Kawan-kawan

Selasa, 16 Februari 2010

Suami Kajol tak cemburu?

JIKA ditakdirkan di luar lokasi mereka adalah suami isteri, pasti Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol Mukherjee pasangan sehidup semati paling serasi.
CINTA...MNIK mengisahkan cinta terhadap seorang lelaki yang menghidap penyakit kronik.
CINTA...MNIK mengisahkan cinta terhadap seorang lelaki yang menghidap penyakit kronik.
sebelum - selepas
GANDINGAN...Shah Rukh dan Kajol bersama Karan Johar. BABAK...Kajol tertarik dengan skrip MNIK. MESRA...Shah Rukh dan Kajol memang serasi sebagai pasangan kekasih.


Bagaimanapun, mereka berdua sudahpun berpunya dan bahagia bersama keluarga masing-masing.

Namun perkara itu tidak pernah menghalang mereka untuk mengekalkan keserasian sebagai kekasih atau suami isteri dalam filem lakonan mereka.

Sejak dulu hingga kini, filem yang menggandingkan mereka berdua jarang mengecewakan, malah pasti mencetuskan fenomena baru.

Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham (K3G) antara filem lakonan mereka yang terus menjadi sebutan sehingga sekarang. Pun begitu selepas Kajol bertemu jodoh dengan hero handalan Bollywood, Ajay Devgan dan melahirkan seorang anak, Nysa, Kajol lebih selesa menjadi isteri dan ibu.

Kemunculannya di layar perak begitu dirindui namun dia hanya bersedia berlakon jika mendapat skrip dan jalan cerita mantap.

Justeru, selepas dua tahun tanpa filem baru, Karan Johar melamarnya untuk sekali lagi bergandingan dengan Shah Rukh menerusi buah tangan terbarunya, My Name Is Khan (MNIK) yang mula menjengah pawagam semalam.


Belum pun ditayangkan filem itu menjadi sebutan ramai dan sangat dinantikan.


MNIK sarat dengan mainan perasaan dan emosi. Sejarah juga tercatat apabila filem itu terpilih menyertai Festival Filem Berlin yang berlangsung dari 11 hingga 21 Februari ini. Tidak banyak filem India yang berjaya ke festival filem itu melainkan filem blokbuster arahan Farah Khan, Om Shanti Om.

Bercerita mengenai kemunculannya dalam filem itu, jelas Kajol, yang masih langsing dan senyuman manis sentiasa terukir di bibir, jarang atau mungkin tidak pernah terjadi seorang yang normal jatuh cinta dengan lelaki menghidap penyakit kronik.

"Tetapi itulah jalan cerita yang diutarakan Karan dalam MNIK. Saya perlu membuktikan yang saya sangat mencintainya.

"Itulah keunikan filem cinta ini. Sebelum melakonkannya saya terfikir apakah dalam keadaan nyata seorang wanita akan jatuh cinta dengan lelaki yang berpenyakit austisme seperti Rizwan.

"Perkara itu mustahil berlaku, tetapi apabila difikirkan semula cinta itu tidak mengenal siapa.

"Malah, sukar meramalkan bila cinta itu akan hadir dan kriteria lelaki macam mana yang kita mahukan.

"Cinta itu buta dan ia muncul secara tiba-tiba. Apabila sudah bertemu dengan orang yang kita cintai, segala kriteria yang kita senaraikan selama ini hilang begitu saja.

"Yang hadir waktu itu hanya rasa cinta yang wujud secara semula jadi. Apabila anda menonton filem ini anda akan faham maksud saya," katanya.


Cabaran utama Kajol membawakan watak Mandira ialah dia perlu 'lari' daripada corak lakonan yang pernah dibawanya dalam kebanyakan filem lakonannya sebelum ini terutama dalam K3G.

"Saya tidak mahu membawakan watak itu seperti mana karakter yang pernah dilakonkan dalam K3G.

"Dalam filem itu semua dapat menjangkakan apa yang akan berlaku dalam babak seterusnya dan pelakon K3G juga sudah tahu apa yang perlu mereka lakukan.

"Tetapi dalam MNIK, banyak perkara berlaku di luar dugaan. Sebagai pelakon saya tahu apa yang hendak dibuat, tetapi sukar hendak menterjemahkannya di layar perak.

"Dalam setiap babak mesti ada adegan di luar jangkaan, tetapi Shah Rukh dapat melakukannya dengan begitu baik.

"Dia berjaya menonjolkan perubahan emosi yang adakala memerlunya ketawa, menangis dan bersedih. Tetapi saya berharap apabila penonton menyaksikan filem ini jangan ada yang berkata ini satu lagi filem Kuch Kuch Hota Hai.

"Dengan gabungan pelakon terbaik, tenaga kerja kreatif dan jalan cerita yang bagus, pasti anda tidak kecewa menontonnya. Saya jamin anda tidak akan minta duit tiket balik.


"MNIK tidak sama dengan filem arahan Karan yang lain. Ia adalah cerita baru dengan sentuhan baru dan menggunakan teknik baru. Jika anda pernah menonton filem Karan yang lain, tentu anda menyangka filem ini bukan arahannya.

"Perubahan itu berlaku sejajar pengalaman yang semakin banyak dan cara pemikiran Karan sekarang.

"Sehebat manapun Karan yang saya kenali, setiap kali filemnya akan ditayangkan dia akan berdebar. Dia berhenti bercakap mengenai keburukan filem orang lain, malah selalu puji filem pengarah lain bagus dengan harapan orang akan memuji filemnya pula," katanya.


Tambah Kajol siapa yang tidak berdebar kerana selera penonton sukar diduga.


"Menjadi produser dan pengarah filem membuatkan kita tidak senang duduk kerana keputusan penonton menentukan untung rugi. Jika mereka suka filem itu bererti akan dapat untung. Jika sebaliknya, kira sajalah kerugian yang akan ditanggung.

"Tetapi saya yakin filem ini akan berjaya kerana Karan amat mementingkan cita rasa penonton, bukan buat filem syok sendiri," katanya.


Bercakap mengenai Shah Rukh, segala pujian untuk megastar itu. Tiada kata-kata dapat diluahkan kerana dia adalah yang terbaik dan terus kekal dalam kedudukan dan keistimewaannya yang tersendiri.


"Selama lapan tahun bekerja dengannya pengalaman yang sangat mahal dan luar biasa. Dia semakin bagus dan tidak pernah jemu mempamerkan lakonan terbaik. "Dia masih bertenaga dan bersemangat. Dia bukan saja hafal skrip sendiri, tetapi juga skrip pelakon lain.

"Sewaktu kami membaca skrip bersama, saya tahu dia akan buat macam mana dan dia juga tahu saya akan melakonnya macam mana.

"Kami memang serasi. Karan juga setuju dengan cara kami menghidupkan watak masing-masing. Barangkali kerana kami bersahabat baik dan selalu kerja bersama berjaya menyatukan rasa dan gerak hati apabila berlakon berdua.


"Walaupun Shah Rukh sangat terkenal, sikapnya terhadap rakan sekerja dan kawan-kawan tidak pernah berubah. "Dia tidak suka jaga tepi kain orang melainkan tumpuan diberi kepada kerjanya saja.

"Dia manusia yang sangat bertuah dan dia bijak menguruskan kehidupannya yang penuh glamor tanpa sedikitpun leka dengan apa yang dinikmatinya sekarang," katanya.

Tidakkah kemesraan yang dipaparkan Kajol terhadap Shah Rukh dalam filem itu mencetuskan rasa cemburu Ajay?

"Memang Ajay dan Shah Rukh tidak rapat, tetapi mereka saling mengenali. Ajay kenal siapa saya dan tahu sejauh mana hubungan saya dengan Shah Rukh. Apa yang orang dengar mengenai saya dan Shah Rukh hanya khabar angin.

"Saya akui akan berasa tidak selesa jika tahu mereka membenci sesama sendiri, tetapi setakat ini tidak pernah dengar komplen daripada mereka. Apapun khabar angin yang bertiup, saya tidak pernah ambil tahu," katanya.

MNIK ini bermula dengan zaman kanak kanak, Rizwan Khan lakonan Tanay Chheda beragama Islam yang menghidap sejenis penyakit sindrom yang luar biasa.

Dia membesar dengan penuh kasih sayang ibunya (Zarina Wahab) di Borivali iaitu di sekitar Mumbai.


Apabila dewasa, Rizwan (diambil alih Shah Rukh) berpindah ke San Francisco dan menetap bersama abang dan kakak iparnya.

Di sana dia mula menyulam cinta bersama Mandira (Kajol).

Dia kemudian berkahwin dan menceburi bidang perniagaan.


Selepas beberapa tahun perkahwinan Rizwan dan Mandira berdepan pelbagai cabaran diikuti perpisahan tragik yang dilalui pasangan itu. Namun dalam usaha memenangi kembali hati bekas isterinya itu, Rizwan terpaksa menempuhi perjalanan yang sukar ke seluruh Amerika Syarikat.

MNIK diterbitkan Hiroo Yash Johar dan Gauri Khan turut menampilkan sentuhan lakon layar daripada Shibani Bathija dengan kerjasama Dharma Productions dan Red Chillies Entertainment. Ia diedarkan Fox Star Entertaiment.


Filem ini menggunakan teknik sinematografi hasil kepakaran Ravi K Chandran dan Shankar Ehsaan Loy sementara koreografi oleh Farah Khan.


Skripnya ditulis Niranjan Iyengar manakala teknik kesan khas visual pula oleh Red Chilies.

>Profil
NAMA: Kajol Mukherjee
TARIKH LAHIR: 5 Ogos 1975
BINTANG: Leo
TINGGI: 5' 5
WARNA RAMBUT: Hitam
TEMPAT DILAHIRKAN: Mumbai
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Ajay Devgan
ANAK: Nysa
BAHASA PERTUTURAN: Bahasa Hindi dan Inggeris
BAPA: Shomu Mukherjee
IBU: Tanuja
ADIK: Tanisha
FILEM: Bekhudi, Kal Ho Naa Ho, , Kuch Khatti Kuch Meethi, Raju Chacha, Hote Hote Pyaar Ho Gaya, Hum Aapke Dil Mein Rehte Hain, Dil Kya Kare,, Dushman, Duplicate, Pyaar Kiya To Darna Kya, Pyaar To Hona Hi Tha, Ishq, Minsaara Kanavu, Gupt: The Hidden Truth, Hamesha, Sapnay, Bambai Ka Babu,, Gundaraj, Taaqat, Hulchul, Karan Arjun, Yeh Dillagi, Udhaar Ki Zindagi, Baazigar, Bekhudi dan Kal Ho Naa Ho


----- HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap