Kawan-kawan

Khamis, 25 Februari 2010

Akhirnya Puteri Sarah jumpa media (Utusan Malaysia)


SALAH satu adegan yang dipaparkan menerusi drama Asmaradana.


PADA 2 Februari lalu, kebanyakan wakil media yang hadir di majlis pratonton filem terbaru lakonan Puteri Sarah dan Nabil (Raja Lawak) berjudul Lu Pikirlah Sendiri De Movie tentunya mahu melihat sejauh mana keupayaan dua pelakon itu mengemudi filem tersebut.

Ini kerana, filem arahan Aminah Rhapor itu merupakan penampilan pertama dua pelakon terbabit sebagai pelakon utama sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Namun, cerita Lu Pikirlah Sendiri De Movie atau gaya lakonan para pelakonnya kurang diperkatakan wartawan yang membuat liputan, sebaliknya 'kisah di belakang tabir' majlis itu yang membabitkan Puteri Sarah dan kekasihnya, Ammar pula yang menjadi tumpuan.

Pada acara itu, berlaku suatu insiden membabitkan Ammar dan jurugambar Utusan Malaysia, Rashid Mahfof serta Puteri Sarah yang mahu mengaturkan sesi fotografi dengan pasangan yang sedang hangat bercinta itu di luar pawagam.

Sayangnya, Ammar tidak bersetuju dengan cadangan itu dan sebelum berakhirnya pratonton Lu Pikirlah Sendiri De Movie itu, pasangan itu seolah-olah menghilangkan diri sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan wakil-wakil media.

Selepas lebih dua minggu insiden itu berlaku, Puteri Sarah sukar dihubungi bagi menjelaskan perkara tersebut.

Namun, baru-baru ini, kelibat Puteri Sarah kelihatan pada penggambaran drama bersiri Asmaradana di Ampang, Selangor. Melihat kelibat artis itu, menyebabkan wakil media yang berada di lokasi drama itu menghampirinya.

Pelakon dan model iklan ini menegaskan, dia bukannya melarikan diri daripada wartawan.

Sebaliknya, jadual seninya agak padat dengan penggambaran drama lakonannya berjudul Atillia di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, selain tidak berhasrat memanjangkan lagi insiden tersebut.

"Sekarang ini saya agak sibuk dengan penggambaran drama bersiri Asmaradana. Sebelum itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Atillia. Sampaikan dalam sehari saya berlakon di dua lokasi iaitu di Shah Alam dan Kuala Lumpur.

"Saya tidak sempat untuk menjelaskan tentang insiden yang berlaku itu. Selain itu, saya juga tidak rasa sangat insiden itu berlaku ke atas saya kerana semua ini pasal dia (Ammar). Saya sampaikan tidak ada ruang hendak berfikir.

"Sebabnya kalau saya terlebih fikir ia akan menjejaskan diri saya pula," katanya kepada sekumpulan wartawan di lokasi penggambaran Asmaradana arahan Feroz Kader di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

menyebarkan fitnah

Pada sidang akhbar selama kira-kira 10 minit itu, Puteri Sarah juga diasak dengan pelbagai soalan termasuk kenyataannya melalui laman sesawang sosial Facebook yang menuduh seorang wartawan dari akhbar harian tabloid telah menyebarkan fitnah.

Kenyataan Puteri Sarah dalam laman sosial itu antara lain mendakwa wartawan terbabit mereka cerita bahawa berlaku pertengkaran antaranya dengan Ammar pada majlis pratonton Lu Pikirlah Sendiri De Movie.

Malah, pelakon remaja itu juga mencabar wartawan terbabit menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenaran kata-katanya sehingga ia mencetuskan sedikit insiden bertegang urat apabila wartawan itu turut serta pada sidang akhbar tersebut.

"Setahu saya tidak ada bukti mengatakan saya bergaduh dengan Ammar. Ammar datang pada hari itu kerana dia mahu mendapatkan borang keahlian Seniman (Persatuan Seniman Malaysia) daripada Zed Zaidi yang kebetulan hadir pada majlis itu.

"Saya tulis semua itu di Facebook bukan kerana mahu memburuk-burukkan sesiapa tetapi saya cakap sesuatu yang umum. Saya minta maaf kalau sudah buat salah dengan para wartawan. Semua ini bukan saya yang mulakan tetapi Ammar yang mulakannya dulu," jelasnya memohon pertimbangan media.

Menjelaskan kepada hampir 20 wartawan pada majlis itu kata Puteri Sarah, punca dia meninggalkan majlis pratonton Lu Pikirlah Sendiri De Movie lebih awal kerana terikat dengan penggambaran drama Atillia di Shah Alam pada masa yang sama.

Sementara itu, pengarah Asmaradana, Feroz Kader sewaktu ditemui para wartawan berharap agar cerita-cerita kontroversi yang berlaku di antara Puteri Sarah dan Ammar itu tidak menjejaskan sambutan pada penonton sewaktu ia mula ditayangkan menerusi slot Samarinda pada 9 Mac ini di TV3.

"Tidak dinafikan dengan adanya cerita-cerita yang panas macam inilah para penonton akan lebih mengenali pelakon itu. Tetapi saya yakin penonton sekarang sudah bijak menilai antara kualiti jalan cerita sesebuah drama dan kisah-kisah sensasi yang membabitkan para pelakonnya.

"Memang ada kesan kalau para penonton tidak suka dengan seseorang pelakon itu tetapi saya harap ini tidak berlaku dalam Asmaradana sewaktu ia ditayangkan kelak," komennya.

Selain Puteri Sarah, Asmaradana yang mengandungi 25 episod itu turut dilakonkan oleh ramai pelakon popular antaranya Tiz Zakiah, Shaheizy Sam, Iqram Dinzly, Norish Karman, Rozita Che Wan dan Natasha Hudson.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap