Kawan-kawan

Ahad, 16 Disember 2012

Setia Hujung Nyawa ... Satukan cinta Amar Asyraf, Nelydia Senrose

NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA & FOTO : MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI
16 Disember 2012
Amar Asyraf dan Nelydia Senrose
Amar Asyraf dan Nelydia Senrose
SEBELUM ini, mereka tidak pernah bertegur sapa, apatah lagi mengenali antara satu sama lain. Tapi kerana menjaga maruah keluarga, mereka akur untuk disatukan.

Namun, dalam meniti kehidupan rumah tangga dan belajar untuk mencintai antara satu lain, timbul dugaan apabila Ersalina di dapati hamil, biarpun Zain Hakimi tidak pernah menyentuhnya.

Begitulah konflik yang perlu dijayakan Amar Asyaraf sebagai Zain Hakimi dan Nelydia Senrose (Ersalina) yang perlu belajar mencintai antara satu sama lain, demi drama terbaru, Setia Hujung Nyawa.

Menurut Nelydia, drama ini merupakan gandingan pertama kali dia bersama Amar, yang memerlukan mereka untuk bercinta.

"Sangat mudah untuk bekerjasama dengan Amar, namun, watak saya sebagai Ersalina sangat berat dan mencabar kemampuan saya kerana, saya perlu bermain watak yang kelihatan naif pada luaran tetapi sarat dengan emosi dan cerita di dalam dirinya.

"Tapi, saya bertuah kerana mendapat peranan besar dan bekerjasama dengan pengarah seperti Amie Maziah yang banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Begitu juga dengan Amar yang mengakui sangat terharu kerana diberikan peranan utama dan pertama kali menjayakan watak sebagai lelaki korporat dalam drama romantis.

"Zain Hakimi memberi pengalaman baru kepada saya kerana selama ini saya tidak pernah membawakan watak lelaki korporat dan lebih sukar perlu bercinta serta menjayakan babak romantis," katanya.

Amar tak sorok status

Dalam giat mengukir nama di persada seni, Amar tidak menyorok statusnya yang kini sudah bergelar tunangan orang sejak Aidilfitri yang lalu.

Masih merahsiakan identiti tunangnya yang berasal dari Perak itu, Amar berkata, dia tidak gusar akan penerimaan peminat seandainya sudah berumah tangga kelak.

"Saya tahu, ramai yang kata saya baru nak naik dan sebagainya, tapi sudah bergelar tunangan orang. Pada saya ia bukan satu halangan.

"Peminat sekarang tahu menilai bakat. Saya cuma bersikap jujur dengan peminat dan saya masih hadkan untuk bercerita hal peribadi," ujar jejaka berusia 27 tahun ini.

Ditanya tidakkah tunangnya cemburu melihat lakonannya bersama Nelydia dalam drama ini kelak, Amar menjelaskan, tunangnya seorang yang amat memahami dan tidak mudah cemburu.

"Kami sudah berkawan lebih dua tahun dan dia mengenali serta memahami karier saya. Saya percaya dia tidak mudah melatah jika melihat saya menjayakan babak yang romantik," katanya.

Korban rambut

Amar mula dikenali ramai selepas berlakon dalam siri Nilapura dan kini namanya semakin meniti di bibir peminat, menerusi lakonannya dalam drama Dalam Hati Ada Taman, bersama Elfira Loy dan Randy Pangalila, sebelum ini lebih dikenali dengan imej berambut panjang dan kerinting.

Namun, kerana komitmen yang tidak berbelah bahagi dan permintaan pengarah yang mahukan dia tampil dengan imej baru, Amar terpaksa mengorbankan rambutnya itu.

"Saya akui, sebelum ini saya pernah katakan tidak mahu memotong pendek rambut saya dan secara peribadi, saya memang lebih suka berambut panjang dan kerinting.

"Tapi kerana kak Amie mahu saya mengubah imej, jadi saya turutkan saja. Saya harap pengorbanan saya ini berbaloi," katanya.

Nelydia pilih sendiri

Jika Amar sudah bertunang, lain pula dengan pemilik nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen yang lebih selesa hidup bersendirian tanpa kekasih.

Katanya, waktu yang terhad di antara jadual kelas pada setiap hari selain komitmen lakonan membuatkan dirinya tidak mempunyai masa untuk mencari cinta.

"Setiap hari, jadual saya penuh dengan kuliah. Jika cuti semester, saya akan terlibat dengan penggambaran. Jadi tidak ada masa untuk saya berasa sunyi tanpa kekasih.

"Lagipun saya masih muda dan baru menginjak ke usia 18 tahun. Jadi biarlah saya tumpu kepada pelajaran terlebih dahulu," ujarnya sedang menuntut di peringkat ijazah dalam jurusan Psikologi di Kolej Segi.

Belajar vs Berlakon

Menyentuh mengenai kehadirannya yang timbul tenggelam dari arena lakonan, Nelydia berkata, perkara itu tidak menjadi satu masalah kerana dia mahu memberi tumpuan kepada pengajiannya terlebih dahulu.

"Saya tidak kisah jika lambat dikenali kerana apa yang lebih penting pada waktu ini adalah pengajian saya yang kini memasuki semester ketiga.

"Lakonan adalah minat, tapi dalam masa yang sama, saya mahu ada jaminan dalam kehidupan saya kerana saya tidak tahu, sampai bila saya akan terus berada dalam industri ini," jelasnya.

--- SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap