Kawan-kawan

Khamis, 17 Januari 2013

'Botak' Juvana kembali!

NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
Foto: SAFWAN MANSOR

17 Januari 2013
Johan Asa’ri
Johan Asa’ri memengang watak Botak dalam Juvana
 
Juvana
Barisan pelakon Juvana
 
Dek sambutan menggalakkan sehingga berjaya mencipta rating tinggi pada episod akhir dan pernah dinobatkan sebagai Drama Rantaian TV Terbaik di Anugerah Skrin 2011, drama bersiri popular, Juvana akan menemui peminat di pawagam 24 Januari ini.
Apatah lagi, perjalanan Botak dan rakan-rakannya dalam drama bersiri meninggalkan persoalan kepada peminat mengenai apa yang terjadi kepada mereka selepas sekolah juvana mereka, Wira Bakti ditutup.

Justeru, bagi menjawab segala persoalan yang berlegar di minda, Juita Viden Sdn Bhd dan Filmscape Sdn Bhd mengambil inisiatif menghasilkan filem Juvana yang akan memperjelaskan perjalanan Botak dan rakan-rakannya.

"Ramai bertanya kepada saya, apakah terjadi kepada Botak dan yang lain-lain selepas Wira Bakti ditutup. Jadi atas permintaan ramai, saya setuju hasilkan filem Juvana yang akan menjawab segala persoalan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem sulungnya ini, Faizal berkata, cabaran utama menghasilkan filem ini adalah untuk beri kepuasan kepada penonton dengan mengekalkan watak yang telah mendapat tempat di hati peminat.

"Bagi memastikan setiap penonton puas hati dengan perjalanan watak di dalam filem ini, saya perlu pastikan skrip filem ini cukup kuat untuk menceritakan mengenai pelajar Wira Bakti di tempat baru dan juga kehidupan Daim setelah dibebaskan.

"Oleh itu, saya turut wujudkan watak-watak baru seperti Lan Todak lakonan Sharnaaz Ahmad. Selain itu, saya turut pinjam dua watak dari filem Nur Kasih iaitu Jamal lakonan Syafie Naswip dan Julia, lakonan Sara Ali.

"Tidak ketinggalan, saya wujudkan watak Tuan Adli lakonan Adlin Aman Ramlie dan Sara, lakonan Shera Aiyob yang menjadi kekasih Daim," ujarnya.

Babak ganas dipotong

Faizal berkata, dalam filem ini, dia turut menyelitkan beberapa babak pergaduhan dan juga permainan emosi serta pertukaran personaliti antara Apek dan Botak, yang akan memberi perbezaan berbanding drama bersiri.
Bagaimanapun, dia akur apabila babak pergaduhan melibatkan Lan Todak dan Kicap (Megat Farzeril) di potong Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).

"Filem ini diklasifikasikan P13, iaitu pengawasan ibu bapa untuk kanak-kanak diperlukan. Saya bukan sengaja untuk menyelitkan babak ganas seperti pergaduhan dan sebagainya.

"Tetapi, setiap perlakuan itu akan saya sertakan dengan akibat yang akan diterima, ia sekali gus akan mendidik penonton. Malah, saya akan turut selitkan semangat setia kawan antara mereka dalam mengatasi kehadiran Lan Todak," katanya.
'Lan Todak' jadi dalang

Menyentuh sambutan yang bakal diterima kelak, Faizal berkata, dia optimis filem ini akan memuaskan hati peminat setia drama bersiri Juvana.

Katanya, segala babak denda dan sedikit latihan ketenteraan diambil daripada pengalamannya semasa menyertai tentera sebelum ini.

"Saya harap mereka akan mengambil iktibar dan pelajaran daripada mesej yang ingin disampaikan," jelasnya.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini menjalani penggambaran 17 hari di kem PLKN, Rawang.

Filem Juvana mengisahkan Daim (Zahiril Adzim) yang telah dibebaskan cuba memulakan kehidupan baru dan menyambung persekolahannya.

Namun sejarah hitam hidupnya tidak memberi laluan mudah untuk Daim membina hidup baru. Botak (Johan Asa’ri), Apek (Syazwan Zulkifli), Ayam (Adam Shah), Kicap (Megat Farzeril), Komeng (Khairul Mohamed) dan Panjang (Idzham Ismail)
dipindahkan ke sekolah juvana lain, Sekolah Indera Sakti untuk meneruskan tempoh hukuman.

Di sekolah baru itu, Botak mula akrab dengan Apek serta yang lain. Namun, mereka jadi sasaran Lan Todak (Sharnaaz Ahmad), ketua samseng sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan mereka. Apakah kesudahannya? Nantikan filem ini di pawagam.
 
--- SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap