Kawan-kawan

Sabtu, 13 Mac 2010

Kemenangan buat wanita (Utusan Malaysia)


MASIH berbisa..Sandra Bullock berbangga dengan Oscar yang dimenangi.


SEMUANYA sudah terjawab. Ada ramalan yang tepat dibuat sebelum Anugerah Academy benar-benar terjadi dan tak kurang juga yang masih lagi terkejut dengan kemenangan filem berbajet rendah, The Hurt Locker.

Apa yang pastinya, acara yang ditonton oleh 41.3 juta penonton Amerika Syarikat ini turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila keputusan-keputusan yang tidak diramalkan dan ia juga membuktikan filem berbajet besar bukan lagi menjadi kayu ukur kepada sesebuah kemenangan.

Walaupun ramai yang terkejut apabila filem Avatar gagal memenangi Filem Terbaik, di sebalik itu juga ramai yang kagum apabila Kathryn Bigelow mencatatkan sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai pengarah wanita pertama yang memenangi kategori Pengarah Terbaik sejak kali pertama dianjurkan.

Anugerah Academy yang ke-82 itu juga memperlihatkan The Hurt Locker menyapu bersih lima lagi anugerah sehingga diangkat sebagai Filem Terbaik menewaskan filem-filem besar yang lain.

Selain The Hurt Locker dan Avatar, filem-filem lain yang bertanding termasuklah The Blind Side, District 9, An Education, Inglourious Basterds, Precious: Based on the Novel “Push” by Sapphire, A Serious Man, Up dan Up in the Air.

Di sebalik keputusan itu, mungkinkah ego sang lelaki runtuh apabila muncul pengarah wanita yang sama-sama hebat sehingga menewaskan nama-nama besar yang lain seperti James Cameron?

Lebih menarik lagi, James Cameron yang juga bekas suami kepada Kathryn Bigelow tewas ditangan bekas isterinya walaupun filem masing-masing menerima pencalonan sama banyak.

Ramalan-ramalan awal yang dibuat mengatakan Avatar bakal menerima banyak kemenangan nampaknya tidak menjadi kenyataan dan sedikit sebanyak menghampakan sebilangan besar peminat-peminat Avatar.

Kehebatan kutipan filem Avatar memang tidak dapat disangkal lagi. Avatar juga berjaya menjadi filem paling laris dan mencapai kutipan tertinggi mengalahkan filem Titanic tetapi terpaksa akur dengan keputusan 6,000 juri khas Academy yang turut sama mengadili 25 kategori yang lain.

The Hurt Locker turut menggondol anugerah Lakon Layar Asli terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.

Dengan kos sebanyak RM1.75 bilion, James hanya berpuas hati apabila memenangi Pengarahan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Visual Efek Terbaik.

Anugerah yang dimenanginya itu memperlihatkan kehebatan James dari segi teknikal terutamanya apabila Avatar begitu dinanti-nantikan oleh penonton di seluruh dunia sehingga mencapai kutipan sebanyak RM8.75 bilion, jumlah yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana filem sebelum ini.

Kehebatan James dalam merencanakan setiap filem-filemnya begitu dikagumi. Maka tidak hairanlah Titanic yang dihasilkan 12 tahun yang lalu masih lagi diminati dan diingati sebahagian besar pemuja hasil magis James ini.

Sandra Bullock terbaik, terburuk

UMUM telah mengakui kehebatan Sandra Bullock apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Blind Side. Namun begitu sebelum berlangsungnya Anugerah Academy, dia terlebih dahulu diangkat sebagai aktres paling buruk menerusi filem All About Steve dalam anugerah tahunan Razzie.

Saban tahun pengundi-pengundi akan mengadili anugerah yang dilihat ‘mempersendakan’ karyawan-karyawan filem terburuk sepanjang tahun sebelum acara Oscar dilangsungkan.

Sandra Bullock seperti tidak kisah apabila dengan rela hati menerima pengiktirafan tersebut. Tidak kurang juga yang mengatakan dirinya seperti sudah tahu dia bakal diangkat sebagai aktres terbaik dalam Oscar dan sebab itu dia menerima anugerah tersebut dengan rela hati.

Malah tidak sampai 24 jam selepas itu, Sandra Bullock akhirnya menepati ramalan awal seterusnya membawa pelakon yang berusia 45 tahun itu kembali ke puncak karier dengan anugerah yang diberi itu.

Membawakan watak penyanyi yang ketagihan alkohol, aktor Jeff Bridges tidak menghadapi masalah apabila memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam acara yang berlangsung di Kodax Theater, Hollywood, Los Angeles, hujung minggu lalu.

Walaupun dikategorikan sebagai antara pelakon senior, Jeff Bridges masih lagi menunjukkan lakonan mantap dalam Crazy Heart sehingga membolehkan dia merangkul gelaran yang diidam-idamkan oleh semua pelakon.

Sebelum ini dia pernah menerima empat pencalonan Oscar termasuklah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan sekali untuk Pelakon Lelaki Terbaik.

Kehebatan aktor ini semakin memuncak sebelum ini apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang diterimanya pada Golden Globe dan Screen Actors Guild awal Januari lalu.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor Austria Christoph Waltz menerusi penampilannya dalam Inglourious Basterds, manakala aktres Mo‘Nique dinamakan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Precious.

Memasuki penganjuran ke-82, Anugerah Academy bukan sahaja dilihat sebagai sebuah anugerah yang gah, tetapi dalam masa yang sama juga turut menjadi kayu ukur kepada kehebatan karyawan-karyawan hebat.

Di sebalik Oscar yang diterima itu masih ramai lagi yang merangkak mahu turut sama dijulang sebagai antara yang terhebat.

Berbekalkan kepada kehebatan yang ditunjukkan oleh orang-orang lama, ramai juga sebenarnya yang mengharapkan muka-muka baru tampil membuat kejutan dalam 25 anugerah yang dipertandingkan.

Mungkin juga orang-orang baru masih belum layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi dan tidak hairanlah jika muka-muka lama yang memang hebat masih lagi mendominasi senarai pemenang.

Diharapkan agar Anugerah Academy ke-83 mencipta sejarah tersendiri dan dalam masa yang sama turut mengangkat muka-muka baru ke puncak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap