Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label The Wolfman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Wolfman. Papar semua catatan

Sabtu, 20 Februari 2010

Serigala jadian ‘kitar semula’ (Kosmo)


ANTARA babak dramatik yang ditonjolkan dalam filem The Wolfman.


SEPINTAS lalu, The Wolfman mengingatkan semua terhadap filem-filem serigala jadian terdahulu yang pernah disaksikan antaranya Werewolf of London dan The Curse of The Werewolf. Itu sebenarnya yang mempengaruhi Benicio Del Toro, penerbit juga pelakon utama filem The Wolfman.

Mengekalkan visual klasik, di tangan Joe Johnston sebagai pengarah, benarlah The Wolfman cuba menghormati tradisi dari judul yang sama The Wolf Man 1941.

Perjalanan cerita masih sama, bezanya, untuk edisi 2010, The Wolfman lebih banyak bermain dengan kesan khas. Johnston menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk mengangkat The Wolfman sebagai filem ‘kitar semula’ yang berprofil tinggi.

Bermula apabila seorang abang Lawrence Talbot, lakonan Benicio Del Toro pulang ke kampungnya setelah mendapat berita kematian mengejut adiknya. Tiba di kampung, Lawrence mencurigai keadaan mayat adiknya.

Musykil tentang punca kematian itu, dia mula menyiasat walaupun dihalang oleh ayahnya, Talbots (Anthony Hopkins). Lawrence mula rapat dengan tunang adiknya, Gwen Conliffe (Emily Blunt).

Visual malam yang menyeramkan menjadikan The Wolfman sebuah filem menakutkan apatah lagi babak kematian demi kematian mula mengisi plot.

Tidak sukar untuk menjangkakan penyudah filem ini, rata-rata penonton mungkin bersetuju bahawa menonton separuh jalan sahaja, seluruh filem itu sudah boleh dibayangkan.

Komen: Kepada penggemar aksi, darah dan kematian ngeri, pergilah menonton sebaliknya jika mahukan sesuatu yang lebih realistik serta visual yang mendamaikan, Valentine’s Day mungkin pilihan yang lebih tepat.

Selasa, 16 Februari 2010

Filem: Serigala jadian (Harian Metro)

SUSPENS dan memeranjatkan! Ditambah pula teknik imej janaan komputer (CGI) yang digunakan sutradara ini menambah lagi keseronokan menonton filem yang dibuat semula daripada filem sama pada 1941.

Secara klasik, jalan ceritanya mengisahkan serigala jadian di mana sesiapa yang digigit akan menjadi binatang buas itu apabila bulan mengambang.

Selain itu, set berlatarkan era 1940-an turut dikekalkan. Pendek kata, jalan cerita dan teknik penggambarannya masih sama seperti filem asal tetapi diperbaiki daripada segi lakonan dan kesan khas.

Tambah menarik, filem ini dibarisi pelakon berwibawa seperti Anthony Hopkins, Benicio del Toro dan Emily Blunt. Lakonan mereka turut teruji dalam filem ini. Bagi penulis, pasti menjadi tugas sukar untuk menjelmakan karakter lama tetapi mereka berjaya melakukannya dengan baik.

Mungkin perkara yang tidak enak dilihat adalah penampilan serigala itu. Ramai akan melihat ‘jelmaan’ serigala itu seperti lelaki di dalam sut orang utan. Begitupun, pengarahnya Joe Johnston bertindak bijak apabila kebanyakan babak serigala jadian itu tidak ditampilkan dalam bentuk sebenar.

Meskipun jalan ceritanya sebuah karya seram, Johnston turut bermain dengan elemen suspens yang nyata memeranjatkan penontonnya. Malah babak ini ditampilkan tanpa anda menyangkakannya.

Teknik pencahayaan juga menimbulkan mood suspens. Penggunaan warna malap membuatkan anda turut berada dalam misteri bagi mencari siapa serigala jadian.

Pendek kata, The Wolfman bakal menjadi filem yang menarik untuk anda. Namun, diklasifikasikan sebagai tontonan 18 tahun ke atas.

>Data
FILEM: The Wolfman
PENGARAH: Joe Johnston
PELAKON: Anthony Hopkins, Benicio del Toro, Emily Blunt dan Hugo Weaving
GENRE: Seram/ Thriller
TAYANGAN: 11 Februari 2010
PENGULAS: Firdaus Sahat

Isnin, 15 Februari 2010

Filem seram yang suram (Utusan Malaysia)


Emily Blunt (kiri) dalam babak mencemaskan dalam The Wolfman.


BIARPUN Hollywood sering disindir sudah kekeringan cerita apabila masih mahu mengulang semula cerita lama, tetapi masih terdapat eksekutifnya yang yakin ada penonton akan terpesona dengan pendekatan sedemikian.

Bagi mereka, bukankah cerita yang ada hari ini sekadar pengulangan cerita-cerita yang sudah selalu diceritakan? Tetapi mengulang tema tentulah juga tidak sama dengan 'membikin semula' filem yang sudah pernah dihasilkan dahulu.

Apabila produksi Hollywood masih ghairah membikin semula filem lama, tentulah ada yang hendak mereka buktikan kepada khalayak baru hari ini.

Filem The Wolfman yang diarahkan oleh Joe Johnston daripada lakon layar tulisan Andrew Kevin Walker dan David Self ini merupakan pembikinan semula filem The Wolfman tahun 1941 arahan George Wagger. Persoalannya, apakah sentuhan dan pendekatan Johnston kali ini mampu memberikan sesuatu yang baru dan lebih menarik daripada filem asal atau mampu memberikan dimensi baru kepada genre ini?

Sebelum filem The Wolfman, kisah manusia serigala jadian ini lebih dahulu memasuki pasaran arus perdana filem Hollywood melalui filem Werewolf in London, 1935.

Bagaimanapun, filem yang dianggap klasik dalam siri manusia serigala jadian ini ialah filem An American Werewolf in London (1981) arahan John Landis.

Filem ini mengisahkan dua pelajar remaja Amerika di London diserang serigala hingga menyebabkan kematian dan trauma hingga bertukar menjadi serigala jadian lalu memburu mangsa di kota London.

The Wolfman bukan sahaja dianggap antara filem serigala jadian terbaik tetapi kesan solekannya yang menukar fizikal manusia menjadi serigala dianggap telah membawa revolusi kepada mekap untuk filem seram dekad 1980-an.

Kisah serigala jadian dalam kehidupan manusia telah menjadi sebahagian daripada mitos masyarakat Barat.

Mitos ini menjadi sebahagian daripada tradisi dalam genre filem seram Hollywood iaitu konsep seram yang menyaksikan transformasi manusia menjadi makhluk menakutkan seperti konsep transformasi dalam filem Frankenstein. Inilah konsep yang diulang dalam filem The Wolfman.

Filem The Wolfman mengambil latar di Blackmoor, England sekitar tahun 1891 yang bermula dengan kematian Ben Talbot akibat diserang oleh mahkluk yang tidak diketahui.

Kematian Ben memaksa Lawrence (Benicio del Toro) kembali dari Amerika. Kepulangan Lawrence ke rumah besar bapanya Sir John Talbot (Anthony Hopkins) itu menyingkap misteri kehidupan bapanya dan kematian ibu serta adiknya, Ben.

Bagaimanapun, Lawrence sendiri kemudiannya cedera parah ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak Gipsi daripada serangan serigala. Kesan daripada kecederaan itu telah menukar hidup Lawrence apabila dia kemudian berubah menjadi serigala apabila tiba waktu malam ketika bulan mengambang.

Walaupun Lawrence yang berubah menjadi serigala adalah 'monster' yang ganas dan kejam, tetapi anehnya dia mengenali dan tidak pula menyerang Gwen Conliffe (Emily Blunt) yang pernah menjadi tunang adiknya dan dia sendiri mula menyukainya.

Naratif filem The Wolfman versi Joe Johnston ini tidak ada yang baru dan segar. Malah naratif keseluruhan filem ini gagal. Filem The Wolfman ini bukan sahaja khabarnya terpaksa melalui beberapa penggambaran semula dan penyuntingan semula.

Filem ini seharusnya menjadi ruang untuk memperlihatkan kehebatan lakonan Benicio del Toro dan Anthony Hopkins. Tetapi kemuncak dramatik yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya, pertempuran antara keduanya dalam adegan akhir yang sudahpun dijangka, lebih diingat sebagai pertempuran antara dua binatang.

Bahkan, transformasi serigala yang berlaku ketika bulan mengambang selain daripada ulangan stereotaip, efeknya tidak mencengkam dan dramatik seperti dilakukan oleh John Landis dalam filem An American Werewolf in London.

Apabila sesebuah filem itu dibikin semula, selain keistimewaan filem yang dahulu, maka filem baru ini seharusnya akan mengemukakan agenda pemikiran dan konflik politik yang baru walaupun landasnya daripada naratif yang lama. Malangnya filem ini sekadar ulangan. The Wolfman hanyalah sebuah filem biasa yang tenggelam dan berakhir dalam kesuraman visualnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap