drama bersiri terbaru arahan Khabir Baktiar, Nur Kasih sebanyak 26 episod mulai 29 Mei lalu di TV3, mencapai rating membanggakan. Lakonan aktres jelita yang juga bakat baru, Tiz Zaqyah, 21, di sisi aktor, Remy Ishak berjaya meronta jiwa penonton. Lakonannya berbekas di jiwa penonton.

Tiz memegang watak sebagai Nur Amina - gadis solehah, bertudung litup, isteri kepada Adam (lakonan Remy). Menerusi Nur Kasih, Nur Amina digambarkan sebagai seorang isteri yang banyak membuat pengorbanan untuk menggembirakan hati orang lain sekalipun hati dan perasaannya terluka. Pun begitu, dalam kerancakan populariti Nur Kasih, industri hiburan dikejutkan dengan penyebaran beberapa gambar foto Tiz menerusi internet yang memperlihatkan dia sedang bersosial di pusat hiburan bersama beberapa teman sambil mengenakan pakaian seksi, sementara meja mereka pula kelihatan beberapa botol arak. Ini mengundang tanda tanya sekali gus ada dakwaan mengaitkan Tiz turut mengambil minuman keras!

Keadaan Tiz yang dilabel gadis remaja gemar bersosial bertentangan dengan keperibadian Nur Amina dalam Nur Kasih, sekali gus mendatangkan perasaan tidak senang peminat drama itu. Tiz dituduh hipokrit! Rabu lalu, B*Pop menemui Tiz untuk mengulas isu ini dan dia mengakui kesilapannya, lalu meminta maaf. Baginya, Tiz tetap Tiz dan Nur Amina adalah Nur Amina.

"Memang Nur Kasih meninggalkan impak kuat di jiwa penonton kerana karya terbaru Khabir Baktiar ini sangat unik. Nur Kasih membawa unsur universal, keagamaan, cinta dan kasih sayang. Saya sendiri membawa watak sebagai Nur Amina, seorang wanita solehah dan bertudung. Alhamdulillah saya berjaya membawa watak Nur Amina seperti diminta Khabir.

Tiz dan lakonannya sebagai Nur Amina.

Namun, agak mengecewakan saya, dalam kerancakan Nur Kasih masih bersiaran di TV3, tiba-tiba badai melanda apabila beberapa foto saya bersosial di pusat hiburan bersama beberapa teman tersebar dalam internet. Saya akui, imej yang boleh disaksikan di internet itu adalah milik saya bersama teman-teman. Namun, ia adalah foto lama sebelum saya memulakan penggambaran Nur Kasih lagi.

Ada juga dakwaan mengatakan seorang daripada beberapa lelaki yang bergambar dengan saya itu adalah teman lelaki saya, namun saya menafikannya. Semuanya adalah teman baik saya, tiada satu pun istimewa di hati saya. Sebagai remaja, apabila saya bersosial, saya sekadar berseronok dan berhibur bersama teman pada waktu lapang.

Bagi saya, bersosial itu membawa maksud sangat umum. Ia bukannya sesuatu perkara yang tak elok. Lagipun bukannya saya selalu bersosial, hanya apabila ada kelapangan, baru saya bergembira bersama teman-teman. Pun begitu, apa yang saya lakukan dalam hidup, ada batasannya.

Orang menuduh saya turut mengambil minuman keras berdasarkan foto berkenaan, macam mana dia orang tahu saya pun ambil minuman berkenaan? Mereka ada bersama saya di situ ke? Berdasarkan foto, minuman keras itu sekadar terhidang di depan meja kami. Namun, sejauh mana kita boleh menilai foto berkenaan? Lainlah kalau orang yang menuduh itu berada di situ bersama kami.

Perspektif orang macam-macam berdasarkan foto berkenaan, saya dihentam hebat dalam blog. Mereka hentam saya teruk sangat sehingga tidak sedar mereka mencarut! Bahasa digunakan juga sangat kesat sehingga membabitkan nama keluarga. Cara mereka menulis itu seolah-olah mereka sangat mengenali diri kita berbanding diri kita sendiri.

Pedih dihentam dalam blog

Bagi saya, Tuhan Maha Adil. Apabila tersebarnya foto berkenaan di internet, saya percaya ini mungkin pembalasan Tuhan pada diri saya di atas kesilapan dan kelalaian masa silam. Saya reda dan saya cuba memperbaiki diri saya sebaik mungkin. Namun, apabila saya membaca kembali apa yang ditulis dalam blog, memang pedih dan kadang kala saya rasa macam tak masuk akal. Perasaan marah pun ada.

Saya marah sebab cara mereka menulis, mengutuk itu, sangat kurang ajar! Mereka nampak botol arak depan saya, tapi masalahnya mereka nampak ke saya minum? Jangan menuduh sekiranya mereka tidak berada di situ. Saya masih waras, masih tahu menilai halal dan haram.

Bagi saya, apabila tersebarnya foto dalam internet ketika Nur Kasih sedang mendapat sambutan, saya dapat mengagak, wujudnya musuh dalam selimut yang ingin melihat kejatuhan saya. Kenapa baru sekarang foto berkenaan disebarkan ketika populariti Nur Kasih sedang memuncak, kenapa tidak dulu lagi kerana foto itu sudah lama dirakamkan?

Ketika nama saya baru nak bertapak dalam industri hiburan ini, terus saja foto itu tersebar. Tapi, kita tak boleh tutup mulut orang. Janganlah menilai seseorang itu berdasarkan foto semata-mata. Setiap daripada kita pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya tahu ada pihak ingin menjatuhkan saya. Namun, bagi saya, ini adalah cabaran di permulaan karier seni saya.

'Agama, kerja dua perkara berbeza'

Mulai sekarang, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap langkah di luar sana. Saya juga akan lebih berhati-hati dalam melayari kehidupan peribadi. Namun, apabila tersebarnya foto seumpama ini, saya susah lagi nak percaya kawan. Mungkin ada kawan-kawan baik saya yang tidak berpuas hati, lalu menyebarkan foto kami bersosial di internet. Saya berjanji akan cuba memperbaiki kesilapan diri.

Sebagai pelakon, saya hanya menjayakan watak diberikan. Jangan campur-adukkan kehidupan peribadi saya dengan watak yang saya jayakan dalam Nur Kasih. Orang bertanya, tak malu ke hipokrit dengan agama? Kita berlakon, baik, tapi kehidupan sebenar adalah sebaliknya. Bagi saya, agama dan kerja adalah dua perkara berbeza.

Apabila bekerja saya menjayakan watak Nur Amina seorang wanita solehah, tapi kehidupan peribadi saya, saya tidak bertudung dan ada kalanya bersosial bersama teman-teman. Saya akui, itu adalah diri saya. Sebenarnya orang tersalah anggap maksud sosial, bila sebut sosial, orang terbayang benda tak elok. Saya sendiri sebenarnya mengimpikan untuk menjadi seorang Nur Amina, namun Tiz Zaqyah belum bersedia menjadi Nur Amina.

Bagaimanapun dengan tersebarnya gambar-gambar saya bersosial, sekali gus melukakan hati peminat Nur Kasih, saya mohon kemaafan daripada semua. Ia memang kesilapan saya. Saya harap selepas ini peminat menilai saya berdasarkan bakat lakonan. Tiz Zaqyah akan tetap menjadi Tiz Zaqyah dan Nur Amina adalah watak yang menyemarakkan Nur Kasih."

INFO: Tiz
NAMA PENUH: Siti Zaqyah Abdul Razak
NAMA KOMERSIAL: Tiz Zaqyah
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik
KOMERSIAL: Vanilla Coke dan Silky Girl
DRAMA BERSIRI: Impian Illyana 2, Impian Illyana 3, Impian Sunsilk dan Nur Kasih (kini bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam di TV3)
TELEMOVIE: Taxi Driver, Bernafas Dalam Lumpur, Seandainya Aku Siti dan Puaka Topeng Putih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap