Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Penerbit filem mahu saman Nabil (Berita Harian)

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon dan pelawak popular, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 27, kerana tindakannya mengeluarkan komen negatif dan gagal menghadiri promosi filem terbabit.

Pengarah dan Penerbit Bersama filem itu, Aminah Rhapor, berkata tindakan terhadap Nabil wajar kerana perbuatannya yang dianggap keterlaluan dan menjejaskan imej SDAF Pictures Sdn Bhd, selaku syarikat pengeluar dan filem berkenaan, selain Nabil didakwa melanggar kontrak.

“Walaupun membuat permohonan maaf terbuka menerusi media massa, dia (Nabil) sudah terlambat kerana kami berasakan Nabil sudah memburukkan filem lakonan sendiri yang diterbitkan syarikat kami, sekali gus melanggar kontrak yang ditandatangani.

“Saya akan buat penjelasan lanjut mengenai tindakan saman ini selepas kepulangan rakan kongsi, Datuk Suhaimy Othman dari Medan, Indonesia. Pada asasnya, kami sudah sepakat dengan rakan kongsi lain iaitu Datin Munirah Kassim dan Jasmi Othman mengenai soal ini.

“Keputusan ini agak berat tetapi saman ke atas Nabil tetap diteruskan. Kami bukan mahu menganiaya atau mencetuskan kontroversi. Ini pengajaran buat Nabil dan pelakon lain pada masa akan datang,” katanya kepada Berita Minggu.

Difahamkan, SDAF Pictures Sdn Bhd akan menghantar surat tuntutan kepada Nabil selewat-lewatnya minggu depan. Bagaimanapun, jumlah tuntutan dirahsiakan dan akan diumumkan pada satu sidang media dalam masa terdekat.

Kata Aminah, Nabil hanya membuat permohonan maaf terbuka dalam dua akhbar mingguan, termasuk Berita Minggu pada 14 Februari lalu, tetapi tidak secara terus kepada mereka selaku pengeluar filem berkenaan.

“Nabil secara sedar atau tidak sudah melanggar kontrak yang menetapkan artis yang membintangi LPSdM tidak dibenarkan membuat kenyataan negatif terhadap filem berkenaan, sekali gus menjatuhkan nama baik syarikat. Kami tidak nampak kejujuran Nabil ketika membuat permohonan maaf berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jika Nabil ikhlas memohon maaf dan menyesali kesilapannya, dia pasti datang berjumpa mereka atau sekurang-kurangnya menghubungi beliau untuk menjernihkan keadaan.

Aminah yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berkata tindakan sedemikian perlu dijadikan pengajaran dan tidak berlaku kepada produksi filem lain.

“Kami melakukan promosi tanpa Nabil, sedangkan filem ini menggunakan tagline Nabil, Lu Fikirlah Sendiri. Nabil juga memegang watak utama dalam filem ini, tetapi dia sukar memberi kerjasama mempromosikan filem. Dia hanya tampil ketika majlis pelancaran lagu tema filem, pratonton filem dan satu sesi fotografi bersama Berita Minggu...itu saja sedangkan pelakon lain seperti Mila dan Puteri Sarah memberi kerjasama baik.

Sebelum ini, Nabil dalam kenyataannya melahirkan perasaan kecewa terhadap filem lakonan sendiri, selain mendakwa pembikinan LPSdM tidak disempurnakan dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap