Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Dewa Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dewa Cinta. Papar semua catatan

Rabu, 13 Julai 2011

Iqram alergi hipokrit


SEBAGAI pelakon, Iqram merasakan perjuangannya kini adalah untuk mendapatkan kasih sayang dan cinta dalam bidang seni.


AKTOR ini sedang mencipta jalannya sendiri. Daripada hanya muncul sebagai pelakon sampingan dan pembantu, kini dia sudah mendapat kepercayaan sutradara untuk tampil sebagai pelakon utama.

Iqram Dinzly sedang menentukan jalan sebagai anak seni di bawah lembayung lakonan. Kini wajahnya dapat dilihat dalam siri Dewa Cinta yang disiarkan di TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.

“Saya harap siri Dewa Cinta dapat mencipta fenomena tersendiri. Berdasarkan respons, saya lihat ia adalah sebuah fenomena selepas drama bersiri lakonan saya iaitu Ayoub,” ujar Iqram.

“Terus terang saya rasa skil lakonan saya masih perlu diperbaiki. Nasib saya baik kerana dipertemukan dengan pasangan yang bagus dalam drama dan filem. Begitu juga dengan sutradara yang ada ikatan kimia dengan saya. Saya tidak boleh berlakon dengan orang yang ‘kosong’. Saya tidak bagus, jadi perlu dipasangkan dengan orang yang bagus untuk keseimbangan lakonan,” ujarnya yang mengaku mendapat banyak respons positif impak daripada lakonannya dalam drama Dewa Cinta bersama Fasha Sandha.

FESYEN

Saya berfesyen mengikut naluri hati. Saya pentingkan keselesaan dan pastikan apa yang saya pakai adalah lain daripada yang lain. Apa yang penting adalah selesa dan apa sahaja yang berkenan di hati saya.

RASUK

Saya sangat teringin watak dirasuk kerana tidak pernah ditawarkan dengan watak sebegitu. Saya rasa karakter dirasuk sangat mencabar untuk bermain-main dengan dua personaliti. Saya pernah ‘terkena’ pada usia 18 tahun dan akan meracau-racau antara sedar dan tidak. Dalam filem Rasuk, watak Melati dilakonkan dengan jayanya oleh Fauziah Ghous. Bukan mudah untuk membawa watak yang memerlukan tenaga ekstra apabila ‘dirasuk’.

MISI

Makin lama saya rasa perjuangan saya adalah untuk mendapatkan kasih sayang dan cinta dalam bidang seni. Inilah yang ingin saya capai sebagai anak seni. Saya juga berjuang untuk memberi tauladan kepada masyarakat dengan watak-watak yang saya bawa. Memberi kebaikan kepada diri sendiri dan khalayak dalam melakonkan watak-watak kehidupan.

ALERGI

Waktu saya kecil hingga tingkatan tiga, saya mempunyai alergi yang membuatkan badan saya membengkak dan gatal-gatal seperti digigit nyamuk. Alergi ini berlaku selepas waktu senja. Kini saya hanya alergi kepada aerosol dan orang hipokrit.

DISIPLIN MASA

Individu perlu bekerja dengan cekap dan bijak. Perlu ada toleransi tentang keadaan dan masa. Banyak faktor lain yang perlu difikirkan dalam soal disiplin. Perlu ada keseimbangan. Fikir tentang baik dan buruk dalam membuat sesuatu tindakan. Jangan terlalu mengikut ‘disiplin’ hingga hilang keseimbangan.

----- Kosmo Online

Selasa, 5 Julai 2011

Fasha jadi penyanyi dalam Dewa Cinta


PROFESIONAL. Walaupun dikatakan mempunyai sedikit konflik antara satu sama lain, namun Fasha Sandha dan Iqram Dinzly tetap dapat menjayakan karakter sebagai pasangan kekasih dalam drama bersiri Dewa Cinta dengan baik.


AKTRES Fasha Sandha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bersengketa dengan pasangannya dalam drama Dewa Cinta, aktor Iqram Dinzly, apabila aktor itu dikatakan lewat datang ke lokasi penggambaran telah berusaha keras belajar bermain gitar demi wataknya dalam drama terkini tersebut. Drama sebanyak 24 episod yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu memerlukan Fasha belajar asas bermain gitar kerana wataknya sebagai June seorang pemuzik dan penyanyi di pub.

“Watak dalam drama ini sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini dan juga diri saya sendiri. “Ini kerana hakikat sebenarnya saya tidak pandai bermain gitar, tetapi demi memberikan lakonan yang berkesan selama sebulan lebih saya belajar main gitar. “Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh memetik gitar secara asas. Kiranya, kalau saya main gitar, bolehlah dengar muziknya tetapi saya masih dalam peringkat belajar. Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara yang baharu sepanjang menjalani penggambaran drama Dewa Cinta,” kata Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Restoren Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun dirinya tidak pernah surut dihambat kontroversi dan kemunculan pelakon baharu yang ramai, Fasha tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk drama terbitan mereka. Kini, wajah Fasha antara wajah aktres yang paling kerap ditonton di kaca televisyen. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Fasha meluahkan rasa terharunya kerana dirinya masih menjadi pilihan. “Memang saya penat kerana sibuk bekerja tetapi saya tidak sampai hati untuk menolak tawaran drama yang bagus kerana kalau ikutkan ramai pelakon baharu yang muncul setiap hari. “Saingan bertambah sengit, tetapi penerbit dan pengarah masih memilih saya. Saya berterima kasih atas sokongan semua, sebab itu saya selesa berlakon drama, tambahan drama bersiri memberi pulangan lumayan,” ujarnya tidak berselindung.

Iqram yang menjadi pasangan Fasha dalam drama ini mengakui dia mempunyai masa yang seronok sepanjang berlakon drama ini walaupun pernah berperang sebentar dengan Fasha. Katanya, selepas kontroversi itu, hubungannya dengan Fasha kembali pulih seperti biasa. Malah, ketika majlis pelancaran, Fasha dan Iqram masing-masing dilihat profesional dan menjiwai watak mereka sewaktu diminta untuk bergambar bersama.

Sambung Iqram mengenai wataknya dalam Dewa Cinta: “Watak Iqbal lebih kurang sama dengan diri saya. Masih tak kahwin-kahwin dan sedang mencari. Pada usia 29 tahun, Iqbal masih tidak fikir pasal kahwin tetapi bila berjumpa dengan June, Iqbal mula menagih cinta wanita tersebut.”

Drama Dewa Cinta yang diarahkan oleh pengarah, Haris Fadzillah itu telah mula disiarkan pada 20 Jun lalu di Slot Akasia TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Dewa Cinta mengisahkan tentang Iqbal (Iqram Dinzly) yang dibesarkan dengan penuh kemewahan oleh keluarga angkatnya, Norhan (Hafizuddin) dan Rohaya (Aida Khalida). Memori hitam pada zaman kanak-kanak akibat sikap ayah kandung yang sangat garang dan tegas terhadapnya selepas ibu dan kakaknya menghilangkan diri menyebabkan jiwa Iqbal mula memberontak dan selesa menyembunyikan sikap panas barannya sebalik penampilannya yang elite. Selain Iqram dan Fasha, drama ini turut dibintangi oleh pelakon, Aida Khalida, Nabila Huda, Lana Nordin, Bkay Nair, Hafizuddin dan penampilan istimewa, penyanyi, Black.

----- Kosmo Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap