NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
Foto: SAFWAN MANSOR
17 Januari 2013
Johan Asa’ri memengang watak Botak dalam Juvana
Dek sambutan menggalakkan sehingga berjaya mencipta rating tinggi pada
episod akhir dan pernah dinobatkan sebagai Drama Rantaian TV Terbaik di
Anugerah Skrin 2011, drama bersiri popular, Juvana akan menemui peminat
di pawagam 24 Januari ini.
Apatah lagi, perjalanan Botak dan rakan-rakannya dalam drama bersiri
meninggalkan persoalan kepada peminat mengenai apa yang terjadi kepada
mereka selepas sekolah juvana mereka, Wira Bakti ditutup.
Justeru, bagi menjawab segala persoalan yang berlegar di minda, Juita
Viden Sdn Bhd dan Filmscape Sdn Bhd mengambil inisiatif menghasilkan
filem Juvana yang akan memperjelaskan perjalanan Botak dan
rakan-rakannya.
"Ramai bertanya kepada saya, apakah terjadi kepada Botak dan yang
lain-lain selepas Wira Bakti ditutup. Jadi atas permintaan ramai, saya
setuju hasilkan filem Juvana yang akan menjawab segala persoalan,"
katanya.
Bercerita lanjut mengenai filem sulungnya ini, Faizal berkata, cabaran
utama menghasilkan filem ini adalah untuk beri kepuasan kepada penonton
dengan mengekalkan watak yang telah mendapat tempat di hati peminat.
"Bagi memastikan setiap penonton puas hati dengan perjalanan watak di
dalam filem ini, saya perlu pastikan skrip filem ini cukup kuat untuk
menceritakan mengenai pelajar Wira Bakti di tempat baru dan juga
kehidupan Daim setelah dibebaskan.
"Oleh itu, saya turut wujudkan watak-watak baru seperti Lan Todak
lakonan Sharnaaz Ahmad. Selain itu, saya turut pinjam dua watak dari
filem Nur Kasih iaitu Jamal lakonan Syafie Naswip dan Julia, lakonan
Sara Ali.
"Tidak ketinggalan, saya wujudkan watak Tuan Adli lakonan Adlin Aman
Ramlie dan Sara, lakonan Shera Aiyob yang menjadi kekasih Daim,"
ujarnya.
Babak ganas dipotong
Faizal berkata, dalam filem ini, dia turut menyelitkan beberapa babak
pergaduhan dan juga permainan emosi serta pertukaran personaliti antara
Apek dan Botak, yang akan memberi perbezaan berbanding drama bersiri.
Bagaimanapun, dia akur apabila babak pergaduhan melibatkan Lan Todak
dan Kicap (Megat Farzeril) di potong Lembaga Penapisan Filem Negara
(LPF).
"Filem ini diklasifikasikan P13, iaitu pengawasan ibu bapa untuk
kanak-kanak diperlukan. Saya bukan sengaja untuk menyelitkan babak ganas
seperti pergaduhan dan sebagainya.
"Tetapi, setiap perlakuan itu akan saya sertakan dengan akibat yang
akan diterima, ia sekali gus akan mendidik penonton. Malah, saya akan
turut selitkan semangat setia kawan antara mereka dalam mengatasi
kehadiran Lan Todak," katanya.
'Lan Todak' jadi dalang
Menyentuh sambutan yang bakal diterima kelak, Faizal berkata, dia
optimis filem ini akan memuaskan hati peminat setia drama bersiri
Juvana.
Katanya, segala babak denda dan sedikit latihan ketenteraan diambil
daripada pengalamannya semasa menyertai tentera sebelum ini.
"Saya harap mereka akan mengambil iktibar dan pelajaran daripada mesej yang ingin disampaikan," jelasnya.
Filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini menjalani penggambaran 17 hari di kem PLKN, Rawang.
Filem Juvana mengisahkan Daim (Zahiril Adzim) yang telah dibebaskan
cuba memulakan kehidupan baru dan menyambung persekolahannya.
Namun sejarah hitam hidupnya tidak memberi laluan mudah untuk Daim
membina hidup baru. Botak (Johan Asa’ri), Apek (Syazwan Zulkifli), Ayam
(Adam Shah), Kicap (Megat Farzeril), Komeng (Khairul Mohamed) dan
Panjang (Idzham Ismail)
dipindahkan ke sekolah juvana lain, Sekolah Indera Sakti untuk meneruskan tempoh hukuman.
Di sekolah baru itu, Botak mula akrab dengan Apek serta yang lain.
Namun, mereka jadi sasaran Lan Todak (Sharnaaz Ahmad), ketua samseng
sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan mereka. Apakah
kesudahannya? Nantikan filem ini di pawagam.
--- SINAR HARIAN