Kawan-kawan

Sabtu, 17 Disember 2011

Izreen akan umum pertunangan


IZREEN menafikan bakal bertunang dalam masa terdekat.


AKTRES dengan nama Izreen Azminda ini sedang menebarkan namanya dengan debunga bakat. Eksplorasi bakatnya banyak ditunjangi watak antagonis yang berjaya membuat penonton berasa benci.

Kemunculan dengan watak kontra dalam drama popular Juvana, menambahkan lagi sebab mengapa dirinya dilihat sebagai pelapis aktres tanah air.

Sewaktu sedang enak melakar satu demi satu portfolio atas nama pelakon, cerita-cerita peribadi turut menghimpit dirinya. Seakan-akan terkesan dengan watak antagonis yang dipegangnya, ada sahaja cerita panas dan kelam menghampiri pelakon ini.

Terbaru, pelakon berusia 26 tahun ini dikatakan bakal bertunang dengan seorang jejaka di belakang tabir. Bukan sebuah cerita negatif tetapi nampaknya hidup Izreen sekarang sudah masuk dalam baris pelakon yang semakin ingin dikenali lebih daripada sekadar cerita di layar.

Sedang enak melayari hari-hari penggambaran di bawah arahan Michael Ang, Izreen bakal muncul dengan sebuah telefilem yang bertajuk Pelesit dan Penjara.

Dengarnya akan bertunang tidak lama lagi?

(Gelak) Mana dengar cerita? Tidak ada perancangan apa pun lagi. Saya sedang sibuk dengan penggambaran. Kalau ada dan sampai masa, saya akan umumkan.

Maksudnya benarlah ada hubungan cinta dengan orang di belakang tabir?

Saya berkawan-kawan sahaja dan sejauh ini belum ada hubungan istimewa dengan siapa-siapa pun. Orang mungkin salah tafsir kerana saya berkawan dengan semua orang terutamanya orang produksi. Saya memang boleh ngam.

Tiada hubungan istimewa dengan siapa-siapa?

Tidak ada. Baru-baru ini saya sudah terkena, jadi kena relaks dulu. Saya tak nafikan kalau jodoh sampai, saya terima seadanya. Saya ni sebenarnya suka lelaki yang berwajah Melayu. Perangainya kena kontra dengan saya maksudnya dia perlu jadi air kerana saya bersifat api.


MENGANGGAP tahun 2011 sebagai tahun penuh cabaran.


Setelah Juvana dan polemik dengan Johan (Botak), nampaknya cerita peribadi Izreen bertubi-tubi keluar. Peminat hendak tahu cerita peribadi Izreen. Komen Izreen?

Memang tidak dinafikan tahun ini paling banyak saya dilanda kontroversi. Itu lumrah dan saya sudah bersedia. Awalnya mungkin saya kekok diterjah soalan sebegitu dan saya emosi menjawab. Itu pengajaran dan pada masa depan saya lebih berhati-hati menjawab. Kadang kala penyampaian itu tidak sama dengan tafsiran.

Sejauh mana keterbukaan Izreen berkongsi cerita-cerita peribadi dengan peminat?

Sekarang ini saya lebih selesa bercakap pasal kerja. Tentang peribadi, ada batasnya.

Bagaimana melihat perjalanan tahun 2011 dan harapan 2012?

Perjalanan 2011 sangat mencabar kerana bukan sahaja saya diterima ramai tapi juga terpalit kontroversi yang bukan-bukan. Saya ingat orang akan menyampah dengan saya, tetapi saya lihat sambutan orang ramai terhadap saya sangat baik kerana lakonan saya.

Daripada aspek karier, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan penerbit, pengarah dan penonton. Sejak drama Tentang Dhia ditayangkan di TV3, orang lebih memanggil saya dengan nama Melly berbanding cikgu Zakiah (Juvana). Pengarah, Michael Ang juga antara individu yang mempercayai saya dengan memberikan watak yang berat dan comot. Saya mengharapkan 2012 akan muncul dengan kurangnya kontroversi dan prestasi kerja semakin meningkat.


--- KOSMO

Pelakon sinetron termahal



USIA pelakon Nikita Willy ketika ini baru sahaja menjangkau 17 tahun, tetapi kehidupannya sebagai seorang gadis remaja boleh dikatakan agak berbeza dengan rakan-rakan seusianya yang lain.

Jika kehidupan gadis-gadis yang sebaya dengannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik, ternyata pelakon berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. Bagaimanapun, pengorbanan tersebut tidak sia-sia apabila kini Nikita sering menjadi rebutan penerbit. Sehingga kini, dia sudah membintangi lebih daripada 20 buah sinetron.

Malah, ada sinetron lakonannya yang turut disiarkan di kaca televisyen di Malaysia seperti Safa Dan Marwah dan Putri Yang Ditukar turut diminati oleh penonton di negara ini. Selain dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup popular di negaranya, Nikita juga dikatakan sebagai artis sinetron yang menerima bayaran termahal sehingga mengalahkan pelakon yang lebih senior seperti Luna Maya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang dilahirkan pada 29 Jun 1994 itu menganggap ia satu pencapaian yang tertinggi buat dirinya sepanjang bergelar pelakon selama sembilan tahun.

“Sudah tentu saya melihat ia sebagai satu pengorbanan yang cukup berbaloi. Lagipun saya sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak usia lapan tahun dan bidang ini sudah menjadi sebahagian dalam diri saya. Namun, segala pencapaian yang diperoleh itu langsung tidak pernah membuat saya menjadi leka. Kalau saya mahu terus maju sudah tentu saya perlu terus fokus berusaha dengan lebih keras lagi,” ujarnyaketika ditemu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nikita, biarpun dirinya dikenali sebagai pelakon remaja yang popular di negaranya ketika ini, dia turut gembira apabila melihat lebih ramai gadis seusianya yang muncul sebagai pelakon.


WALAU sibuk sebagai artis, Nikita masih mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dia mahu menjadi seorang doktor.


Jelasnya, dia tidak merasakan kehadiran pelakon-pelakon baharu sebagai pesaing yang mampu membuatkan namanya semakin tenggelam. Sebaliknya, dia menganggap mereka adalah seperti sebuah keluarga.

“Sebenarnya saya lebih senang melihatlebih ramai pelakon baharu yang muncul sekarang. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan dunia sinetron semakin berkembang dan akan memeriahkan lagi industri hiburan di Indonesia,” ujarnya.

Kini selain bergelar seorang pelakon, anak kepada pasangan Henry Willy dan Yora Febrine itu melangkah setapak lagi apabila mula berjinak-jinak pula dengan bidang nyanyian.

Menurutnya, percubaannya untuk menjadi penyanyi bermula sejak setahun yang lalu apabila dicadangkan oleh seorang pengarah sinetron dan kini dia sudah menghasilkan empat buah single seperti Kutetap Menanti, Lebih Dari Itu, Tafakur dan Pantas Untukku.

“Rasanya tidak salah kalau saya mahu mencuba sesuatu bidang yang baharu. Biarpun saya sudah mula menyanyi, tetapi lakonan masih lagi menjadi keutamaan dan ketika ini saya masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang penyanyi.

“Kalau ada masa terluang saya akan turut menghadiri kelas vokal bagi memantapkan lagi cara nyanyian saya. Buat masa ini, saya lebih sesuai untuk membawakan lagu yang berentak balada,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini dia masih lagi belum mempunyai sebarang album dan lebih banyak menghasilkan single. Mengikut perancangan, album sulungnya masih lagi dalam proses dan dijangka akan menemui peminat pada awal tahun hadapan.

Putus cinta

Seperti kebanyakan pelakon-pelakon lain, Nikita juga tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa orang jejaka yang turut menjadi tumpuan peminatnya.

Malah, dia dikatakan telah menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pelakon iaitu Bara Tampubolon sehingga gambarnya bersama jejaka tersebut ketika menghadiri sebuah parti tersebar di Internet.

Ditanya tentang status dirinya ketika ini, pelakon berkenaan tidak mahu mengulas lebih panjang dan menyatakan dirinya kini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Saya mengaku yang sebelum ini Bara dan saya adalah merupakan pasangan kekasih dan kami bercinta selama lapan bulan. Namun, hubungan kami sudah pun berakhir kira-kira dua minggu yang lalu. Sejujurnya saya tidak mahu komen kerana agak sedih dengan perpisahan ini. Cuma apa yang boleh saya katakan antara punca utama kami tidak lagi bersama kerana tiada lagi persefahaman dan perbezaan agama,” jelas anak sulung dari dua orang beradik itu.


NIKITA menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak Indonesia, Diego Michiels.


Namun begitu, Nikita turut menolak dakwaan yang mengatakan hubungannya dengan Bara putus disebabkan dia menjalinkan hubungan cinta dengan pemain bola sepak terkenal Indonesia iaitu Diego Michiels.

Tegasnya, dia langsung tidak mengenali pemain bola sepak tersebut yang beraksi semasa Sukan SEA yang lalu, walaupun gambar mereka berdua dikatakan telah tersebar di internet.

“Mustahil untuk saya dan Diego bercinta kerana kami berdua langsung tidak saling mengenali. Tentang gambar yang tersebar itu, ada peminat yang meminta untuk kami bergambar berdua ketika bertemu secara kebetulan di sebuah tempat dan saya tidak sangka ia akan beredar di Internet,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon itu turut mengakui sangat meminati sukan bola sepak dan turut menjadi salah seorang penyokong yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dalam menentukan pingat emas Sukan SEA yang membabitkan perlawanan antara Indonesia menentang Malaysia.

Jadi doktor

Walaupun Nikita menjadikan lakonan sebagai bidang kerjaya utama dan namanya memuncak ketika masih lagi bersekolah, tetapi dia masih lagi mampu meneruskan persekolahannya seperti biasa.

Ujarnya, kesibukan sebagai seorang pelakon tidak boleh dijadikan alasan untuk dia melupakan pelajaran. Dia hanya akan menjalani penggambaran selepas tamat sesi persekolahan dan pada hujung minggu.


NIKITA yang kini sibuk mempromosikan kerjayanya sebagai penyanyi tetap memilih dunia lakonan di tangga pertama.


“Pelajaran masih lagi tetap menjadi keutamaan dan tidak sukar untuk saya membahagikan masa antara berlakon dan belajar. Saya beruntung kerana ibu sendiri yang bertanggungjawab untuk menguruskan diri saya termasuk jadual lakonan.

“Lagipun dalam tempoh seminggu saya cuma hadir ke sekolah selama tiga hari sahaja iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Kini saya baharu sahaja tamat sekolah menengah dan dapat menumpukan sepenuhnya dalam lakonan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, pelakon yang menggondol dua anugerah pada acara Panasonic Gobel Awards 2011 menerusi kategori Aktres Paling Diminati dan Sinetron Pilihan itu tidak pernah melupakan cita-citanya ketika kecil dahulu.

“Sebenarnya sudah lama saya menanam impian untuk menjadi seorang doktor. Malah, saya sudah merancang untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Indonesia dalam bidang kedoktoran tidak lama lagi,” ujarnya.


--- KOSMO

Fenomena Shah Rukh Khan di India




AHMEDABAD, India - Sejumlah peminat berhimpun untuk merakamkan gambar pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan dengan menggunakan telefon bimbit di bandar ini kelmarin.

Shah Rukh tiba di bandar Ahmedabad untuk mempromosikan filem Don 2 lakonannya yang diarahkan oleh Farhan Akhtar.

"Majlis di Ahmedabad amat istimewa," kata Farhan.

Sejumlah besar penonton itu menunggu di sebuah pawagam di bandar ini untuk merakamkan gambar Shah Rukh.

Filem itu akan menemui penonton pada 23 Disember depan.

Malaysia, Jerman, India dan Switzerland menjadi lokasi penggambaran filem tersebut.

Filem itu mengisahkan Shah Rukh yang memegang watak Don yang mahu menguasai gerakan penjahat bawah tanah di Eropah. - Agensi


--- KOSMO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap