Kawan-kawan

Ahad, 17 Januari 2010

Kehebatan Avatar dalam sejarah perfileman (Utusan Malaysia)

ARKIB : 17/01/2010


Avatar


FENOMENA box-office bagi filem sains fiksyen saga, Avatar membuka mata semua pihak tentang kemajuan teknologi tiga dimensi (3D) dan kepentingan grafik yang digunakan sepenuhnya mampu memberi pulangan lumayan.

Sebelum ini, dua perkara itu sering dijadikan bahan sokongan untuk membuat satu-satu filem. Tetapi tidak pada Avatar. Ia merupakan adunan utama dalam olahan cerita Avatar. Dengan bantuan foto realistik yang mengaitkan alam makhluk asing yang kemudiannya diceroboh oleh sekumpulan manusia.

Avatar secara kasar mengutip sebanyak RM2.287 bilion di Amerika Syarikat dan Kanada manakala di United Kingdom pula sebanyak RM25.5 juta dicatatkan. Filem itu juga berterusan menarik ramai penonton untuk mengulangi pengalaman menonton filem berkenaan sehingga ke hari ini. Filem di bawal label 20th Century Fox itu juga berjaya menjadi bualan dan mempengaruhi bukan sahaja peminat sains fiksyen malah kumpulan yang kurang suka menonton di wayang.

Dianggarkan Avatar mencapai keuntungan sebanyak RM6.025 bilion dari seluruh dunia. Keuntungan kali kedua buat pembikin filem, James Cameron apabila berjaya mengulangi kejayaan filem pertamanya, Titanic pada tahun 1997.

Ia adalah filem paling cepat memecah rekod AS1 bilion. Ia turut mengalahkan filem The Lord Of The Rings: The Return Of The King sebanyak RM3.782 bilion, Pirates Of The Carribbean: Dead mans's Chest (RM3.447 bilion) dan The Dark Knight (RM3.347 bilion).

Dihasilkan dengan sokongan lebih 3,000 orang dan 10,000 komputer dengan mengambil masa lebih kurang 4 tahun setengah untuk mencipta Planet Pandora. Satu tempoh masa yang agak panjang bagi menyiapkan dasar untuk filem aksi pengembaraan itu. Ia termasuk untuk menyiapkan makhluk berwarna biru dengan ketinggian 10 kaki yang dikenali sebagai Na'vi. Pergerakan makhluk ini juga perlu dititikberatkan bagi memastikan ia tidak kelihatan canggung apabila proses pemindahan grafik dilakukan.

Cameron adalah seorang yang kuat berimaginasi. Karektor makhluk berwarna biru itu sebenarnya diambil daripada mimpi ngeri ibunya. Menerusi cerita ibunya, sekumpulan askar dari bumi berperang dengan makhluk biru berkenaan. Ia kemudiannya mencetuskan idea buatnya untuk menghasilkan jalan cerita berkenaan.

Kehebatan Avatar apabila mengadunkan karektor ubahan komputer seperti Scrooge dalam filem arahan Robert Zemeski berjudul A Christmas Carol yang ditayangkan baru-baru ini. Kesemua watak yang ditayangkan di skrin dekat di hadapan mata dan kadangkala seolah-olah berada di dalam filem berkenaan.

Cameron bersama rakan penerbitnya, Jon Landau menyelidik kira-kira satu tahun setengah dalam memastikan sama ada mereka dapat merealisasikan idea mereka. Mereka enggan menggunakan teknologi robotik yang dilihat boleh mematikan watak itu. Lantas bersepakat untuk mengubahnya dengan menggunakan teknologi komputer.

Bagi menyempurnakannya, mereka membina satu sistem untuk merakam ekspresi muka menggunakan kamera khas. Ini memaksa pasukan produksi Avatar menggunakan imej besar bagi memastikan kesempurnaan merekod wajah pelakonnya sama ada dalam situasi pergerakan dan pergerakan berpanjangan. Sebab itu anda tidak melihat kelemahan sama ada dalam babak perkelahian anjing, kapal terbang dan menunggang kuda.

Pendekatan Cameron berbentuk novelis. Pada masa yang sama, pengarah Steven Spielberg dan penerbit Peter Jackson meminjam pentas yang sama untuk dalam seminggu dan berfikiran mereka akan menggunakan metodologi yang sama untuk mencipta filem trilogi berjudul The Adventures Of Tintin: The Secret Of The Unicorn. Ia merupakan filem berdasarkan komik bersiri Belgium.

''Avatar adalah filem hibrid. Ia mempunyai syot penuh aksi digabung dengan karektor rekaan komputer dan kehidupan sebenar. Itu menyebabkan penonton tidak tahu yang mana satu imej sebenar atau palsu. Ini kerana Avatar mempunyai 60 peratus elemen rekaan komputer manakala 40 peratus lagi untuk imej realistik," kata Cameron.

Sebanyak 31 hari kumpulan produksi berkampung di Hughes Aircraft, Playa Vista Los Angeles mengambil foto manakala 31 hari lagi untuk sesi rakaman imej asli di New Zealand. Bagi menghidupkan watak golongan minoriti manusia di Pandora, pereka produksi melawat kawasan perlombongan Noble Clyde Boudreaux di Mexico. Itu bagi memastikan fotografi mereka menepati aspek selepas diadun dengan bantuan teknik imej penjanaan komputer (CGI).

Filem ini juga tidak terlepas daripada mendapat kritikan keras daripada pembikin konservatif yang menyifatkan filem ini untuk penerbit yang pemalas. Ia adalah hasil fantasi sinematografi Cameron yang mempunyai stail permainan video. Selain itu, menggabungkan komen sosial masyarakat, mistik dan pemahaman politik yang konservatif.

Mereka juga mengatakan bahawa Avatar menggambarkan imej kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang gemar memperluaskan jajahan dengan menakluk negara kecil. Ia bertujuan untuk mengambil alih kuasa pimpinan, menakluk ekonomi, agama dan hasil semula jadi negara berkenaan. Peperangan adalah satu cara untuk merealisasikan impian kepimpinan AS itu. Bagaimanapun, perkara itu kemudiannya disangkal oleh kebanyakan kepimpinan tinggi agama Kristian yang mengatakan bahawa Avatar hanyalah hiburan semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap