Kawan-kawan

Sabtu, 17 Disember 2011

Izreen akan umum pertunangan


IZREEN menafikan bakal bertunang dalam masa terdekat.


AKTRES dengan nama Izreen Azminda ini sedang menebarkan namanya dengan debunga bakat. Eksplorasi bakatnya banyak ditunjangi watak antagonis yang berjaya membuat penonton berasa benci.

Kemunculan dengan watak kontra dalam drama popular Juvana, menambahkan lagi sebab mengapa dirinya dilihat sebagai pelapis aktres tanah air.

Sewaktu sedang enak melakar satu demi satu portfolio atas nama pelakon, cerita-cerita peribadi turut menghimpit dirinya. Seakan-akan terkesan dengan watak antagonis yang dipegangnya, ada sahaja cerita panas dan kelam menghampiri pelakon ini.

Terbaru, pelakon berusia 26 tahun ini dikatakan bakal bertunang dengan seorang jejaka di belakang tabir. Bukan sebuah cerita negatif tetapi nampaknya hidup Izreen sekarang sudah masuk dalam baris pelakon yang semakin ingin dikenali lebih daripada sekadar cerita di layar.

Sedang enak melayari hari-hari penggambaran di bawah arahan Michael Ang, Izreen bakal muncul dengan sebuah telefilem yang bertajuk Pelesit dan Penjara.

Dengarnya akan bertunang tidak lama lagi?

(Gelak) Mana dengar cerita? Tidak ada perancangan apa pun lagi. Saya sedang sibuk dengan penggambaran. Kalau ada dan sampai masa, saya akan umumkan.

Maksudnya benarlah ada hubungan cinta dengan orang di belakang tabir?

Saya berkawan-kawan sahaja dan sejauh ini belum ada hubungan istimewa dengan siapa-siapa pun. Orang mungkin salah tafsir kerana saya berkawan dengan semua orang terutamanya orang produksi. Saya memang boleh ngam.

Tiada hubungan istimewa dengan siapa-siapa?

Tidak ada. Baru-baru ini saya sudah terkena, jadi kena relaks dulu. Saya tak nafikan kalau jodoh sampai, saya terima seadanya. Saya ni sebenarnya suka lelaki yang berwajah Melayu. Perangainya kena kontra dengan saya maksudnya dia perlu jadi air kerana saya bersifat api.


MENGANGGAP tahun 2011 sebagai tahun penuh cabaran.


Setelah Juvana dan polemik dengan Johan (Botak), nampaknya cerita peribadi Izreen bertubi-tubi keluar. Peminat hendak tahu cerita peribadi Izreen. Komen Izreen?

Memang tidak dinafikan tahun ini paling banyak saya dilanda kontroversi. Itu lumrah dan saya sudah bersedia. Awalnya mungkin saya kekok diterjah soalan sebegitu dan saya emosi menjawab. Itu pengajaran dan pada masa depan saya lebih berhati-hati menjawab. Kadang kala penyampaian itu tidak sama dengan tafsiran.

Sejauh mana keterbukaan Izreen berkongsi cerita-cerita peribadi dengan peminat?

Sekarang ini saya lebih selesa bercakap pasal kerja. Tentang peribadi, ada batasnya.

Bagaimana melihat perjalanan tahun 2011 dan harapan 2012?

Perjalanan 2011 sangat mencabar kerana bukan sahaja saya diterima ramai tapi juga terpalit kontroversi yang bukan-bukan. Saya ingat orang akan menyampah dengan saya, tetapi saya lihat sambutan orang ramai terhadap saya sangat baik kerana lakonan saya.

Daripada aspek karier, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan penerbit, pengarah dan penonton. Sejak drama Tentang Dhia ditayangkan di TV3, orang lebih memanggil saya dengan nama Melly berbanding cikgu Zakiah (Juvana). Pengarah, Michael Ang juga antara individu yang mempercayai saya dengan memberikan watak yang berat dan comot. Saya mengharapkan 2012 akan muncul dengan kurangnya kontroversi dan prestasi kerja semakin meningkat.


--- KOSMO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap