Kawan-kawan

Ahad, 17 Januari 2010

Mayang Mengurai (Utusan Malaysia)

Mayang Mengurai, Rapunzel Melayu

(Duduk dari kiri) Zarina, Tania dan Anne (di belakang dari kiri) Ammar, Sabrina dan Kamal.


SIAPA yang tidak tahu akan kisah dongeng Rapunzel, puteri jelita yang mempunyai rambut yang cantik dan sangat panjang. Kisah dongeng rakyat negara Jerman ini dikenali dan menjadi kegemaran ramai sehingga sering diadaptasikan menjadi drama atau filem di negara-negara lain.

Kisah dongeng itu dapat anda ikuti melalui slot Lagenda iaitu Mayang Mengurai yang mula disiarkan pada 12 Januari setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4.30 petang di TV3.

Memperkenalkan pelakon-pelakon baru seperti Tania Hudson dan Ammar sebagai teraju utama, drama ini akan membawa penonton ke alam fantasi dan magis Mayang Mengurai bersama dua orang kakak angkatnya, Mayang Merdu dan Mayang Indera.

Drama bersiri ini turut membariskan para pelakon yang muda dan berbakat seperti Anne Ngasri, Zarina AF, Kamal Adli, Sabrina Ali, Shasha Saidin, Ako Mustapha, Latif Borghiba, Lana Nordindan Badrul Muhayat.

Mayang Mengurai yang akan bersiaran sebanyak 19 episod ini diterbitkan oleh Orangetree Communications Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Yeop 'Hitler' Zami.

Mayang Mengurai mengisahkan Mayang Mengurai yang dikurung di dalam sebuah menara oleh seorang pengamal ilmu hitam, Kornilam demi menambah kuasanya.

Tiga puteri

Mayang Mengurai yang memiliki rambut yang sangat panjang turut mempunyai dua orang kakak angkat iaitu Mayang Indera dan Mayang Merdu yang dipergunakan oleh Kornilam untuk mencari punca kewangan.

Khalif dan Mayang Mengurai jatuh cinta dan Kornilam berusaha menghalang mereka kerana dia akan kehilangan kuasanya jika Mayang Mengurai berkahwin.

Pelbagai mesej dapat digarap melalui drama terbaru slot Lagenda ini, selain mengajar manusia bahawa ilmu hitam hanya akan memudaratkan diri kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Drama ini juga memaparkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak tidak akan putus walau apa sahaja halangan yang memisahkan mereka.

Menurut Yeop, persamaan Mayang Mengurai dan Rapunzel hanyalah pada rambutnya dan dikurung di sebuah menara, namun banyak perbezaan dilakukan supaya sesuai dengan suasana di sini.

"Saya tidak mahu terlampau terikat dengan jalan cerita asal Rapunzel yang hanya dikurung seorang diri di dalam istana itu.

"Dalam Mayang Mengurai, ada tiga puteri yang diketengahkan iaitu Mayang Mengurai, Mayang Merdu dan Mayang Indera yang mempunyai kuasa masing-masing.

"Saya juga cuba bentukkan dari segi pemakaian warisan kita dan bersesuaian dengan budaya rakyat kita," ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran Mayang Mengurai di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, dia tidak menghadapi masalah mengarah pelakon-pelakon baru yang dipilih oleh pihak TV3 dan penerbit kerana pernah mengarahkan sekumpulan pelakon baru sebelum ini dalam Dunia Baru The Movie sebelum ini.

Baginya, pelakon baru seperti Tania dan Ammar mampu berlakon, cuma perlu diberi lebih bimbingan dan masa supaya mereka dapat lebih menghayati watak mereka.

Tania berambut cantik

Bagi si gadis manis adik kepada Natasha Hudson ini, wataknya sebagai Mayang Mengurai yang merupakan watak utama memberikan pengalaman menarik kerana perlu memakai rambut palsu yang sangat panjang.

"Saya dipakaikan dengan lima rambut palsu material yang berbeza sehingga pihak produksi menjumpai rambut palsu yang sesuai dan kelihatan cantik apabila dirakam kamera.

"Rambut palsu yang lain-lain sebelum ini agak berat dan sukar dipakai sehinggalah mereka memilih untuk menghasilkan rambut palsu daripada benang dan ia ringan," ujar bintang muda ini.

Tambahnya, walaupun baru pertama kali berlakon namun kepercayaan yang diberikan untuk memegang watak utama merupakan satu penghormatan buatnya.

Sebagai pendatang baru, kata Tania, dia bertuah kerana dapat bersama pelakon berpengalaman seperti Anne Ngasri dan Sabrina Ali yang tidak lokek membimbingnya.

Ammar pertama kali jadi hero

Nama Ammar agak baru dalam dunia lakonan tanahair. Ammar mula dikenali apabila menyertai rancangan realiti mencari pelakon, Anak Wayang yang disiarkan di saluran Astro.

Walaupun tidak menjejakkan kaki ke final Anak Wayang, platform itu digunakannya dengan sepenuhnya sehingga diberi kepercayaan untuk memegang watak utama sebagai Khalif, kekasih Mayang Mengurai dalam drama ini.

Mengakui agak gementar diberikan tanggungjawab sebesar ini, pemilik Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara ini cuba menjiwai watak sebaik mungkin dan banyak belajar dengan pelakon yang lebih berpengalaman dan pengarah drama ini.

"Ini pertama kali saya menjadi hero dan saya memang gugup kerana diberi tanggungjawab sebesar ini.

"Cabaran saya di dalam drama ini ialah untuk meluahkan perasaan cinta saya yang mendalam kepada Mayang Mengurai supaya penonton dapat merasakan cinta itu," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap