Kawan-kawan

Selasa, 18 Disember 2012

Rosyam tampil wajah baru

 

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Kedua-duanya ‘anak emak’. Hubungan yang rapat antara ibu dan anak membuatkan Zain mahu pun Ersalina sentiasa bersedia mengikut kehendak ibu mereka dengan rela. Walaupun akhirnya perasaan mereka yang akan kecewa dan terluka.

Pun begitu, mampukah bibit cinta yang lahir tak disangka antara mereka bertahan? Perjalanan kisah cinta pasangan ini mampu disaksikan penonton dalam drama Setia Hujung Nyawa di TV3 menerusi slot Akasia mulai 24 Disember ini.

Menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam, drama percintaan remaja yang skripnya turut diadaptasi daripada novel popular ini mempertaruhkan kehebatan pelakon baru yang diberi peluang sebagai teraju utama.

Memuatkan sebanyak 24 episod, drama arahan Amie Maziah ini adalah buah tangan terbaru terbitan produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor. Malah, ia diterajui barisan pelakon berbakat.

Mengetengahkan gandingan lama dan baru dalam drama ini, Rosyam nyata berani.
Selaku penerbit, dia yakin memberi ruang watak utama itu kepada pelakon baru yang rancak membina nama seperti Nelydia Senrose sebagai Ersalina, Amar Ashraf (Zain Hakimi), Talha Harith (Hadi), Sura Sojangi (Sofea) dan Hairul Azreen (Iqram).

Malah, turut memperkuatkan perjalanan cerita ini ialah penampilan Zila Bakarin sebagai Datin Adibah dan kemunculan semula heroin filem era 80-an yang juga penyanyi dikenali ramai menerusi lagu Angan-Angan serta Jejaka Idaman, Raja Ema dengan watak Puan Haliza.

Rosyam yang hadir pada majlis ramah mesra dan sidang media drama itu di Sri Pentas TV3, baru-baru ini, memaklumkan dia sedia memberi ruang kepada pelakon baru untuk memikul tanggungjawab melakonkan watak utama itu bersandarkan penerimaan semasa.

“Seiring dengan perkembangan industri hiburan tempatan kini, saya fikir sudah tiba masanya untuk mereka (pelakon baru) diberi kepercayaan besar menghidupkan jalan cerita yang dimuatkan dalam drama Setia Hujung Nyawa ini.

“Apatah lagi, ia diadaptasi daripada novel remaja. Jadi, pelakon yang membintanginya haruslah yang sesuai dengan usia. Bukan itu saja, mengambil kira penjenamaan terkini TV3 yang kebanyakan drama dipertontonkan adalah popular, maka saya harus akur.

“Selain itu, saya juga mengharapkan pelakon baru ini dapat membuktikan mereka benar-benar berbakat menjadi pelakon pelapis tanah air. Justeru, semestinya mereka perlu menunjukkan kepada saya kesungguhan untuk berjaya,” katanya.

Menurut Rosyam, apapun dia sangat yakin dengan kewibawaan pelakon baru yang diketengahkan dalam Setia Hujung Nyawa itu. Ujarnya, melihatkan komitmen serta sikap serius mereka di set penggambaran, dia pasti pilihan dibuat tepat.

Malah, ujar Rosyam lagi memandangkan drama yang disiarkan TV3 selalu mencatat rating yang baik maka ia satu pendedahan dan tanggungjawab besar kepada barisan pelakon dipilih menjayakan drama Setia Hujung Nyawa. Apapun, realitinya penonton akan terhibur dengan drama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap