Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Na-O-Mei (Slot Akasia TV3). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Na-O-Mei (Slot Akasia TV3). Papar semua catatan

Sabtu, 20 Februari 2010

Fouziah bukan makan angin (Kosmo)


Fouziah Gous


PELAKON muda, Fouziah Gous, 27, semakin kerap beraksi di layar kaca dan layar perak. Si manis berambut panjang mengurai ini terus-terusan membuat penampilan untuk pelbagai watak.

Terbaru, membawakan watak sampingan dalam drama bersiri Na O Mei untuk slot Akasia di TV3, Fouziah, atau nama penuhnya, Nor Fauziah Mohd Ghous, pada masa yang sama memegang watak utama untuk filem 2 Hati 1 Jiwa, di samping ‘kembar siamnya’ Yasmin Hani, yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Malah anak jati Kuala Lumpur ini turut menjadi gadis ‘iringan’ pengacara Kieran untuk program Roda Impian di saluran TV3.

“Saya bekerja. Bukan makan angin. Lagipun saya masih baru dalam bidang seni, jadi peluang (berlakon) yang datang itu saya anggap sebagai ruang untuk saya belajar dan memperbaiki diri.

“Saya juga jenis yang tidak boleh duduk diam dan berehat lama-lama seperti sesetengah artis yang mengambil cuti selepas satu-satu filem atau drama.

“Saya tidak mampu untuk berbuat begitu. Saya perlu sentiasa berasa sibuk,” ujarnya yang mengakui berasa gelisah jika tidak berbuat apa-apa.

GOSIP

Sehingga sekarang, satu-satunya gosip yang beredaran tentang saya sejak mula menceburi bidang hiburan ialah skandal dengan Datuk Seri Farid Redzuan. Kelakar pula rasanya kerana ia sangat tidak berasas tetapi diulang pakai. Hendak kata saya kenal Datuk Farid, rasanya dalam bidang hiburan, tiada siapa yang tidak kenal dia.

BANYAK CAKAP

Saya bukan buat-buat kerana saya bercakap dengan sepenuh jiwa. Saya akan banyak bercakap apabila menjawab soalan. Bagi saya biarlah saya menjawab soalan panjang lebar daripada membiarkan wartawan tidak faham dan menimbulkan isu tak enak daripada jawapan saya itu.

IQRAM DINZLY

Kami sudah lebih empat tahun mengenali antara satu sama lain iaitu sebelum saya menjadi artis lagi. Drama pertama yang saya berlakon pun adalah di samping dia. Jadi kami sebenarnya seperti best friend forever (BFF). Segalanya tentang saya dia tahu. Dialah tempat saya mengadu masalah dan menangis.

Tetapi saya tidak mahu takbur mengatakan kami tidak mungkin bercinta. Cuma kami pernah cuba bergerak ke arah itu tetapi ia tidak menjadi. Nampaknya kami lebih sesuai berkawan saja.

LELAKI PILIHAN

Saya seorang yang berfikiran matang. Jadi kalau boleh saya mahu pasangan saya seorang yang lebih matang daripada saya. Saya sudah cuba bercinta dengan lelaki sebaya atau tidak banyak beza umur dengan saya tetapi kami tidak sesuai.

Saya memerlukan seorang lelaki yang saya boleh hormat dan mampu membimbing saya. Tetapi biarlah dia bujang atau bebas daripada sebarang ikatan dengan wanita lain.

Isnin, 15 Februari 2010

Han popular kerana Na-O-Mei (Utusan Malaysia)


HAN atau nama sebenarnya Rehana Mohd Yunus.


BAGI yang mengikuti drama air mata di slot Akasia, Na-O-Mei yang disiarkan di TV3, pasti akan tangkap syahdu dengan lagu temanya, Bisikan Rindu.

Berkumandang setiap hari Isnin hingga Khamis di TV3 pada pukul 6.30 petang malah sudah sering diputarkan di corong-corong radio, lagu ini semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Tetapi ramai yang tak sedari pemilik suara lunak yang mengalunkan lagu itu rupanya merupakan salah seorang peserta One In A Million 3 (OIAM) bernama Han.

Han atau nama sebenarnya Rehana Mohd Yunus kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya itu, Bisikan Rindu, ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik pula ditulis oleh Sulu Sarawak.

Walaupun tidak berjaya melangkah ke final OIAM kerana tersingkir di pusingan kedua, namun atas rezeki dan bakat Han, dia sudahpun menjadi artis di bawah naungan syarikat rakaman Metadome, malah sebelum penyertaannya dalam OIAM lagi.

"Mungkin setakat itu rezeki saya. Sebelum OIAM saya sering menyertai pelbagai pertandingan nyanyian," katanya yang pernah terpilih sebagai peserta akhir Bintang Kecil Kebangsaan ketika berusia 11 tahun dan pemenang tempat ketiga pertandingan suara Emas Bintang RTM 2007.

Bermula dengan pertandingan nyanyian, Han kemudiannya sering diundang menyanyi.

Rezeki buat Han terus mencurah sebelum menyertai OIAM apabila dia ditawarkan kontrak sebagai srtis dengan syarikat rakaman Metadome sejak Disember 2008.

Menurut penyanyi kelahiran Labuan, Sabah ini, dia cukup gembira apabila single terbarunya dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Na-O-Mei.

Han menganggap ia sebagai langkah promosi yang baik apabila lagunya terpilih kerana slot drama bersiri itu memang digemari ramai.

Langkah Han tidak terhenti di situ sahaja apabila dia bakal hadir dengan sebuah lagi single ciptaan Mohariz Yaakob, Mungkin Ada Lagi.

Ujarnya, Mungkin Ada Lagi masih belum siap sepenuhnya kerana liriknya sering ditukar oleh penciptanya.

"Buat masa ini sudah tiga kali ia dirombak dan mungkin selepas ini akan ditukar lagi liriknya sehinggalah pencipta lagu ini berpuas hati.

"Apa-apapun saya tidak sabar menunggu lagu ini disiapkan kerana lagu berirama balada memang kena dengan jiwa saya.

"Ramai yang cakap saya tidak sesuai dengan irama balada dan lebih sesuai dengan konsep R&B namun itu semua pendapat masing-masing tetapi saya tetap menggilai irama balada," ujarnya yang pernah hadir dengan single berjudul Kau Takkan Tahu pada tahun 2008 ciptaan Helen Yap.

Pada masa yang sama, Han menerima hakikat lambakan penyanyi lewat kebelakangan ini sebagai persaingan untuk terus bertahan dalam industri muzik..

Harapannya agar orang ramai dapat melihat bakatnya dan menerima baik kehadirannya dalam industri ini.

"Masing-masing ada kelebihan mereka dan saya berharap orang ramai perasan kehadiran saya yang benar-benar serius dalam bidang nyanyian.

"Soal mencuba cabang seni lain agar terus dikenali saya letak ke tepi dahulu kerana saya ingin fokus pada bidang nyanyian agar orang kenal saya sebagai seorang penyanyi yang berbakat," ujarnya lagi.

Selasa, 9 Februari 2010

Pengalaman Fairuz arah Na-O-Mei dalam laut (Utusan Malaysia)


BARISAN pelakon yang membintangi drama bersiri Na-O-Mei pada sidang akhbar baru-baru ini.


PENGIKUT slot Akasia di TV3 mungkin masih merasai kesedihan watak utama dalam drama bersiri Cinta Balqis yang sudah menemui penghujungnya akhir Januari lalu.

Kini, satu lagi drama bersiri bertajuk Na-O-Mei yang sedang rancak disiarkan menggantikan Cinta Balqis akan turut mengundang pelbagai emosi kepada mereka yang mengikutinya.

Bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang, drama 44 episod yang diterbitkan oleh Grand Brilliance, Primeworks Studios ini mengisahkan pengorbanan Na-O-Mei dalam menuntut cinta sejati.

Na-O-Mei, seorang gadis dari Thailand yang datang ke Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah lalu jatuh cinta dan berkahwin secara senyap dengan anak tuan rumah itu, Azhar.

Na-O-Mei dan Azhar berpisah apabila Azhar menyambung pelajarannya ke luar negara dan Na-O-Mei dihalau dari rumah itu apabila hamil. Paling menyedihkan, tuan rumahnya menyangka dia mengandung anak luar nikah.

Na-O-Mei yang kini menggunakan nama Islamnya, Aishah, menamakan anak perempuannya Na-O-Mei juga dengan harapan suatu hari nanti suaminya akan berjumpa dengan mereka kembali.

Selang masa berlalu, apabila Na-O-Mei dewasa, pertemuan dengan dengan Azhar terjadi dan beberapa tragedi berlaku.

Drama air mata ini membariskan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Puteri Sarah, Elly Mazlein, Ady Putra, Iqram Dinzly, Nabila Huda, Raja Farah, Ryzal Jaafar, Jasmin Hamid, Zafrul, Anne Abdullah, Rozie Othman, Anne Ngasri, Fauzi Nawawi, Syed Ali dan ramai lagi.

Menariknya drama bersiri yang menjalani penggambaran selama empat bulan ini turut diadakan di dasar laut.

Menurut pengarahnya, Fairuz Loy, dia turut sama menyelam ke dasar laut di Pulau Perhentian bersama-sama pelakonnya untuk mengarahkan babak ketika di dalam laut.

"Mengarah di dalam laut bukan perkara mudah kerana kita susah untuk berinteraksi dengan para pelakon melalui bahasa isyarat sahaja.

"Sebelum kami masuk ke laut, saya akan memberi penerangan terlebih dahulu kepada pelakon yang terlibat dan sentiasa memastikan keselamatan mereka ketika berada di dasar laut.

"Tujuan saya menonjolkan lokasi di dasar laut ialah untuk mempelbagaikan lagi drama di negara kita kerana sebenarnya kebanyakan drama plotnya hampir serupa, hanya jalan cerita yang berbeza," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Fairuz yang turut meminati aktiviti menyelam sejak dari dahulu lagi berkata, penggambaran yang diadakan di Pulau Perhentian, Terengganu, juga bertujuan mempromosikan keindahan pulau-pulau di Malaysia.

Elly sanggup mengambil lesen menyelam

Watak utama drama bersiri Na-O-Mei, Elly Mazlein, tidak pernah menyelam ke dasar laut sebelum ini, apatah lagi memiliki lesen menyelam.

Apabila ditawarkan watak Na-O-Mei, tanpa berfikir panjang, dia terus bersetuju kerana sejak dulu dia memang teringin sangat menyelam.

"Ada sekali ketika kami sedang menjalani penggambaran, kami dapat melihat beberapa ekor ikan yu dan saya amat teruja.

"Selepas ini saya akan teruskan aktiviti menyelam bila ada kelapangan kerana ia menyeronokkan dan semua masalah hilang apabila masuk ke dalam laut," cerita Elly penuh gembira.

Menurut Elly, wataknya kali ini berbeza dengan kebanyakan watak lakonannya sebelum ini yang sering teraniaya kerana Na-O-Mei adalah seorang wanita lembut tetapi tegas.

Katanya, watak Na-O-Mei kurang memerlukannya menangis walaupun hidupnya menyedihkan kerana terpisah dengan keluarga sejak dari kecil lagi.

Nabila menyelam walau mengandung

Taktala mula menjalani pengambaran Na-O-Mei, Nabila Huda, anak kepada Amy Search ini sudahpun mengandung satu setengah bulan.

Namun, atas komitmen kerana telah bersetuju untuk berlakon dalam drama ini tiga bulan sebelum dia disahkan mengandung, Nabila meneruskan penggambaran dan turut menyelam bersama pelakon-pelakon lain.

"Saya merujuk dengan doktor dan dia membenarkan asalkan saya yakin dan tidak menyelam lebih dari 10 meter ke dasar laut.

"Pada mulanya kesemua krew risau dengan keadaan saya namun saya bertegas untuk meneruskannya kerana saya memang teruja sangat untuk membawa watak Camelia itu,'' ujarnya yang memang sudah memiliki lesen menyelam sebelum ini.

Nabila yang kini mengandung lima bulan berkata, ada beberapa babak kontinya lari kerana mukanya sekejap kelihatan kurus dan tembam disebabkan mengandung.

Kisah Na-O-Mei teraniaya

Na-O-Mei sebenarnya adalah nama seorang gadis Thai yang datang ke Malaysia dan bekerja sebagai pembantu rumah kepada sepasang suami isteri yang mempunyai anak teruna bernama Azhar.

Na-O-Mei tertarik dengan gaya hidup keluarga Azhar yang sering beribadah bersama dan hidup penuh harmoni, sehingga menarik hatinya untuk memeluk agama Islam.

Naluri hati remaja seperti Na-O-Mei dan Azhar, mereka akhirnya jatuh cinta dan berkahwin secara rahsia.

Namun Na-O-Mei terpaksa berpisah dengan Azhar yang melanjutkan pelajaran ke Australia sementara Na-O-Mei yang mengandung disangka membuat onar dihalau dari rumah majikannya.

Na-O-Mei atau nama Islamnya kini Aishah, tabah menjalani hidup sendirian untuk menyara dirinya dan bayi dalam kandungan, sehinggalah saat dia melahirkan bayinya seorang diri di sebuah rumah kosong.

Aishah menamakan anaknya Na-O-Mei juga, dengan harapan Azhar dapat bertemu dengan anak mereka dan menyatukan kembali kasih sayang mereka.

Aishah terpaksa berpisah dengan anaknya demi mencari rezeki dan kerana dia tidak mahu mereka yang irihati dengannya menemui anaknya, Na-O-Mei.

Beberapa tahun kemudian, takdir telah menemukan dua orang penyelam iaitu Na-O-Mei dan Reza dan cinta mula berputik antara mereka.

Taktala itu juga Aishah bertemu semula dengan Azhar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap