Kawan-kawan

Selasa, 5 Julai 2011

Fouziah Gous bukan ratu air mata

Kehadiran pelakon baru di dalam industri sejak akhir-akhir ini tidak sedikit pun menjejaskan aktres Fouziah Gous di dalam industri.

Malah Fouziah juga semakin mendapat tempat di mata pengarah serta penerbit drama mahupun filem tanah air.

Bagi Fouziah, dia bersyukur kerana masih mendapat tempat dan tawaran silih berganti biarpun dengan kehadiran pelakon baru. Namun sedikit bimbang kerana kebanyakan tawaran diterima tidak banyak beza dengan watak pernah di bawa sebelum ini.

“Buat masa ini tawaran diterima bagi saya agak berat kerana saya perlu bermain dengan emosi kuat. Malah dari drama Trilogi Cinta sehinggalah ke Tahajjud Cinta watak saya sentiasa memerlukan saya menangis.

“Malah ada tawaran dihulurkan pada saya juga memerlukan saya bersiap sedia untuk bermain dengan emosi. Jika dulu saya memang idam-idamkan watak sebegini tapi kini saya mula bimbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Walaupun bimbang, Fouziah menjelaskan pengarah dan penonton lebih gemar dia membawakan watak yang sebegitu.

“Dulu ketika saya banyak membawakan watak komedi, peminat meminta saya membawa watak lebih serius, tapi kini peminat mahu saya membawakan watak lain pula,” katanya.

Namun meskipun kebanyakan drama memerlukan dia menangis, pembawaan dari segi watak dan perwatakan jauh berbeza.

“Bagi drama Trilogi Cinta watak saya adalah gadis kampung, sedikit kebudak-budakan dan hanya belajar setakat sekolah menengah. Tetapi di dalam Tahajjud Cinta saya adalah seorang wanita berpendidikan di luar negara namun terperangkap dalam perkahwinan yang bukan kehendaknya.

“Malah dalam Tahajjud Cinta saya banyak bermain dengan emosi melalui mata kerana saya berpurdah dan ia memberi cabaran besar buat saya,” katanya.



Cabaran

Tahajjud Cinta



Bercerita mengenai drama terbarunya ini Fouziah berkata pelbagai cabaran harus dilalui kerana dia perlu bermain dengan emosi dan berpurdah.

“Saya akui agak penat dan tertekan sepanjang membawa watak Seri yang tertekan kerana perjuangan tidak kesampaian dan dipaksa berkahwin dengan ayah kekasihnya.

“Selain itu saya perlu banyak menghafaz surah-surah dan bercakap bahasa Arab yang tidak pernah saya lalui sebelum ini.

“Malah ada kala masanya saya agak tertekan kerana berganding dengan pelakon berbakat besar seperti Eman Manan dan pengarah Erma Fatima membuatkan saya sentiasa memastikan saya akan berlakon sebaik mungkin agar tidak menyusahkan pasangan saya iaitu abang Eman,” katanya.

Tahajjud Cinta berkisar pada isu pengorbanan dan perjuangan wanita dalam menegakkan kebenaran, hak dan reputasi mereka.

Ia memaparkan kisah dua wanita iaitu Citra Maisara lakonan Nur Fazura dan Seri (Fouziah Gous) berasal daripada dua latar belakang berbeza. Perjalanan hidup mereka dihujani pelbagai dugaan dan cabaran dalam memperjuangkan hak-hak sebagai seorang wanita.

Drama sebanyak 13 episod ini turut membariskan Fazura, Fouziah Gous, Eman Manan, Remy Ishak, Shahz Jaszle, Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin dan Neelofa.

Turut berlakon Norish Karman, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Fazreen, Heryanto, Fadhilah Mansor dan Melissa Saila.

Drama terbitan syarikat produksi Rumah Karya Citra ini mula ditayangkan pada 8 Julai ini, pada setiap Jumaat pukul 9 malam dalam slot Zehra di TV3.



Idamkan watak mencabar



Di sebalik kelembutan wajahnya, Fouziah mengakui kini berharap dapat membawa watak aksi dan memerlukan beliau banyak berlawan.

“Impian saya untuk membawa watak beremosi dan fizikal telah tertunai dalam filem Rasuk.

“Tetapi saya tidak mahu membawakan watak seperti adiwira semata-mata, saya mahu watak lasak dan perlu berlawan. Kalau dapat peluang seperti itu, saya akan pastikan memasuki kelas pertahanan diri sebagai persediaan,” katanya.

Dia berkata, dalam dunia hiburan mencabar ini, pengarah lebih memilih pelakon versatil untuk mendukung watak dan bukannya memilih kecantikan semata-mata.

----- Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap