Kawan-kawan

Selasa, 16 Februari 2010

Penunggu Gunung Raya, Siong di TV3 (Harian Metro)

KEJAHILAN dan ketamakan manusia dalam mengejar harta, kuasa serta keabadian hidup sehingga sanggup menentang ajaran Tuhan, akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

Itulah yang bakal disaksikan menerusi menerusi slot Seram, Penunggu Gunung Raya dan slot Legenda, Siong di saluran TV3.

Diterbitkan oleh Filmscape, Penunggu Gunung Raya arahan Faisal Ishak akan bersiaran mulai 18 Februari ini, setiap Khamis jam 9.30 malam.

Siri 13 episod ini dibarisi pelakon hebat seperti Zizan Nin, Emelda Rosmila, Fouziah Gous, Sahee D, Rosli Sako, Rahhim Omar, Ibu Aida dan Atta Imran.

Berlatarkan perkampungan Gunung Raya, drama ini mengisahkan Azam, Intan, Mas dan Omar dihantui mimpi misteri yang berkait rapat dengan kisah silam masing-masing. Kejadian aneh ini menyatukan kembali empat sahabat hingga pulang ke Kampung Gunung Raya.

Siong pula adalah adaptasi filem legenda Raja Bersiong. Kisahnya bermula dengan Raja Wakarima lakonan Helmi Hussain yang mahu kekal muda dengan menghisap darah manusia, tetapi berjaya ditumpaskan pembesar istana bernama Arya Mitra (Abu Bakar Juah).

Tubuh Raja Wakarima dipasung oleh Arya Mitra dalam keranda bagi memastikan tiada kesan peninggalan raja kejam itu di kerajaan Pancadi.

Selepas 400 tahun, tokoh konglomerat muda yang suka berfoya-foya, Tajul Zaman (Gambit Saifullah) ketagih darah selepas menikmati makanan yang dicemari darah pembantu rumahnya.

Kebetulan ketika itu penulis novel misteri, Amzar (Pierre Andre) mengkaji sejarah Raja Wakarima bersama kekasihnya Ria Fajarina (Sheera Iskandar).

Drama arahan Adam Hamid dari Talisman Pictures ini bersiaran mulai esok, setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata slot Seram dan Legenda adalah tapak TV3 meneruskan usaha memberi yang terbaik kepada penonton melalui siaran drama.

“Di samping itu, kami mementingkan kandungan program yang sarat dengan mesej positif supaya tidak terlalu taksub dengan kepercayaan tahyul.

“Jika dilihat, dua drama ini mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri. Kami pasti penonton setia TV3 pasti teruja mengikuti kisah Penunggu Gunung raya dan Siong yang tidak dapat dijangka perjalanan ceritanya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap