Kawan-kawan

Memaparkan catatan dengan label Transformers: Dark Of The Moon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Transformers: Dark Of The Moon. Papar semua catatan

Sabtu, 14 April 2012

Hitler punca Fox tak bintangi ‘Transformers’


2011/06/22

Aktres seksi samakan pengarah Michael Bay dengan pemimpin Nazi

LONDON: Pengarah terkemuka Hollywood, Steven Spielberg dilaporkan meminta aktres seksi, Megan Fox digugurkan daripada filem Transformers: Dark of the Moon kerana menghina pengarah, Michael Bay.

Spielberg yang turut terbabit dalam pembikinan filem berkenaan dilaporkan marah apabila aktres itu dalam satu temubual menyamakan Bay dengan Adolf Hitler di set penggambaran, lapor berita web.
“Pecat Fox sekarang,” kata Spielberg menyebabkan aktres berusia 25 tahun itu digantikan oleh model British yang juga aktres, Rosie Huntington-Whiteley.
Filem ‘Transformers’ terbabit bakal ditayangkan pada 4 Julai ini. Spielberg adalah pengarah eksekutif filem itu.

Fox sebelum ini berkata bahawa beliau meninggalkan siri Transformers itu kerana mahu mengejar peluang berlakon lain.

Bay mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam temubual dengan majalah GQ bagi edisi Julai.

Semuanya bermula apabila Fox dalam temubual dengan majalah Wonderland Magazine di London sebelum penggambaran filem berkenaan bermula, berkata:
“Bay mahu jadi seperti Hitler di set dan beliau sememangnya demikian. Beliau adalah satu mimpi buruk apabila bekerja tetapi apabila beliau di luar set dan tidak menjadi pengarah, saya amat suka personalitinya. Cuma, beliau langsung tidak mempunyai kemahiran bersosial,” kata Fox.

Walaupun Bay selepas itu dikatakan tidak mengambil kisah komen Hitler itu tetapi pendedahan berkenaan akhirnya menjejaskan segala-galanya mengapa Fox tidak beraksi dalam filem terbaru Transformers.

Aktor Shia LaBeouf yang turut berlakon bersama Fox memberitahu GQ: “Dia memburuk-burukkan kapten. Sepatutnya anda tidak boleh berbuat demikian.”

Itu bukanlah kali pertama Fox berperang mulut dengan pengarahnya. Malah, pada 2009 juga Fox memberitahu Entertainment Weekly bahawa ‘bekerja dengan Bay bukanlah satu pengalaman berlakon.”

Selepas itu, Bay bertindak membalas ulasan Fox. “Beliau mengatakan perkara yang mencemuhkan kerana beliau berusia 23 tahun dan masih banyak perlu belajar,” kata Bay kepada Wall Street Journal.

Bay turut menyenaraikan beberapa pelakon yang mencipta nama dengan bantuan beliau antaranya termasuk Ben Affleck, Will Smith dan Nicolas Cage.

“Tiada sesiapa di dunia mengenali Megan Fox sehingga saya menemuinya dan mengambilnya untuk Transformers. Saya rasa saya mempunyai tuah dengan membina karier pelakon menerusi filem arahan saya,” katanya. – Agensi

--- BERITA HARIAN

Autobots, Deceptions bertempur lagi

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/07/02

pix_gal0

MELIHAT sedutan promo Transformers: Dark of The Moon memang cukup mengagumkan. Sedutan yang disiarkan sekitar tiga minit itu sarat aksi cukup mendebarkan disertakan adunan kesan bunyi padat membuatkan terasa terpaku. Menonton Transformers umpama satu kisah dua gajah sedang bergaduh, sang kancil pula menjadi korbannya.

Simboliknya mengangkat cerita apabila dua kuasa besar sedang asyik berkelahi, yang jadi mangsa adalah mereka tidak bersalah.

Sama seperti Transformers pertama disusuli Transformers: Revenge of The Fallen, versi Transformers: Dark of The Moon juga tidak banyak bezanya. Kisah dua robot gergasi bertarung untuk menunjukkan siapa lebih berkuasa.

Dalam episod Dark of The Moon, robot Ark yang terbenam di bulan bangkit sekali lagi bersama konconya untuk menyerang dan memusnahkan Bumi. Perjalanan filem ini lebih kepada kebangkitan ketua Autobots, Sentinel Prime yang dianggap berkuasa dalam membangunkan semula Cybertron yang musnah selepas pertempuran antara Autobots dan Decepticons.

Permulaan cerita yang menarik dengan mengimbau kembali kemusnahan Cybertron pada 1960 yang menyebabkan Sentinel bertindak melarikan diri bersama beratus-ratus teras dengan kapal angkasa, Ark bagi membangunkan semula Cybertron. Namun, Ark berjaya dimusnahkan Decepticons lalu terhempas di bulan. Ini menyebabkan kapal angkasa Apollo 11 yang membawa manusia pertama mendarat di bulan bagi menyiasat perkara terbabit turut menghadapi masalah.

Perjalanan cerita di babak kehidupan terkini Sam Witwicky lakonan Shia LaBeouf bersama kekasih barunya, Carly Spencer (Rosie Huntington-Whiteley) sedikit membosankan dengan jalan cerita yang terlalu meleret. Namun, agak mencuit hati watak Mikaela Banes lakonan Megan Fox dimatikan dengan mengaitkan hubungan percintaan Sam dan Mikaela putus begitu saja, malah lakonan Rosie Huntington-Whiteley dilihat tidak dapat menandingi lakonan Megan yang jauh lebih menyerlah.

Walaupun 45 minit permulaan jalan ceritanya agak mengecewakan, tetapi kemunculan Autobots dalam beberapa babak sedikit menutup kelemahan jalan cerita itu. Filem yang menelan belanja lebih RM500 juta ini memaparkan latar belakang di bandar, berbanding filem kedua Michael yang memfokuskan pertempuran antara Autobots dan Decepticons di Mesir.

Babak kemuncak filem yang turut dibintangi Josh Duhamel, John Turturro, Tyrese Gibson, Patrick Dempsey, Kevin Dunn, Julie White, John Malkovich dan Frances McDormand ini mungkin mengujakan dengan aksi kebangkitan Decepticons dan Megatron. Sentinel yang bersekutu dengan Megatron bagi menjadikan bumi terutama bandaraya Chicago sebagai pusat untuk menyatukan beratus-ratus teras untuk membangunkan semula Cybertron penuh dengan aksi pertempuran antara Decepticons dan Autobots.

Apapun, filem terbitan Steven Spielberg ini tetap berada dalam kelasnya tersendiri dalam penghasilan filem menggunakan CGI meskipun penceritaannya kurang menarik. Ia turut diperkuatkan penataan muzik yang cukup berkesan daripada Steve Jablonsky. Dia yang bergabung dengan pengarah filem ini, Michael Bay dan Hans Zimmer, pastinya tidak ada masalah untuk menghasilkan kesan bunyi dan muzik yang mantap. Ini kerana Jablonsky sudah terbabit, malahan bekerja bersama Bay sejak Transfomers episod pertama pada 2005 dan Transformers: Revenge of the Fallen.

--- BERITA HARIAN

Ahad, 3 Julai 2011

Transformers: Dark Of The Moon

FILEM: Cetusan hebat

FILEM yang menjadi bualan ini sepatutnya meninggalkan impak sebaik layar mula dibuka. Namun selepas setengah jam tayangan bermula, bagai ada yang tidak kena dengan peletakan plot, perkembangan watak dan babak pada filem yang dikategorikan ‘A’ dalam kelasnya tersendiri.

Bagi penulis, mungkin berpunca daripada hidangan unsur drama yang boleh dikatakan berlebihan. Sama ada ia membosankan, terpulang kepada anda untuk menilainya.

Selebihnya watak sampingan yang dilihat menjurus kepada filem aksi komedi berbanding genre berat yang boleh meruntun jiwa. Gabungan drama dan komedi berlebihan ini menyebabkan plot berkembang pada takat tertentu yang kurang menjadi.

Penampilan sulung Rosie Huntington-Whiteley sebagai Carly menggantikan aktres asal, Megan Fox turut dilihat ‘lebih sudu daripada kuah’. Masakan tidak, kehadirannya lebih kepada penyeri simbol seksi jelita yang perlu ada dalam filem aksi — sangat klise.

Bersandarkan slanga Inggeris seksi, susuk tubuh menggiurkan dan bibir munggil; Rosie gagal menyempurnakan watak Carly melalui cetusan rasa yang ‘kosong’ dan wajah ‘kering’. Bukan niat untuk membezakan Megan dan Rosie, tapi ia begitu terserlah.

Shia LaBeouf sebagai Sam Witwicky masih seperti dulu. Anak emak, cemerkap dan dipandang remeh sesetengah pihak. Seolah-olah watak Sam sejak tiga siri Transformers lalu tidak berkembang. Satu-satunya pembaharuan yang dilihat ialah memiliki ‘awek’ baru dan mendapat kerja sebagai budak pejabat selepas tamat kolej.

Sebaik melepasi 45 minit tayangan, baru penulis tidak senang duduk. Elemen aksi dan drama lebih sadis mula keluar daripada kepompong simpanan. Apatah lagi apabila babak perang mengambil tempat di tengah bandar raya Chicago.

Cuma tatkala beberapa babak perang dan skor muzik mula ke udara, penulis dibayangi filem Skyline dan War of The Worlds. Penonton yang pernah menonton dua filem itu pasti bersetuju, terutama pada fizikal kapal angkasa Cybertrons dan modus operandi pihak Decepticons menyerang bumi.

Biarpun wujud beberapa lopong tertentu, penulis tetap kagum pada sinematografi, teknik imej janaan komputer (CGI), pemilihan lokasi penggambaran dan hubung kaitan senario sejarah dunia.

Pengarah fotografi bijak memilih sudut untuk memenuhi rangka visual paparan. Seolah-olah penonton turut dibawa kepada situasi genting yang berlaku saat itu.

Ditambah pula dengan teknik CGI yang lebih bersih dan segar, puak robot Autobots dan Decepticons berjaya dinaikkan taraf kepada imej janaan sebenar.

Penulis turut kagum pada pemilihan lokasi bandar raya sebagai medan peperangan. Dengan kehadiran ratusan pelakon pembantu yang berjaya mencetuskan emosi sedih dan takut, babak itu boleh dikatakan terbaik berbanding dua siri Transformers lalu.

Malah, pengarah dan penulis lakon layar memulihkan keadaan bosan ‘seketika’ dengan menyelitkan paparan sejarah perlumbaan angkasa antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia satu ketika dulu, selain peristiwa besar lain dalam sejarah seperti tragedi Chernobyl angkara teknologi angkasa lepas yang tidak diketahui.

Bunyi mungkin pelik, tapi unsur kagum melalui tambahan unsur karut dalam sebuah sejarah sudah lama dilakukan pihak Barat. Pun begitu, penulis yakin penonton bijak menilai yang mana betul dan salah.

Transformers: Dark of The Moon mengambil senario selepas Cybertrons musnah diserang Decepticons yang mahu memusnahkan Autobots.

Biarpun beberapa puak Autobots diketuai Optimus Prime berjaya berlindung di bumi, mereka kini berdepan pakatan sulit pihak Decepticons yang mahu menghidupkan Cybertrons dengan bantuan pahlawan ulung Autobots yang berpaling tadah, Sentinel Prime.


DATA

FILEM: Transformers: Dark Of The Moon
ARAHAN: Michael Bay
PELAKON: Shia LaBeouf, John Turturro, Josh Duhamel, Tyrese Gibson, Rosie Huntington-Whiteley dan Patrick Dempsey
GENRE: Sains Fiksyen
TAYANGAN: 29 Jun 2011
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

----- Harian Metro Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap