Kawan-kawan

Sabtu, 13 Mac 2010

Persahabatan manusia, makhluk asing dalam Jidin (Utusan Malaysia)


ANTARA BARISAN PELAKON YANG MENJAYAKAN DRAMA BERSIRI JIDIN UNTUK SLOT AKASIA YANG BERSIARAN SETIAP ISNIN DI TV3.


BERMULA 1 Mac ini, slot Aksi yang bersiaran setiap Isnin, pukul 9 malam, akan menayangkan sebuah lagi drama bersiri terbaru berjudul Jidin.

Mengambil genre fiksyen sains, Jidin dibintangi barisan artis lama dan baru antaranya Didie Alias, Fauzi Nawawi, Kazar, Bell Ngasri, Tam, Noorkhiriah, Zahiril, Amanda Misbun dan Shafie Naswip.

Memaparkan persahabatan antara makhluk asing bernama Jidin yang dilakonkan oleh Tam, dengan rakan barunya iaitu Fendi (Shafie). Jidin akan menggantikan Kapten Kit untuk slot berkenaan.

Jidin memulakan penceritaan seorang makhluk asing iaitu Jidin yang berselisih pendapat dengan Antar (Fauzi Nawawi) di Planet Cyrius B.

Akibat pertengkaran bersama Antar, Jidin mengambil keputusan meninggalkan planet berkenaan.

Namun, kapal angkasa yang dinaiki Jidin menghadapi masalah kerosakan lalu terdampar di bumi.

Berada di bumi, Jidin mula mengekori Fendi, seorang pelajar kolej yang sering kali menjadi mangsa buli rakan-rakan sekuliahnya.

Berkawan dengan Jidin, Fendi mula menampakkan perubahan. Mak Intan yang dilakonkan oleh Didie juga melihat akan perubahan yang berlaku terhadap anaknya itu apabila sering bercakap sendiri.

Kegembiraan persahabatan Jidin dan Fendi mula terganggu apabila Antar dan Dazur (Bell Ngasri) turun ke bumi untuk membawa pulang Jidin ke Planet Cyrius B.

Menurut Emi Suffian selaku pengarah Jidin, drama untuk slot Aksi itu menggunakan teknik 3D bagi menghidupkan jalan cerita Jidin.

"Sebelum ini saya pernah mengarah drama untuk slot Aksi di TV3. Drama tersebut adalah Papaya dan Kaber Hero Kaber Zero.

"Untuk penggunaan teknik 3D, selain dua drama berkenaan, saya turut mengaplikasikannya untuk drama Ceplos di TV9.

"Bukan tidak mahu gunakan teknik imej penjanaan komputer (CGI), tetapi, ia memakan masa,'' katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Jidin di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Drama sebanyak 13 episod ini diterbitkan oleh Grand Brilliance, Primeworks Studios.

Jelas Emi, pembentukan watak Jidin sebagai makhluk asing adalah hasil daripada imaginasi produksi sendiri.

"Slot Aksi yang pernah disiarkan adalah lebih kepada cerita superhero. Tetapi, untuk Jidin, kami buat pembaharuan apabila kuasa makhluk asing bergabung dalam jiwa manusia.

"Jidin mengambil tempoh 45 hari penggambaran yang bermula 4 Februari lalu. Sehingga kini, kami sudah selesai 40 peratus penggambaran untuk lima episod,'' ujarnya sambil mengharapkan Jidin akan dapat memungut jumlah penonton yang ramai.

Pemilihan pelakon

Mengenai soal pemilihan pelakon pula, Emi berkata, kombinasi pelakon lama dan baru mencantikkan lagi penceritaan Jidin.

Kata Emi, kebanyakan pelakon sudah memahami kehendaknya dan Kazar merupakan pelakon senior yang banyak membantu dalam memberikan idea.

Bagi Shafie pula, Jidin merupakan penampilan pertama pelakon muda itu untuk drama bersiri.

"Saya berpuas hati dengan lakonannya,'' tegas Emi.

Menurutnya, selain fiksyen sains, Jidin turut menggabungkan elemen komedi dan serius.

"Para pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada pelakon komedi dan serius.

"Jika maklum balas penonton baik, mungkin Jidin akan diterbitkan untuk musim seterusnya,'' katanya yang tidak menghadapi masalah sepanjang mengarahkan Jidin.

Mahu arah cerita seram

Sementara itu, Emi menjelaskan selain Jidin, dia menyimpan impian untuk mengarahkan cerita daripada genre seram pula selepas ini.

"Saya sudah ada cerita dan judulnya ialah Salong. Saya baru sahaja menghantar sinopsis kepada TV3.

"Mengarahkan cerita seram adalah sasaran saya untuk tahun ini.

"Salong adalah dewa penjaga kubur bagi salah satu etnik di Sarawak,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap