Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Antara cinta sejati, nafsu serakah (Berita Harian : B*Pop)





  • Filem: Jalang
  • Pengarah Nazir Jamaluddin
  • Pelakon: Yasmin Khanif; Hairee Othman; Yank Kasim; Helmi Husaini dan Ridzuan Hashim
  • Tarikh Tayangan: 26 November 2009
JUDULNYA saja barangkali sudah cukup kuat membawa penonton ke pawagam untuk mengupas apa sebenarnya yang diterjemahkan oleh sutradaranya, De Baron Sdn Bhd menerusi produksi pertamanya ini. Persepsi awal Jalang pasti sarat elemen panas dan sensasi malah bakal membentangkan sebuah lagi palitan kontroversi menerusi aksi berani pelakon utamanya, Yasmin Khanif sebagai Maria.

Pemahaman itu barangkali didorong oleh pandangan kasar penonton yang cuma memusatkan tumpuan mereka kepada watak Maria tanpa cuba mendasari lebih jauh apa yang dipersembahkan Jalang. Jelas konotasi jalang itu sendiri membawa persepsi negatif, malah judulnya saja sudah membayangkan sisi gelap perjalanan keseluruhan filem itu.

Bagaimanapun, bukan itu yang cuba disandarkan De Baron untuk menjual Jalang. Masih ada mesej besar cuba disampaikan lewat filem yang menjalani penggambaran di Langkawi, Kedah itu pada penghujung filem itu. Jalang cuba mengupas pengertian cinta sejati, nafsu, kerakusan, tamak haloba, bongkak dan kecurangan apabila manusia sanggup tunduk kepada dorongan syaitan untuk mencapai segala cita-cita mereka.

“Jalang pada perspektif kami disampaikan dalam bentuk berbeza. Filem ini tidak sesekali mengeksploitasi tubuh menarik wanita sebaliknya cuba mengupas definisi jalang menerusi paparan watak yang digarap dan pada akhirnya penonton akan memahami siapa ‘jalang’ yang sebenarnya,” kata penerbitnya, Imran Ismail.

Persoalannya, mampukah impian besar penerbit untuk mengajak penonton mendasari apa sebenarnya yang disampaikan lewat Jalang tercapai? Atau barangkali impian itu sekadar retorik dan Jalang akan terus diingati sebagai sebuah lagi filem yang menggunakan kuasa wanita seksi untuk menarik perhatian penonton?

Persoalan itu masih menjadi tanda tanya. terserah pada penonton untuk menilainya apabila filem ini bakal ditayangkan bermula Khamis ini (26 November) di seluruh negara.

Berkisar naratif yang mengutarakan isu klise iaitu kisah wanita yang menggunakan kecantikan dan susuk tubuh untuk mendapatkan segala yang dihajati bukan sesuatu yang baru, apakah filem ini mampu menyamai kisah wanita dan nafsu seperti dalam filem perempuan, Isgteri Dan... arahan U-Wei Saari suatu ketika dulu pada awal 1990-an?

Begitu juga lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan wanita sudah lama dijadikan latar sama ada dalam filem atau pun drama tempatan. Apakah kelainan yang digarap dalam filem ini. Memang elemen seks mampu menjadi elemen pelaris kepada sesebuah filem tetapi seharusnya ia boleh menjadi lebih dramatik dan beremosi dengan kekuatan plot yang menyokong perjalanannya.

Nazir bagaimanapun, membentangkan Jalang begitu saja membuatkan penonton beranggapan Maria terlalu murah kerana begitu mudah membiarkan dirinya menjadi santapan lelaki hidung belang. Watak Maria, perempuan yang menggunakan kuasa seks untuk meraih kesenangan dan kejayaan yang dilakonkan Yasmin cukup panas.

Yasmin mungkin mampu mencipta nama dengan pantas kerana keberaniannya beraksi dalam Jalang. Biarpun tidak keterlaluan namun itu sudah cukup untuk membuat namanya menjadi bualan dalam industri hiburan tanah air. Dari satu sudut, Jalang berjaya memperkenalkan nama Yasmin tetapi cukupkah hanya setakat itu? Yasmin menerusi filem ini kelihatan kurang konsisten dan ada kekurangan dalam memahami tuntutan terhadap watak yang menjadi nadi kepada filem ini. Yasmin menterjemahkan watak Maria dengan pemahaman yang sederhana, mungkin ilmu lakonannya masih cetek.

Namun, ada ketikanya aksinya berlebihan yang memungkinkan penonton pasti berasa mual yang memperlihatkan Maria begitu murah dan tiada harga diri. Melihat mutu lakonannya mungkin penonton boleh menilai sejauh mana keistimewaan Yasmin hingga membolosi senarai Top 5 dalam pencalonan Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia Ke-22, Ogos lalu.

Pertaruhan berani De Baron kerana Jalang hadir tanpa bersandar kepada nama sedang popular namun ceritanya akan menentukan segala-galanya.

Sinopsis:

MARIA ialah seorang Perunding Kanan di syarikat antarabangsa milik Tan Sri Jamaudi yang memperdagangkan tubuhnya untuk mendapatkan projek besar dalam dan luar negara. Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga anak kepada Datuk Nahu, orang perantaraan yang menjadi ‘jambatan’ kepada kehidupan tidak bermoral. Selepas dibuang kekasihnya, Maria membawa diri ke kampung ibu angkatnya, Mak Esah untuk muhasabah diri. Dia diburu teman baiknya, Ben Adam yang dalam diam menyintainya tetapi cinta itu tidak terucap kerana Maria terlalu dibuai cinta mendalam terhadap Ikram. Pada masa sama, Ali Topan yang diupah Puan Sri Serina menjadi terlalu obses terhadap Maria. Dia menjejaki Maria ke setiap pelusuk tanpa diketahui wanita itu. Malang menimpa Maria apabila dia ingin kembali ke pangkal jalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap