Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

V3: Samseng Jalanan papar aksi berani (Berita Harian : B*Pop)

  • Filem: V3: Samseng Jalanan
  • Pengarah: Farid Kamil
  • Produksi: MIG Productions
  • Produser: David Teo
  • Pelakon: Farid Kamil, Bront Palarae, Aqasha, Radhi (OAG), Intan Ladyana, Shaharuddin Thamby, Lisa Surihani, Adam Corrie dan Wan Norazlin
  • Genre: Aksi/Drama
  • Mula tayang: 11 Mac 2010
MEMBAWA latar dan aksi yang tidak jauh daripada filem Remp-It yang ditayangkan pada 2006, sentuhan pertama pelakon berbakat besar, Farid Kamil menerusi V3: Samseng Jalanan menyerlahkan kredibilitinya sebagai pengarah muda yang berpotensi. Berbeza Remp-It yang lebih memfokus kepada naratif kehidupan mat rempit, V3: Samseng Jalanan mengetengahkan mood lebih mendebarkan dibaluti babak yang sarat aksi.

V3: Samseng Jalanan juga membentangkan plot cerita lebih berat dan serius, barangkali menjadi pencetus kepada pihak berkuasa supaya membuka mata dan bertindak secara lebih efektif bagi mencari penyelesaian bagi membanteras aktiviti kurang sosial yang merosakkan golongan muda itu. Menelan belanja sekitar RM1.8 juta, V3: Samseng Jalanan bagi sesetengah penonton akan dilihat sebagai sebuah filem yang mengangkat mat rempit sebagai seorang wira.

Sebaliknya, pengarah muda yang meraih kepercayaan produser prolifik, David Teo dalam senarai Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan MIG Production itu mewakili suara pelumba jalanan supaya didengar dan diambil tindakan. Cuba menyelami dunia remaja yang terbuka kepada pelbagai gejala sosial, jiwa muda Farid sebagai pengarah dapat ditelah apabila fokus diberikan lebih kepada aksi hingga melonggarkan sedikit naratif filem ini.

Luahan gejolak jiwa remaja turut diterjemahkan menerusi dialog barisan pelakonnya yang jelas menggambarkan kehidupan anak muda yang terbabit dalam aktiviti lumba haram.

Farid yang juga penggemar filem aksi arahan Michael Bay itu turut mengambil inspirasi daripada sentuhan Osman Ali dalam Anak Halal untuk membentuk V3: Samseng Jalanan menjadi sebuah produksi yang dekat dengan penonton muda. Barangkali kerana semangat mudanya yang membara, Farid membentuk V3: Samseng Jalanan menjadi sebuah filem aksi yang agak berani dan mendebarkan.

Keberanian itu menjebak Farid terpaksa berdepan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan filem ini menemui khalayak.

Namun suntingan yang dilakukan sehingga 20 peratus daripada salinan asal tidak menjejaskan keseluruhan perjalanan V3: Samseng Jalanan.

Bagaimanapun, sedikit kekuarangan dari segi pembinaan karakter serta struktur naratif filem itu dapat dikesan tetapi kekurangan itu tidak ketara mengganggu persembahan filem ini.

Seperkara yang jelas, Farid tidak membiarkan V3: Samseng Jalanan berjalan tanpa arah dan cenderung negatif kerana filem itu turut dikembangkan kepada unsur positif yang diterapkan menerusi pengucapan dialog pelakonnya. Barangkali kerana terlalu memfokus kepada babak aksi, Farid terlepas pandang kepada momentum naratif filem itu yang sedikit mendatar tanpa momen untuk menangkap tumpuan khalayak.

Berdepan dua tugas serentak iaitu sebagai pengarah dan pelakon, Farid menjayakan amanah yang diberikan kepadanya dengan baik.

Watak Rudy yang mewarisi darah pelumba daripada ayahnya yang memiliki bengkel motosikal namun cuba berubah apabila berhijrah ke Kuala Lumpur dibawanya dengan baik.

V3: Samseng Jalanan turut disokong barisan pelakon yang diakui kehebatan mereka seperti Bront Palarae sebagai Brett, Aqasha (Garing) dan Adam Corrie (Sam Seng). Lisa Surihani juga mempamerkan kekuatan lakonan di luar jangkaan menerusi watak antagonis, Kamsah iaitu pengikut setia Garing yang menguasai lumba haram di Kuala Lumpur.

Mungkin kerana selama ini kerap diajukan watak ringan menyebabkan karisma Lisa di layar perak kurang menyerlah sedangkan dia mempunyai kekuatan untuk diteroka sepenuhnya. Sama seperti Radhi yang bersahaja dan selamba memainkan peranan Lan Ribut yang gemar menipu untuk kepentingan diri.

Sinopsis:

BERKISAR Rudy dan sahabatnya, Brett yang terjerumus dalam satu masalah besar apabila kawan baik mereka, Shah dan Liza meninggal dunia dalam satu kemalangan. Memburukkan keadaan apabila Shah turut menyimpan dadah menyebabkan Rudy dan Brett menjadi buruan polis. Mereka mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur dan berazam mengubah kehidupan. Brett menemukan Rudy dengan Lan Ribut lalu dibawa ke kedai Sam Seng yang dikawal along, Wan Blost.

Dalam satu pertaruhan, Rudy tewas kerana Garing main kotor - membuatnya berhutang RM10,000 dengan Sam Seng. Kecederaan yang dialaminya menemukan Rudy dengan Lisa lalu menjadikan rumah gadis itu sebagai tempat persinggahan. Garing masih mencari Rudy untuk menagih hutang lalu menyusun satu perlumbaan. Bagaimanapun, Rudy enggan terbabit menyebabkan Garing mencari jalan menculik Lisa. Garing bagaimanapun tewas dalam perlumbaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap