Kawan-kawan

Khamis, 14 Januari 2010

Adnan Semp-It - Siapa watak utama? (Utusan Malaysia)

ARKIB : 14/01/2010


KONFLIK membabitkan mat rempit dipaparkan dalam Adnan Semp-It.


BAKAL menjengah pawagam bermula hari ini (14 Januari), Adnan Semp-It muncul dengan sesuatu yang boleh diramalkan di fikiran penonton iaitu tentang mat rempit.

Bila menyebut mat rempit, antara lain, ia pasti memaparkan imej mereka yang suka melepak, maksiat, berlumba, tutur kata yang kasar, ditahan polis dan bergaduh.

Namun, daripada setiap imej yang digabungkan, Adnan Semp-It, filem ke-33 terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG),tampil dengan sedikit berbeza apabila menyelitkan unsur-unsur 'antara dua darjat'.

Ini dapat dilihat apabila seorang mat rempit Adnan, lakonan Shaheizy Sam, menyimpan perasaan terhadap majikan tempatnya bekerja, Nadia (Intan Ladyana).

Lahir daripada keluarga berada, mana mungkin Nadia memandang Adnan untuk dijadikan teman lelakinya.

Namun, angan-angan ada kalanya menjadi realiti apabila Adnan akhirnya berjaya memiliki hati Nadia biarpun tidak sekufu.

Menyelusuri perjalanan Adnan Semp-It yang berdurasi selama 90 minit, lakonan kalangan pelakon ada kalanya seperti tidak seimbang.

Boleh dikatakan, di dalam Adnan Semp-It, watak sampingan dan pelakon lain agak menonjol jika hendak dibandingkan dengan pelakon utamanya.

Norliana, Along dan Angah Raja Lawak serta Cat Farish, contohnya, dilihat seakan 'membunuh' watak yang dibawakan oleh pelakon utama terutama Intan Ladyana.

Persoalan timbul, siapa sebenarnya pelakon utama filem yang menelan kos RM1.65 juta itu?

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pengarah Adnan Semp-It, Ahmad Idham berkata, soal siapa lebih dominan dalam sesebuah karya tidak menjadi permasalahan besar buat dirinya.

Jelasnya, meletakkan pelakon utama sebagai dominan dalam sesebuah filem merupakan cara yang lama dipraktikkan oleh mana-mana pengarah.

"Dahulu punya cara, pelakon tambahan tidak boleh lebih daripada pelakon utama.

"Tidak menjadi masalah untuk saya jika pelakon tambahan mendominasi babak. Adakalanya, kalau kita lihat, banyak juga watak utama yang difokuskan, filem itu tidak menjadi.

"Untuk itu, kita perlu letak pelbagai warna untuk menghidupkan keseluruhan perjalanan filem,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas pratonton Adnan Semp-It di Cathay Cineplex, The Curve, Damansara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata, menerusi Adnan Semp-It, dia melihat betapa lakonan Angah Raja Lawak, sebagai contoh, yang penonton akan rasa terhibur dan lebih diminati.

"Ini cara saya. Cerita ini pun tidaklah terlalu berat sangat dan kita punyai sasaran pasaran tersendiri.

"Jika berat, sudah tentu mat-mat motor tidak akan datang menonton filem ini,'' jelasnya.

Ujar Ahmad Idham, dalam mewarnai perjalanan cerita Adnan Semp-It, ia turut diselitkan muzikal, permainan aksi serta dialek-dialek tertentu.

Mutu lakonan Intan Ladyana

Diajak berbicara mengenai soal pelakon pula, Ahmad Idham memberitahu, dia tidak pernah memikirkan soal populariti atau nilai-nilai komersial dalam diri seseorang artis.

"Soal popular dan boleh jual (komersial) bukan saya tetapkan. Apa yang penting watak yang diberikan menepati dengan pelakon berkenaan.

"Untuk Shaheizy, ini permata kali dia diberikan watak sebagai hero. Lakonannya amat memuaskan hati saya,'' jelasnya.

Mengenai mutu lakonan Intan Ladyana yang dilihat kurang berkesan, Ahmad Idham berkata, soal mutu lakonan bukanlah mampu untuk dibangunkan untuk tempoh tertentu.

"Asalkan tidak mengganggu struktur filem itu, saya okey sahaja,'' tegasnya.

Lakonan mencabar

Sementara itu, bagi Shaheizy pula, lakonannya di dalam Adnan Semp-It cukup mencabar terutama dalam menyampaikan elemen komedi.

"Sudah namanya lawak, penonton mesti menjangkakan yang kita akan membuat sesuatu untuk mereka ketawa.

"Saya bukannya orang komedi. Amat berat untuk membawakan watak komedi. Kalau salah, entah jadi apa lawak itu nanti.

"Dalam hal ini, saya perlu memahami dengan mendalam skrip yang diberikan sebelum berlakon,'' katanya.

Kata Shaheizy, dia secara jujurnya meminati unsur-unsur komedi namun cuba untuk tidak menjadi pelawak yang 'memperbodohkan' khalayak.

Mengenai lakonannya sepanjang bergelar artis, Shaheizy memberitahu, dia masih belum berpuas hati dengan apa yang ada pada dirinya ketika ini.

"Saya berharap agar diberi peluang yang lebih untuk membawakan watak-watak lain yang mampu mencabar kemampuan saya,'' tambahnya yang bakal muncul dalam filem Niyang Rapik tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap