Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Bola Sepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bola Sepak. Papar semua catatan

Ahad, 9 Jun 2013

Ayuh Harimau! bangkitlah

KENANGAN manis pasukan kebangsaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia setelah menundukkan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 di Jakarta pada 29 Disember 2010. - AFP 
 
HANTARAN jauh daripada Mahalli...mencari Safee, dia dapat menanduk dan gol! 3-0 buat Malaysia mengatasi Indonesia pada aksi final pertama.

Memori indah 26 Disember 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil masih kekal terpahat di hati 28 juta rakyat Malaysia sehingga hari ini yang disifatkan aksi terbaik dalam dekad ini buat bola sepak negara.

Walaupun tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan timbal balik akhir kedua di Jakarta, namun sudah memadai buat Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan agregat 4-2.

Bola sepak Malaysia yang berada di era kegelapan selama dua dekad bagaikan gemerlapan diterangi cahaya apabila nama-nama pemain negara seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak pernah dipedulikan mula meniti di bibir rakyat Malaysia ekoran persembahan memukau sepanjang kejohanan.

Anak-anak di bangku sekolah dan golongan remaja yang sebelum ini lebih gemar menyarung jersi kelab-kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga mula berbangga memakai jersi Harimau Malaya di sana sini sambil dijadikan idola terbaru dalam dunia bola sepak.

Itu cerita dua tahun dahulu dan selepas detik itu, tidak banyak lagi catatan menggembirakan skuad senior negara terutama seperti tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada jiran tetangga, Singapura selain gagal menyerlah dalam kebanyakan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bertambah membimbangkan, keputusan seri ke atas dua pasukan yang dianggap kerdil dalam dunia bola sepak, Hong Kong dan Bangladesh, mencetuskan kebimbangan yang bukan kepalang di kalangan pengkritik dan peminat bola sepak ekoran persembahan lesu dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal.

Jika dibicarakan mengenai kelemahan skuad kebangsaan, memang tidak dinafikan beberapa pemain yang dianggap sebagai nadi pasukan berada di bawah kemerosotan prestasi seperti Safiq, Norshahrul dan S. Kunanlan jika aksi pada perlawanan persahabatan dijadikan sandaran.

Bahagian tengah mempamerkan kepincangan yang amat ketara dengan Safiq yang dianggap sebagai jeneral di dalam padang bagaikan kehilangan arah mengawal permainan di samping pasangannya, Amar Rohidan tidak banyak membantu.

Aksi Kunanlan juga mencetuskan sedikit kebimbangan apabila seperti kehilangan bisa di posisi sayap kiri ketika rakan sepasukannya, Khyril Muhmeen kelihatan cukup bersedia beraksi di sebelah kanan.
Satu lagi perkara yang menggusarkan para peminat ialah tahap persembahan Norshahrul yang nampaknya sedikit perlahan dan seolah-olah tidak dapat memberikan fokus ekoran kemelut perpindahannya ke Johor masih belum diselesaikan.
 
Posisi penjaga gol dan pertahanan mungkin tidak memberikan banyak masalah cuma pemain muda seperti Zubir Azmi di bek kiri memerlukan masa di pentas antarabangsa.

Namun, segala kelemahan itu masih dapat diperbaiki jika semua pemain negara kembali memperkuatkan tekad dan mencari semangat yang hilang kerana pada dua tahun lalu, mereka semua telah membuktikannya ketika tiada sebarang harapan diberikan oleh sesiapa.

Jika barisan tengah negara dapat mengawal permainan dengan Singapura esok di samping mengunci pergerakan sayap lawan, tidak mustahil kemenangan akan diraih pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF.

Seperti kata orang, perkara yang lepas jangan dikenang, jadikan perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF sebagai medan menebus maruah negara dan pamerkan perwatakan selaku sang juara.

Buat peminat, selepas menghamburkan pelbagai kritikan dan pandangan membina terhadap prestasi skuad negara, menjelang sepak mula esok, inilah saatnya kita semua kembali bersatu di belakang Harimau Malaya dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Tambahan beraksi di gelanggang sendiri, Safiq Rahim dan rakan-rakan amat menagih sokongan padu daripada seluruh peminat bola sepak tanah air bagi mempamerkan aksi lebih bertenaga dan meraih kemenangan berharga ke atas dua seteru utama kita di Asia Tenggara iaitu Singapura dan Indonesia selain Laos dalam persaingan Kumpulan B.

Ayuh Harimau, bangunlah! Kepada semua peminat, datanglah memenuhi setiap inci Stadium Nasional dan berikan sokongan padu kepada pasukan negara.

--- UTUSAN MALAYSIA

Isnin, 20 Mei 2013

Tangisan Beckham

David Beckham dijulang rakan-rakan sepasukan selepas membuat penampilan terakhir bersama Paris St Germain di Stadium Parc des Princes, Paris, semalam. - AFP 
 
PARIS - David Beckham memeluk rakan-rakan sepasukan dengan air mata bergenang ketika meninggalkan padang dalam perlawanan terakhirnya bersama Paris Saint Germain (PSG) di tempat sendiri, semalam. 

Ikon bola sepak England itu kelihatan cukup beremosi apabila dikerumuni rakan-rakan sepasukan sebaik sahaja jurulatih, Carlo Ancelotti mengarahkannya keluar padang pada minit ke-81 sewaktu PSG menumpaskan Brest 3-1. Ini adalah perlawanan terakhir Beckham sebelum bersara daripada bola sepak. 

Penjaga gol, Salvatore Sirigu berlari keluar untuk mengucapkan tahniah kepada bekas kapten England itu, sementara pemain sayap Brazil, Lucas melakukan tunduk hormat.

Penyokong, termasuk bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berdiri sebagai tanda penghormatan buat Beckham, yang melambai tangan sebelum digantikan dengan Ezequiel Lavezzi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Paris. 

"Kepada rakan-rakan sepasukan saya, kakitangan dan juga para penyokong. 

"Sesuatu yang amat istimewa dapat mengakhiri karier saya di sini. Tiada yang lebih istimewa melainkan di sini," kata Beckham kepada penyokong selepas perlawanan tamat.

Dengan PSG yang telah pun merangkul gelaran Liga Perancis, Beckham Khamis lalu mengumumkan bahawa dia akan bersara sebaik musim ini berakhir.

Pemain itu masih belum menyatakan sama ada dia berhasrat untuk bermain dalam perlawanan terakhir PSG yang akan berlangsung di tempat lawan, menentang Lorient pada 26 Mei ini.

"Saya cuma berasakan sekarang adalah masa yang tepat. Saya sudah mencapai segala-galanya dalam karier. Saya mahu meninggalkan sukan bola sepak sebagai juara.

"Saya menamatkan karier saya bersama sebuah pasukan yang melayan saya seolah-olah saya telah berada di sini selama 10 tahun," kata pemain berusia 38 tahun itu lagi. 

Sementara itu Ancelotti mengakui, Beckham mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir PSG menentang Lorient nanti. 

"Dia akan menyertai rakan-rakan sepasukan ke sana tetapi dia mungkin tidak bermain," katanya. - AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Selasa, 8 Mei 2012

Abdul Manaf Mamat Direhat Sementara Setelah Jalani Pembedahan

KUALA TERENGANU, 8 Mei (Bernama) -- Penyerang Terengganu Abdul Manaf Mamat terpaksa direhatkan sementara setelah menjalani pembedahan di bahagian buku lali.

Pemain yang berusia 25 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Pantai, Ampang, Selangor Sabtu lalu akibat kecederaan yang dialami selepas mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.

Abdul Manaf memberitahu Bernama kesan pembedahan mungkin memakan masa selama dua bulan sebelum dia dapat kembali beraksi seperti biasa.

"Doktor menyarankan sekurang-kurangnya saya berehat selama dua bulan bagi memastikan kecederaan yang dialami betul-betul sembuh.

"Bagaimapun saya tetap membuat latihan yang ringan bagi mengekalkan stamina," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, 7 Mei 2012

Kelantan fokus Piala FA, kata Bojan


KOTA BHARU: Kelantan tidak akan memberi tekanan kepada pemain menjelang perlawanan terakhir kumpulan H Piala AFC menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam esok kerana menumpu perhatian kepada perlawanan akhir Piala FA.

Ketua jurulatihnya Bojan Hodak berkata ini adalah bagi memastikan pemain tidak berada dalam tekanan menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby pada 19 Mei ini.

Walaupun bagaimanapun, kami tetap berusaha memenangi perlawanan esok, katanya pada sidang media praperlawanan Piala AFC di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jurulatih Ayeyawady United, Josef Herel.


Kelantan menduduki tangga teratas dalam kumpulan H dan telah mengumpul 10 mata selepas menang tiga perlawanan, satu seri dan satu kalah.


Ayeyawady United pula berada di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas menang dua perlawanan, satu seri dan dua kekalahan.

Bojan berkata beberapa pemainnya cedera dan terlalu letih selepas mengharungi banyak perlawanan dalam saingan Liga Super.

Sementara itu, Herel berkata pihaknya turut mengalami perkara yang sama apabila ramai pemainnya yang cedera dan keletihan berikutan jadual perlawanan yang padat di tempat sendiri.

"Peluang kita untuk menang bermain di sini amat tipis walaupun pernah menewaskan Kelantan 3-1 di tempat sendiri baru-baru ini.

"Kita juga mengalami masalah yang sama dengan Kelantan apabila tiga tonggak utama pasukan turut tercedera," katanya. - BERNAMA


--- HARIAN METRO

Khamis, 26 April 2012

Manchester City FC Lawan Harimau Malaya Pada 30 Julai

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City Football Club (Manchester City) akan mengadakan kunjungan julung kali ke Malaysia dan dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya pada 30 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Ketua Pegawai Jenama Komersil Manchester City Ian Cafferky berkata pasukan yang menjadi pencabar pilihan Liga Juara-Juara itu berjanji akan membariskan pemain utama mereka dan ini merupakan peluang para peminat pasukan Sky Blues.

"Kami akan membawa setiap pemain yang ada ke Malaysia. Lawatan ini sangat mengujakan pasukan Manchester City FC.

"Ini jelas membuktikan terdapat satu keghairahan ketara terhadap Liga Perdana (Inggeris) di Malaysia dan kami sangat teruja untuk membawa pasukan kami menemui para peminat di Asia Tenggara dan menyaksikan sendiri keterujaan peminat adalah suatu pengalaman yang menarik," katanya pada sidang media mengenai Jelajah Kelab Bola Sepak EPL oleh ProEvent International di sini pada Rabu.

-- BERNAMA

Isnin, 23 April 2012

‘Ranking bukan ukuran tepat’



Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2012/04/24
“KEDUDUKAN ranking bukan satu ukuran tepat mengenai Sri Lanka,” kata Datuk K Rajagobal, semalam.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu mencetus firasat berkenaan menjelang cabaran menentang lawan berkenaan dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Jelasnya, walaupun kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) lebih baik namun beliau enggan membuat sebarang rumusan awal mengenai pasukan lawan itu.
“Kedudukan ranking tidak menunjukkan mereka atau sesebuah pasukan itu lemah. Walaupun ia hanya membabitkan aksi persahabatan, tapi saya tetap menghormati Sri Lanka dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

“Sebelum aksi sebenar, tidak ada sesiapa pun boleh membuat rumusan mengenai keputusan perlawanan. Bagi saya inginkan kemenangan, saya juga mahu lihat ada peningkatan dalam pasukan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Dalam kedudukan ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA, Malaysia berada di tangga ke 156 manakala Sri Lanka pula menghuni di tangga 181 dunia.

Dalam masa yang sama, Rajagobal menegaskan dia tidak mahu isu ranking terus melemahkan pasukannya sehingga pemain tidak dapat beraksi dengan baik.
“Mana lebih penting, peningkatan ranking atau pun peningkatan prestasi permainan? Tidak ada siapa yang mahu kalah dan untuk perlawanan ini sudah pasti kami juga mahukan kemenangan. Saya sudah ada bayangan siapa yang bakal diturunkan sebagai kesebelasan utama. Tapi saya akan terus membuat penilaian terhadap pemain saya untuk mencari gandingan terbaik,” katanya.

----- BERITA HARIAN

Khamis, 21 Julai 2011

Chelsea beats M'sia 1-0 in friendly


Chelsea's Daniel Strurridge and Malaysia's Mohd Zubir Mohd Azmi battle for the ball during their friendly match at the National Stadium in Bukit Jalil on Thursday night. Chelsea won 1-0. - GLENN GUAN/The Star.

--- The Star

______________________________

21 Julai, 2011 23:32 PM

Bola Sepak: Chelsea Tewaskan Malaysia 1-0

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Chelsea menewaskan Malaysia 1-0 dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Khamis:

Separuh masa: Malaysia 0 Chelsea 0

Separuh masa kedua: Malaysia 0 Chelsea 1

Penjaring: Chelsea FC: Didier Drogbar (min-78)

MALAYSIA:

Mohd Farizal Marlias (Mohd Izham Tramizi), Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Fandi Othman), Norhafiz Zamani Misbah (Mohamad Amer Saidin), S, Subramaniam, Mohd Zubir Mohd Azmi (Mohd Affize Faisal Mamat), Shahrulnizam Mustapa (Abdul Shukor Jusoh), Wan Zack Haikal Wan Nor (Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria), Mohd Badhri Mohd Radzi (Gary Steven Robbat), Joseph Kalang Tie (Syahrul Azwari Ibrahim), Hairuddin Omar, Amri Yahyah (A. Thamil Arasu).

CHELSEA FC:

Separuh masa pertama: Henrique Hilario, Branislav Ivanovic, Ryan Bertrand (Patrick Van Aanholt), Jose Bosingwa, Joshua Mc Eachran, Slobodan Rajkovic, Yossi Benayoun, Frank Lampard, Florent Malouda, Salomon Kalou, Fernando Torres.

Separuh masa kedua: Petr Cech, Paulo Ferreira, Alex, Yury Zhirkov, John Obi Mikel, Nathaniel Chalobah, Billy Clifford, Daniel Sturridge, John Terry, Nicolas Anelka, Didier Drogbar.

Pengadil: Subkhiddin Mohd Salleh

-- BERNAMA


Sabtu, 16 Julai 2011

Liverpool Atasi Malaysia 6-3


16 Julai, 2011 20:32 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpoool, mengalahkan Malaysia 6-3 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu.

-- BERNAMA

Rabu, 13 Julai 2011

Arsenal kalahkan Malaysia 4-0


13/07/2011 10:53pm

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Malaysia tewas 0-4 kepada Arsenal dalam perlawanan persahabatan pra-musim kelab Liga Perdana England itu selepas memperolehi gol melalui sepakan penalti Aaron Ramsey, sebelum Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky melengkapkan kemenangan bergaya kelab London itu di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Utusan

Malaysia Vs Arsenal

13 Julai, 2011 15:12 PM

Polis Nasihat Peminat Bola Sepak Guna Pengangkutan Awam Ke Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Polis trafik akan mengerahkan anggotanya untuk bertugas bagi menjamin kelancaran lalu lintas di Bukit Jalil sempena perlawanan persahabatan antara pasukan Arsenal menentang pasukan pilihan Malaysia malam Rabu.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata kira-kira 70 anggota trafik Kuala Lumpur akan mengawal lalu lintas mulai petang ini.



Semua jalan di sekitar Kompleks Bukit Jalil akan dikawal sehingga selesai perlawanan dan keadaan lalu lintas berjalan lancar, katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai meletakkan kereta di kawasan ditetapkan dan jangan menghalang lalu lintas.

Sebaiknya peminat bola sepak menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, katanya.



Lebih 50,000 tiket perlawanan itu telah dijual setakat ini.



-- BERNAMA

Selasa, 12 Julai 2011

Mat Yo yakin bolos Arsenal


PENYERANG negara Norshahrul Idlan Talaha tidak akan mensia-siakan peluang bertemu Arsenal, esok dan tekad menggegar gawang lawannya meskipun sedia maklum kekuatan lawannya itu.

:Walaupun ketua jurulatih Datuk K Rajagobal masih belum mengumumkan senarai kesebelasan utama, namun janji Mat Yo adalah memastikan sekurang-kurangnya satu gol me-nembusi pertahanan kental The Gunners.

“Ini janji saya. Saya akan lakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang jurulatih pada saingan malam esok.

“Sekarang kami bersedia sepenuhnya berhadapan dengan pasukan Big Four EPL itu,” katanya.

Rabu ini, pasukan Harimau Malaya bakal memulakan pertarungan pertama dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum memberi tumpuan kepada aksi menentang Singapura pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir pada 1999, pasukan negara pernah meratah Arsenal 2-0, selepas pasukan sama membelasah Malaysia 2-0 pada 1975.

----- Sinar Harian Online

Isnin, 11 Julai 2011

Bolasepak: Khairul Fahmi Dalam Kesebelasan Utama Menentang Arsenal Rabu Ini


11 Julai, 2011 21:43 PM

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat bakal diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menentang skuad Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dalam perlawanan persahabatan siri jelajah Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Sebelum ini, Khairul Fahmi, yang lebih dikenali sebagai 'Apek', mengalami kecederaan setelah dirempuh pemain Lubnan ketika beraksi mewakili skuad Olimpik dalam pusingan kedua kelayakan Olimpik yang mengakibatkan kecederaan bahu kanan.

"Dia kini telah sembuh dan berkemungkinan akan diturunkan Rabu ini. Ini akan menjadi medan ujian perlawanan persahabatan pertama selepas sembuh buat (Khairul) Fahmi menjelang pertemuan dengan Singapura dalam kelayakan kedua Piala Dunia nanti.

"Kesemua pemain lain juga dilihat mempamerkan aksi yang cergas. Namun, Safee Sali tidak akan beraksi menentang Arsenal nanti kerana masih dibelenggu kecederaan," kata Rajagobal kepada pemberita di sebuah hotel di sini Isnin.

Selepas menentang 'The Gunners', skuad Harimau Malaya akan menggalas cabaran menentang Liverpool pada 16 Julai sebelum bertandang ke Singapura pada 23 Julai dalam perlawanan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia.

Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Rajagobal berkata perlawanan menentang Arsenal akan digunakan sebaik-baiknya untuk memantapkan persiapan skuad Harimau Malaya sebelum bertemu pasukan negara republik itu.

"Ia merupakan satu peluang terbaik buat pasukan negara. Saya percaya dengan kemampuan barisan muda negara, kita mampu memberikan aksi terbaik dan begitu juga ketika menentang Liverpool nanti.

"Apa yang penting, saya mahu anak didik saya sentiasa menumpukan fokus utama kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia dan mendapatkan pengalaman sebaik mungkin," katanya.

Rajagobal berkata skuad kebangsaan tidak akan menggunakan corak permainan defensif semata-mata sebaliknya akan menampilkan strategi baru dalam misi mencari ramuan terbaik untuk pasukannya.

"Mereka satu pasukan yang dikenali bagus. Saya lihat bermain secara defensif akan merugikan kita. Saya akan melihat apa kaedah yang terbaik sebelum menentang Arsenal," katanya.

-- BERNAMA

kredit untuk : http://e-bolasepak.blogspot.com

Ahad, 10 Julai 2011

Star bola boleh jual muka

Aidil & Zaquan (Kembar Negeri Sembilan)

Khairul Fahmi (Kelantan)

Syed Adney (Sabah)

Ramzul Zahini (Kelantan)

Helmi Eliza (Kedah)

Kalau kita tengok ramai juga star bola yang boleh jual muka. mana la tahu ada agensi iklan yang berminat untuk ambil mereka sebagai duta produk. Kalau di Luar negara memang ramai pemain bola yang berjaya di padang, juga berjaya menjual muka sebagai duta produk.

Kat atas tu beberapa muka yang boleh dikatakan boleh tahan juga la.

Sabtu, 9 Julai 2011

KAFA Janji Imbuhan Lumayan Buat Pemain Kelantan

09 Julai, 2011 11:23 AM

KOTA BAHARU, 9 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berjanji akan memberi imbuhan menarik buat pemain Kelantan yang berjaya membawa pulang Piala Liga Super buat pertama kalinya.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun persatuan itu belum dapat memutuskan jumlah keseluruhan imbuhan itu namun akan tetap mengagihkan wang tunai berjumlah RM500,000 hasil juara Liga Super kepada semua pemainnya.

"Kafa akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan bentuk imbuhan yang bakal diberikan kepada pemain," katanya selepas menghadiri sambutan perarakan membawa pulang Piala Liga Super di sini, malam tadi.

Lebih 10,000 penyokong The Red Warriors menyambut ketibaan pemain di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan berarak sehingga ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Annuar yakin kemenangan menjadi juara liga itu akan membangkitkan lagi semangat pemain Kelantan yang akan beraksi pada saingan Piala Malaysia tidak lama lagi.

"The Red Warriors telah berjaya mengangkat mutu bola sepak Kelantan ke tahap terbaiknya dan saya bangga dengan apa yang dilakukan pemain," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, 6 Julai 2011

Liga Super 2011 Milik Kelantan

Kelantan Juara Liga Malaysia 2011

Kelantan berjaya mengalahkan pasukan Sabah dengan jaringan dia gol berbalas satu sekaligus melayakkan gergasi pantai timur tersebut dinobatkan sebagai Juara Liga Malaysia 2011.

Kedua-dua jaringan Kelantan dijaringkan oleh pemain paling bernilai 2010, Norshahrul Idlan Talaha.

Sabah 1 - 2 Kelantan




Sumber : Blog Bola Sepak
URL : http://e-bolasepak.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap