Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Tam, Syafie kejar cita-cita (Utusan Malaysia)


SYAFIE dan Tam bergandingan dalam drama siri terbaru untuk slot Aksi di TV3 iaitu Jidin.


SETIAP daripada kita, tentunya mahukan kehidupan masa depan yang lebih baik dan tidak statik dengan apa yang dimiliki ketika ini. Begitu juga bagi insan seni bernama Nor Azemi Suhaimi atau Tam dan Syafie Naswip yang digandingkan menerusi drama bersiri Jidin.

Mengharapkan perjalanan di masa mendatang lebih baik, Tam dan Syafie punyai impian tersendiri untuk maju dalam bidang hiburan tanah air.

Bagi Tam yang bakal mencapai usia 31 tahun menjelang 20 Mac ini, dirinya tidak terlepas daripada inginkan kejayaan dalam hidup dan juga kerjaya.

Biarpun insan yang 'memasuki' bidang seni silih berganti dan mendapat perhatian lebih daripada produser, ia bukanlah satu masalah besar buat Tam.

Bagi Tam, setiap daripada manusia itu berhak untuk mencapai kejayaan dan ia tidak perlu dihalang dengan rasa iri hati.

Tam melihat kehadiran pelakon baru adalah sebagai mewarnakan lagi bidang seni.

Begitu juga dengan kehadiran pengarah-pengarah baru, katanya, ia memberikan kesan baik dan mencambahkan lagi idea-idea baru.

Namun, di sebalik kemunculan wajah-wajah baru itu, Tam yang mula berlakon sejak 1986, kini turut mencari hala tuju baru bagi mengembangkan bakat.

"Alhamdulillah, sudah 24 tahun saya berlakon. Daripada berlakon, saya kembangkan bakat kepada penulisan skrip dan kerja-kerja di belakang tabir.

"Kini, saya dan Farish Aziz serta seorang lagi teman dari Singapura, Nizam Rahman di bawah syarikat milik kami, Chantek Pictures akan menerbitkan telemovie Cheritera,'' jelas Tam ketika ditemui di lokasi penggambaran Jidin di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Ditanya mengenai bidang pengarahan, Tam berkata, impian itu ada tersimpan dalam hatinya tetapi buat masa ini dia masih belum bersedia.

"Ada banyak lagi yang saya perlu pelajari sebelum bersedia untuk menjadi seorang pengarah. Bukan mudah menjadi pengarah kalau ilmu tidak cukup di dada,'' kata Tam yang bertindak sebagai penulis skrip drama komedi Dunia Anita, Puteri, Gaia, Adam, Bujang Antik serta Cheritera.

Bermula Isnin lalu (1 Mac), melalui slot Aksi di TV3 yang bersiaran pada pukul 9 malam, Tam dan Shafie muncul dalam drama bersiri Jidin.

Muncul untuk 13 episod, Jidin terbitan Grand Brilliance, Primeworks Studios arahan Emi Suffian menggandingkan dua watak utama iaitu Tam selaku Jidin, seorang makhluk asing dari Planet Cyrius B dan Syafie Naswip memegang watak Fendi.

Jidin memaparkan kisah Fendi, pelajar di sebuah kolej yang suka menyendiri sambil membaca buku tentang angkasa lepas. Keadaan Fendi yang tidak gemar bercampur gaul membuatkannya sering menjadi bahan ejekan pelajar lain.

Merindui Allahyarham Yasmin Ahmad

Bagi Syafie, biarpun baru menamatkan persekolahan di tingkatan lima, 'anak emas' kepada pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad ini, enggan meninggalkan bidang seni andai diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi nanti.

Bagaimanapun, Syafie sempat berkongsi cerita tentang dirinya yang pernah berhasrat berhenti berlakon tatkala pemergian Allahyarham.

"Selepas Allahyarham meninggal dunia, saya memerap dalam bilik sahaja selama tiga bulan. Saat itu, saya terfikir untuk berhenti berlakon.

"Saya sudah tidak ada tempat untuk mengadu kerana Allahyarham banyak membantu saya. Filem Talentime adalah filem terakhir saya bersamanya,'' kata Syafie yang cukup merindui pengarah tersohor itu.

Jelasnya, sepanjang tempoh 'memerap' dalam bilik, dia banyak menerima semangat daripada insan bernama Fatimah Abu Bakar, rakan karib Allahyarham Yasmin.

Daripada nasihat dan semangat yang diberikan, dia mengakui mula membuang rasa sedih demi masa depannya.

"Bukan sahaja lakonan, pelajaran saya juga merosot. Cikgu pun ramai yang marah. Peperiksaan percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya tidak berapa bagus kerana terkenang arwah yang baru meninggal ketika itu.

"Alhamdulillah kerana sewaktu SPM, saya dapat memberikan fokus dan menjawab dengan baik. Sekarang sedang berdebar menunggu keputusan.

"Saya merancang untuk menyambung pengajian. Kalau boleh hendak cari kursus yang lari daripada bidang seni. Saya mahu cari kursus lain supaya hidup saya ada kepelbagaian,'' menurutnya yang bakal menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar Mac atau April ini.

Cerita tentang Jidin

Sementara itu, berbalik kepada Tam, tatkala diminta mencelah bercerita tentang Jidin, berkata, Jidin memberikannya sedikit cabaran untuk tidak terlalu 'meniru' atau menyamai dengan mana-mana karakter makhluk asing yang lain.

Mengenai lakonannya bersama Syafie, kata Tam, biarpun Syafie boleh dikatakan masih baru, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia itu mudah membiasakan diri dengan sesiapa sahaja.

"Saya pernah berlakon dengan Syafie sebelum ini melalui telemovie Takbir Kasih 2.

"Biarpun Jidin adalah drama bersiri pertama lakonannya, Syafie memiliki bakat lakonan yang bagus,'' katanya.

Selain Tam dan Syafie, Jidin turut dibintangi Amanda Misbun selaku Fuza, Zahiril (Radi), Noorkhiriah (Pensyarah Rusila), Bell Ngasri (Dazur), Kazar (Man Black), Fauzi Nawawi (Antar) dan Didie Alias (Mak Intan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap