Kawan-kawan

Ahad, 9 Jun 2013

Ayuh Harimau! bangkitlah

KENANGAN manis pasukan kebangsaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia setelah menundukkan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 di Jakarta pada 29 Disember 2010. - AFP 
 
HANTARAN jauh daripada Mahalli...mencari Safee, dia dapat menanduk dan gol! 3-0 buat Malaysia mengatasi Indonesia pada aksi final pertama.

Memori indah 26 Disember 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil masih kekal terpahat di hati 28 juta rakyat Malaysia sehingga hari ini yang disifatkan aksi terbaik dalam dekad ini buat bola sepak negara.

Walaupun tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan timbal balik akhir kedua di Jakarta, namun sudah memadai buat Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF kali pertama dalam tempoh 14 tahun dengan agregat 4-2.

Bola sepak Malaysia yang berada di era kegelapan selama dua dekad bagaikan gemerlapan diterangi cahaya apabila nama-nama pemain negara seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak pernah dipedulikan mula meniti di bibir rakyat Malaysia ekoran persembahan memukau sepanjang kejohanan.

Anak-anak di bangku sekolah dan golongan remaja yang sebelum ini lebih gemar menyarung jersi kelab-kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga mula berbangga memakai jersi Harimau Malaya di sana sini sambil dijadikan idola terbaru dalam dunia bola sepak.

Itu cerita dua tahun dahulu dan selepas detik itu, tidak banyak lagi catatan menggembirakan skuad senior negara terutama seperti tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada jiran tetangga, Singapura selain gagal menyerlah dalam kebanyakan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bertambah membimbangkan, keputusan seri ke atas dua pasukan yang dianggap kerdil dalam dunia bola sepak, Hong Kong dan Bangladesh, mencetuskan kebimbangan yang bukan kepalang di kalangan pengkritik dan peminat bola sepak ekoran persembahan lesu dipamerkan oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal.

Jika dibicarakan mengenai kelemahan skuad kebangsaan, memang tidak dinafikan beberapa pemain yang dianggap sebagai nadi pasukan berada di bawah kemerosotan prestasi seperti Safiq, Norshahrul dan S. Kunanlan jika aksi pada perlawanan persahabatan dijadikan sandaran.

Bahagian tengah mempamerkan kepincangan yang amat ketara dengan Safiq yang dianggap sebagai jeneral di dalam padang bagaikan kehilangan arah mengawal permainan di samping pasangannya, Amar Rohidan tidak banyak membantu.

Aksi Kunanlan juga mencetuskan sedikit kebimbangan apabila seperti kehilangan bisa di posisi sayap kiri ketika rakan sepasukannya, Khyril Muhmeen kelihatan cukup bersedia beraksi di sebelah kanan.
Satu lagi perkara yang menggusarkan para peminat ialah tahap persembahan Norshahrul yang nampaknya sedikit perlahan dan seolah-olah tidak dapat memberikan fokus ekoran kemelut perpindahannya ke Johor masih belum diselesaikan.
 
Posisi penjaga gol dan pertahanan mungkin tidak memberikan banyak masalah cuma pemain muda seperti Zubir Azmi di bek kiri memerlukan masa di pentas antarabangsa.

Namun, segala kelemahan itu masih dapat diperbaiki jika semua pemain negara kembali memperkuatkan tekad dan mencari semangat yang hilang kerana pada dua tahun lalu, mereka semua telah membuktikannya ketika tiada sebarang harapan diberikan oleh sesiapa.

Jika barisan tengah negara dapat mengawal permainan dengan Singapura esok di samping mengunci pergerakan sayap lawan, tidak mustahil kemenangan akan diraih pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF.

Seperti kata orang, perkara yang lepas jangan dikenang, jadikan perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF sebagai medan menebus maruah negara dan pamerkan perwatakan selaku sang juara.

Buat peminat, selepas menghamburkan pelbagai kritikan dan pandangan membina terhadap prestasi skuad negara, menjelang sepak mula esok, inilah saatnya kita semua kembali bersatu di belakang Harimau Malaya dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Tambahan beraksi di gelanggang sendiri, Safiq Rahim dan rakan-rakan amat menagih sokongan padu daripada seluruh peminat bola sepak tanah air bagi mempamerkan aksi lebih bertenaga dan meraih kemenangan berharga ke atas dua seteru utama kita di Asia Tenggara iaitu Singapura dan Indonesia selain Laos dalam persaingan Kumpulan B.

Ayuh Harimau, bangunlah! Kepada semua peminat, datanglah memenuhi setiap inci Stadium Nasional dan berikan sokongan padu kepada pasukan negara.

--- UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap