Kawan-kawan

Rabu, 29 Jun 2011

KL Gangster 'luar biasa'

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/06/29

ADI Putra (duduk kanan), Aaron Aziz dan Syamsul antara teraju utama filem KL Gangster.
ADI Putra (duduk kanan), Aaron Aziz dan Syamsul antara teraju utama filem KL Gangster.

Catat kutipan kasar RM11.4 juta selepas 14 hari tayangan

FILEM KL Gangster memecahkan rekod dan mencatatkan sejarah industri filem tempatan kerana sehingga Ahad lalu, membuat pungutan kasar ‘luar biasa’ iaitu RM11.4 juta.
Ini menunjukkan selepas 18 hari ditayangkan iaitu sejak 9 Jun lalu, purata kutipan kasar filem ialah kira-kira RM630,000 sehari. Angka itu menunjukkan filem tempatan sudah mendapat tempatnya sendiri, tidak kiralah sama ada penonton berulang kali menonton atau dari kalangan penonton baru.
Malahan penayangan satu filem seminggu tidak perlu menjadi isu diperbesarkan. Kalau cerita bagus, sambutan penonton cukup membanggakan. Malahan kutipan tinggi daripada beberapa filem tempatan sebelum ini juga membuktikan kehadiran filem blockbuster daripada Hollywood tidak menggentarkan produser lagi.

Kebanyakan penonton, walaupun mereka menonton filem luar negara, tetapi pada masa tidak melepaskan peluang melihat filem keluaran tempatan. Apa yang penting ceritanya menarik.

Filem KL Gangster adalah yang kelima arahan Syamsul Yusof yang menampilkan pelakon, Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Zizan, Sheera, Shoffi Jikan, Adam Corrie dan Syamsul sendiri, mampu melepasi angka kutipan kasar yang luar biasa meskipun terpaksa bersaing dengan filem hebat Hollywood, X-Men dan Kung Fu Panda.

Namun, angka terbabit dijangka mampu melonjak ke RM12 juta jika dicampurkan dengan kutipan di pawagam bebas yang kini semakin rancak ditayangkan dan mencecah kira-kira RM300,000.
Walaupun kekerapan waktu tayangan sudah dikurangkan kerana kemasukan filem baru serta kekurangan dewan tayangan, KL Gangster masih lagi mendapat sambutan sehingga ke hari ini.

Penerbit Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan dikecapi anaknya itu satu pencapaian yang tidak diduga selain menepis tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap keupayaan pengarah muda itu.

“Syukur alhamdulilah apa yang kita capai ini di luar dugaan dan satu kejutan. Saya bangga kerana menjadi filem Melayu pertama yang dapat mencapai jumlah kutipan kasar yang tinggi menyaingi filem Hollywood.

“Saya rasa akan ada filem Melayu lain yang mencapai kutipan lebih baik daripada ini, tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana filem saya dulu pernah capai RM6 juta dan saya jangka akan ada filem lain yang akan melepasi angka itu,” katanya ketika dihubungi HIP.

Melihat kepada perkembangan positif terbabit dan sambutan masyarakat terhadap filem Melayu kini yang semakin memberangsangkan, Yusof membayangkan akan menghasilkan lebih banyak filem yang dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Meskipun filem hebat Hollywood, Transformers akan menjengah ke panggung, namun masih terdapat permintaan daripada pihak panggung untuk meneruskan tayangan KL Gangster untuk beberapa hari lagi.

“Kita masih ada beberapa hari lagi tayangan dan Insya-Allah kita mampu capai RM12 juta walaupun waktu dan dewan tayangan sudah dikurangkan.

“Memang ada ada antara panggung yang sudah tarik balik tayangan kerana banyak filem yang akan masuk, namun kita cukup berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sekarang,” jelasnya.
Melihat kepada peningkatan bagi setiap filem arahan anaknya, KL Drift, Bohsia, Evolusi KL Drift dan Khurafat, Yusof menjangkakan akan ada peningkatan serta sambutan yang serupa terhadap filem keenam Syamsul nanti.

KL Gangster 2 bermula Oktober

SAMBUNGAN KL Gangster ini yang masih mengekalkan Syamsul sebagai pengarahnya akan menjalani penggambaran Oktober depan dengan kos penerbitannya sekitar RM3 juta.

Kos yang tinggi kerana membabitkan ramai pelakon terkenal tanah air termasuk Rosyam Nor.

“Filem ini akan menyingkap kembali kisah Aaron Aziz macam mana dia boleh terjebak dengan kumpulan gangster selain beberapa pelakon hebat lain. Jalan ceritanya lebih mencabar dengan pelbagai aksi dramatik. Penggambaran masih di sekitar KL tetapi akan ada beberapa lokasi di luar KL,” katanya.

Walaupun filem terbabit akan menjalani penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, namun Syamsul kini sedang sibuk membuat persiapan awal sebelum menjalani penggambaran sepenuhnya nanti.

Melihat kepada kejayaan itu, Syamsul dikatakan mahu melihat karya keenamnya itu digarap dengan lebih baik lagi berbanding filem kelimanya agar terus mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Saya nak melihat dia berjaya dalam kariernya dan saya sering menasihatinya supaya jangan cepat berasa selesa dan bangga diri sehingga lupa tanggungjawab dalam berkarya.

“Saya nak dia kekalkan pencapaian yang dia kecapi kini dan terus hasilkan karya yang lebih bermutu lagi kerana nak naik memang susah tetapi nak jatuh senang,” katanya.

Keupayaan jejaka berusia 27 tahun ini dilihat kian menyerlah dalam setiap filem arahannya, malah mampu membawa industri perfileman negara ke tahap yang membanggakan dengan karya yang bermutu dan berkualiti.


INFO

Lima filem tempatan yang mencapai kutipan tertinggi dari Januari 2011 hingga Jun 2011

1. KL Gangster - 11.40 juta
2. Kongsi - 8.09 juta
3. Khurafat - 8.08 juta
4. Hikayat Merong Mahawangsa - 6.50 juta
5. Nur Kasih The Movie - 4.92 juta

----- Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap