Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
LIYANA Jasmay akui penakut tapi Niyang Rapik mencabar dirinya. |
Tempoh 10 hari di Tasik Kenyir bagaikan kejutan budaya
LIYANA JASMAY atau nama akronimnya, LJ, 21, bukanlah dalam kategori manusia yang berani. Dalam erti kata lain, artis genit manja berusia 21 tahun ini memang penakut orangnya. Tapi demi tuntutan watak, Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Festival Malaysia Ke-22 dan Anugerah Skrin 2009 ini sanggup mencabar dirinya.
Selepas filem Syaitan dan Histeria, buah tangan terbarunya menerusi filem Niyang Rapik ternyata memberi sisi seram berbeza buat dirinya menerusi watak Laila. Filem arahan Ahmad Idham yang diedarkan Metrowealth Movies Production itu sudah pun menemui penggemar wayang mulai 25 Februari lalu.
“Ia seperti kejutan budaya buat Nana apatah lagi itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir. Sepuluh hari berada di sana, ia satu pengalaman menarik dan menyeramkan untuk dikenang kembali. Air terjunnya pun sungguh cantik dan banyak ikan toman di dalam air. Mandi sungai pun sangat menyeronokkan.
“Selepas membiasakan diri, Nana tidak takut untuk menjalani penggambaran. Cuma yang rasa seram sejuk dan gementar ketika nak tidur saja. Mujur ibu Nana setia menemani dan kami di kalangan pelakon sentiasa diawasi Uncle Tok Bah yang diberi mandat sebagai penasihat bahagian mistik.
“Filem ini juga yang pertama kali memerlukan Nana berada di hutan sepenuh masa. Berada di tempat orang, dalam hutan pula itu, Nana kena menjaga percakapan dan tingkah laku kerana takut melanggar sesuatu yang boleh memudaratkan,” katanya yang tidak mengalami pengalaman pelik sepanjang berada di sana.
Menurut Liyana, Niyang Rapik menjadi percaturan pertamanya memegang watak sebagai roh orang yang sudah mati. Watak Laila yang dipegangnya terlalu mencabar. Filem ini juga menjadi kerjasamanya buat kali kedua dengan Ahmad Idham selepas berlakon dalam drama Puaka Niyang Rapik di TV3 tahun lalu.
“Sukar juga untuk berada dalam karakter roh Laila. Dengan bantuan Uncle Tok Bah yang pakar dalam hal mistik, Nana diajarnya untuk memberi reaksi muka selamba dan banyak bermain dengan mata. Lontar dialog pun secara perlahan. Ia bukan peranan yang senang, malahan Nana menjadi satu-satunya pelakon tunggal perempuan.
“Ahmad Idham boleh Nana gambarkan seperti Afdlin Shauki daripada seorang pelakon yang bergelar pengarah. Jadi Nana boleh simpulkan mereka ini tahu situasi pelakon kerana sudah pernah berada di tempat itu. Kalau diam itu bermakna dia berpuas hati dengan prestasi pelakonnya,” katanya yang ketika artikel ini ditulis masih sibuk di lokasi penggambaran filem Khurafat bergandingan dengan Syamsul Haslam yang turut bertindak sebagai pengarah.
Dalam filem Khurafat, dia memegang watak sebagai isteri solehah bernama Aisyah yang bertudung. Filem itu juga buat pertama kali menggandingkan Liyana dengan Syamsul di layar perak. Filem itu turut menyaksikan Liyana bertudung buat julung kalinya.
“Kali pertama juga Nana bekerja dengan orang muda. Filem ini mengetengahkan kisah santau apabila dendam mula melingkari hidup. Dalam filem ini, Aisyah sangat menyayangi suaminya Johan lakonan Syamsul Yusof. Lalu, untuk menimbulkan emosi cinta, kami harus mencipta keserasian antara satu sama lain dan menolak sikap pemalu,” kata Liyana yang ditemui Hip ketika pratonton filem Niyang Rapik terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd pada 2 Februari lalu di Cineleisure, Damansara.
Kembali menjadi pelajar
DALAM pada masa yang sama, Liyana kini kembali bergelar pelajar dalam Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor. Untuk semester ini, dia hanya mengambil semula dua subjek iaitu Penyuntingan Filem dan Sejarah Teater yang pernah diambil semester sebelumnya tapi gagal.
“Insya-Allah, Nana akan tamat pengajian ini pada tahun depan. Tumpuan saya kini semestinya pada pengajian dan tawaran berlakon akan dipertimbangkan sekiranya pihak produksi boleh mengikut jadual pengajian. Pada masa yang sama, saya juga merancang pada masa mendatang untuk mengambil kursus pendek dalam lakonan dan penulisan.
“Nana mungkin akan mengambil kursus itu di luar negara selepas tamat pengajian diploma. Ikutkan hati nak ke Los Angeles atau New York. Tapi paling dekat mungkin di Australia. Bagaimanapun, ramai yang mengesyorkan saya ke New York Film Academy (NYFA). Tengoklah macam mana,” katanya yang bakal muncul dengan single ketiga, Penyelamat Cinta bersama Aizat tak lama lagi.
Bersyukur tercalon
DALAM perkembangan lain, tahun ini Liyana bolos buat kali kedua dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009. Tahun lalu, Maya Karin memenangi kategori itu. Tahun ini, sekali lagi Liyana bersaing dengan Maya di samping Diana Danielle, Lisa Surihani dan Sharifah Amani.
Dengan pencapaian mantapnya tahun lalu memenangi Anugerah Skrin 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22, sudah ada yang meramalkan potensinya untuk menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2009. Bagaimanapun, dia tidak menaruh harapan terlalu tinggi.
“Syukur Alhamdulillah ada peminat yang masih menghargai bakat Nana. ABPBH semuanya lebih kepada penghargaan peminat kepada artis kesayangan mereka. Peminat yang sanggup menghabiskan duit membeli surat khabar dan menanda artis pilihan mereka. Malah pada tahun ini juga diperkenalkan undian melalui SMS.
“Menang atau kalah bukan isu di sini. Apa yang lebih penting, sebagai anak seni, Nana boleh membalas jasa peminat dengan meningkatkan prestasi lakonan. Ia adalah persaingan sihat dan tercalon itu sudah memadai. Saya pun jenis yang suka pakai baju cantik dan menghadiri acara membabitkan permaidani merah,” katanya yang bakal melaram busana rekaan Rizman Ruzaini.
Mahu Niyang Rapik jadi jenama
SEMENTARA itu, Ahmad Idham yang ditemui berharap Niyang Rapik akan terus menjadi jenama genre seram yang terhasil daripada cetusan ideanya. Di Indonesia sebagai contohnya pernah mewujudkan hantu yang dipanggil Mak Lampir. Filem ini adalah karya ketiga bergenre seram yang dihasilkan selepas Jangan Pandang Belakang dan Congkak.
Menurutnya, filem Niyang Rapik terhasil daripada Skim Pinjaman Filem Cereka yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Syarikat miliknya (Excellent Pictures) menerima RM1 juta dan kos keseluruhan menerbitkan Niyang Rapik ialah RM1.6 juta.
“Harapnya filem ini akan memberi nafas baru dalam genre filem seram secara amnya. Dengan kekuatan pelakon yang ada, ia mungkin menjadi nilai tambah untuk penonton ke panggung wayang. Saya bersyukur selepas pratonton, ramai pihak media yang memberitahu setiap kehadiran pelakon seimbang.
“Tiada yang cuba membayangi di antara satu sama lain. Penghasilan skrip filem ini mengambil masa enam bulan. Pemilihan lokasi Tasik Kenyir dilakukan kerana saya pernah pergi memancing di sana. Sebelum memulakan penggambaran di situ, kami ada berjumpa dengan penghulu kampung.
“Bagi mendapat kelancaran dan mengelak perkara yang tak diingini, kami ada bersedekah Al-Fatihah di Makam Tok Pulau Manis, Kuala Berang. Ia dibuat atas dasar memohon izin. Alhamdulillah sepanjang kami di sana, tiada masalah besar yang mengganggu. Setakat gangguan kecil itu adalah,” katanya.
INFO: Niyang Rapik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.