Kawan-kawan

Sabtu, 16 Januari 2010

Teraju utama The Green Lantern


RYAN REYNOLDS


PERSOALAN tentang siapakah pemain utama filem The Green Lantern akhirnya terjawab apabila pelakon kacak, Ryan Reynolds sudah disahkan akan memegang watak utama tersebut.

Watak yang mula diperkenalkan pada tahun 1950 itu akan turut menyaksikan Ryan memegang watak alter ego The Green Lantern iaitu Hal Jordan.

Sememangnya filem yang diadaptasi daripada komik terbitan DC Comics itu sudah lama dicanangkan.

Namun, studio yang menerbitkan filem tersebut, Warner Bros. perlu mengambil sedikit masa untuk memilih pelakon yang benar-benar sesuai membawakan watak berkenaan.

Bukan itu sahaja, pemilihan pengarah untuk mengarahkan filem ini juga memainkan peranan penting dan selepas berfikir panjang, akhirnya Martin Campbell dipilih mengemudikan filem ini.

Nama Martin juga bukanlah asing kerana pengarah itu sebelum ini pernah mengarahkan beberapa filem hebat termasuklah siri filem James Bond iaitu GoldenEye dan Casino Royale.

Pelakon siri televisyen Gossip Girl, Blake Lively pula telah dipilih untuk memegang watak heroin dalam filem ini yang akan menjadi teman wanita kepada Hal Jordan bernama Carol Ferris.

Sebelum pemilihan Blake, beberapa nama seperti Eva Green, Keri Russell dan Diane Kruger telah disebut-sebut untuk membawakan watak tersebut.

Pada mulanya, pihak penerbit tidak mahu Blake melakonkan watak berkenaan ekoran aktres itu terlalu muda untuk watak Carol Ferris.

Tetapi, setelah menghadiri uji bakat barulah mereka yakin dengan kemampuannya sekali gus menawarkannya berlakon dalam filem yang menelan bajet tinggi itu.

Bagi melengkapkan lagi projek filem ini, aktor berkaliber, Peter Sarsgaard baru sahaja menyatakan persetujuannya untuk membintangi filem ini dengan membawakan watak antagonis.

Ternyata, karisma yang dimiliki Peter dalam membawakan watak Dr. Hector Hammond berjaya mencuri perhatian Warner Bros.

Filem yang masih lagi di peringkat pra produksi ini hanya akan menjalani penggambaran sekitar bulan Februari atau Mac sama ada di Mexico atau Kanada.

Jika tiada aral melintang, The Green Lantern akan menemui penonton di pawagam seluruh dunia pada 17 Jun 2011.

Eva Green

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap