Kawan-kawan

Isnin, 15 Februari 2010

Han popular kerana Na-O-Mei (Utusan Malaysia)


HAN atau nama sebenarnya Rehana Mohd Yunus.


BAGI yang mengikuti drama air mata di slot Akasia, Na-O-Mei yang disiarkan di TV3, pasti akan tangkap syahdu dengan lagu temanya, Bisikan Rindu.

Berkumandang setiap hari Isnin hingga Khamis di TV3 pada pukul 6.30 petang malah sudah sering diputarkan di corong-corong radio, lagu ini semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Tetapi ramai yang tak sedari pemilik suara lunak yang mengalunkan lagu itu rupanya merupakan salah seorang peserta One In A Million 3 (OIAM) bernama Han.

Han atau nama sebenarnya Rehana Mohd Yunus kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya itu, Bisikan Rindu, ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik pula ditulis oleh Sulu Sarawak.

Walaupun tidak berjaya melangkah ke final OIAM kerana tersingkir di pusingan kedua, namun atas rezeki dan bakat Han, dia sudahpun menjadi artis di bawah naungan syarikat rakaman Metadome, malah sebelum penyertaannya dalam OIAM lagi.

"Mungkin setakat itu rezeki saya. Sebelum OIAM saya sering menyertai pelbagai pertandingan nyanyian," katanya yang pernah terpilih sebagai peserta akhir Bintang Kecil Kebangsaan ketika berusia 11 tahun dan pemenang tempat ketiga pertandingan suara Emas Bintang RTM 2007.

Bermula dengan pertandingan nyanyian, Han kemudiannya sering diundang menyanyi.

Rezeki buat Han terus mencurah sebelum menyertai OIAM apabila dia ditawarkan kontrak sebagai srtis dengan syarikat rakaman Metadome sejak Disember 2008.

Menurut penyanyi kelahiran Labuan, Sabah ini, dia cukup gembira apabila single terbarunya dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Na-O-Mei.

Han menganggap ia sebagai langkah promosi yang baik apabila lagunya terpilih kerana slot drama bersiri itu memang digemari ramai.

Langkah Han tidak terhenti di situ sahaja apabila dia bakal hadir dengan sebuah lagi single ciptaan Mohariz Yaakob, Mungkin Ada Lagi.

Ujarnya, Mungkin Ada Lagi masih belum siap sepenuhnya kerana liriknya sering ditukar oleh penciptanya.

"Buat masa ini sudah tiga kali ia dirombak dan mungkin selepas ini akan ditukar lagi liriknya sehinggalah pencipta lagu ini berpuas hati.

"Apa-apapun saya tidak sabar menunggu lagu ini disiapkan kerana lagu berirama balada memang kena dengan jiwa saya.

"Ramai yang cakap saya tidak sesuai dengan irama balada dan lebih sesuai dengan konsep R&B namun itu semua pendapat masing-masing tetapi saya tetap menggilai irama balada," ujarnya yang pernah hadir dengan single berjudul Kau Takkan Tahu pada tahun 2008 ciptaan Helen Yap.

Pada masa yang sama, Han menerima hakikat lambakan penyanyi lewat kebelakangan ini sebagai persaingan untuk terus bertahan dalam industri muzik..

Harapannya agar orang ramai dapat melihat bakatnya dan menerima baik kehadirannya dalam industri ini.

"Masing-masing ada kelebihan mereka dan saya berharap orang ramai perasan kehadiran saya yang benar-benar serius dalam bidang nyanyian.

"Soal mencuba cabang seni lain agar terus dikenali saya letak ke tepi dahulu kerana saya ingin fokus pada bidang nyanyian agar orang kenal saya sebagai seorang penyanyi yang berbakat," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap