Kawan-kawan
Khamis, 31 Januari 2013
KL Gangster ditayang sempena anugerah Seri Temasek
Rabu, 29 Jun 2011
Syamsul 'gangster'
syazwan_zakariah@astro.com.my
![]() |
| LAKONAN Syamsul Yusof menunjukkan kematangan dalam filem terbaru arahannya ini. |
SECARA kasar, Gangster dilihat sebagai sebuah lagi filem aksi dari Syamsul Yusof selepasEvolusi KL Drift (2008),Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Evolusi KL Drift 2 (2010).
Begitupun, untuk seorang karyawan muda yang baru tiga tahun mengarah, kemampuan Syamsul semakin memberangsangkan.
KL Gangster bukanlah sebuah filem luar biasa, tetapi tidak juga sangat biasa. Syamsul mengukuhkan 'trademark'nya menerusi filem aksi, meneruskan legasi bapanya, Datuk Yusof Haslam yang sinonim dengan filem-filem serta rangkaian drama jenayah dan kepolisan.
Filem ini mengisahkan Malek, bekas banduan yang inginkan kehidupan 'bersih' selepas lima tahun meringkuk dalam penjara.
Kembalinya lelaki itu membuatkan Shark, samseng muda yang gilakan kuasa tidak senang duduk kerana berasa tergugat, apatah lagi dia yang menyebabkan Malek ditangkap.
Isi cerita inilah yang dikembangkan dengan penampilan watak konco-konco Shark, kumpulan pesaing Shark yang diketuai Dragon serta 'guru' Shark iaitu bapa tirinya, King yang bersahabat dengan Malek.
Penonton juga diperkenalkan kepada karakter-karakter 'putih' yang selalunya tertindas seperti adik perempuan Malek dan ibunya serta watak komedi, Fadil (yang dibentuk baik serta terkawal oleh Zizan).
Konflik ala Hindustan yang membabitkan sibling rivalry turut dipaparkan menerusi watak adik Malek, Jai yang menjadi tali barut Shark.
Berdasarkan sinopsis, plot KL Gangster bukanlah sebuah idea di luar kotak, malah penonton sudah boleh mengagak penamatnya.
Namun, Syamsul mempamerkan kebolehan dan kebijaksanaannya mengolah naskhah lazim ini menjadi sebuah filem hiburan yang cukup sifat dan berlabel box-office.
Syamsul menyampaikan cerita dengan jelas, meskipun tempo filem ini bergerak pantas. Penonton masih diberi ruang untuk menghadam babak demi babak tanpa perasaan tergesa-gesa hasil suntingan yang kemas. Tidak perlu twist atau kejutan, dia menyandarkan aksi lasak sebagai umpan utama.
Aksi-aksi itu dikoreograf kemas dan ditangkap oleh kerja kamera yang efektif. Meskipun ada yang beranggapan filem ini menceduk semangat filem-filem samseng Hong Kong, tetapi 'peniruan' gaya itu dilakukan cemerlang oleh Syamsul. Adegan gasaknya tidak janggal dan tidak nampak dibuat-buat.
Selain aspek teknikal yang menjadi kekuatannya, Syamsul disokong barisan pelakon yang tepat, masing-masing berjaya menyerapi roh watak yang dipegang.
Aaron Aziz sebagai Malek menonjolkan sifat hero tipikal yang hanya mengganas bila 'disentuh' dan mampu mengundang simpati penonton tanpa perlu menangis.
Ady Putra sebagai Jai cukup menjengkelkan (tetapi masih mempunyai sifat kemanusiaan apabila dipaparkan dia memberi wang dan menyelimutkan kanak-kanak yang tidur di tepi jalan), begitu juga dengan Sofi Jikan sebagai Ajib.
Sofi memang sering diberikan watak jahat, tetapi kali ini dia lebih diingati kerana tidak 'over-acting' dan memberi makna, bukan sekadar tempelan.
Malah, Syamsul yang sebelum ini sering dikritik kerana kaku, mewarnakan peranan Shark dengan baik.
Raut wajah, bahasa tubuh dan pertuturannya sepadan, memberikan justifikasi bahawa sebenarnya dia sangat beruntung kerana selaku penulis skrip, dia sewajarnya tahu latar belakang dan selok-belok watak yang diciptanya sendiri.
Penamat filem ini sedikit anti-klimaks apabila Syamsul memilih untuk sekadar memberitahu apa yang berlaku selepas kemuncak pertarungan menerusi voice-over.
Apatah lagi, ia seperti pelajaran moral, memberitahu penonton , sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Saya memahami tanggungjawab pembikin filem untuk menyampaikan mesej positif, biarpun tema filem berkisar kepada gangsterisme.
Saya juga memahami betapa fiksyennya adegan-adegan samseng Kuala Lumpur yang secara terbuka menembak dan berbunuh-bunuhan di khalayak ramai.
Saya akui, adegan pembukaan yang memaparkan KLCC membuatkan mood saya terganggu, begitu juga dengan narration Malek tentang betapa bernodanya Kuala Lumpur yang agak lapuk.
Bagaimanapun, Syamsul 'menebus' pengulangan klise itu dengan sebuah hidangan yang menghiburkan.
Perlahan-lahan, Syamsul membuktikan gelaran kontroversi Pengarah Terbaik yang dimenanginya tahun lalu bukan satu anugerah kosong. Dia 'gangster' industri perfileman Malaysia yang berani, harus 'digeruni' dan terus diperhatikan selepas ini.
----- Utusan Malaysia Online
Takhta Filsuf dalam KL Gangster
Gambar ihsan NOVA MUSIC
![]() |
| Filsuf yakin anak didiknya, Erna bakal menyinar. |
KEBERANIAN pengarah muda Syamsul Yusuf membawa elemen baru dalam industri perfileman merupakan satu petanda awal tentang perubahan ombak industri perfileman tanah air.
Namun di sebalik kejayaan filem KL Gangster yang berjaya mengumpul kutipan tiket sehingga mencecah RM10.3 juta, kekuatan setiap filem arahannya disokong oleh album runut bunyi yang mampu membangkitkan andrenalin penonton ketika menghayati sesuatu filem itu.
Tidak kira filem antarabangsa mahupun tempatan, pemilihan lagu yang sesuai ataupun kena dengan rentak perjalanan sesuatu filem mampu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penonton.
Bagi filem pecah panggung, KL Gangster, lagu tema filem berkenaan, Takhta disulam kemas oleh Dali Ahli Fikir atau juga dikenali sebagai Filsuf, yang bertanggung jawab menghasilkan lagu tersebut.
Takhta sedikit sebanyak membantu menggamit penonton untuk menghayati KL Gangster.
Kata Filsuf, dia sendiri tidak menduga lagu yang diciptanya dalam tempoh lima hari berjaya mendapat tempat di hati peminat filem tersebut.
"Apabila diberi peluang untuk menghasilkan runut bunyi, saya tidak mempersia-siakannya sebaliknya melaksanakan tugasan itu dengan rasa penuh tanggung jawab.
"Saya tahu ini bukan satu kerja yang mudah kerana mengenali Syamsul, dia sangat mementingkan kualiti dan ketepatan karya agar selari dengan jalan cerita filem arahannya.
"Alhamdulillah tugasan menerbitkan lagu Takhta berjalan lancar dan Syamsul sendiri turut memberi beberapa pandangan dari sudut teknikal untuk mencantikkan lagi lagu tersebut," katanya.
Pada pandangan peribadinya, Filsuf berkata, lagu tema mempunyai peranan untuk membantu mempromosikan filem yang ditayangkan di panggung.
"Sesetengah penonton, pada firasat saya, selain terhibur dengan hasil kerja pengarah, mereka juga suka mendengar lagu tema filem yang ditonton.
"Perasaan itu saya pernah alami ketika menonton filem Azura, lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud pada tahun 1984.
"Saya menonton filem itu berulang-ulang kali kerana tersentuh dengan lagu temanya yang syahdu," katanya yang ketawa apabila diusik berjiwa romantis.
Sebagai komposer, Filsuf menyuntik rentak hip hop untuk digabungkan dengan elemen kemelayuan bagi menghasilkan melodi yang indah untuk lagu Takhta.
Lagu itu katanya, diterbitkan bersama anak didiknya, Erna yang dirasakannya mempunyai vokal berkualiti.
"Erna ada potensi untuk meletakkan dirinya sebaris dengan artis-artis sedia ada sekarang.
"Mereka yang pernah terhibur dengan keunikan suara Mawar Ahli Fiqir, pasti boleh menerima Erna kerana dia setanding dengan Mawar," kata Filsuf.
----- Utusan Malaysia Online
KL Gangster - Sinopsis
Tarikh Tayangan: 9 Jun 2011
Genre: Aksi
Durasi: 1 jam 21 minit
Pengarah: Syamsul Yusof
Pelakon: Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Zizan (Raja Lawak), Ridzuan Hashim
Sinopsis: Mengisahkan tentang dua beradik yang telah terjebak dalam dunia gangster. Seorang bernama Malek dan seorang lagi bernama Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama lima tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Malek kemudian mahu kembali ke pangkal jalan selpeas dibebaskan. Adakah dia mampu berbuat demikian atau memilih untuk membalas dendam?
----- Kosmo Online
Persediaan Adi Putra
![]() |
| |
KATA aktor dengan nama Adi Putra, elemen gila penting dalam pembawaan seorang pelakon. Gila yang dimaksudkan itu adalah terhadap karakter yang dijiwai dan dibawakan.
“Sejak mula berlakon dengan produksi Erma Fatima saya sudah meletakkan elemen ‘gila’ dalam lakonan saya. Elemen itu menyebabkan lakonan saya lebih efektif,” ujarnya serius agar khalayak mengerti maksud gila yang dikatakan.
Persedian lakonan Adi juga gila. Sekelip mata dia mampu mengecilkan dan membesarkan susuk tubuh untuk sebuah karakter dan kesesuaian watak lakonannya.
“Sewaktu berlakon filem Haq saya sudah membina badan saya, menjadi agak besar. Selepas itu saya berlakon filem Hanyut saya kecilkan pula untuk menepati karakter. Untuk filem terbaru saya yang berada di pawagam pada 9 Jun ini, KL Gangster, saya tukar bentuk badan dan imej, semua untuk karakter juga,” ujarnya yang mengagumi kesanggupan pelakon Bollywood menukar bentuk badan.
Dia melakukan kerja ‘gila’ menukar bentuk badan untuk meyakinkan penonton akan karakternya. Malah katanya dengan badan yang meyakinkan, dia lebih selesa dan berlenggang tanpa baju dalam filem. Tuntutan watak Jai dalam filem KL Gangster juga tidak membuahkan canggung dengan susuk tubuh Adi yang pejal.
“Tidak dinafikan itu salah satu strategi pemasaran juga apabila aktor menanggalkan baju. Tetapi ia perlu mengikut kesesuaian watak saya sebagai gangster. Malah dengan tidak berbaju, ia tidak menganggu saya untuk melakonkan aksi-aksi dalam filem tersebut,” akuinya yang memilih ikan untuk mengecilkan badan manakala ayam pula untuk membina balik tubuhnya.
“Jai itu jiwanya jahat. Saya tidak pernah bawa watak antagonis yang sebegitu. Jai menuntut stamina yang banyak kepada saya kerana melibatkan 70- 80% aksi,” ujar Adi yang senang bekerjasama dengan sutradara muda, Syamsul Yusuf yang dianggap memberi ruang besar untuk dia tampil kreatif dengan wataknya.
Berdebar menunggu respons khalayak terhadap filem terbaru lakonan bersama Zizan Raja Lawak, Aaron Aziz dan Sofii Jikan, Adi juga berkongsi pengalaman berlakon di negara orang.
Berpeluang ke Sepanyol untuk produk drama Suria Di Cordoba, Adi menyatakan keseronokannya melangkah ke negara luar atas tugasan sebagai seorang aktor. Manakan tidak, 60 peratus daripada adegan drama itu menjalani penggambaran di bandar raya Cordoba dan Madrid, Sepanyol, sementara selebihnya di tanah air.
“Saya membawakan watak Indra Putra dan berpeluang berlakon bersama Fahrin yang membawakan watak Tengku Huzir dan Sari Yanti sebagai Suria Khadijah Parker. Di sana selain berlakon, saya juga dapat menyaksikan keindahan alam dan reka bentuk bangunan yang mengagumkan,” ujar Adi tentang drama bersiri 26 episod tersebut yang telah pun menemui penonton Astro Prima (saluran 105) setiap hari Selasa pukul 9 malam mulai 7 Jun lalu.
Drama bersiri Suria Di Cordoba berkisar kisah seorang gadis moden campuran Melayu-Sepanyol lakonan Sari Yanti yang memilih menjadi aktivis untuk membebaskan dirinya dari dunia kebendaan. Dalam usaha untuk menjejaki sejarah cinta kedua ibu-bapanya yang bermula di Cordoba, dia diuji Allah dengan cinta yang luar biasa.
----- Kosmo Online
KL Gangster 'luar biasa'

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/06/29
Kebanyakan penonton, walaupun mereka menonton filem luar negara, tetapi pada masa tidak melepaskan peluang melihat filem keluaran tempatan. Apa yang penting ceritanya menarik.
Filem KL Gangster adalah yang kelima arahan Syamsul Yusof yang menampilkan pelakon, Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Zizan, Sheera, Shoffi Jikan, Adam Corrie dan Syamsul sendiri, mampu melepasi angka kutipan kasar yang luar biasa meskipun terpaksa bersaing dengan filem hebat Hollywood, X-Men dan Kung Fu Panda.
Namun, angka terbabit dijangka mampu melonjak ke RM12 juta jika dicampurkan dengan kutipan di pawagam bebas yang kini semakin rancak ditayangkan dan mencecah kira-kira RM300,000.
Walaupun kekerapan waktu tayangan sudah dikurangkan kerana kemasukan filem baru serta kekurangan dewan tayangan, KL Gangster masih lagi mendapat sambutan sehingga ke hari ini.
Penerbit Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan dikecapi anaknya itu satu pencapaian yang tidak diduga selain menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap keupayaan pengarah muda itu.
“Syukur alhamdulilah apa yang kita capai ini di luar dugaan dan satu kejutan. Saya bangga kerana menjadi filem Melayu pertama yang dapat mencapai jumlah kutipan kasar yang tinggi menyaingi filem Hollywood.
“Saya rasa akan ada filem Melayu lain yang mencapai kutipan lebih baik daripada ini, tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana filem saya dulu pernah capai RM6 juta dan saya jangka akan ada filem lain yang akan melepasi angka itu,” katanya ketika dihubungi HIP.
Melihat kepada perkembangan positif terbabit dan sambutan masyarakat terhadap filem Melayu kini yang semakin memberangsangkan, Yusof membayangkan akan menghasilkan lebih banyak filem yang dapat diterima semua lapisan masyarakat.
Meskipun filem hebat Hollywood, Transformers akan menjengah ke panggung, namun masih terdapat permintaan daripada pihak panggung untuk meneruskan tayangan KL Gangster untuk beberapa hari lagi.
“Kita masih ada beberapa hari lagi tayangan dan Insya-Allah kita mampu capai RM12 juta walaupun waktu dan dewan tayangan sudah dikurangkan.
“Memang ada ada antara panggung yang sudah tarik balik tayangan kerana banyak filem yang akan masuk, namun kita cukup berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sekarang,” jelasnya.
Melihat kepada peningkatan bagi setiap filem arahan anaknya, KL Drift, Bohsia, Evolusi KL Drift dan Khurafat, Yusof menjangkakan akan ada peningkatan serta sambutan yang serupa terhadap filem keenam Syamsul nanti.
KL Gangster 2 bermula Oktober
SAMBUNGAN KL Gangster ini yang masih mengekalkan Syamsul sebagai pengarahnya akan menjalani penggambaran Oktober depan dengan kos penerbitannya sekitar RM3 juta.
Kos yang tinggi kerana membabitkan ramai pelakon terkenal tanah air termasuk Rosyam Nor.
“Filem ini akan menyingkap kembali kisah Aaron Aziz macam mana dia boleh terjebak dengan kumpulan gangster selain beberapa pelakon hebat lain. Jalan ceritanya lebih mencabar dengan pelbagai aksi dramatik. Penggambaran masih di sekitar KL tetapi akan ada beberapa lokasi di luar KL,” katanya.
Walaupun filem terbabit akan menjalani penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, namun Syamsul kini sedang sibuk membuat persiapan awal sebelum menjalani penggambaran sepenuhnya nanti.
Melihat kepada kejayaan itu, Syamsul dikatakan mahu melihat karya keenamnya itu digarap dengan lebih baik lagi berbanding filem kelimanya agar terus mendapat sambutan hangat daripada peminat.
“Saya nak melihat dia berjaya dalam kariernya dan saya sering menasihatinya supaya jangan cepat berasa selesa dan bangga diri sehingga lupa tanggungjawab dalam berkarya.
“Saya nak dia kekalkan pencapaian yang dia kecapi kini dan terus hasilkan karya yang lebih bermutu lagi kerana nak naik memang susah tetapi nak jatuh senang,” katanya.
Keupayaan jejaka berusia 27 tahun ini dilihat kian menyerlah dalam setiap filem arahannya, malah mampu membawa industri perfileman negara ke tahap yang membanggakan dengan karya yang bermutu dan berkualiti.
INFO
Lima filem tempatan yang mencapai kutipan tertinggi dari Januari 2011 hingga Jun 2011
1. KL Gangster - 11.40 juta
2. Kongsi - 8.09 juta
3. Khurafat - 8.08 juta
4. Hikayat Merong Mahawangsa - 6.50 juta
5. Nur Kasih The Movie - 4.92 juta
----- Berita Harian Online




