Kawan-kawan

Rabu, 13 Januari 2010

Che Rozmey pun nak buat filem (KOSMO)

Che Rozmey pun nak buat filem


HEROIN dari Singapura, Suhaillah mendapat kepercayaan Che Rozmey sebagai heroin filem 2 Alam.


DATUK Dr. Che Rozmey Che Din bukan nama asing di kalangan orang berbadan besar atau selalu diberi gelaran montok. Ini kerana menerusi produk kesihatannya, Jus Mate 5 (JM5) golongan yang dikatakan sebagai berisi itu boleh mengurangkan berat badan untuk kelihatan langsing dan menawan.

Namun bagi industri perfileman, nama Che Rozmey mungkin kedengaran agak canggung. Namun jangan terkejut, Che Rozmey yang mempunyai latar belakang dalam bidang sakit puan itu sememangnya serius untuk terjun dalam industri perfileman negara.

Ia bukan omongan kosong apabila buah tangan pertama dR. Rozmey Movie Production bakal menemui peminat sinema menerusi filem 2 Alam.

Idea asal filem berunsur seram dan thriller itu adalah daripada beliau sendiri. Menurut Che Rozmey, beliau mahu menghasilkan filem yang jujur kepada pengguna iaitu ingin menarik peminat filem untuk ke panggung.

Kepuasan peminat katanya, turut menjadi elemen penting agar tiket yang mereka bayar berbaloi dengan apa yang disajikan oleh 2 Alam untuk mereka.

"Bukan sahaja produk (kesihatan) yang perlu jujur, filem juga perlu mempunyai nilai sama iaitu jujur," katanya pada sidang akhbar di Bandar Darulaman Jaya, Jitra, Kedah baru-baru ini.

Menariknya filem itu bakal mendapat sentuhan pelakon yang buat pertama kali mengarah iaitu Hairie Othman.


CEMERLANG dalam filem Pisau Cukur, Aaron Aziz semakin ligat berlakon filem.


Tampil sebagai hero ialah Aaron Aziz dan watak heroin pula didukung pelakon popular dari Singapura, Suhaillah Salam. Filem 2 Alam turut menampil Nabil Raja Lawak, Rosnah Johari, Faizal Hussain, Yank Kassim dan Andea Abdullah.

Suhaillah pernah membintangi drama bertajuk Mr Kiasu -Minah the Secretary di Channel 5 televisyen Singapura selain turut berlakon dalam drama Anak Metropolitan, Cinta Bollywood, Ejen Cinta dan Adam Cinta Siapa.

Suhaillah yang pernah dinobatkan sebagai Artis Paling Ngam di Singapura juga pernah membintangi telemovie bertajuk Riau dan Kasih Ibu Sepanjang Jalan.

Filem yang menelan belanja RM2 juta dan berlokasi di sekitar Jitra, Alor Setar dan Sik itu memulakan pengambaran sejak 10 Januari lalu. Ia mengambil masa selama 25 hari pengambaran.

Bagi Hairie yang dikenali peminat menerusi watak Leftenan Adnan ia merupakan tanggungjawab besar di atas kepercayaan yang diberikan Che Rozmey, apatah lagi ia merupakan filem pertama arahannya.

Peminat pastinya ternanti-nanti buah tangan pertama Hairie dan yang pasti beliau tidak mahu mengecewakan mereka.


CHE ROZMEY (tengah) bersalaman dengan Hairie Othman yang menjadi pengarah filem 2 Alam pada sidang akhbar di Bandar Darulaman Jaya, Jitra baru-baru ini.


"Saya berdebar-debar sebenarnya. Namun, saya mengambilnya sebagai cabaran yang perlu dipikul dengan baik,"' katanya.

Tarikan filem itu ialah berlatarbelakangkan budaya selain turut diadun dengan unsur lucu, sedih dan gembira.

2 Alam digarap menerusi dua penceritaan yang bakal menimbulkan tanda tanya dan teka teki di kalangan audien.

Ia juga akan membawa penonton ternanti-nanti plot demi plot yang mempunyai kesinambungan dan saling berkait. - AHMAD SYAHIR KASSIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap