Kawan-kawan

Rabu, 29 Jun 2011

Persediaan Adi Putra




KATA aktor dengan nama Adi Putra, elemen gila penting dalam pembawaan seorang pelakon. Gila yang dimaksudkan itu adalah terhadap karakter yang dijiwai dan dibawakan.

“Sejak mula berlakon dengan produksi Erma Fatima saya sudah meletakkan elemen ‘gila’ dalam lakonan saya. Elemen itu menyebabkan lakonan saya lebih efektif,” ujarnya serius agar khalayak mengerti maksud gila yang dikatakan.

Persedian lakonan Adi juga gila. Sekelip mata dia mampu mengecilkan dan membesarkan susuk tubuh untuk sebuah karakter dan kesesuaian watak lakonannya.

“Sewaktu berlakon filem Haq saya sudah membina badan saya, menjadi agak besar. Selepas itu saya berlakon filem Hanyut saya kecilkan pula untuk menepati karakter. Untuk filem terbaru saya yang berada di pawagam pada 9 Jun ini, KL Gangster, saya tukar bentuk badan dan imej, semua untuk karakter juga,” ujarnya yang mengagumi kesanggupan pelakon Bollywood menukar bentuk badan.

Dia melakukan kerja ‘gila’ menukar bentuk badan untuk meyakinkan penonton akan karakternya. Malah katanya dengan badan yang meyakinkan, dia lebih selesa dan berlenggang tanpa baju dalam filem. Tuntutan watak Jai dalam filem KL Gangster juga tidak membuahkan canggung dengan susuk tubuh Adi yang pejal.

“Tidak dinafikan itu salah satu strategi pemasaran juga apabila aktor menanggalkan baju. Tetapi ia perlu mengikut kesesuaian watak saya sebagai gangster. Malah dengan tidak berbaju, ia tidak menganggu saya untuk melakonkan aksi-aksi dalam filem tersebut,” akuinya yang memilih ikan untuk mengecilkan badan manakala ayam pula untuk membina balik tubuhnya.

“Jai itu jiwanya jahat. Saya tidak pernah bawa watak antagonis yang sebegitu. Jai menuntut stamina yang banyak kepada saya kerana melibatkan 70- 80% aksi,” ujar Adi yang senang bekerjasama dengan sutradara muda, Syamsul Yusuf yang dianggap memberi ruang besar untuk dia tampil kreatif dengan wataknya.

Berdebar menunggu respons khalayak terhadap filem terbaru lakonan bersama Zizan Raja Lawak, Aaron Aziz dan Sofii Jikan, Adi juga berkongsi pengalaman berlakon di negara orang.

Berpeluang ke Sepanyol untuk produk drama Suria Di Cordoba, Adi menyatakan keseronokannya melangkah ke negara luar atas tugasan sebagai seorang aktor. Manakan tidak, 60 peratus daripada adegan drama itu menjalani penggambaran di bandar raya Cordoba dan Madrid, Sepanyol, sementara selebihnya di tanah air.

“Saya membawakan watak Indra Putra dan berpeluang berlakon bersama Fahrin yang membawakan watak Tengku Huzir dan Sari Yanti sebagai Suria Khadijah Parker. Di sana selain berlakon, saya juga dapat menyaksikan keindahan alam dan reka bentuk bangunan yang mengagumkan,” ujar Adi tentang drama bersiri 26 episod tersebut yang telah pun menemui penonton Astro Prima (saluran 105) setiap hari Selasa pukul 9 malam mulai 7 Jun lalu.

Drama bersiri Suria Di Cordoba berkisar kisah seorang gadis moden campuran Melayu-Sepanyol lakonan Sari Yanti yang memilih menjadi aktivis untuk membebaskan dirinya dari dunia kebendaan. Dalam usaha untuk menjejaki sejarah cinta kedua ibu-bapanya yang bermula di Cordoba, dia diuji Allah dengan cinta yang luar biasa.

----- Kosmo Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap