Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label The Hurt Locker. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Hurt Locker. Papar semua catatan

Sabtu, 13 Mac 2010

Kemenangan buat wanita (Utusan Malaysia)


MASIH berbisa..Sandra Bullock berbangga dengan Oscar yang dimenangi.


SEMUANYA sudah terjawab. Ada ramalan yang tepat dibuat sebelum Anugerah Academy benar-benar terjadi dan tak kurang juga yang masih lagi terkejut dengan kemenangan filem berbajet rendah, The Hurt Locker.

Apa yang pastinya, acara yang ditonton oleh 41.3 juta penonton Amerika Syarikat ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila keputusan-keputusan yang tidak diramalkan dan ia juga membuktikan filem berbajet besar bukan lagi menjadi kayu ukur kepada sesebuah kemenangan.

Walaupun ramai yang terkejut apabila filem Avatar gagal memenangi Filem Terbaik, di sebalik itu juga ramai yang kagum apabila Kathryn Bigelow mencatatkan sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai pengarah wanita pertama yang memenangi kategori Pengarah Terbaik sejak kali pertama dianjurkan.

Anugerah Academy yang ke-82 itu juga memperlihatkan The Hurt Locker menyapu bersih lima lagi anugerah sehingga diangkat sebagai Filem Terbaik menewaskan filem-filem besar yang lain.

Selain The Hurt Locker dan Avatar, filem-filem lain yang bertanding termasuklah The Blind Side, District 9, An Education, Inglourious Basterds, Precious: Based on the Novel “Push” by Sapphire, A Serious Man, Up dan Up in the Air.

Di sebalik keputusan itu, mungkinkah ego sang lelaki runtuh apabila muncul pengarah wanita yang sama-sama hebat sehingga menewaskan nama-nama besar yang lain seperti James Cameron?

Lebih menarik lagi, James Cameron yang juga bekas suami kepada Kathryn Bigelow tewas ditangan bekas isterinya walaupun filem masing-masing menerima pencalonan sama banyak.

Ramalan-ramalan awal yang dibuat mengatakan Avatar bakal menerima banyak kemenangan nampaknya tidak menjadi kenyataan dan sedikit sebanyak menghampakan sebilangan besar peminat-peminat Avatar.

Kehebatan kutipan filem Avatar memang tidak dapat disangkal lagi. Avatar juga berjaya menjadi filem paling laris dan mencapai kutipan tertinggi mengalahkan filem Titanic tetapi terpaksa akur dengan keputusan 6,000 juri khas Academy yang turut sama mengadili 25 kategori yang lain.

The Hurt Locker turut menggondol anugerah Lakon Layar Asli terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.

Dengan kos sebanyak RM1.75 bilion, James hanya berpuas hati apabila memenangi Pengarahan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Visual Efek Terbaik.

Anugerah yang dimenanginya itu memperlihatkan kehebatan James dari segi teknikal terutamanya apabila Avatar begitu dinanti-nantikan oleh penonton di seluruh dunia sehingga mencapai kutipan sebanyak RM8.75 bilion, jumlah yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana filem sebelum ini.

Kehebatan James dalam merencanakan setiap filem-filemnya begitu dikagumi. Maka tidak hairanlah Titanic yang dihasilkan 12 tahun yang lalu masih lagi diminati dan diingati sebahagian besar pemuja hasil magis James ini.

Sandra Bullock terbaik, terburuk

UMUM telah mengakui kehebatan Sandra Bullock apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Blind Side. Namun begitu sebelum berlangsungnya Anugerah Academy, dia terlebih dahulu diangkat sebagai aktres paling buruk menerusi filem All About Steve dalam anugerah tahunan Razzie.

Saban tahun pengundi-pengundi akan mengadili anugerah yang dilihat ‘mempersendakan’ karyawan-karyawan filem terburuk sepanjang tahun sebelum acara Oscar dilangsungkan.

Sandra Bullock seperti tidak kisah apabila dengan rela hati menerima pengiktirafan tersebut. Tidak kurang juga yang mengatakan dirinya seperti sudah tahu dia bakal diangkat sebagai aktres terbaik dalam Oscar dan sebab itu dia menerima anugerah tersebut dengan rela hati.

Malah tidak sampai 24 jam selepas itu, Sandra Bullock akhirnya menepati ramalan awal seterusnya membawa pelakon yang berusia 45 tahun itu kembali ke puncak karier dengan anugerah yang diberi itu.

Membawakan watak penyanyi yang ketagihan alkohol, aktor Jeff Bridges tidak menghadapi masalah apabila memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam acara yang berlangsung di Kodax Theater, Hollywood, Los Angeles, hujung minggu lalu.

Walaupun dikategorikan sebagai antara pelakon senior, Jeff Bridges masih lagi menunjukkan lakonan mantap dalam Crazy Heart sehingga membolehkan dia merangkul gelaran yang diidam-idamkan oleh semua pelakon.

Sebelum ini dia pernah menerima empat pencalonan Oscar termasuklah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan sekali untuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Kehebatan aktor ini semakin memuncak sebelum ini apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang diterimanya pada Golden Globe dan Screen Actors Guild awal Januari lalu.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor Austria Christoph Waltz menerusi penampilannya dalam Inglourious Basterds, manakala aktres Mo‘Nique dinamakan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Precious.

Memasuki penganjuran ke-82, Anugerah Academy bukan sahaja dilihat sebagai sebuah anugerah yang gah, tetapi dalam masa yang sama juga turut menjadi kayu ukur kepada kehebatan karyawan-karyawan hebat.

Di sebalik Oscar yang diterima itu masih ramai lagi yang merangkak mahu turut sama dijulang sebagai antara yang terhebat.

Berbekalkan kepada kehebatan yang ditunjukkan oleh orang-orang lama, ramai juga sebenarnya yang mengharapkan muka-muka baru tampil membuat kejutan dalam 25 anugerah yang dipertandingkan.

Mungkin juga orang-orang baru masih belum layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi dan tidak hairanlah jika muka-muka lama yang memang hebat masih lagi mendominasi senarai pemenang.

Diharapkan agar Anugerah Academy ke-83 mencipta sejarah tersendiri dan dalam masa yang sama turut mengangkat muka-muka baru ke puncak.

Selasa, 2 Mac 2010

The Hurt Locker berpotensi jadi filem terbaik Oscar (Utusan Malaysia)

HOLLYWOOD 2 Mac - Tujuh tahun selepas Michael Moore dimalukan di atas pentas semasa penyampaian Oscar kerana membantah serangan ke atas Iraq, sebuah filem yang memaparkan konflik mengenainya bersedia untuk meraih anugerah Akademi, yang bermula di sini kelmarin.

Hanya kurang seminggu lagi untuk Anugerah Oscar disampaikan di Kodak Theater, filem arahan Kathryn Bigelow, The Hurt Locker dikatakan berpotensi untuk dianugerahkan sebagai filem terbaik.

Sekiranya berjaya, ia akan mewakili kejayaan terbesar untuk filem aksi mengenai konflik di Iraq dan Afghanistan, yang menyaksikan The Hurt Locker sebagai sebuah filem komersial dan kritikan perang.

Paparan drama peperangan itu telah ditayangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada filem arahan Robert Redford pada tahun 2007 Lions for Lambs sehingga kepada filem Redacted arahan Brian De Palma, dengan hampir kesemuanya mendapat kejayaan yang besar dalam box-office.

Selain itu, kejayaan filem bajet rendah The Hurt Locker yang mendapat kritikan dan anugerah itu juga turut memaksa para penganalisis untuk meneliti semula pendapat konvensional mengenai sebarang filem yang cuba memaparkan konflik yang tidak popular dan ditakdirkan untuk menemui kegagalan.

"Filem itu cuba memfokuskan terhadap situasi yang sangat sangat sukar," kata Bigelow kepada pemberita di Beverly Hills baru-baru ini.

"Dengan konflik yang dipaparkan di Afghanistan dan Iraq, filem itu terus dilihat sebagai filem yang dihasilkan tepat pada waktunya.

"Filem itu memberikan paparan sepintas lalu mengenai konflik yang sangat abstrak. Saya rasa ia menyentuh perasaan penonton," katanya.

Tom O'Neil, seorang pengkritik daripada akhbar Los Angeles Times percaya The Hurt Locker meraih kejayaan ketika filem-filem yang lain menemui kegagalan memandangkan Bigelow mengelak daripada membuat sebarang kenyataan politik mengenai perang di Iraq. - AFP

Ahad, 28 Februari 2010

Kemenangan besar The Hurt Locker (Utusan Malaysia)


COLIN Firth kini mampu tersenyum puas dan bangga dengan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenanginya.


MEMANG benar apa yang diperkatakan. Anugerah Akademi Filem British (BAFTA) gemar menobatkan calon bukan pilihan dalam majlis mereka.

Jika diperhatikan senarai pemenang BAFTA dan membandingkannya dengan pemenang di Golden Globe dan Screen Actors Guild (SAG), adakalanya tersasar juga.

Tidak semestinya pemenang di Golden Globe dan SAG, dapat mengulangi kejayaan di BAFTA.

Apatah lagi, BAFTA juga merupakan salah sebuah acara anugerah perfileman yang mampu menentukan pemenang Oscar.

Pada acara yang berlangsung pada 21 Februari lalu bagai memberi tanda bahawa filem The Hurt Locker mampu memberi saingan hebat di pentas Oscar kira-kira dua minggu sahaja

Di BAFTA, The Hurt Locker berjaya merangkul enam anugerah termasuk Filem Terbaik sekali gus menewaskan filem terlaris abad ini, Avatar yang hampir pulang dengan tangan kosong.

Tidak cukup dengan itu, The Hurt Locker turut mencatat sejarahnya tersendiri apabila sutradaranya, Kathryn Bigelow memenangi kategori Pengarah Terbaik.

Seribu kemanisan buat Kathryn apabila dia menjadi pengarah wanita pertama menerima gelaran tertinggi itu sepanjang lebih setengah abad penganjuran BAFTA.

Dengan kemenangan itu, secara tidak langsung meletakkan Kathryn kini sebagai calon utama untuk memenangi Oscar dalam kategori yang sama.

Beberapa minggu sebelum BAFTA, Kathryn terlebih dahulu menerima pengiktirafan daripada Directors Guild Award sebagai Pengarah Filem Terbaik dengan menewaskan bekas suaminya, James Cameron.

Sewaktu berucap selepas menerima anugerahnya daripada Dustin Hoffman, Kathryn tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepada dirinya dan juga filem The Hurt Locker.

Apatah lagi, dia berdepan dengan saingan yang cukup hebat daripada empat pengarah lain termasuk Cameron.

"Kemenangan ini memang tidak disangka sama sekali. Kami benar-benar terharu dan tersentuh dengan pengiktirafan sebesar ini.

"Saya juga menyifatkan kemenangan ini sebagai sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal kami," katanya yang benar-benar terkejut dengan kemenangan besar The Hurt Locker pada malam itu.

Selain Filem dan Pengarah Terbaik, filem tersebut turut memenangi empat anugerah lain iaitu Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Suntingan Terbaik dan Bunyi Terbaik dalam acara yang penuh gilang-gemilang itu.

The Hurt Locker mengisahkan tentang sekumpulan tentera elit yang ditugaskan untuk mematikan bom di kala perang sedang meletus di Iraq.

Walaupun mendapat lapan pencalonan seperti The Hurt Locker, Avatar hanya mampu berpuas hati dengan dua anugerah yang dimenangi mereka iaitu Rekaan Produksi dan Kesan Khas Visual Terbaik.

BAFTA kali ini juga memperlihatkan kecemerlangan anak watannya menerusi kemenangan Colin Firth dan Carey Mulligan yang masing-masing mengungguli kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Kemenangan Firth menerusi filem A Single Man dilihat sedikit mengejutkan apabila dia berjaya menewaskan calon utama, Jeff Bridges yang dari awal sudah disebut-sebut akan mengulangi kejayaannya untuk kali ketiga.

Tetapi, jika hendak diukur persembahan lakonan Firth dalam filem arahan pereka fesyen terkenal, Tom Ford itu memang kehebatannya tidak dapat disangkal lagi.

Membawakan watak sebagai seorang profesor homoseksual yang berdepan dengan depresi selepas kematian kekasihnya benar-benar membuktikan Firth merupakan aktor yang hebat.

"Saya hampir menolak tawaran berlakon filem ini kerana merasakan wataknya cukup berat untuk saya bawakan.

"Bayangkan, saya sudah bersiap-sedia untuk membalas emel Ford dan seterusnya menolak tawarannya.

"Tetapi, ketika itu ada seseorang yang datang ke rumah saya untuk membaiki peti ais lalu saya tidak jadi untuk membalasnya. Saya patut berterima kasih kepada orang tersebut," ucapnya sambil berseloroh.

Wataknya dalam filem tersebut juga telah melayakkan Firth dicalonkan untuk Oscar bersama-sama Bridges, George Clooney, Morgan Freeman dan Jeremy Renner.

Biarpun masih baru dalam bidang lakonan, ternyata filem An Education membawa tuah buah Mulligan yang baru berusia 24.

Membawakan watak sebagai seorang pelajar sekolah yang menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki berusia 20 tahun lebih tua daripadanya walaupun dalam masa yang sama lelaki tersebut mempunyai teman wanita.

Dalam filem yang berlatar belakangkan tahun 1960 di London itu, lakonan Mulligan memang meninggalkan kesan mendalam sehingga tersenarai sebagai antara lakonan terbaik sepanjang 2009.

"Terima kasih BAFTA atas kemenangan ini. Tahun lalu, saya hanya hadir sebagai tetamu dan tumpang gembira apabila melihat mereka yang menjulang anugerah.

"Kini, giliran saya pula untuk berada di pentas ini dan sama sekali saya tidak pernah bermimpi untuk mengecapi kemenangan ini," ujarnya.

Mulligan mengalahkan pencabar terdekatnya, Meryl Streep yang dicalonkan untuk filem Julie & Julia selain Saoirse Ronan, Gabourey Sidibe dan Audrey Tautou.

Walau bagaimanapun, calon kegemaran, Sandra Bullock tidak dicalonkan berikutan filem lakonannya, The Blind Side telah melepasi tarikh tayangan seperti mana yang disyaratkan.

Biarpun memenangi Pelakon Wanita Terbaik, namun Mulligan terpaksa akur dengan kemenangan bintang filem Twilight, Kristen Stewart bagi anugerah Orange Rising Star.

Sementara itu, Christoph Waltz dan Mo'Nique terus mencipta hatrik dengan kemenangan menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik.

Mereka memenanginya untuk filem Inglourious Basterds dan Precious: Based on the Novel "Push" by Sapphire sekali gus menyakinkan ramai pihak bahawa mereka mampu mempertahankan kemenangan mereka pada Oscar nanti.

Isnin, 22 Februari 2010

The Hurt Locker Movie Trailer

The Hurt Locker atasi Avatar pada BAFTA (Utusan Malaysia)


Kathryn Bigelow (kiri) dengan bangga memegang piala anugerah Pengarah Terbaik BAFTA 2010 dan gambar atas menunjukkan babak cemas bom diletupkan dalam filem The Hurt Locker arahannya. - AP/ Agensi


LONDON 22 Feb. - Kegilaan rakyat Britain terhadap filem The Hurt Locker telah membolehkan filem itu mengatasi Avatar dengan merangkul enam anugerah termasuk bagi anugerah filem terbaik pada Anugerah Akademi Filem Britain (BAFTA) 2010.

Kathryn Bigelow memenangi anugerah pengarah terbaik menewaskan pengarah filem Avatar, James Cameron, yang juga bekas suaminya menerusi filem yang mengisahkan mengenai skuad pemusnah bom di Iraq.

"Ia sangat bermakna apabila filem ini mampu menyentuh hati dan minda penonton," kata Bigelow semalam.

Kedua-dua filem mendapat lapan pencalonan pada anugerah Britain, dianggap sebagai kayu pengukur terhadap kejayaan pada Anugerah Akademi di Los Angeles yang dijadual pada bulan depan dengan kedua-dua filem tersebut memperolehi sembilan pencalonan untuk anugerah Oscar.

The Hurt Locker turut merangkul anugerah Britain untuk sinematografi skrip filem asli, suntingan dan kesan bunyi terbaik.

Sementara itu, Avatar pula meraih anugerah untuk penerbitan rekaan dan kesan visual terbaik menerusi garapan rekaan planet yang dihuni oleh spesies berkulit biru yang digelar Na'vi.

Penulis skrip Hurt Locker, Mark Boal mendedikasikan anugerah filem terbaik itu untuk sebuah harapan keamanan.

Bigelow turut memberikan penghormatan kepada askar-askar yang berkhidmat di Iraq dan berkata, sasaran filem itu adalah 'meletakkan fokus terhadap situasi yang sangat- sangat sukar'.

"Saya harap dalam apa jua pun, filem ini boleh dibahaskan... dan membawa pendekatan terhadap konflik mengenainya," katanya. - AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap