BINGIT. Itulah omelan yang menerawang bebas daripada mulut pihak media dan sebilangan audiens hampir dua jam pelayaran filem terbaru lakonan pelakon jelita, Fouziah Gous berjudul 2 Hati 1 Jiwa.
Ada yang mempersendakan, ada juga bercakap sesama sendiri secara sinis tentang si pembawa watak Lana yang dilakonkan oleh Fouziah menerusi karya garapan Profesor A. Razak Mohaideen itu. Kata mereka lagi, ibarat peminat terdengar suara kanak-kanak dan belum matang walaupun usia karakter itu sebenarnya berusia 20-an.
Ketika pemilik nama berdaftar Nor Fouziah Mohd. Gous disuakan Kosmo! jolokan si bingit, begini jawapan ikhlas Fouziah tanpa sesekali melatah mahupun melenting.
|
|
“Penonton boleh berkata apa saja tentang suara bingit saya dalam filem ini. Tapi sedarkah mereka kalau saya keluarkan suara Fouziah Gous maka watak Lana nampaknya tidak mampu diluahkan dengan baik.
“Dalam waktu sama, saya menolak tanggapan sengaja mempersendakan orang kurang upaya dengan melontarkan dialog macam kanak-kanak. Tugas saya sebagai Lana bukan untuk menghina mereka. Terus-terang, saya jayakan watak ini dengan stail tersendiri,” jawab wanita berusia 27 tahun itu relevan dia bersuara sedikit menjengkelkan.
Beritahu Fouziah, dia bersebab membuat seperti suara kanak-kanak. Lana dalam filem ini merupakan adik kepada Lina (lakonan Yasmin Hani), yang merupakan seorang yang manja, nakal dan periang dengan keluarga dan orang lain.
“Kalau difikirkan secara logiknya, Lana merupakan gadis yang membesar di rumah sejak kecil hingga besar. Lagipun dia adalah individu istimewa lantas kehidupannya tentu berbeza dengan manusia normal secara realiti.
“Jadi, bila dia dapat keluar rumah dan tengok dunia, Lana terus lupa diri dan mahu dilayan sama rata macam orang sempurna. Sedangkan anggota badan Lana melekat dengan Lina semasa dilahirkan.
“Tapi nasib baik akhirnya dia menyedari tentang kekurangan diri. Dari situ, barulah Lana tahu dia tidak boleh mengecap kehidupan sama dengan orang di sekeliling,” katanya mempertahankan watak Lana yang sengaja dicipta bersifat keanak-anakan.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimanapun tidak mudah terasa hati ataupun menyalahkan pihak media dan sebilangan pihak yang sering mengungkit kesilapan diri dalam filem lain termasuk 2 Hati 1 Jiwa ini.
“Saya faham dan tidak salahkan sesiapa dalam soal ini kerana pengamal media dan orang kuat industri sentiasa mencari kelemahan pelakon sekali gus memberi kritikan membina kepada kami.
“Saya tidak anggap situasi ini sebagai masalah terbesar kepada diri. Paling penting, saya berdebar menantikan reaksi peminat yang datang ke pawagam kelak. Ini penting kerana saya bertanggungjawab memberi hiburan kepada mereka,” jelasnya sambil tersenyum.
Sepanjang penggambaran filem 2 Hati 1 Jiwa, Fouziah berdepan banyak kesulitan yang memerlukan diri menyudahkan watak Lana dengan sebaik mungkin.
|
|
“Nampak saja senang menerajui watak Lana pada mata kasar. Tapi sakit sebenarnya seluruh badan disebabkan pakai alat yang mencantumkan saya dan Hani sepanjang waktu tanpa boleh dibuka dengan sesuka hati.
“Pada masa sama, saya kena meluahkan sikap ceria dan periang walau sedang berada dalam kesakitan. Jujur diakui, tidak mudah sebenarnya untuk mengekalkan momentum ini dari awal penggambaran hingga ke penghabisan.
“Ia menjadi cabaran terbesar kepada saya sepanjang melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak beberapa tahun lalu,” ungkap Fouziah yang senang sekali dapat bekerjasama dengan Hani.
Tidak sesekali wujud istilah kepuasan mutlak dalam diri seorang Fouziah, dia mengaku banyak lagi yang perlu diperbaiki dalam memacu usaha bergelar anak wayang disegani suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, saya sudah melakukan yang terbaik dalam filem ini. Apa jua yang berlaku, biarlah peminat yang tentukan tentang mutu lakonan saya. Enggan bersikap syok sendiri lantas saya sentiasa ingin menimba ilmu dari semasa ke semasa.
“Setiap kali masuk ke dalam set penggambaran, maka ada saja yang saya pelajari walaupun ia melibatkan perkara kecil mahupun besar. Saya anggap hari-hari yang berjalan merupakan proses pembelajaran sekali gus memperlihatkan pengalaman kepada diri,” terangnya dalam nada merendah diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.