Kawan-kawan

Selasa, 23 Februari 2010

Pengalaman tiga pelakon Niyang Rapik (Utusan Malaysia)


ZED, Liyana dan Shaheizy merupakan antara pelakon yang menjayakan filem Niyang Rapik.


BAKAL ditayangkan 25 Februari ini, filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul Niyang Rapik bakal menambahkan lagi koleksi cerita seram yang dilahirkan penggiat filem tanah air itu.

Mengambil latar Tasik Kenyir, Terengganu sebagai antara lokasi penggambaran, Niyang Rapik merupakan filem yang diadaptasi daripada siri televisyen, Puaka Niyang Rapik.

Mengetengahkan cerita lima sahabat yang datang ke Kampung Niyang Rapik untuk menjalankan kajian sejarah, pelbagai kejadian ngeri menghantui mereka sejurus meninggalkan kampung tersebut.

Cerita bermula apabila mereka dikejutkan dengan kematian Zack, lakonan Fizz Fairuz, secara misteri. Kematian Zack benar-benar memeranjatkan empat rakan karibnya iaitu Helmi (Kamal Adli), Saiful (Zed Zaidi), Zizan (Shaheizy Sam) dan Amir (Awal Ashaari).

Setelah diselidik, mereka berempat mendapati Zack telah mengambil sebilah kerambit lama dari kampung berkenaan. Namun, ia bukanlah punca sebenar mengapa mereka terus 'diganggu' walaupun barang tersebut telah dikembalikan.

Selain Fizz, Kamal, Zed, Shaheizy dan Awal, Niyang Rapik turut dibintangi satu-satunya pelakon wanita utama iaitu Liyana Jasmay.

Membawakan watak sebagai Laila, Liyana berkata, ia merupakan watak yang tidak memerlukannya memberikan banyak ekspresi dan emosi.

Ini kerana, Laila dalam Niyang Rapik muncul sebagai roh.

"Tidak sukar membawakan watak Laila kerana mood untuk berlakon banyak dibantu oleh persekitaran.

"Tetapi saya rasa cukup mencabar ketika berada di atas rumah bot di Tasik Kenyir dalam jangka masa yang panjang. Bayangkan dalam bot yang serba kekurangan,tiada bekalan elektrik dan keperluan asas yang lain," cerita Liyana mengenai pengalamannya berlakon dalam Niyang Rapik ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini.

Artis kecil molek itu memberitahu, menerusi Niyang Rapik, dia merasa bertuah kerana buat pertama kali dapat bekerja bersama wajah-wajah yang baru dalam kariernya.

Mereka terdiri daripada Ahmad Idham, Awal, Zed dan Shaheizy.

Biarpun baru, dia dapat menyesuaikan diri dengan mudah.

"Dengan Fizz Fairuz dan Kamal, sebelum ini kami pernah berlakon bersama. Saya anggap mereka seperti adik beradik saya sendiri.

"Bersama Awal, Zed dan Shaheizy pula, masing-masing sudah tahu apa yang hendak dilakukan ketika bekerja.

"Ahmad Idham pula seorang yang amat serius di tempat kerja,'' ujar Liyana.

Pengalaman membawa bot - Zed Zaidi

Berlainan pula dengan Zed Zaidi. Sepanjang 10 hari penggambaran di Tasik Kenyir, satu perkara yang sukar dilupakan adalah apabila dia perlu mengemudi bot.

"Memang dalam cerita Niyang Rapik, saya perlu kemudi bot. Ia cukup mencabar kerana di dalam tasik masih terdapat kayu-kayu.

"Ada sebuah bot yang dibawa oleh orang lain telah bocor akibat terlanggar kayu. Ia membuatkan saya bimbang.

"Lagipun, ini kali pertama saya berada di Tasik Kenyir,'' katanya membuka bicara mengenai filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd., syarikat milik Ahmad Idham itu.

Melahirkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang perkara buruk sepanjang tempoh penggambaran, Zed berkata, hari pertama penggambaran iaitu 27 Jun tahun lalu merupakan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-29.

"Meskipun pertama kali berada di Tasik Kenyir, saya memang sudah ada pengalaman mengikuti aktiviti lasak termasuk berkhemah di hutan.

"Sebab itu, apabila diminta tinggal di atas rumah bot, saya tidak menghadapi masalah,'' jelasnya sambil berkata dia pernah terlihat gajah ketika berada di dalam hutan di sekitar Tasik Kenyir.

Shaheizy makin laku

Bagi Shaheizy pula, kalau bercakap tentang karier lakonan, dia merupakan antara pelakon yang semakin mendapat perhatian ramai ketika ini.

Filem Adnan Semp-It terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) yang dikatakan sudah mencapai kutipan lebih RM7 juta seakan menjadi pemacu kepada popularitinya.

Begitu juga dengan kekuatan wataknya saat berlakon dalam beberapa filem lain terutama Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam yang turut menaikkan namanya.

"Selepas ini saya akan muncul dengan beberapa filem seperti Evolusi KL Drift 2 dan Ngangkung. Saya juga akan terlibat dengan Adnan Semp-It yang dihasilkan untuk drama bersiri pula,'' katanya.

Tentang pengalaman berlakon dalam Niyang Rapik, Shaheizy menjelaskan pada mulanya, dia mengalami kesukaran ketika berada di Tasik Kenyir.

"Saya memang tidak biasa dengan adventure. Tetapi, lama-kelamaan, segalanya cukup menyeronokkan.

"Biarpun pertama kali jumpa di lokasi penggambaran dengan Kamal, Zed dan Liyana saya tidak punyai masalah untuk rapat dengan mereka,'' ujar Shaheizy yang tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap filem tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap