Kawan-kawan

Ahad, 3 Julai 2011

Transformers: Dark Of The Moon

FILEM: Cetusan hebat

FILEM yang menjadi bualan ini sepatutnya meninggalkan impak sebaik layar mula dibuka. Namun selepas setengah jam tayangan bermula, bagai ada yang tidak kena dengan peletakan plot, perkembangan watak dan babak pada filem yang dikategorikan ‘A’ dalam kelasnya tersendiri.

Bagi penulis, mungkin berpunca daripada hidangan unsur drama yang boleh dikatakan berlebihan. Sama ada ia membosankan, terpulang kepada anda untuk menilainya.

Selebihnya watak sampingan yang dilihat menjurus kepada filem aksi komedi berbanding genre berat yang boleh meruntun jiwa. Gabungan drama dan komedi berlebihan ini menyebabkan plot berkembang pada takat tertentu yang kurang menjadi.

Penampilan sulung Rosie Huntington-Whiteley sebagai Carly menggantikan aktres asal, Megan Fox turut dilihat ‘lebih sudu daripada kuah’. Masakan tidak, kehadirannya lebih kepada penyeri simbol seksi jelita yang perlu ada dalam filem aksi — sangat klise.

Bersandarkan slanga Inggeris seksi, susuk tubuh menggiurkan dan bibir munggil; Rosie gagal menyempurnakan watak Carly melalui cetusan rasa yang ‘kosong’ dan wajah ‘kering’. Bukan niat untuk membezakan Megan dan Rosie, tapi ia begitu terserlah.

Shia LaBeouf sebagai Sam Witwicky masih seperti dulu. Anak emak, cemerkap dan dipandang remeh sesetengah pihak. Seolah-olah watak Sam sejak tiga siri Transformers lalu tidak berkembang. Satu-satunya pembaharuan yang dilihat ialah memiliki ‘awek’ baru dan mendapat kerja sebagai budak pejabat selepas tamat kolej.

Sebaik melepasi 45 minit tayangan, baru penulis tidak senang duduk. Elemen aksi dan drama lebih sadis mula keluar daripada kepompong simpanan. Apatah lagi apabila babak perang mengambil tempat di tengah bandar raya Chicago.

Cuma tatkala beberapa babak perang dan skor muzik mula ke udara, penulis dibayangi filem Skyline dan War of The Worlds. Penonton yang pernah menonton dua filem itu pasti bersetuju, terutama pada fizikal kapal angkasa Cybertrons dan modus operandi pihak Decepticons menyerang bumi.

Biarpun wujud beberapa lopong tertentu, penulis tetap kagum pada sinematografi, teknik imej janaan komputer (CGI), pemilihan lokasi penggambaran dan hubung kaitan senario sejarah dunia.

Pengarah fotografi bijak memilih sudut untuk memenuhi rangka visual paparan. Seolah-olah penonton turut dibawa kepada situasi genting yang berlaku saat itu.

Ditambah pula dengan teknik CGI yang lebih bersih dan segar, puak robot Autobots dan Decepticons berjaya dinaikkan taraf kepada imej janaan sebenar.

Penulis turut kagum pada pemilihan lokasi bandar raya sebagai medan peperangan. Dengan kehadiran ratusan pelakon pembantu yang berjaya mencetuskan emosi sedih dan takut, babak itu boleh dikatakan terbaik berbanding dua siri Transformers lalu.

Malah, pengarah dan penulis lakon layar memulihkan keadaan bosan ‘seketika’ dengan menyelitkan paparan sejarah perlumbaan angkasa antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia satu ketika dulu, selain peristiwa besar lain dalam sejarah seperti tragedi Chernobyl angkara teknologi angkasa lepas yang tidak diketahui.

Bunyi mungkin pelik, tapi unsur kagum melalui tambahan unsur karut dalam sebuah sejarah sudah lama dilakukan pihak Barat. Pun begitu, penulis yakin penonton bijak menilai yang mana betul dan salah.

Transformers: Dark of The Moon mengambil senario selepas Cybertrons musnah diserang Decepticons yang mahu memusnahkan Autobots.

Biarpun beberapa puak Autobots diketuai Optimus Prime berjaya berlindung di bumi, mereka kini berdepan pakatan sulit pihak Decepticons yang mahu menghidupkan Cybertrons dengan bantuan pahlawan ulung Autobots yang berpaling tadah, Sentinel Prime.


DATA

FILEM: Transformers: Dark Of The Moon
ARAHAN: Michael Bay
PELAKON: Shia LaBeouf, John Turturro, Josh Duhamel, Tyrese Gibson, Rosie Huntington-Whiteley dan Patrick Dempsey
GENRE: Sains Fiksyen
TAYANGAN: 29 Jun 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

----- Harian Metro Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap